Tuesday 30 June 2015

Mekanisme bezakan pelarian Rohingya


KUALA LUMPUR 29 Jun – Kerajaan mempunyai mekanisme bagi membezakan antara pelarian Rohingya dan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Bangladesh yang memasuki negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, tindakan itu perlu diambil memandangkan ada dalam kalangan PATI dari Bangladesh yang ‘menyamar’ sebagai pelarian Rohingya.
“Baru-baru ini kita mendapati kira-kira 60 peratus individu yang mengakui mereka pelarian Rohingya sebenarnya ber­asal dari Bangladesh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa Pertubuh­an Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) 2015 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengasas PCOM, Datuk Abdul Latif Mirasa; Ahli Lembaga Pemegang Amanah PCOM, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Nasharudin Mat Isa serta Pengerusi PCOM, Muslim Imran.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan telah berun­ding dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) tentang tindakan yang perlu diambil terhadap warga asing yang menggunakan kad UNHCR palsu.
Beliau menjelaskan, salah satu tindakan yang dipertimbangkan adalah menghantar pulang mana-mana warga asing yang melakukan kesalahan tersebut.
Ahmad Zahid menambah, perbincangan tentang isu pemerdagangan manusia turut dilakukan di antara kerajaan dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Immigrant Opportunity Initiatives (IOI).
“Kita mengambil pendekatan holistik dengan tidak mengetepikan pekerja-pekerja dari negara-negara lain mengikut kemahiran dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu,” ujarnya.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, semua pihak di negara ini perlu mengetepikan perbezaan politik dalam usaha membantu membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis Israel.
Ahmad Zahid turut meng­umumkan setakat ini, UMNO telah menyumbang sebanyak AS$10 juta (RM37.8 juta) untuk membangunkan semula Gaza.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mekanisme-bezakan-pelarian-rohingya-1.108917#sthash.qz2DcI6r.dpuf

Saturday 27 June 2015

Pegawai Myanmar seludup Rohingya – AS


27 Jun 2015 1:16 AM

WASHINGTON 26 Jun - Segelintir pegawai kerajaan Myanmar dipercayai terlibat dalam sindiket pemerdagangan dan pencabulan hak asasi etnik Islam Rohingya susulan laporan yang mendakwa etnik minoriti itu berdepan risiko dibunuh, dirogol, diseksa, dan ditahan tanpa waran semasa berada dalam tahanan pihak berkuasa di negara itu.
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dalam laporannya kepada Kongres AS mendedahkan, pihak keselamatan dan pegawai kerajaan Myanmar mengaut keuntungan menerusi kerjasama dengan sindiket jenayah untuk menyeludup keluar penduduk Rohingya dari negara itu.
Menurut laporan itu, pihak berkuasa di negeri Rakhine, barat Myanmar tidak melakukan sebarang usaha untuk membantu masyarakat Rohingya dan etnik Islam lain yang menjadi pelarian ekoran keganasan kaum dan agama pada 2012 supaya mereka boleh kembali ke rumah mereka semula.
Sebaliknya kata laporan itu, masyarakat minoriti tersebut dikenakan sekatan yang melampau termasuk diwajibkan mendapatkan permit untuk berkahwin dan tidak dibenarkan keluar dari kem perlindungan walaupun untuk mendapatkan bekalan makanan, beribadat, dan perkhidmatan lain.
“Pada Julai tahun lalu, kerajaan Myanmar membubarkan NaSaka, sebuah pasukan keselamatan yang bertanggungjawab melakukan pe­langgaran hak asasi manusia terhadap umat Islam di negara itu.
“Namun sehingga kini, tiada pegawai kerajaan atau anggota ke­selamatan yang ditahan dan disiasat berhubung insiden penindasan terhadap etnik Islam Rohingya,” jelas laporan tersebut seperti dilaporkan portal DAWN.
Laporan berkenaan juga mendedahkan keadaan penjara Myanmar yang disifatkan sebagai terburuk, dengan beratus-ratus penduduk Rohingya dilaporkan ditahan sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa Myanmar.
Mangsa juga dipercayai dipukul, didera, dan berpuluh-puluh tahanan dilaporkan terbunuh semasa berada dalam tahanan pihak berkuasa Myanmar.
“Dasar penindasan yang diterap­kan oleh kerajaan Myanmar ini secara jelas menyebabkan jurang yang lebih besar antara etnik Ro­hingya dan penduduk asal Ra­khine,” ujar laporan tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pegawai-myanmar-seludup-rohingya-8211-as-1.107566#sthash.xtLMFNu6.dpuf

Wednesday 24 June 2015

Penyeludupan manusia ditumpas

Gambar fail merakamkan penemuan sebuah kubur besar di Songkhla,

Gambar fail merakamkan penemuan sebuah kubur besar di Songkhla, selatan Thailand pada bulan lepas yang digunakan untuk menanam mayat-mayat mangsa penyeludupan manusia. Agensi
BANGKOK 23 Jun - Polis Thailand, hari ini berkata, pihaknya berjaya membanteras sindiket serta jaringan penyeludupan dan pemerdagangan manusia, selepas melancarkan operasi habis-habisan bagi menumpaskan kegiatan itu.
Pegawai yang mengetuai operasi itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Aek Angsananint mengaku berpuluh-puluh suspek masih bebas.
“Kes berkenaan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara petang ini untuk pendakwaan ke atas mereka yang terbabit.
“Kami telah bekerja keras dan yakin dengan bukti yang dikumpul. Kami boleh mengesahkan bahawa sindiket penyeludupan ini telah berjaya dibanteras,’’ katanya.
Aek berkata, sebanyak 120 waran tangkap telah dikeluarkan sejak operasi itu dilancarkan pada awal Mei lalu termasuk 30 yang dikeluarkan oleh mahkamah di selatan Thailand, semalam.
Beliau enggan mengulas sama ada 30 waran tangkap terbaharu itu melibatkan kakitangan kerajaan atau pegawai tentera.
Aek berkata, empat rakyat asing kini dijejaki tetapi beliau enggan mendedahkan kerakyatan mereka.
Setakat ini, sebanyak 56 suspek telah ditahan, manakala 64 yang masih bebas.
Antara yang ditahan adalah pegawai kanan tentera yang didakwa menjadi raja penyeludupan, Lef­tenan Jeneral Manas Kongpan. – AFP

Tuesday 23 June 2015

Kubur & Kem Penyeludupan Manusia: Tiga Pelarian Rohingya Ditahan


Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2015 6:59 PM
Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Tiga ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung penemuan kubur besar dan kem penyeludupan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Mei lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tangkapan dilakukan tiga hari lalu dan sehingga kini siasatan terhadap ketiga-tiga suspek masih diteruskan.
“Kita baharu sahaja menangkap tiga orang di Johor Baru tiga hari lalu dan sedang menjalankan siasatan terhadap ketiga-tiga mereka.
“Kita akan dapatkan maklumat atau risikan lanjut daripada ketiga-tiga tangkapan ini,” katanya selepas melancarkan Filem Bukit Kepong versi HD (definisi tinggi) di Ibu Pejabat Polis BUkit Aman, di sini, Selasa.
Khalid berkata, mereka yang ditahan adalah etnik Rohingya dan merupakan pemegang kad pelarian.
Katanya, polis percaya mereka adalah mangsa yang pernah menjadi tahanan di kem yang ditemui sebelum berjaya memasuki Malaysia dan mendapat status pelarian.
“Mereka ada kad pelarian dari Rohingya.
“Kita percaya tiga orang ini di antara yang berada di khemah-khemah penyeludupan,” katanya.
Mengulas lanjut perkembangan isu ini, Khalid berkata, pihak polis memerlukan sedikit masa untuk terus menjalankan siasatan, termasuk proses bedah siasat terhadap mayat-mayat yang ditemui.
Katanya, tidak mudah untuk menentukan sama ada mangsa meninggal dunia kerana diseksa atau dibunuh walaupun terdapat laporan mengenainya.
“Setakat ini kita telah menemui satu mayat yang patah tulang rusuk. Itu pun kita tak tahu sama ada dia jatuh atau didera.
“Kita tak boleh pastikan sama ada mereka ini benar-benar dibunuh atau didera atau apa-apa saja, tetapi kami ada menerima laporan bahawa mereka didera dan ada yang dibunuh,” katanya sambil menambah pihaknya juga tidak sabar untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di sebalik kem-kem tahanan yang ditemui itu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa rundingan sedang dijalankan dengan Thailand bagi membolehkan beberapa lagi pegawai polis dihantar ke negara itu untuk menemuduga suspek rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa negara itu berkaitan pemerdagangan manusia.
“Ramai tangkapan dibuat oleh Thailand, jadi kita sedang rancang satu persatu. Mereka pun belum selesai siasatan di sebelah sana, kita tak nak ganggu perancangan Thailand,” katanya.
Mei lalu, negara digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Setakat ini 106 mayat telah dijumpai.

21 dikebumi di Kampung Tualang


Pengebumian secara beramai-ramai jenazah etnik Rohingya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang di Pokok Sena.


ALOR SETAR – Sebanyak 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia iaitu pendatang Rohingya dari Myanmar yang ditemui di kem tahanan Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, Pokok Sena di sini semalam.
Sebanyak 19 daripada jenazah terbabit adalah lelaki dan dikebumikan di dalam satu liang lahad, manakala dua jenazah wanita dikebumikan di dalam liang lahad berasingan yang terletak bersebelahan.
Lima buah trak Polis Diraja Malaysia (PDRM) digunakan untuk mengangkut kesemua keranda kayu dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) ke tanah perkuburan diiringi motosikal peronda PDRM.
Pengebumian jenazah-jenazah mangsa kekejaman sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian itu bermula pada pukul 9.30 pagi dan dihadiri penduduk Kampung Tualang dan penduduk kampung berhampiran.
Kawasan tanah perkuburan dikawal ketat oleh anggota polis.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0623&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3dptQQGxa 
Hakcipta terpelihara 

Monday 22 June 2015

Riau tak mampu terima pelarian

PELARIAN Rohingya berbuka puasa di kem pelarian di Bireun Bayeun, Aceh, semalam.
Riau: Pihak berkuasa wilayah ini semalam berkata, ia tak mampu memenuhi permintaan kerajaan pusat untuk menyediakan sebuah pulau bagi menempatkan 1,000 hingga 2,000 pelarian Rohingya yang ketika ini menumpang di khemah sementara di Sumatera Utara dan Aceh.
“Kami tidak mempunyai pulau yang cukup besar untuk menempatkan pelarian seramai itu. Pulau yang ada di wilayah ini terlalu kecil,” kata Ketua Agensi Pentadbiran Sempadan Riau Ramli Wahid.
Menurutnya, kerajaan memerlukan pulau sebesar 500 hektar bagi menempatkan sehingga 2,000 pelarian.
“Pulau terbesar yang ada ialah antara 15 dan 20 hektar,” katanya.
Dia sebelum ini berkata, pihak berkuasa Riau bersetuju menyediakan pulau Jenur di daerah Rokan Hilir tetapi kajian yang dijalankan menunjukkan pulau berbatu itu tidak sesuai didiami manusia.
“Bukan niat pihak berkuasa mahupun penduduk Riau untuk menolak pelarian Rohingya. Kami benar-benar tidak mempunyai pulau sesuai untuk menempatkan mereka,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 10:51 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58929#sthash.YCundYVi.dpuf

Dikebumikan dalam satu liang lahad




PENDANG – Jenazah mangsa pemerdagangan manusia dipercayai pendatang Rohingya dari Myanmar yang ditemui di kem tahanan Bukit Wang Burma, Wang Kelian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, Pokok Sena di sini hari ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (gambar) berkata, 21 jenazah itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad berikutan selesainya proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
“Kesemua jenazah tersebut merupakan daripada kumpulan pertama yang ditemui di tempat kejadian,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa bersama warga pondok Al-Fathoni di Kobah di sini kelmarin.
Katanya, upacara pengebumian itu akan diuruskan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK) dan semua kos pengurusan jenazah berkenaan ditanggung oleh Majlis Keselamatan Negara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0622&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3dk33BrzN 
Hakcipta terpelihara 

300 budak Rohingya tiada ibu bapa



AFP - SEKUMPULAN pelarian Rohingya termasuk kanak-kanak dirakam pada 14 Jun lalu beratur ketika mengambil makanan di Kuala Cangkoi, Aceh, Indonesia.


JAKARTA – Kira-kira 300 kanak-kanak dan remaja pelarian Rohingya di Aceh dilaporkan tidak mempunyai ibu bapa, menurut wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) ke Indonesia, Thomas Vargas.
“Kebanyakan kanak-kanak itu tidak disertai oleh ibu bapa mereka. Disebabkan itu, salah satu misi kami ialah menemukan semula dengan keluarga mereka,” ujarnya memetik agensi berita Antara ketika menghadiri acara tandatangan perjanjian bersama Palang Merah Indonesia (PMI) pada Jumaat lepas.
Beliau memberitahu, pelarian Rohingya di Aceh mempunyai latar belakang dan kisah kehidupan yang berbeza.
“Sebilangan besar pelari­an merupakan pencari suaka dari kumpulan etnik Rohingya dan kebanyakan mereka masih mencari keluarga terdekat,” tambah Vargas.
Berdasarkan data, kebanyakan pelarian merancang ke Malaysia untuk mencari keluarga terdekat tetapi dikumpulkan bersama pendatang asing yang menuju ke Aceh.
Vargas berkata, sebelum mereka disatukan bersama keluarga masing-masing, segala maklumat pengenalan diri akan direkodkan terlebih dahulu.
Pada masa kini UNHCR dan PMI akan membuat inventori pelarian tersebut dan berusaha membantu menemukan semula dengan keluarga terdekat atau keluarga kandung mereka.
UNHCR Indonesia juga akan menyediakan latihan kemahiran vokasional kepada pelarian yang merancang untuk tinggal dalam jangka panjang di negara itu.
“Ia akan memberikan mereka harapan baharu dan tidak menjadi beban di negara sendiri,” kata Vargas. – Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0622&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3djz9efsZ 
Hakcipta terpelihara 

Sami desak batal kuasa mengundi


Anggota pergerakan nasionalis dan sami-sami Buddha daripada pergerakan
Anggota pergerakan nasionalis dan sami-sami Buddha daripada pergerakan pelampau 969 mengadakan demonstrasi mendesak kerajaan Myanmar supaya membatalkan kuasa mengundi yang diberikan kepada etnik Islam Rohingya. Agensi
RAKHINE 21 Jun - Anggota pergerakan nasio­nalis dan sami-sami Buddha daripada pergerakan pe­­lampau 969 mendesak kerajaan Myanmar supaya membatalkan ku­asa mengundi yang diberikan kepada etnik Islam Rohingya.
Portal Burma Times melaporkan, kumpulan itu juga menggesa kerajaan tidak memberikan kerakyatan kepada penduduk minoriti Rohingya.
Dalam satu pertemuan yang diadakan di Kuil Bogo Shantai, di sini semalam, pergerakan 969 memutuskan untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran di Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan tersebut.
Demonstrasi lain juga dijangka diadakan di seluruh negara.
Terdahulu, satu demonstrasi membantah keputusan kerajaan untuk membenarkan Rohingya me­ngundi dalam satu pungutan suara dibatalkan ekoran demonstrasi bantahan oleh kumpulan nasionalis.
Kumpulan nasionalis juga menggesa kerajaan tidak mengeluarkan kad hijau kepada Rohingya.
Kad hijau merupakan kad pengenalan yang diberikan kepada warga asing yang tinggal di Myanmar.
Kad hijau boleh dibatalkan tanpa sebarang notis, namun kad untuk Rohingya hanya sah dalam tempoh dua tahun.
Rohingya juga menentang pemberian kad hijau tersebut kerana mereka bukan warga asing di negara ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/sami-desak-batal-kuasa-mengundi-1.105650#sthash.zjLSfO0K.dpuf

Friday 19 June 2015

Dakwa mereka terlibat kesalahan membunuh

rohingya
KUALA LUMPUR - 'Dakwa mereka atas kesalahan membunuh beramai-ramai'.

Ini pendapat beberapa penganalisis jenayah merujuk kepada kes pemerdagangan manusia berikutan penemuan kem tahanan dipercayai menjadi 'sangkar' kepada pelarian Rohingya dan pendatang dari Bangladesh di Perlis baru-baru ini.

Bagi penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim walaupun kes berkenaan lebih menjurus ke arah kesalahan pemerdagangan manusia, tetapi kerana kes ini melibatkan kematian mangsa, mereka yang terlibat mungkin juga didakwa di atas kesalahan membunuh.

"Saya tidak rasa ia sesuatu yang ganjil jika pesalah terbabit dituduh serentak berdasarkan penglibatan mereka dalam kes-kes terlibat," katanya kepada Bernama.

Pada akhir Mei lepas, negara digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.

Setakat ini, 106 mayat telah dijumpai.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bahawa beberapa dalang sindiket telah diserahkan pihak berkuasa Thailand kepada Malaysia.

Mengulas lanjut, Kamal Affendi berkata dalang yang terlibat boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) berikutan penglibatan mereka dalam kes ini.

Antara lain, menurutnya, di bawah Seksyen 302 (bagi kesalahan membunuh orang lain) memperuntukkan barang siapa melakukan kesalahan membunuh orang hendaklah diseksa dengan bunuh.

Selain dalang, Kamal Affendi berkata tindakan keras juga harus dilaksanakan terhadap mereka yang menyembunyikan maklumat mahupun bersubahat dalam kes ini.  

Turut senada, seorang lagi penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar berkata dakwaan sedemikian akan memberi pengajaran supaya jenayah yang sama tidak lagi diulang.

"Mana boleh bunuh orang. Ini satu bentuk penganiayaan. Jadi tindakan sewajarnya harus diambil semoga ia menjadi pengajaran," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap satu perancangan konkrit termasuk penambahbaikan kawalan sempadan dapat dilaksanakan kerajaan, supaya kegiatan pemerdagangan manusia ini dapat terus dihalang.

Sementara itu Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata mereka yang terlibat dalam sindiket berkenaan turut sama-sama terlibat dalam jenayah genosid.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada bukti kerana kalau ada cukup bukti barulah kita boleh bawa pesalah ini ke muka pengadilan," katanya.  

Pengerusi Jawatankuasa Migran, Orang Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam Datuk M. Ramachelvam turut sependapat dan positif bahawa siasatan yang telus perlu dalam menghukum mereka terlibat seadil-adilnya.

Katanya sama ada mereka didakwa di bawah akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 atau Kanun Keseksaan, ia perlu melalui siasatan konklusif.

Selasa lepas,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata dalang sindiket penyeludupan manusia yang diserahkan pihak berkuasa Thailand kepada Malaysia boleh didakwa di bawah kedua-dua undang-undang.

Nancy bagaimanapun berkata perkara itu bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan dan akan dinilai dari segi bukti.

Semalam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia turut dilaporkan bercadang mengadakan siasatan awam berhubung kes yang sama. - Bernama

Lelaki Myanmar maut bergaduh


IPOH 18 Jun – Seorang lelaki Myan­mar terbunuh selepas ditikam di bahagian belakang badan semasa bergaduh dengan rakan senegaranya dalam kejadian di Jalan Tepi Sungai, Hutan Melintang, di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 11.26 malam itu, mangsa, Thar Htin, 23, dipercayai bergaduh dengan suspek berusia 31 tahun yang mabuk hingga dia akhirnya maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah.
Katanya, lelaki yang memakai kemeja T berwarna putih dan seluar jeans biru itu dijumpai dengan kesan kecederaan di bahagian rusuk kiri.
“Pihak polis turut menemukan sebatang hulu penyodok yang telah patah dalam jarak kira-kira dua meter daripada mangsa manakala sebilah pisau berhulu plastik berukuran empat inci dan besi penyodok.
“Kesemua barang itu dijumpai di hadapan sebuah rumah di jalan yang sama. Jarak barang itu dengan mangsa adalah lebih kurang 100 meter selain terdapat kesan tompokan darah dipercayai milik mangsa di tempat kejadian," katanya.
Mohd. Shuhaily berkata, tindakan pantas polis yang menjalankan siasatan berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai suspek bagi kes itu.
Katanya, suspek ditahan semalam di hadapan Klinik Kerajaan Hutan Melintang iaitu kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lelaki-myanmar-maut-bergaduh-1.104549#sthash.rukFC5ou.dpuf

Wednesday 17 June 2015

Kaedah baru pembersihan etnik


Kuala Lumpur: Tindakan kerajaan Myanmar di bawah pimpinan rejim junta yang ‘menutup mata’ apabila etnik Rohingya keluar dari negara itu disifatkan sebagai kaedah baru pembersihan etnik berbanding pembunuhan yang biasa dilakukan sebelum ini.

Pakar Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, tindakan kerajaan itu disifatkan sebagai penghapusan etnik memandangkan mereka langsung tidak melarang etnik berkenaan keluar dari negara itu.

“Sebelum ini, kita menyaksikan beberapa siri penghapusan etnik dan kebanyakan mereka menggunakan kekerasan seperti pembunuhan beramai-ramai.

“Namun bagi krisis etnik Rohingya, kerajaan rejim junta Myanmar tidak melakukan pembunuhan secara terbuka, sebaliknya menekan mereka untuk keluar dari negara itu,” katanya.

Azmi berkata, tindakan itu juga didefinisikan sebagai penghapusan etnik memandangkan mereka tidak melarang tindakan etnik Rohingya meninggalkan negara itu, malah menambah tekanan terhadap etnik itu.

Beliau berkata, pelarian Rohingya berdepan dengan eksploitasi termasuk menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia seperti didedahkan media massa tempatan sejak bulan lalu.

“Rejim junta sememangnya tidak melakukan pembunuhan terbuka atau beramai-ramai seperti langkah penghapusan etnik yang dilakukan di beberapa negara lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 9:49 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58051#sthash.ZMVroJVU.dpuf

Tuesday 16 June 2015

Anggota sindiket dikenali ‘Yassin’ ditangkap


KUALA LUMPUR 15 Jun – Salah seorang lelaki etnik Rohingya yang menggunakan nama ‘Yassin’ ketika menjalankan aktiviti pemerdagangan manusia telah ditangkap polis di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Lelaki itu merupakan sebahagian daripada anggota sindiket penyeludupan manusia di sempadan yang dibongkar selepas penemuan 139 kubur dan kem-kem transit di Wang Kelian berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
Penahanan lelaki itu dijangka membantu siasatan pihak berkuasa Malaysia dan Thailand bagi mengesan ‘Yassin’ sebenar, yang dipercayai menjadi ejen besar sindiket pemerdagangan manusia tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid memberitahu, pihak polis mendapatkan bantuan daripada polis Thailand untuk menangkap dalang sebenar aktiviti penyeludupan itu.
Menurutnya, dengan kerjasama daripada pihak berkuasa negara terbabit, beberapa suspek telah dikenal pasti dan ditangkap namun Yassin sebenar masih diburu.
“Kami percaya Yassin berada di Thailand dan kerjasama sedang dilakukan pihak berkuasa untuk menahan suspek ini serta membawanya ke Malaysia dan kemudiannya didakwa mengikut undang-undang negara ini,” katanya selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mengulas lanjut tentang kem kedua yang ditemui di Hutan Simpan Mata Aye, Wang Kelian, Ahmad Zahid mendedahkan, penemuan itu adalah kem sementara yang menjadi transit penyeludup ketika mereka diburu oleh pihak berkuasa negara jiran.
“Memang ada penemuan di sempadan tetapi dapatan yang diperoleh mendapati kem di sebelah Malaysia merupakan kem sementara tetapi di Thailand pula adalah kem semi kekal.
“Kem ini ditubuhkan apabila pendatang tanpa izin dikejar oleh pihak berkuasa jiran dengan menggunakan lorong-lorong tikus atau jalan yang sah,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan tentang penemuan kem mangsa pemerdagangan manusia terbesar di hutan simpan terbabit, yang terletak 100 meter dari sempadan Tha Lok, Sadao.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/anggota-sindiket-dikenali-8216-yassin-8217-ditangkap-1.103582#sthash.ax2YxDzp.dpuf

Thailand serah ‘kingpin’ kepada Malaysia


AHMAD ZAHID HAMIDI berjabat tangan dengan Cristophe Penot ketika
AHMAD ZAHID HAMIDI berjabat tangan dengan Cristophe Penot ketika menerima kunjungan Duta Besar Perancis ke Malaysia itu di Putrajaya, semalam. BERNAMA
PUTRAJAYA 15 Jun – Pihak berkuasa Thailand menyerahkan beberapa ketua sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand kepada pihak berkuasa negara ini untuk disoal siasat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang enggan mendedahkan jumlah ketua sindiket yang telah diserahkan itu berkata, selepas soal siasat dilakukan, suspek terlibat akan didakwa di mahkamah.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada Thailand yang memberi bantuan kepada Malaysia untuk memasuki kawasan mereka bagi mencari pihak yang terlibat sebagai ‘kingpin’ atau ketua sindiket pemerdagangan manusia.
“Pada waktu ini kita sedang mengumpul semua maklumat, malah Yassin yang disebutkan sebagai ‘kingpin’ utama telah dikenal pasti dan dipercayai telah me­larikan diri ke Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Pe­rancis ke Malaysia, Cristophe Penot di pejabatnya di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan yang dibuat oleh media mengenai kem mangsa pemerdagangan manusia terbesar yang ditemukan di Hutan Simpan Mata Aye, Padang Besar, Perlis kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand semalam.
Pada 26 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pembongkaran lokasi pemerdagangan manusia di Wang Kelian yang terletak di sempadan Perlis dan Thailand.
Pemeriksaan pihak berkuasa menemukan sebanyak 139 buah kubur dipercayai milik pendatang asing.
Rentetan daripada penemuan tersebut, pihak berkuasa mengesan sindiket utama jenayah itu yang dikenali sebagai Yassin dan dipercayai berbangsa Rohingya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya telah meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi menjejak dalang terbabit dan membawa pulang Yassin untuk didakwa mengikut undang-undang negara ini.
Katanya, kerajaan juga akan menyambung bacaan kali kedua Akta Pemerdagangan Manusia dengan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada penjenayah terbabit.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/thailand-serah-8216-kingpin-8217-kepada-malaysia-1.103587#sthash.KfudvsNS.dpuf

Monday 15 June 2015

Dalang pemerdagangan Rohingya sudah ditahan

Kuala Lumpur: Individu yang dikenal pasti sebagai dalang sindiket pemerdagangan manusia Rohingya yang dikenali sebagai Yassin sudah ditahan pihak berkuasa Thailand.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, suspek adalah antara beberapa individu yang ditahan pihak berkuasa Thailand sebelum ini dan mereka akan dibawa ke Malaysia untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kerajaan percaya lebih daripada tiga individu terbabit dalam aktiviti penyeludupan manusia dari negara jiran ke negara ini.
“Kita berterima kasih kepada pihak berkuasa Thailand kerana membantu menahan individu-individu yang dikenal pasti terbabit dalam aktiviti penyeludupan masyrakat Rohingya.
“Hasil siasatan kita juga mendapati, penempatan di sempadan Malaysia lebih kepada penempatan yang bersifat sementara berbanding di Thailand yang dijadikan penempatan lebih lama sebelum mereka di hantar ke negara lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Kuala Lumpur, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 6:22 PM


KUALA LUMPUR 15 JUNE 2015. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat pemeriksaan perbarisan kontijen polis semasa mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKL). NSTP/Ghazali Kori
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57969#sthash.JjkF1Fds.dpuf

Bau harum jenazah reput

Padang Besar: Pasukan petugas yang menguruskan proses penggalian tapak kubur milik pelarian etnik Rohingya di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sini, menerima kejutan apabila mendakwa salah satu daripada tapak terbabit mengeluarkan bau yang harum.
Sumber yang enggan didedahkan identiti berkata, kerja penggalian tapak kubur terbabit dihentikan seketika selepas petugas terhidu bauan terbabit kerana jarang berlaku sebelum ini membabitkan mayat reput.
Menurutnya, mereka menemui satu jenazah yang siap dibungkus dengan kain berwarna putih selepas mengeluarkan beberapa lapisan kayu yang ditimbuni tanah sebelum mendapati bauan harum terbabit datang dari kubur berkenaan.
“Selepas dibuka kain putih dipercayai kafan, ternampak sekujur jenazah hampir reput dan mempunyai beberapa helaian janggut di bahagian tengkorak kepala.
“Walaupun usia jenazah terbabit tidak dapat dikenal pasti secara sahih, namun dianggarkan berkemungkinan seorang warga emas. Mangsa juga dipercayai seorang beriman dan warak selain beragama Islam berdasarkan kaedah pengkebumian terbabit,” katanya.
Sumber berkenaan berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim di sebuah kem penempatan pelarian Rohingya itu dikenali sebagai Kubur 20 di Wang Kelian, di sini, kelmarin.
Katanya, bau harum jenazah itu difahamkan masih kekal walaupun sudah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat.
Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata, keadaan di kem terbabit yang menempatkan mangsa pemerdagangan manusia didapati lengkap dengan sebuah pondok seperti surau, sekali gus menunjukkan kebajikan pelarian terbabit turut dijaga termasuk keperluan perubatan serta kerohanian.
Menurutnya, beliau percaya sindiket terbabit mahu memastikan setiap pelarian yang dijadikan seperti ‘barang dagangan’ berada dalam keadaan terbaik daripada segi kesihatan dan kerohanian sebelum dijual kepada pihak tertentu bagi mendapatkan keuntungan.
“Kewujudan beberapa tapak dipercayai kubur di kawasan ini juga bukanlah petanda bahawa pelarian di kem terbabit diseksa sebelum meninggal dunia.
“Sudah tentu sindiket mahukan pelarian ini berada dalam keadaan baik supaya dapat dijual pada harga yang tinggi. Mungkin ada yang meninggal dunia akibat faktor kesihatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 9:16 PM


Beberapa tapak penggalian yang dilakukan pasukan penyiasat dikenali sebagai Kubur 20 dipercayai tapak kubur pelarian Rohingnya yang mati dan dikebumikan. FOTO Hafizudin Mohd Safar
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57995#sthash.6espdE6v.dpuf

Bantah beri bantuan

Yangon: Penganut Buddha tegar yang disokong golongan sami semalam mengadakan bantahan di Rakhine terhadap bantuan yang ditawarkan kepada pendatang terkandas dalam bot di Teluk Bengal.
Ketegangan antara penganut Buddha dan etnik Islam Rohingya di Rakhine - salah satu negeri termiskin di Myanmar - memaksa kebanyakan mereka tinggal di kem pelarian sejak tercetusnya kekacauan pada 2012.
Puluhan ribu etnik Rohingya melarikan diri dari Rakhine sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan disertai pendatang dari Bangladesh yang mahu berhijrah ke Malaysia dan Indonesia.
Penghijrahan itu mula mendapat perhatian sejak kerajaan Thailand mengambil tindakan keras ke atas penyeludupan manusia bulan lalu, menyebabkan pelarian ditinggalkan di laut dan darat.
Seramai 4,500 etnik Rohingya dan pendatang Bangladesh sudah terdampar di rantau ini, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 2,000 yang lain masih terperangkap di laut.
Selepas berhadapan tekanan antarabangsa, tentera laut Myanmar menyelamatkan lebih 900 pendatang dan dibawa ke Rakhine manakala 150 dihantar pulang ke Bangladesh.
Sementara itu, beberapa yang lain masih ditahan di kem sempadan sehingga Bangladesh dan Myanmar menentukan kewarganegaraan asal mereka.
Bantuan itu sekaligus menimbulkan kemarahan penganut Buddha konservatif yang mahu etnik Rohingya diusir dari Myanmar dan menggesa kerajaan supaya tidak membantu mereka yang terkandas di Teluk Bengal.
Menurut saksi yang menyertai bantahan itu semalam, kira-kira 500 orang yang disokong puluhan sami berkumpul tanpa menghiraukan hujan lebat di Sittwe sambil melaungkan slogan.
Ketua bantahan di Sittwe, Aung Htay berkata, demonstrasi serentak akan diadakan di seluruh negeri ini.
“Kami membantah Benggali dihantar ke Rakhine,” katanya
Kebanyakan warga Myanmar termasuk kerajaan menggunakan perkataan Benggali untuk merujuk kepada etnik Rohingya.
Dianggarkan 1.3 juta etnik Rohingya di negara ini tidak diberikan kewarganegaraan dan menghadapi kesukaran untuk bergerak, mengembangkan keluarga dan mendapat pekerjaan.
Seorang lagi penganjur bantahan Tin Maung Than menjangka lebih 200 menghadiri protes di Maungdaw, lokasi paling hampir dengan tempat tahanan pelarian terbabit.
“Kami sedang mengumpulkan orang ramai untuk mengadakan bantahan terhadap orang Benggali di sini,” katanya.
Risalah mempromosikan rancangan bantahan itu diedarkan kepada orang ramai yang menggesa mereka ‘lindungi masa depan Rakhine’ dan merujuk pendatang sebagai ‘Kalar’, perkataan bersifat perkauman untuk menggambarkan penduduk Islam Myanmar.
Sentimen anti-Islam semakin meningkat di seluruh Myanmar beberapa tahun kebelakangan ini dengan sami radikal dituduh mencetuskan ketegangan agama.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 11:39 AM


Sami pelatih memegang poster ketika protes bantuan diberikan kepada pelarian Rohingya di Sittwe.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57912#sthash.UtmKEusi.dpuf