Laman web Bangkok Post memetik kenyataan Ketua Penyiasat, Jeneral Aek Angsananont sebagai berkata, beberapa orang saksi berkaitan kes tersebut telah dipanggil untuk disoal siasat bagi mencari maklumat tambahan berkenaan aktiviti pemerdagangan manusia di wilayah Songkhla, Satun dan Ranong.
Katanya, lebih banyak waran tangkap akan dikeluarkan jika pihaknya menemui bahan bukti baharu.
Semua maklumat berkenaan kes tersebut akan diserahkan kepada Ketua Hakim Negara pada 19 Jun ini bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.
Dalam perkembangan sama, Aek menambah, seramai 61 orang mangsa pemerdagangan manusia etnik Rohingya telah dihantar ke kawasan penempatan sementara di Kamphaeng Phet, daerah Rattaphum, sebelum 10 orang daripada mereka melarikan diri, semalam.
“Mereka yang melarikan diri bukan merupakan saksi utama kes pemerdagangan manusia yang berlaku di negara ini.
“Usaha giat dijalankan bagi mencari dan membawa mereka pulang ke kawasan penempatan tersebut,” jelas Aek.