Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, tindakan itu perlu diambil memandangkan ada dalam kalangan PATI dari Bangladesh yang ‘menyamar’ sebagai pelarian Rohingya.
“Baru-baru ini kita mendapati kira-kira 60 peratus individu yang mengakui mereka pelarian Rohingya sebenarnya ber­asal dari Bangladesh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa Pertubuh­an Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) 2015 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengasas PCOM, Datuk Abdul Latif Mirasa; Ahli Lembaga Pemegang Amanah PCOM, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Nasharudin Mat Isa serta Pengerusi PCOM, Muslim Imran.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan telah berun­ding dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) tentang tindakan yang perlu diambil terhadap warga asing yang menggunakan kad UNHCR palsu.
Beliau menjelaskan, salah satu tindakan yang dipertimbangkan adalah menghantar pulang mana-mana warga asing yang melakukan kesalahan tersebut.
Ahmad Zahid menambah, perbincangan tentang isu pemerdagangan manusia turut dilakukan di antara kerajaan dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Immigrant Opportunity Initiatives (IOI).
“Kita mengambil pendekatan holistik dengan tidak mengetepikan pekerja-pekerja dari negara-negara lain mengikut kemahiran dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu,” ujarnya.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, semua pihak di negara ini perlu mengetepikan perbezaan politik dalam usaha membantu membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis Israel.
Ahmad Zahid turut meng­umumkan setakat ini, UMNO telah menyumbang sebanyak AS$10 juta (RM37.8 juta) untuk membangunkan semula Gaza.