Htin Kyaw yang merupakan pembantu ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi, mengambil-alih kuasa pemerintahan secara rasmi daripada bekas jeneral, Thein Sein yang terlibat secara langsung melaksanakan pembaharuan politik di negara ini sejak 2011.
Majlis angkat sumpah jawatan pemimpin berusia 69 tahun itu yang berlangsung di bangunan Parlimen dekat Naypyidaw merupakan proses terakhir selepas parti pimpinan Suu Kyi, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Myanmar pada November lalu.
“Saya berikrar untuk menjadi pemimpin yang dipercayai oleh seluruh rakyat Myanmar,” kata Htin Kyaw dalam ucapannya.
Htin Kyaw menjadi pilihan Suu Kyi untuk menjadi Presiden, selepas ikon demokrasi itu dilarang bertanding untuk jawatan itu di bawah Perlembagaan yang digubal oleh kerajaan junta sebelum ini.
Namun, ikon berusia 70 tahun itu dilantik memegang jawatan penting dalam Kabinet sebagai Menteri Luar Myanmar.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh Speaker Kesatuan Parlimen, U Mann Win Khaing Than selepas mendapat persetujuan anggota Parlimen.
Suu Kyi turut menggalas tugas di tiga kementerian lain iaitu di Kementerian Pejabat Presiden, Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Tenaga dan Elektrik.
Jawatan Menteri Pengangkutan dan Komunikasi digalas oleh Thant Zin, manakala Than Myint dilantik sebagai Menteri Perdagangan.
Dua anggota Parlimen daripada Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USPD) turut dilantik memegang jawatan dalam Kabinet iaitu Thura U Aung Ko sebagai Menteri Hal Ehwal Agama dan Kebudayaan, manakala U Thein Swe dilantik Menteri Tenaga Kerja. 
– AFP/BERNAMA