Monday, 31 October 2016

Empat mayat Myanmar dibunuh kerana agama


ADILA SHARINNI WAHID
31 OKTOBER 2016

mayat

KOTA BHARU - Empat mayat yang ditemui di kawasan semak di Kampung Tanjung Hilir, Bekelam, Bachok, adalah warganegara Myanmar yang dibunuh kerana krisis agama.

Kesemua mangsa lelaki berusia 22 hingga 31 tahun itu dibunuh bermotifkan dendam berkaitan krisis agama di negara asal mereka membabitkan penganut Islam dan Buddha.

Menurut saksi, kesemua buruh binaan itu dilarikan  dari hostel mereka di Tunjung oleh sekumpulan sembilan lelaki bertopeng dan bersenjata pisau pada jam 11 pagi, Selasa lalu.

Jam 6 petang semalam, seorang penduduk menemui empat mayat bergelimpangan dalam kawasan semak terbabit.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mungkin kepala dibungkus plastik sebelum kena tikam]

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Abd Rahman Ismail berkata, kepala mangsa ditekup dengan plastik dan ditikam pada dada serta perut.

"Setiap mayat ada kesan tikaman, ada yang menpunyai satu kesan tikaman dan ada yang ada dua kesan.

"Juga terdapat kesan calar pada peha dan lengan dipercayai kesan pergelutan dan pergaduhan," katanya.

Dua mayat sah warga Myanmar




ANGGOTA polis mengusung mayat yang ditemui di kawasan sawah padi di Kampung Tanjung Hilir, malam tadi. FOTO Fathil Asri


Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Dua daripada empat mayat yang ditemui di Kampung Tanjung Hilir, Bekelam, Bachok petang semalam disahkan warga Myanmar.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, mayat berkenaan dikenal pasti oleh rakannya menerusi tatu manakala dua lagi mangsa sedang dalam pemeriksaan

Katanya, semua mangsa adalah lelaki.

"Kita percaya kes ini mempunyai kaitan dengan empat warga Myanmar dilarikan pada 25 Oktober lalu di rumah mereka di Tunjung oleh sembilan suspek dipercayai warga Indonesia.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada pembalahan agama dan siasatan lanjut masih dijalankan dengan bantuan polis dari Bukit Aman," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan empat mayat ditemui di dalam kawasan semak jam 6.35 petang semalam.

Mayat ditemui orang awam yang berada di lokasi kejadian.

FOTO Fathil Asri
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 1:41 PM

Sunday, 30 October 2016

Henti kezaliman terhadap etnik Rohingya


ROSLINDA HASHIM
30 OKTOBER 2016
Henti kezaliman terhadap etnik Rohingya

Henti kezaliman terhadap etnik Rohingya Sebahagian etnik Rohingya di Malaysia yang hadir pada majlis penyerahan memorandum.
ALOR SETAR - Majis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama NGO Islam Asean menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan pengaruhnya untuk memberi tekanan kepada pemerintah Myanmar agar menghentikan pembunuhan ke atas etnik Rohingya serta mengembalikan hak kewarganegaraan mereka.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya juga menuntut PBB untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kezaliman terhadap komuniti itu.

“Itu antara tujuh tuntutan yang disampaikan kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon, yang dinyatakan dalam satu memorandum. Tuntutan lain termasuk membenarkan NGO atau misi kemanusiaan disalurkan dengan membuka laluan masuk ke daerah terlibat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga meminta Myanmar menerima kembali etnik Rohingya yang melarikan diri ke pelusuk negara dengan menempatkan mereka di kawasan tertentu di negara itu.

“Perlu diwujudkan satu Suruhanjaya perdamaian untuk menyiasat dan menangani kezaliman terhadap masyarakat Rohingya selain menggalakkan proses perdamaian di negara itu.

"Tuntutan lain termasuk membayar pampasan yang mencukupi kepada mangsa keganasan itu,” katanya.

Mohd Azmi berkata, memorandum itu diserahkan kepada wakil di Wisma UN Kuala Lumpur, kelmarin dan turut dihadiri hampir 2000 warga Rohingya di Malaysia.

“Kami prihatin dan bimbang dengan apa yang berlaku di Barat Arakan iatu daerah Muangdaw di Myanmar yang dilaporkan kini tegang akibat konflik antara tentera kerajaan Myanmar dengan etnik Rohingya yang merupakan penduduk majoriti di situ,” katanya.

Menurutnya, serangan dilancarkan sewenang wenangnya terhadap masyarakat awam Rohingya di beberapa kampung

"Etnik minoriti ini sudah lama kehilangan kewarganegaraan di tanah kelahiran mereka sendiri iaitu Arakan yang kini ditukar kepada Rakhine.

“Penderitaan mereka diiktiraf sendiri oleh PBB yang melaporkan etnik Rohingya adalah etnik paling tertindas di dunia.

"Kami gesa pihak tentera pengaman PBB dihantar ke kawasan krisis untuk memastikan keselamatan penduduk awam terutama etnik Rohingya dilindungi,” katanya.

Mohd Azmi berkata, malangnya komuniti Asean mahupun antarabangsa gagal bertindak berdasarkan perundangan sedia ada, menyebabkan keganasan itu berterusan berlaku.

Sebelum ini Mapim bersama beberapa NGO, antaranya Majlis Ulama Rohingya (MUR), Serantau Muslim, I-Reach, Humanity Malaysia (Duta Khas Myanmar), Salimah Malaysia, Chinese Muslim Humanitarian, Malaysia Relief Agency (MRA), Yayasan Amal Malaysia, Rahmat Care, GAMIS, Council for Humanitarian of Sheikul Islam Office Thailand; bersetuju untuk menyalurkan bantuan kecemasan kepada etnik Rohingya di daerah Muangdaw.

Selain menyerahkan memorandum kepada kedutaan Myanmar dan Kofi Annan Commission, turut diwujudkan kempen ‘Food Flotilla For Myanmar’ dan diuarkan kepada seluruh kedutaan Asean, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Saturday, 29 October 2016

Tentera Myanmar rogol wanita Rohingya


29 Oktober 2016 12:17 AM


A displaced resident carries her child at a Buddhist monastery in Kantharyar village at Maungdaw located in Rakhine State near the Bangladesh border on Octob...
BERPULUH-PULUH wanita dan kanak-kanak etnik Rohingnya dilaporkan menjadi mangsa serangan tentera ekoran operasi besar-besaran pihak berkuasa Myanmar. AFP
KAWASAN perkampungan etnik Rohinnya di Maungdaw yang musnah akibat dibakar tentera Myanmar baru-baru ini. AFP
YANGON 28 Okt. – Beberapa wanita etnik Islam Rohingnya di sebuah kampung terpencil di barat laut negara ini mendakwa dirogol dan diserang secara seksual oleh tentera Myanmar yang menyerbu kediaman mereka minggu lalu.

Lapan wanita terbabit menceritakan semula detik-detik bagaimana tentera Myanmar menyerang dan memperkosa mereka dengan diacukan senapang di kepala kepada agensi berita Reuters di kampung U Shey Kya di negeri Rakhine.

Mereka mendakwa, kira-kira 150 tentera menyerbu perkampungan tersebut pada 19 Oktober lalu dan mula menggeledah serta membakar rumah-rumah untuk menghapuskan kumpulan pemberontak Islam di kawasan tersebut.

Pendedahan itu turut diakui oleh tiga lagi penduduk lelaki yang tinggal di kawasan berkenaan termasuk pemimpin masyarakat Rohingya di Maungdaw yang telah mengumpulkan laporan mengenai kejadian itu.

Kejadian dikatakan berlaku ketika kebanyakan penduduk lelaki meninggalkan kampung tersebut kerana takut disyaki sebagai pemberontak dan kaum wanita terpaksa tinggal bersendirian untuk melindungi rumah yang kosong daripada dibakar oleh pihak tentera.

“Mereka bukan sahaja merogol saya berulang kali malah meng­ugut untuk membunuh dan tidak akan membenarkan kami hidup di negara ini. Mereka juga bertindak kejam merampas harta benda, barang kemas, wang dan tong simpanan beras kami turut ditabur dengan pasir,” kata seorang wanita berusia 30 tahun.

Seorang wanita berusia 40 tahun pula mengakui, empat tentera telah merogolnya dan menyerang anak perempuannya yang berusia 15 tahun serta merampas semua barang kemas dan wang tunai milik ahli keluarga mereka.

Seorang lagi mangsa berusia 32 tahun memberitahu, walaupun sudah tidak mempunyai makanan dan pakaian, mereka tidak dapat bergerak ke kampung lain untuk mendapatkan bantuan serta rawatan perubatan kerana merasa sa­ngat takut.

Ketua Polis Rakhine, Kolonel Sein Lwin bagaimanapun menolak dakwaan tersebut dan pasukan tentera tidak memberi maklum balas berhubung kejadian itu.

Sejak 9 Oktober lalu, tentera Myanmar melakukan operasi besar-besaran di bandar Maungdaw di Ra­khine selepas sembilan anggota polis sempadan maut di­serang berhampiran sempadan Bangladesh.

Kerajaan Myanmar menuduh kumpulan bersenjata yang dikatakan terdiri daripada kira-kira 400 pejuang Rohingya bertanggungjawab ke atas serangan itu. – REUTERS

Friday, 28 October 2016

Wanita Rohingya dakwa tentera Myanmar rogol, serang secara seksual

DUNIA
JUMAAT, 28 OKTOBER 2016 @ 3:32 PM

PENDUDUK berjalan di sebuah perkampungan Rohingya di Maugndaw, di negeri Rakhine. - Foto Reuters

YANGON: Penduduk Islam Rohingya berkata, tentera Myanmar merogol dan menyerang secara seksual puluhan wanita di kampung terpencil di barat laut negara itu ketika peningkatan keganasan terbesar terhadap minoriti berkenaan dalam masa empat tahun.

Lapan wanita Rohingya, semuanya dari kampung U Shey Kya di negeri Rakhine, menceritakan secara terperinci bagaimana tentera menyerbu rumah mereka minggu lalu, mencuri harta dan merogol mereka sambil mengacukan senjata.

Agensi berita Reuters menemubual tiga daripada wanita berkenaan secara bersemuka dan lima menerusi telefon, dan bercakap dengan kumpulan hak asasi manusia dan pemimpin komuniti.

Tidak semua dakwaan boleh disahkan secara bebas, termasuk bilangan wanita yang diserang.

Tentera membanjiri daerah Maungdaw sejak 9 Oktober lalu selepas kumpulan penduduk Rohingya yang dipercayai kerajaan mempunyai kaitan dengan kumpulan Islam luar negara melancarkan serangan serentak terhadap beberapa pos pengawal sempadan.

Merujuk bukti yang diperoleh dengan menyoal siasat suspek militan, kerajaan menyalahkan serangan itu ke atas kumpulan bersenjata yang dikatakan dianggotai sehingga 400 etnik Rohingya.

Militan, yang mengenal pasti diri mereka sebagai Al-Yakin Mujahidin pada masa lalu dalam video yang disiarkan atas talian, dituduh membunuh sembilan pegawai polis dan lima anggota tentera, dan mencuri senjata.

Krisis di Rakhine menunjukkan cabaran terbesar di hadapi kerajaan awam Myanmar dan menimbulkan persoalan berhubung kemampuan ketua umum negara itu, Aung San Suu Kyi, untuk mengawal tentera negara berkenaan, kata pemerhati dan diplomat.

Wanita berusia 40 tahun dari U Shey Kya, memberitahu empat anggota tentera merogolnya dan menyerang anak gadis beliau yang berusia 15 tahun, serta mencuri barang kemas dan wang tunai.

"Mereka membawa saya masuk ke dalam rumah. Mereka mengoyak pakaian saya dan menanggalkan tudung saya.

"Dua lelaki memegang saya, seorang memegang senjata dan seorang lagi menarik rambut saya dari belakang dan mereka merogol saya," kata wanita berkenaan.

Jurucakap Presiden Htin Kyaw, Zaw Htay, menafikan dakwaan itu. - REUTERS





Thursday, 27 October 2016

Pelarian mula pulang ke Myanmar dari sempadan Thailand

KHAMIS, 27 OKTOBER 2016 @ 12:20 AM

KEADAAN pelarian yang terdiri dari wanita dan kanak-kanak di kem pelarian Mae La berhampiran Mae Sot, Thailand, salah satu daripada sembilan kem pelarian di sepanjang sempadan Thai-Myanmar. - Foto REUTERS

BANGKOK: Seramai 65 pelarian kembali ke Myanmar dari kem di sempadan Thailand, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini. Menurut PBB, kumpulan pelarian itu adalah antara program penghantaran balik rasmi pertama untuk orang buangan yang terperangkap di antara dua negara. Thailand telah melindungi puluhan ribu pelarian Myanmar sejak awal 1980-an. Kebanyakan pelarian melarikan diri dari negeri Karen bersama keluarga daripada kekejaman junta yang berkempen menentang pemberontakan. Bagaimanapun, Thailand tidak pernah mengiktiraf undang-undang pelarian apatah lagi menawarkan suaka. Bimbang terhadap tahap keselamatan dan hak tanah di seberang sempadan menyebabkan ramai pelarian tidak yakin untuk kembali, walaupun pemerintahan junta hampir berakhir. "Kebanyakan pelarian berkata mereka yakin dengan pembangunan Myanmar dan melihat masa depan yang lebih baik untuk diri dan keluarga kembali," kata Vivian Tan jurucakap UNHCR Thailand. Program ini adalah penghantaran pulang secara sukarela yang pertama mendapat sokongan kedua-dua kerajaan. Ia turut mendapat sokongan kumpulan bantuan antarabangsa yang menyediakan pengangkutan dan penempatan semula. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/206384

Seruan Muslim Rohingya: Tak Ada yang Bantu Kami di Sini


 Rabu, 26 Oktober 2016 11:27  


Foto: Pengungsi Rohingya di Arakan (Rakhine State)/ilustrasi
KIBLAT.NET, Naypyidaw – Kasus kekerasan yang dilakukan militer Myanmar kembali dialami oleh warga Muslim Rohingya. Pada Selasa (25/10), seorang warga yang bernama Maung Maung mengatakan bahwa tentara Myanmar telah mendiskriminasikan warga Maungdaw, Provinsi Arakan.

“Kami menerima sejumlah seruan (pertolongan –red) dari warga Maungdaw beberapa hari terakhir. Mereka mengatakan bahwa tentara telah mendiskrminasikan mereka dan mengambil pengakuan secara paksa,” katanya.

“Mereka mengatakan, tentara membawa orang desa yang tidak bersalah untuk diinterogasi. Warga Rohingya kini juga tidak memiliki cukup makanan,” tambahnya kepada Anadolu Agency.

Hal yang sama juga dialami pengungsi Rohingya di daerah Kyetyoepyin. Seorang warga Warpaik yang berlindung di Kyetyoepyin mengaku sangat membutuhkan bantuan karena belum menerima bantuan apapun dari badan PBB maupun LSM lainnya.

“Tidak ada yang membantu kami di sini. Kami juga dibatasi untuk pindah ke desa-desa lainnya,” papar Aung Kyaw Min, nama warga tersebut, melalui sambungan telepon.

“Kami orang Rakhine berada dalam kesulitan. Tapi tidak ada badan PBB atau LSM yang ingin membantu kami,” pungkasnya.

Perlu diketahui, pemerintah  Myanmar memberlakukan Daerah Darurat Militer di wilayah Rakhine sepekan setelah serangan 9 Oktober yang menargetkan tiga pos polisi. Kendati belum diketahui identitas pasti para penyerang, pemerintah melakukan kampanye militer dan penangkapan di kampung-kampung Muslim.

Bahkan, pihak militer dan polisi Myanmar tanpa pandang bulu membunuh warga Muslim Rohingya, membakar dan menjarah rumah-rumah dan desa mereka, dengan dalih mencari penyerang.

Reporter: Dio Alifullah
Sumber: Anadolu Agency

Wednesday, 26 October 2016

Warga Myanmar Cuba Buat 'Negeri' Sendiri


Published on Wednesday, 26 October 2016 11:55

AMPANG JAYA: Komuniti warga Myanmar di daerah ini bagaikan mencabar pihak berkuasa tempatan dengan ‘menjajah’ kawasan Tasek Permai di sini, dengan membuka perniagaan pasar haram.

Puluhan peniaga warga Myanmar itu dianggap ‘besar kepala’ apabila menutup sepenuhnya laluan kegunaan orang ramai dengan menjalankan perniagaan menjual barangan basah ala ‘mini Yangon’.

Tindakan penjaja warga asing terbabit menyebabkan laluan di Jalan Permai D, Tasek Permai itu penuh sesak berikutan lebih 300 pelanggan berpusu-pusu membeli barangan keperluan.

Difahamkan, aktiviti perniagaan dijalankan pada setiap Ahad itu bermula jam 7 pagi dan akan berakhir jam 12 tengah hari.

Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norhayati Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan penjaja warga asing itu yang didapati sengaja beroperasi di lokasi itu tanpa kebenaran.

“Susulan itu, 14 penguat kuasa MPAJ melakukan serbuan ke atas 40 penjaja komuniti warga Myanmar terbabit jam 8 pagi kelmarin.

“Kebanyakan mereka didapati menjual barangan basah termasuk ayam, ikan, daging dan sayuran.

“Aktiviti mereka ini menyebabkan penduduk tempatan kurang selesa memandangkan mereka menutup sepenuhnya laluan di kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, kawasan itu juga didapati kotor dan berbau busuk berpunca daripada sisa yang dibuang tanpa dibersihkan.

“Pihak kami mengenakan tindakan sita kerana penjaja warga asing terbabit melakukan kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Penjaja (MPAJ) 2007 iaitu menjaja tanpa lesen,” katanya.

- Harian Metro

Tuesday, 18 October 2016

14 maut, puluhan hilang dalam tragedi feri karam di Myanmar



AFP - anggota penyelamat membawa mayat seorang mangsa feri karam di Sungai Chindwin, Yangon kelmarin.


YANGON – Usaha menyelamat dilakukan di barat laut Myanmar semalam selepas 100 orang dilaporkan hilang dalam tragedi feri karam pada hujung minggu lalu.
Feri itu membawa lebih 250 kakitangan awam, pelajar dan pensyarah sebuah universiti tempatan dan terbalik di Sungai Chindwin dalam wilayah Sagaing pagi Sabtu lalu.
Sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan terbunuh dalam tragedi itu, demikian menurut kenyataan di akaun Facebook Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula, Win Myat Ayae.
Terbaharu, pasukan penyelamat telah menemui 14 mayat dan dijangka menemui lebih banyak lagi mangsa ketika usaha mencari dipergiatkan.
Kenyataan sama membe­ritahu, seramai 160 penum­pang berjaya diselamatkan setakat semalam.
Beberapa saksi kejadian memberitahu akhbar tempatan bahawa feri berkenaan membawa penumpang berlebihan. Tragedi itu berlaku sehari sebelum Myanmar meraikan Festival Cahaya, perayaan tempatan yang disambut dengan ahli keluarga pulang ke kampung halaman untuk berkumpul.
Feri merupakan pengangkutan popular di Myanmar. Pada November 2015, sebuah feri lain terlibat dalam kemalangan di Sungai Chindwin yang menyebabkan 10 orang terbunuh. – dpa

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz4NNzlQoc0 
Hakcipta terpelihara 

Desak Myanmar dibicarakan di ICC



Empat rumah dan sebuah masjid di Tatkon, utara Naypyitaw, dibakar penududulk Buddha Ahad lalu. - Foto Agensi



BERNAMA
Putrajaya: Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) hari ini mendesak organisasi antarabangsa berpengaruh supaya mengheret kerajaan Myanmar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas kesalahan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan terhadap kaum minoriti Rohingya.

Ketua Eksekutifnya, Azril Mohd Amin berkata mekanisme undang-undang antarabangasa perlu digunakan bagi menghentikan diskriminasi dan penindasan berterusan terhadap kaum etnik iru oleh kerajaan tentera negara itu.

Menurutnya, menurut Artikel 5 Rome Statute of the ICC 1998, ada empat jenayah antarabangsa iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Beliau berkata, CENTHRA percaya tindak-tanduk regim Myanmar terhadap Rohingya, termasuk di bawah dua jenis jenayah iaitu pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Memandangkan majoriti masyarakat Rohingya adalah beragama Islam, katanya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seharusnya bertindak dengan lebih tegas melalui organisasi hak asasinya iaitu Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC).

"Melalui IPHRC, satu komuniti khas perlu dibentuk bagi menyiasat dan mendokumenkan pembunuhan beramai-ramai dan diskriminasi yang sedang berlaku di negara itu, seterusnya dijadikan sebagai bukti untuk ICC nanti," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 9:25 PM

Friday, 14 October 2016

Jumlah korban meningkat di Rakhine


14 OKTOBER 2016

Jumlah korban meningkat di Rakhine


Jumlah korban meningkat di Rakhine



Anggota polis sempadan melakukan rondaan di kampung Wei Thar Li di Maungdaw berhampiran Bangladesh.
YANGON - MYANMAR . Sekurang-kurangnya 26 ditembak mati pihak berkuasa susulan insiden serangan terhadap anggota polis yang telah mencetuskan keganasan terbaru di Rakhine, barat Myanmar.

Pasukan keselamatan dilaporkan telah menyerbu bandar didiami majoriti penduduk Islam di Maungdaw dan bertempur dengan kira-kira 300 lelaki bersenjata pistol, pedang serta pisau.

Susulan itu, kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan mereka terhadap nasib penduduk Rohingya yang mungkin terperangkap dalam insiden itu.

Dalam satu kenyataan, Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi berkata, kerajaan telah melaksanakan 'kedaulatan undang-undang' dalam menangani serangan tersebut.

"Sehingga kini, pihak berkuasa masih belum mengesahkan siapa individu bertanggungjawab mendalangi serangan berdarah itu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira 25 rumah di perkampungan Kyikanpyin didakwa dibakar kumpulan lelaki bersenjata selepas cubaan untuk menyerang ibu pejabat polis sempadan gagal.  

Angka kematian terbaru itu menjadikan jumlah korban keganasan di Rakhine sejak Ahad lalu kini mencecah sekurang-kurangnya 39 orang termasuk 13 anggota keselamatan. - Reuters

Penduduk lari dari Rakhine






AFP - SEORANG anggota polis mengawal kesesakan orang ramai di sebuah jeti di Sittwe kelmarin.

YANGON – Guru dan kakitangan kerajaan terpaksa melarikan diri ke utara sempadan Myanmar kelmarin selepas pertempuran di ne­geri Rakhine menyebabkan berpuluh-puluh orang mati.

Orang ramai berkumpul di jeti di ibu kota Sittwe selepas tiba dengan menggunakan bot yang terletak berhampiran dengan sempadan Bangladesh.

Ia merupakan kawasan penempatan kepada etnik minoriti Islam Rohingya yang dikurung oleh tentera selepas serangan di sempadan pengawal.

Kira-kira 12 orang mati dalam pertempuran itu yang membabitkan antara lelaki bersenjata termasuk empat tentera turut terbunuh apabila mereka diserang beratus-ratus lelaki bersenjatakan pistol dan pedang.

Pasukan tentera kemudian mengenakan perintah berkurung di sekitar kawasan Maungdaw selepas sembilan anggota polis terbunuh pada Ahad lalu dalam serangan di tiga pos pemeriksaan sempadan.

Pihak berkuasa berkata, kumpulan perusuh itu menggunakan pedang dan senjata buatan sendiri.

Lebih 400 sekolah turut ditutup di Maungdaw, manakala perintah berkurung telah berkuat kuasa antara 7 malam hingga 6 pagi.

Pergolakan terbaharu itu menyebabkan beberapa pihak tidak menolak kejadian tahun 2012 kemungkinan akan berlaku semula.

Keganasan yang berlaku di Rakhine itu menyebabkan 100 orang terbunuh selain mendorong berpuluh-puluh ribu Rohingya terpaksa dipindahkan ke kem sementara.

Sementara itu, beberapa aktivis berkata, pasukan tentera menggunakan alasan mencari penyerang untuk mengambil tindakan keras ke atas Ro­hingya yang merupakan salah satu etnik paling tertindas di dunia.

Keganasan semakin memuncak di rantau ini merupakan satu cabaran besar kepada Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang kini turut menerima tekanan antarabangsa untuk menyelesaikan masalah Rohingya. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4N3yAFlmR
Hakcipta terpelihara 

Thursday, 13 October 2016

Myanmar bertindak balas, bunuh 26 orang di Rakhine

DUNIA KHAMIS, 13 OKTOBER 2016 @ 6:03 PM

 ANGGOTA polis membuat rondaan di bandar Maungdaw, Rakhine. - Foto Reuters

YANGON: Pasukan keselamatan Myanmar membunuh sekurang-kurangnya 26 orang sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas polis yang mencetuskan peningkatan dalam keganasan di wilayah majoriti penduduk Islam di sepanjang sempadan dengan Bangladesh. Lelaki bersenjata dipercayai daripada minoriti Islam Rohingya yang sekian lama ditindas melancarkan serangan terancang ke atas tiga pos polis sempadan pada awal pagi Ahad lalu, mengorbankan sembilan anggota polis, mencederakan lima dan melarikan puluhan senjata dan lebih 10,000 peluru. Anggota tentera dan polis bantuan memenuhi bandar Maungdaw yang dihuni majoriti penduduk Islam, di negeri Rakhine, dan bertempur dengan sekumpulan 300 lelaki, bersenjatakan pistol, pedang dan pisau, menurut laporan rasmi. Kumpulan hak asasi dan penyokong Rohingya menyuarakan kebimbangan penduduk awam terperangkap dalam tindak balas ganas pihak berkuasa. Ketua umum Myanmar, Aung San Suu Kyi, berkata kerajaannya melaksanakan peraturan undang-undang dalam menangani serangan itu, lapor akhbar Global New Light of Myanmar. Pihak berkuasa masih belum memastikan siapa mendalangi serangan itu, kata Suu Kyi. Akhbar rasmi tentera, Myawady, melaporkan 10 lagi penyerang terbunuh, dan raifal dirampas, dalam pertempuran pada pagi Selasa di kampung Kyetyoepyin di Maungdaw. Dalam kejadian berasingan pada Rabu, tentera menuduh penyerang bersenjata membakar 25 rumah selepas melancarkan serangan di kuarters polis sempadan di Kyikanpyin. Pembunuhan itu menjadikan angka kematian keseluruhan di Rakhine sejak Ahad lalu meningkat kepada 39, termasuk 13 kakitangan keselamatan. - REUTERS

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/201845

Wednesday, 12 October 2016

12 maut dalam pertempuran terbaharu di Rakhine, Myanmar

RABU, 12 OKTOBER 2016 @ 3:29 PM

ANGGOTA polis Myanmar meletakkan bendera negara di atas keranda mangsa di tanah perkuburan Maungdaw, Rakhine. - Foto AFP

YANGON: Dua belas maut di negeri Rakhine di utara Myanmar dalam pertempuran antara kumpulan bersenjata dengan anggota tentera, lapor media pada Rabu, dalam keganasan yang semakin meningkat di wilayah itu. Empat anggota tentera dan seorang penyerang terbunuh pada Selasa apabila ratusan penduduk bersenjatakan pistol dan pedang menyerang anggota tentera di Pyaungpit, bandar Maungdaw, yang dihuni ramai penduduk Islam Rohingya. Tentera menyatakan angka kematian tujuh selepas pertempuran di kampung Taung Paing Nyar, meningkat berbanding perangkaan terdahulu. "Selepas kejadian itu, tentera menemui tujuh mayat. Pedang dan kayu ditemui dengan mayat," lapor akhbar Global New Light of Myanmar. Tentera mengawasi wilayah itu, yang tidak jauh dari sempadan dengan Bangladesh, selepas sembilan pegawai polis terbunuh dalam serangan terancang di tiga pos sempadan pada Ahad. Ketegangan meningkatkan kemungkinan berulangnya tragedi 2012, apabila keganasan agama melanda Rakhine, mengorbankan lebih 100 orang dan memaksa puluhan ribu penduduk Rohingya tinggal di kem penempatan. Penduduk Rohingya berhadapan sekatan teruk ke atas pergerakan dan akses perkhidmatan asas, dengan kumpulan hak asasi menyifatkan mereka sebagai penduduk dunia paling teraniaya. Nasionalis Buddha mahu melabelkan mereka sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh, walaupun sudah beberapa generasi keturunan mereka berada di Myanmar. Keseluruhan enam suspek di sebalik serangan di sempadan termasuk empat yang ditangkap pada Selasa, ditahan pihak berkuasa. Pihak berkuasa tidak mendedahkan banyak butiran mengenai penyerang atau motif, dengan sebahagiannya menyalahkan Rohingya, manakala yang lain menuding jari ke arah kumpulan Bangladesh. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/201453

Tuesday, 11 October 2016

Berpuluh maut dalam operasi tentera Myanmar

SELASA, 11 OKTOBER 2016 @ 8:43 AM

ANGGOTA tentera Myanmar mengawal ketat laluan masuk menuju kampung Maungdaw, Rakhine. - Foto AFP

YANGON: Sekurang-kurangnya 24 orang dipercayai terbunuh di barat Myanmar susulan operasi pihak berkuasa selepas beberapa individu tidak dikenali menyerang pondok polis Ahad lalu berhampiran sempadan Bangladesh. Tujuh penduduk kampung, semuanya kaum minoriti Rohingya di Maungdaw, Rakhine, ditembak mati selepas polis dan tentera memulakan operasi serangan balas, semalam. Kira-kira sejuta minoriti Rohingya menetap di kawasan itu dan secara rasminya mereka tiada kewarganegaraan kerana dinafikan hak oleh pihak berkuasa Myanmar. Kerajaan negara itu sendiri enggan menggunakan perkataan Rohingya, sebaliknya mendakwa mereka adalah kaum Bengali dari Bangladesh. "Pagi ini, kira-kira jam 6.00 pagi (waktu tempatan), pasukan keselamatan dalam tiga trak tiba di kampung Myothugyi, kira-kira 1.6 kilometer di timur pekan Maungdaw dan tujuh orang ditembak mati," kata seorang penduduk Rohingya di Maungdaw, U Zaw Oo, semalam. "Situasi di pekan ini senyap dan semua penduduk Islam hanya berada di rumah kerana kami amat takut dengan pasukan keselamatan," katanya. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/200979

Monday, 10 October 2016

AS batal sekatan ekonomi Myanmar


WARTAWAN SINAR HARIAN
9 OKTOBER 2016

AS batal sekatan ekonomi Myanmar


AS batal sekatan ekonomi Myanmar Suu Kyi (kiri) berjabat tangan dengan Obama sewaktu sesi pertemuan dua hala di Rumah Putih, Washington pada 14 September lalu.
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama, mengumumkan secara rasmi penarikan semula sekatan ekonomi ke atas Myanmar.

Menurutnya, keputusan itu melibatkan pemansuhan polisi kecemasan yang sebelum ini melabel Myanmar sebagai ancaman AS.

"Saya dapati situasi tegang telah dapat dikawal dengan baik oleh Kerajaan Myanmar yang berusaha untuk melaksanakan amalan demokrasi, termasuklah pilihan raya bersejarah pada November tahun lalu," kata Obama.

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan Perbendaharaan AS menyebut, disebabkan pemansuhan polisi kecemasan itu, sekatan ekonomi dan kewangan ke atas Myanmar yang ditadbir oleh Jabatan Pejabat Perbendaharaan dan Kawalan Aset Antarabangsa tidak lagi berkuat kuasa.

Keputusan itu merupakan susulan pertemuan di antara Obama dan pemimpin de facto, Aung San Suu Kyi di Washington bulan lalu, yang mana Suu Kyi meminta AS menarik semula sekatan ekonomi terhadap Myanmar.

Parti Liga Demokrasi kebangsaan yang diterajui Suu Kyi, menang besar dalam pilihan raya November tahun lalu. Beliau yang juga penerima Hadiah Nobel Keamanan pernah meminta Barat mengenakan sekatan terhadap Myanmar sewaktu dipenjarakan ketika menjadi pemimpin parti pembangkang di negara itu.

Obama bagaimanapun menjelaskan, AS akan menggunakan pelbagai cara untuk membantu Kerajaan Myanmar dan rakyatnya dalam cabaran mewujudkan negara demokrasi.

Dalam perkembangan lain, kumpulan-kumpulan berhaluan kanan di Myanmar mengutuk pengumuman terbaru Obama, sambil menyifatkan ia bakal mengurangkan pengaruh dan kuasa tentera di negara itu lapor Reuters.

Sunday, 9 October 2016

9 pegawai polis Myanmar maut di sempadan Bangladesh

AHAD, 9 OKTOBER 2016 @ 9:56 PM

NAYPYIDAW: Sembilan pegawai polis Myanmar terbunuh dalam serangan terancang pemberontak ke atas pos pemeriksaan di sepanjang sempadan dengan Bangladesh awal hari ini, kata seorang pegawai dan anggota polis. Tiada siapa mengaku bertanggungjawab namun seorang pegawai kanan tempatan Myanmar menuduh kumpulan militan minoriti Islam Rohingya yang tidak aktif selama beberapa tahun. Serangan itu mengenai tiga pos sempadan sekitar jam 1.30 pagi berhampiran Maungdaq di barat negeri miskin Rakhine, di mana ketegangan memuncak antara penduduk Buddha dan Rohingya, yang dipaksa hidup dalam kedaifan. "Secara keseluruhan sembilan anggota polis terbunuh, empat lain cedera dan seorang masih hilang," kata Tim Maung Swe, seorang pegawai kanan kerajaan Rakhine menambah lapan pemberontak turut terbunuh dalam serangan itu. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/200532

Friday, 7 October 2016

Silap tarik plag





AFP
Mandalay (Myanmar: Seorang pelancong Belanda dipenjara tiga bulan dengan kerja keras kerana menghina agama selepas mencabut amplifier yang menyiarkan khutbah agama Buddha.

Klass Haytema, 30, ditahan dua minggu lalu selepas mencabut plag ketika acara diadakan di sebuah kuil berhampiran hotelnya di Mandalay, utara Myanmar, kerana dianggap bising dan mengganggu tidurnya.

Ketika menjatuhkan hukuman, hakim berkata, Haytema jelas bersalah menghina agama dan dihukum penjara tiga bulan dengan kerja berat.

Haytema yang menangis ketika keputusan itu dibacakan juga memilih membayar denda 100,000 kyat (RM327) untuk mengelak menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga bulan kerana melanggar syarat visanya, yang mewajibkan pelancong menghormati kebudayaan tempatan.

Media sebelum ini melaporkan, Haytema memohon maaf dan tidak berniat menghina sesiapa sebaliknya cuma mahu tidur.

Selain itu, Haytema dituduh menghina agama Buddha apabila tidak membuka kasutnya sebelum memasuki dewan sembahyang.

Haytema pelancong terbaru yang dihukum kerana menghina agama dan upacara Buddha di negara itu.

Pada Julai lalu seorang pelancong Sepanyol diusir selepas sekumpulan sami mengadu mengenai tatu Buddha pada kakinya.

Tahun lalu, seorang pengurus bar dari New Zealand dipenjara 10 bulan kerana menghina agama apabila menggunakan imej Buddha untuk mempromosikan harga murah minuman kerasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 7:24 AM