Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, pihak polis percaya Yassin merupakan ejen besar yang terlibat secara langsung dalam sindiket tersebut.
“Yassin ini merupakan satu nama umum sekarang dan nama­nya disebut oleh mangsa-mangsa pemerdagangan manusia ini.
“Pihak polis sedang mengumpul bukti dengan mengambil ke­terangan orang-orang yang terlibat untuk siasat siapa Yassin ini dan mungkin bekerjasama dengan polis Thailand bagi mengesannya. Jika dia berada di Malaysia, kita akan tahan dia (Yassin),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia (Kedah), Yusof Ali mengenai individu bernama Yassin yang dikatakan menjadi dalang utama sindiket pemerdagangan manusia.
Yusof mendakwa, walaupun berasal dari Myanmar tetapi Yassin, yang berumur dalam lingkungan 30-an tinggal di selatan Thailand, manakala operasi sindiket pemerdagangan manusia dike­tuainya pula menjangkau sehingga ke negara ini.
Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah, Mohd. Noor Abu Bakar pula mendakwa, beberapa penjenayah yang menjadi ejen sindiket tersebut menggunakan nama Yassin sebagai nama samaran mereka dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Menurut Zamri, lebih 1,000 pelarian Rohingya yang memasuki negara ini melalui perairan Langkawi pada Mei lalu masih berada di depot tahanan di negeri ini dan proses dokumentasi untuk mereka masih dijalankan.
“Pihak polis telah menemubual mereka dan masih siasat dalang yang terlibat, kita percaya mungkin ada orang tempatan yang terlibat kerana ia melibatkan aktiviti merentasi sempadan,” jelasnya.
Tambah Zamri, polis Kedah juga telah diarahkan untuk meningkatkan kawalan di sempadan termasuk di kawasan perairan negara dengan kerjasama daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Sehingga kini tiada kemasukan pelarian melibatkan jumlah yang besar ke negara ini melalui Kedah,” ujarnya.