Demikian perit yang terpaksa ditanggung seorang remaja Rohingya berusia 12 tahun selain mengakui turut menderita diseksa ketika ditempatkan di sebuah kem pelarian dipercayai berdekatan sempadan Thailand-Malaysia.
Abdul Shukor Jaafar memberitahu dia bersama ibu, Anuwar Rohim berusia dalam 30-an, sering dipukul selama dua minggu di sebuah kem yang tidak diketahui lokasinya sebelum diseludup.
Selain itu, Abdul Shukor yang sudah lebih dua bulan berada di negara ini juga tidak tahu di mana kubur bapanya dan tidak tahu bagaimana dia meninggal dunia kerana mereka tiga beranak diasingkan sepanjang berada kem tersebut.
Anak kedua daripada empat beradik itu juga berkongsi duka, ibunya dipaksa berkahwin sebagai cagaran untuk dibawa masuk ke negara ini kerana wanita itu tidak mempunyai wang untuk membayar upah kepada tekong terbabit setelah ayahnya meninggal.
“Saya masih ingat ketika itu saya bersama ibu dan ayah dibawa melepasi sempadan Myanmar melalui Thailand oleh dua tekong, sebelum dibawa mendaki sebuah bukit selama beberapa jam dan di atasnya terdapat beberapa kem.
“Selepas itu saya, ibu dan ayah ditempatkan secara berasingan dan selepas itu saya tidak menemui ayah langsung sehingga mendapat tahu ayah sudah meninggal dunia beberapa hari selepas itu,” katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Rohingya Malaysia Kedah di Shahab Perdana di sini hari ini.
Menceritakan pengalaman semasa berada di dalam kem, Abdul Shukor berkata, dia dan ibu pernah ditendang di bahagian dada dan perut oleh tekong yang berang berikutan mereka berdua tidak mampu membuat pembayaran sehinggalah ibunya dipaksa berkahwin dengan seorang tekong.
Dia menambah, tahanan di dalam kem tersebut diberikan makanan yang sedikit selain menjalani kehidupan tidak terurus, terdapat juga ramai kanak-kanak lain seawal usia dua tahun berada di situ.
“Selepas tempoh dua minggu itu, saya dibawa ke sebuah rumah di Sungai Petani secara berasingan dengan ibu yang dibawa mengikut tekong berkenaan ke haluan lain.
“Dalam tempoh beberapa hari selepas itu, dia dibebaskan apabila tekong berkenaan dibayar sebanyak RM700 lalu dibawa ibu menetap di sebuah kawasan perumahan di Mergong,” katanya.
Sementara itu, dia sekeluarga sanggup mempertaruhkan nyawa datang ke negara ini kerana sudah tidak tahan dengan kehidupan di Arakan (kini dikenali Rakhine), Myanmar, kerana mereka sentiasa hidup dalam ketakutan serta tidak berpeluang untuk mendapat pendidikan.
“Apabila ibu dan arwah ayah membuat keputusan nak berhijrah ke Malaysia, keluarga menghantar kakak dan dua adik saya ke Bangladesh untuk dijaga oleh makcik di sana. Sudah lama sangat tidak jumpa mereka, kalau boleh terbang, saya sudah pergi jumpa mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah, Mohd. Noor Abu Bakar yang bersimpati dengan nasib dua beranak itu turut membantu mereka dengan memberikan makanan dan bantuan wang ringgit.
“Ibunya kini bekerja sebagai penjual sayur di pasar borong, dekat sini dan kebiasaannya kanak-kanak ini akan datang ke sini untuk membantu dan meminta makanan. Dia sangat rindukan keluarganya yang lain selain risau dengan nasibnya yang masih terkontang-kanting,” katanya.