Jurucakap kumpulan sayap Taliban, Jamaat-ul-Ahrar, Ehsanullah Ehsan dalam satu rakaman suara berkata, mereka berkongsi penderitaan yang ditanggung etnik Islam Rohingya yang tertindas di negeri Rakhine dan bersedia membantu memberi latihan serta kelengkapan untuk berjuang.
Menurut Ehsanullah, bantahan, demonstrasi, perarakan dan resolusi hanya memberikan kesan yang kecil, tetapi hanya peperangan boleh menyedarkan pemerintah Myanmar.
“Golongan muda etnik Rohingya perlu bangkit untuk berjuang menentang kezaliman dan kami bersedia membantu (kamu) daripada segi latihan dan sumber,” katanya seperti yang dilaporkan akhbar Sydney Morning Herald.
Penderitaan etnik Islam Rohingya menarik perhatian seluruh dunia ekoran keganasan agama dan kaum yang tercetus pada 2012 di negeri Rakhine disusuli dengan krisis orang hanyut di Asia Tenggara ekoran masyarakat minoriti itu menjadi pelarian dan mahu mendapatkan kehidupan yang lebih baik di negara lain.
Situasi itu bertambah buruk apabila kerajaan Myanmar enggan mengiktiraf kira-kira 1.5 juta etnik Rohingya sebagai warganegara, sebaliknya mengenakan beberapa sekatan termasuk kawalan kelahiran, pergerakan, dan peluang pekerjaan.
Ekoran itu, beberapa kumpulan radikal termasuk pengganas al-Qaeda cuba mengambil kesempatan untuk merekrut etnik Rohingya supaya bangkit berjuang bagi menuntut hak mereka.
Bagaimanapun, etnik Rohingya masih belum menunjukkan minat untuk mengangkat senjata bagi membela nasib mereka.
Sementara itu, pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Malala Yousafzai menggesa pemimpin Myanmar bertindak segera menghalang penindasan ke atas etnik berkenaan yang dianggap sebagai pendatang asing oleh kerajaan.
Remaja perempuan berusia 17 tahun itu berkata, etnik Islam Rohingya berhak menerima hak dan peluang yang sama rata, selain meminta kaum minoriti berkenaan berintegrasi dengan masyarakat lain di negara itu.