Friday, 22 April 2016

Presiden Myanmar Bebaskan 83 Banduan Politik


Diterbitkan: Ahad, 17 April 2016 5:24 PM
Htin Kyaw. Foto AP

YANGON: Presiden baharu Myanmar mengampunkan 83 banduan yang dipenjara kerana jenayah politik, kata pegawai pada Ahad.
Keputusan itu dibuat hanya beberapa minggu selepas kerajaan baharu diwujudkan tanpa kuasa politik pihak tentera.
Perintah yang ditandatangani oleh Presiden, Htin Kyaw pada Sabtu memberitahu bahawa pengampunan itu bertujuan  mewujudkan "perdamaian sosial dan ketenangan fikiran" sebagai sebahagian daripada tahun baharu Myanmar.
"Setakat yang saya tahu, (semua yang dibebaskan) merupakan orang yang dipertimbangkan oleh kumpulan hak asasi sebagai banduan politik," kata pegawai kanan jabatan penjara kepada Reuters.
Selepas pembebasan itu, masih ramai lagi banduan politik dipenjara, tidak termasuk ratusan berdepan dengan tuduhan yang dikenakan terhadap mereka di bawah kerajaan terdahulu. - Reuters

22 etnik Rohingya korban bot karam

Orang ramai mengangkat mayat salah seorang etnik Rohingya yang
21 April 2016 1:10 AM

YANGON 20 April - Seramai 22 orang etnik Rohingya termasuk sembilan kanak-kanak maut, selepas bot yang mereka naiki terbalik akibat laut bergelora ketika menghampiri bandar Sittwe, ibu negeri Rakhine, semalam.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Myanmar (UNOCHA), Pierre Peron berkata, bot itu membawa 60 orang penumpang dari sebuah kem pelarian Sin Tet Maw di Paukaw ke sebuah pasar di Sittwe.
Ujarnya, jumlah mangsa yang terkorban dijangka meningkat ekoran ramai lagi yang dilaporkan hilang.
“Bot berkenaan mendapat kebenaran untuk perjalanan ke pasar berkenaan untuk membolehkan mangsa membeli keperluan masing-masing,” katanya.
Seorang saksi yang juga aktivis Rohingya, Kyaw Hla Aung menyalahkan peraturan ketat kerajaan Myanmar sehingga memaksa mangsa menggunakan laluan laut.
Jelas beliau, insiden itu berlaku kerana pengangkutan yang tidak selamat berikutan undang-undang yang tidak membenarkan mereka menggunakan laluan darat ke Sittwe untuk membeli ubat dan barangan keperluan lain.
“Kesemua 22 orang yang terkorban di Sittwe merupakan etnik Rohingya,” katanya.
Rakhine yang terletak di barat Myanmar menempatkan kem-kem pelarian etnik Rohingya yang hidup ditindas selepas keganasan kaum dan agama tercetus di wilayah itu pada 2012.
Peraturan kewarganegaraan yang dikuatkuasakan menyebabkan etnik Rohingya ‘tidak mempunyai negara’, oleh yang demikian pergerakan dan kemudahan perubatan kepada etnk Rohingya disekat oleh pemerintah Myanmar. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/22-etnik-rohingya-korban-bot-karam-1.278331#sthash.eaBP6U9j.dpuf

Wednesday, 20 April 2016

Dipaksa guna jalan laut punca bot Rohingya karam


RABU, 20 APRIL 2016 @ 1:49 PM

 YANGON: Saksi insiden sebuah bot karam yang mengorbankan kira-kira 20 orang termasuk kanak-kanak, hari ini menyalahkan tragedi itu berpunca daripada terhadap sekatan pihak berkuasa yang memaksa mereka menggunakan jalan laut. Mereka berkata, semua mangsa adalah kalangan etnik minoriti Islam Rohingya yang ditindas. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 21 orang termasuk sembilan kanak-kanak maut selepas sebuah bot padat karam dalam keadaan air bergelora, semalam ketika menghampiri Sittwe, ibu negeri Rakhine. Kebanyakan daripada penumpang adalah penduduk Sin Tet Maw di kawasan Paukaw yang menempatkan sebuah kem etnik minoriti Islam Rohingya yang melarikan diri akibat keganasan penduduk Buddha. "Nahas bot ini berlaku kerana pengangkutan tidak selamat. Kami tidak boleh menggunakan pengangkutan darat ke Sittwe untuk membeli barangan atau ubat-ubatan," kata aktivis Rohingya, Kyaw Hla Aung. Penumpang bot terbabit memerlukan kebenaran khas untuk perjalanan ke Sittwe dari Paukaw melalui muara sungai yang luas sebelum bergerak beberapa kilometer menyusuri pesisir pantai sehingga ke ibu negara itu. Etnik Rohingya terpaksa hidup dalam suasana seakan-akan aparteid sejak pergolakan dan penganut Buddha dan Islam mengorbankan beratus-ratus orang pada 2012. Pergerakan dan akses kepada perkhidmatan termasuk penjagaan kesihatan mereka disekat pihak berkuasa di negara majoriti penduduk beragama Buddha itu. - AFP   DISYORKAN

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/145656

Suu Kyi berikrar bela etnik minoriti


Suu Kyi (dua, kanan) bertemu Menteri Luar China, Wang Yi, sebelum mesyuarat diadakan di Naypyidaw, Myanmar, 5 April lalu. Foto: AFP
YANGON - MYANMAR. Pemimpin pro demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi berikrar untuk membina sebuah kesatuan persekutuan demokratik termasuk etnik minoriti.
Kenyataan itu, sekali gus menamatkan diskriminasi terhadap minoriti etnik dan agama serta menghapuskan polisi kejam ke atas kebanyakan penduduk Rohingya yang tidak mempunyai kerakyatan.
Menurutnya, sebagai sebuah negara demokrasi yang dipilih oleh rakyat, kerajaan akan bertanggungjawab ke atas semua penduduk dan melayan semua orang secara sama rata dengan penuh kasih sayang serta belas kasihan.
"Sebab itulah kami memberi keutamaan kepada perpaduan nasional. Kami akan terus membina kesatuan persekutuan demokratik untuk seluruh rakyat," katanya.
Difahamkan, negara berkenaan telah dibelenggu dengan pemberontakan kumpulan etnik minoriti sejak memperoleh kemerdekaan dari Britain pada 1948. - Reuters

Suu Kyi mahu perbalahan etnik ditamatkan


YANGON 18 April – Penasihat Presiden Myanmar, Aung San Suu Kyi (gambar) berikrar untuk mengakhiri pemberontakan yang berlanjutan di negara ini dengan memberi kuasa autonomi kepada etnik minoriti bagi membina sebuah negara berfahaman demokrasi yang tulen.
 
Dalam ucapan sempena sambutan Tahun Baharu Myanmar, Suu Kyi berkata, harapan untuk mewujudkan sebuah negara yang lebih aman dan makmur semakin cerah sejak Parti Liga Demokrasi (NLD) mengambil alih tampuk pemerintahan junta pada 1 April lalu.
Namun beliau menekankan bahawa peluang untuk mencapai tujuan itu bergantung kepada usaha mengakhiri konflik antara etnik yang berlanjutan sejak Myanmar mencapai kemerdekaan pada 1948.
Jelas beliau, bagi mencapai impian tersebut, kerajaan di bawah pimpinan NLD akan membentuk sebuah negara berfahaman demokratik persekutuan yang sebenar.
“Keamanan dan penyatuan demokratik persekutuan sangat berkait rapat dan sebab itu kami perlu menggubal Perlembagaan.
“Perdamaian negara merupakan perkara paling penting bagi menjayakan usaha ini,” kata beliau.
Pembentukan sebuah negara persekutuan akan memberi jaminan kepada pemimpin etnik bahawa NLD akan memerintah negara sepenuhnya walaupun Perlembagaan ketika ini yang digubal oleh pihak tentera menetapkan penggunaan sistem pemerintahan berpusat. 
– AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/suu-kyi-mahu-perbalahan-etnik-ditamatkan-1.277367#sthash.wGYtbQND.dpuf

21 maut bot karam di Myanmar


Bot karam

Gambar hiasan - Arkib Utusan Online
YANGON 20 April - Sekurang-kurangnya 21 orang maut termasuk sembilan kanak-kanak selepas sebuah bot karam akibat laut bergelora di luar pantai negeri Rakhine, semalam.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, Pierre Peron berkata, ketika kejadian, kapal itu sedang membawa kira-kira 60 orang penumpang dari sebuah kem pelarian ke sebuah pasar tempatan.
Beliau menambah, kebanyakan mangsa merupakan pelarian Rohingya. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/21-maut-bot-karam-di-myanmar-1.277907#sthash.2J5acEpm.dpuf

Saturday, 9 April 2016

Suu Kyi kotakan janji bebas tahanan politik




AFP - SEORANG aktivis pelajar berjalan keluar dari Penjara Pusat Tharraqwaddy, bandar Tharraqwady semalam.


THARRAWADDY – Ramai keluarga berhimpun di beberapa buah penjara di Myanmar semalam selepas pihak berkuasa membayangkan berpuluh-puluh pelajar akan dibebaskan selepas Aung San Suu Kyi bersetuju memberikan pengampunan beramai-ramai kepada tahanan politik di negara itu.
Selaras dengan janjinya sejak mengambil alih pentadbiran negara daripada junta tentera minggu lalu, Suu Kyi menyatakan kelmarin bahawa pembebasan aktivis akan menjadi keutamaannya.
Lebih 100 tahanan politik dan pelajar masih dipenjara di Myanmar walaupun junta tentera beransur-ansur melepaskan kuasa selepas memerintah lebih lima dekad.
Pada pagi semalam, ramai keluarga berkumpul di beberapa penjara di bandar terbesar Myanmar, Yangon dan tengah Tharraqwaddy di mana sebilangan pelajar telah ditahan lebih setahun kerana menunjuk perasaan berhubung isu pendidikan sebelum mereka ditangkap pada Mac 2015.
Sambil membawa jambangan bunga, anggota keluarga pelajar-pelajar itu menyambut mereka yang tiba dengan menaiki sebuah lori polis berhampiran sebuah mahkamah. Beberapa pegawai berkata, kumpulan pelajar itu akan dibebaskan.
“Saya sudah mengarahkan kakitangan saya supaya membebaskan pelajar-pelajar ini sebaik sahaja pihak pendakwa raya menggugurkan kes mereka.
“Kakitangan kami lebih gembira sekiranya semua pelajar ini dibebaskan,” kata Hakim Daerah Tharrawady, Kyaw Swar Nyein.
Menurutnya, seramai 37 aktivis pelajar ditahan berhubung pelbagai kesalahan termasuk berhimpun secara haram dan merusuh, sementara 45 lagi telah diikat jamin tetapi berdepan tuduhan serupa.
Suu Kyi sendiri menghabiskan masa kira-kira 15 tahun berada dalam tahanan rumah, sementara lebih 100 wakil rakyatnya daripada Parti Liga Kebangsaan Demokrasi pernah ditahan di beberapa buah penjara di negara itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0409&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz45KTGSxaG 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, 6 April 2016

Jawatan khas Suu Kyi


6 APRIL 2016
Suu Kyi
 Suu KyiSuu Kyi berjabat tangan dengan anggota lama Kabinet selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Luar Myanmar di Istana Presiden di ibu negara, 30 Mac lalu. Foto: AFP
YANGON - MYANMAR. Pemimpin pro demokrasi, Aung San Suu Kyi menyatukan kuasa beliau dalam kerajaan baharu Myanmar selepas Parlimen mewujudkan jawatan kaunselor negeri khusus untuknya.

Rang undang-undang kaunselor negeri telah diluluskan Dewan Rakyat, semalam, dan Dewan Tinggi minggu lalu, dua dewan yang dikuasai Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi selepas memenangi pilihan raya bersejarah November tahun lalu.

Menurut Speaker Dewan Rakyat, Win Myint, tugas kaunselor negeri adalah sama seperti perdana menteri di mana ia boleh memainkan peranan dalam semua isu utama kerajaan.

“Ini adalah cara yang telah kita lakukan untuk mengatasi sekatan Perlembagaan terhadap Suu Kyi. Undang-undang berkenaan memberikan beliau kuasa seperti perdana menteri atau canselor di negara ini,” katanya.

Difahamkan, undang-undang kaunselor negeri menyatakan bahawa tempoh perkhidmatan adalah sama seperti presiden iaitu lima tahun. - dpa

Jawatan baharu Suu Kyi menyamai tugas PM

DUNIA RABU, 6 APRIL 2016 @ 12:04 AM

SUU Kyi . - Foto AP

NAYPYIDAW: Parlimen Myanmar meluluskan satu portfolio baharu untuk Aung San Suu Kyi, ketua parti pemerintah baharu negara itu, hampir sama dengan tugas perdana menteri. Suu Kyi dilarang oleh perlembagaan memegang jawatan presiden kerana mendiang suami dan anak-anaknya memiliki kerakyatan asing. Rang undang-undang mewujudkan jawatan kaunselor negara dibantah wakil tentera dalam Parlimen, namun diluluskan dengan mudah kerana majoriti kukuh diperoleh parti Liga Demokrasi Nasional (NLD) pimpinan Suu Kyi dalam pilihan raya November lalu. Rang undang-undang itu perlu ditandatangani Presiden Htin Kyaw, sekutu rapat Suu Kyi, sebelum berkuat kuasa. Suu Kyi yang sudah memegang jawatan Menteri Luar, bertemu rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, dalam satu lawatan hari ini. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/140885

Tuesday, 5 April 2016

Lepas dua jawatan

Yangon: Aung San Suu Kyi menggugurkan rancangan untuk memegang jawatan di dua kementerian utama tetapi akan bertindak sebagai jurucakap untuk presiden baru Myanmar.
Diharamkan daripada menjadi presiden menerusi perlembagaan era junta, ikon demokrasi Myanmar itu mengambil langkah untuk mengukuhkan penguasaannya dalam kerajaan awam pertama dengan memegang beberapa peranan penting dalam pentadbiran baru.
Dia berikrar untuk untuk memerintah ‘melebihi’ kuasa presiden dengan memilih rakan sekolah dan pembantu kanan, Htin Kyaw untuk peranan itu.
Anggota Parlimen dari parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) yang diketuai Suu Kyi juga mendesak supaya diwujudkan jawatan penasihat kerajaan untuknya.
Minggu lalu, NLD berkata, Suu Kyi akan memegang empat jawatan Kabinet - menteri luar, menteri tenaga, menteri pelajaran dan menteri di pejabat presiden.
Bagaimanapun, dalam sidang Parlimen semalam, NLD mengemukakan dua nama baru untuk jawatan menteri tenaga dan menteri pelajaran, kata jurucakap parti, Win Htein.
“Suu Kyi akan menjadi jurucakap presiden,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai perubahan itu.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 8:15 AM


SUU KYI dan Presiden Htin Kyaw.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/127921#sthash.5ItGXD24.dpuf

Saturday, 2 April 2016

NLD cadang jawatan 'penasihat negara' untuk Suu Kyi

JUMAAT, 1 APRIL 2016 @ 8:38 AM


YANGON: Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) menyerahkan cadangan kepada Parlimen meminta jawatan baru sebagai 'penasihat negara' diwujudkan untuk pemimpinnya, Aung San Kuu Kyi, yang membolehkan beliau mentadbir Myanmar sepenuhnya. Seorang ahli perundangan NLD menggambarkan jawatan itu sebagai 'ketua kepada Presiden,' menunjukkan parti berkenaan membantu Suu Kyi memenuhi janji ikrar yang dibuat berulang kali untuk lebih berkuasa daripada presiden, yang juga rakan rapatnya. Langkah itu menunjukkan tindakan undang-undang pertama kerajaan baru Myanmar, yang mengangkat sumpah pada Rabu untuk menjadi kerajaan dipilih secara demokrasi pertama selepas lebih 50 tahun ditadbir tentera. Suu Kyi, pemenang Nobel keamanan yang dikenakan tahanan dalam rumah dan berhadapan gangguan pemerintah tentera selama beberapa dekad sebelum mengetuai partinya mencapai kemenangan besar pada pilihan raya November lalu, tidak boleh menjadi presiden kerana dihalang Perlembagaan yang dibuat junta. Namun beliau berulang kali berkata akan memerintah Myanmar di belakang tabir. Sebahagian pengkritik mempersoalkan kesahihan Suu Kyi mengelak Perlembagaan untuk tujuan itu. Namun rang undang-undang baru memberikan beliau kuasa sah untuk memegang kuasa dalam membuat dasar, kata ahli Dewan Negara NLD, Khin Maung Myint. - AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/139412

Usul lantik Suu Kyi jadi 'bos presiden'

Yangon: Parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) mengusulkan kepada Parlimen semalam supaya melantik ketuanya, Aung San Suu Kyi, sebagai ‘penasihat negara,’ sekali gus membolehkan dia memainkan peranan penting dalam pentadbiran Myanmar.
Seorang anggota NLD menyifatkan jawatan berkenaan sebagai ‘bos presiden,’ menggambarkan parti itu berusaha membantu Suu Kyi memenuhi ikrar yang dibuatnya berulang kali untuk mempunyai kuasa lebih daripada presiden.
Langkah itu adalah tindakan legislatif pertama kerajaan baru Myanmar yang mula memegang tampuk pemerintahan kelmarin, kerajaan pertama dipilih secara demokratik selepas 50 tahun negara itu di bawah penguasaan tentera.
“Presiden Htin Kyaw berhak untuk mengusulkan undang-undang untuk melantik ‘penasihat negara,’ iaitu seseorang yang boleh menguasai presiden dan semua anggota Kabinet,” kata anggota dari NLD, Khin Maung Myint.
Dia juga merujuk jawatan itu sebagai ‘bos kepada presiden.’
NLD menguasai kedua-dua Dewan dan rang undang-undang itu dijangka diluluskan dengan mudah, kata Maung Myint.
Suu Kyi, 70, juga memegang empat jawatan Kabinet - Menteri Luar, Pelajaran, Tenaga dan Pejabat Presiden. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 6:49 AM


SUU Kyi dan Htin Kyaw pada majlis angkat sumpah presiden, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/126992#sthash.ykzPg14A.dpuf

Suu Kyi dilantik Penasihat Negara


naypyidaw 1 April –Anggota Parlimen Myanmar yang mewakili tentera, hari ini mengecam rancangan kerajaan baharu Myanmar untuk melantik Aung San Suu Kyi sebagai Penasihat Negara, yang disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan negara ini.
Htin Kyaw (kiri) dan Aung San Suu Kyi tiba di Parlimen untuk upacara
Aung San Suu Kyi
Ia merupakan pertembungan pertama antara kerajaan baharu awam dengan pihak tentera selepas beberapa hari mengambil alih teraju pemerintahan Myanmar.
Myanmar diperintah tentera le­bih setengah abad sehinggalah parti pimpinan Suu Kyi, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) mengambil alih kuasa pada Rabu lalu, selepas parti itu mencatat kemenangan besar pada pilihan raya umum negara itu pada November lalu.
Namun, penerima Hadiah Nobel Keamanan itu tidak dibenarkan menjadi Presiden mengikut peruntukan Perlembagaan negara ini.
Dalam tindakan yang mengejutkan itu di Parlimen, kerajaan baharu membentangkan rang undang-­undang untuk mewujudkan jawatan khas untuk Suu Kyi sebagai Penasihat Negara.
Jika rang undang-undang itu diluluskan ia akan memberi pemimpin berusia 70 tahun itu peranan penting ke atas Parlimen, selain menerajui empat kementerian dalam Kabinet.
Dalam pertembungan awal antara parti pimpinannya dan pihak tentera yang masih mempunyai pe­ngaruh besar dalam politik Myanmar, anggota-anggota Parlimen daripada tentera menyifatkan tindakan kerajaan baharu itu sebagai tidak mengikut Perlembagaan.
Kolonel Myint Swe ketika perbahasan membangkitkan kebim­bangan bahawa rancangan itu akan meletakkan kedudukan Presiden dan penasihat sama taraf.
“Ini bertentangan dengan Perlembagaan. Maka, saya ingin mencadangkan supaya rang undang-undang itu dipinda agar tidak bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya.
Seorang lagi anggota Parlimen mewakili tentera, Kolonel Hla Win Aung mempersoalkan na­ma Suu Kyi disebut di dalam rang undang-undang berkenaan dan memberi amaran tindakan itu boleh mero­sakkan piagam mengenai kesimbangan kuasa antara pihak legislatif, eksekutif dan perundangan.
Pihak tentera mempunyai kuota sebanyak satu perempat daripada jumlah kerusi di Parlimen seperti ditetapkan Perlembagaan Myanmar.
NLD yang memenangi majoriti kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu, membolehkan rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Tertinggi, tetapi masih memerlukan kelulusan di Dewan Rendah dan gabungan Parlimen.
Suu Kyi dihalang menjadi Pre­siden di bawah Perlembgaan Myanmar kerana kedua-dua anak lelakinya dan suaminya adalah warganegara Britain.
Beliau melantik rakan karibnya Htin Kyaw, sebagai Presiden baharu Myanmar yang mengangkat sum­pah jawatan pada Rabu lalu.­
Pemerhati melahirkan kebimbangan tentang kemampuan kerajaan baharu untuk menghadapi cabaran-cabaran bagi membangunkan Myanmar selepas melalui pemerintahan kuku besi selama le­bih lima dekad di bawah junta.
Suu Kyi sendiri dilihat akan menggalas beban yang besar me­nerajui pentadbiran, selain menge­tuai empat kementerian penting iaitu Kementerian Luar, Pendidikan, Tenaga dan Menteri di pejabat Presiden.– AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/suu-kyi-dilantik-penasihat-negara-1.207497#sthash.wG6j1Xp9.dpuf

Friday, 1 April 2016

Htin Kyaw angkat sumpah jawatan


Presiden Myanmar akhiri pemerintahan 56 tahun junta

Dari kiri, Speaker Dewan, Mahn Win Khine Than menyaksikan upacara

Dari kiri, Speaker Dewan, Mahn Win Khine Than menyaksikan upacara angkat sumpah oleh Myint Swe, Htin Kyaw, dan Henry Van Thio di Naypyidaw, semalam. Myint Swe dan Henry Van Thio adalah Naib Presiden Myanmar. AFP
NAYPYIDAW 30 Mac - Presiden baharu Myanmar, Ntin Kyaw mengangkat sumpah jawatan hari ini, sekali gus mengakhiri pemerintahan junta selama 56 tahun dan membuka lembaran baharu di negara ini.
Htin Kyaw yang merupakan pembantu ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi, mengambil-alih kuasa pemerintahan secara rasmi daripada bekas jeneral, Thein Sein yang terlibat secara langsung melaksanakan pembaharuan politik di negara ini sejak 2011.
Majlis angkat sumpah jawatan pemimpin berusia 69 tahun itu yang berlangsung di bangunan Parlimen dekat Naypyidaw merupakan proses terakhir selepas parti pimpinan Suu Kyi, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Myanmar pada November lalu.
“Saya berikrar untuk menjadi pemimpin yang dipercayai oleh seluruh rakyat Myanmar,” kata Htin Kyaw dalam ucapannya.
Htin Kyaw menjadi pilihan Suu Kyi untuk menjadi Presiden, selepas ikon demokrasi itu dilarang bertanding untuk jawatan itu di bawah Perlembagaan yang digubal oleh kerajaan junta sebelum ini.
Namun, ikon berusia 70 tahun itu dilantik memegang jawatan penting dalam Kabinet sebagai Menteri Luar Myanmar.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh Speaker Kesatuan Parlimen, U Mann Win Khaing Than selepas mendapat persetujuan anggota Parlimen.
Suu Kyi turut menggalas tugas di tiga kementerian lain iaitu di Kementerian Pejabat Presiden, Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Tenaga dan Elektrik.
Jawatan Menteri Pengangkutan dan Komunikasi digalas oleh Thant Zin, manakala Than Myint dilantik sebagai Menteri Perdagangan.
Dua anggota Parlimen daripada Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USPD) turut dilantik memegang jawatan dalam Kabinet iaitu Thura U Aung Ko sebagai Menteri Hal Ehwal Agama dan Kebudayaan, manakala U Thein Swe dilantik Menteri Tenaga Kerja. 
– AFP/BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/htin-kyaw-angkat-sumpah-jawatan-1.206829#sthash.lfquErdi.dpuf