Saturday 28 January 2017

Kanak-kanak Rohingya dedah pengalaman pahit

Kanak-kanak Rohingya dedah pengalaman pahit - Luar Negara - Utusan Online:



28 Januari 2017 1:08 AM

Kanak-kanak Rohingya terpaksa melalui pengalaman getir dan mengerikan

Kanak-kanak Rohingya terpaksa melalui pengalaman getir dan mengerikan termasuk menyaksikan kematian ahli keluarga di depan mata. - Gambar Hiasan

RAKHINE 27 Jan. – Media-media tempatan Myanmar buat pertama kalinya mendedahkan pengalaman pahit sekumpulan kanak-kanak masyarakat Rohingya Islam yang terpaksa menyaksikan penyeksaan dilakukan oleh tentera Myanmar di hadapan mata mereka sendiri.



Menurut laman web Radio Free Asia, sebanyak 19 orang kanak-kanak ditemu ramah oleh seorang wartawan BenarNews sewaktu mengadakan kunjungan ke kem-kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh.



Semua kanak-kanak lelaki serta perempuan itu yang berusia antara 11 dan 12 tahun berkongsi pengalaman yang disifatkan se­perti satu ‘mimpi buruk’ sehingga memaksa mereka melarikan diri dari negeri Rakhine sejak Oktober lalu.





“Pihak tentera melibas abang saya sehingga mati dan membakar rumah kami serta menyeksa wanita. Kami terpaksa bersembunyi di dalam hutan berdekatan.



“Saya masih lagi diselubungi ketakutan apabila terfikirkan peristiwa itu. Saya tidak boleh tidur malam,” kata seorang kanak-kanak perempuan, Tasmin Khatun, 11, yang tinggal di kem pelarian Kutupalong.



Menurut seorang remaja, Abdul Malek berkata, dia menyaksikan sendiri pasukan keselamatan ­Myanmar mencampakkan abangnya di dalam rumah yang sedang dijilat api.



“Mereka telah membunuh semua orang dengan membakar segala-galanya,” kata Abdul.



Pasukan keselamatan Myanmar dituduh melakukan kekejaman terhadap Rohingya seperti pembunuhan, rogol dan membakar rumah ketika mereka menjalankan operasi mencari suspek yang terlibat dalam pembunuhan sembilan pengawal sempadan pada Oktober lalu.

'via Blog this'

Wednesday 25 January 2017

Penduduk Rohingya mahu berhijrah ke AS

Penduduk Rohingya mahu berhijrah ke AS - Luar Negara - Utusan Online:



26 Januari 2017 12:15 AM

MENTERI Luar Indonesia, Retno Masurdi (duduk paling kiri) berbual

MENTERI Luar Indonesia, Retno Masurdi (duduk paling kiri) berbual dengan pelarian Rohingya di kem Kutupalong, Ukhiya, Coxs Bazar, bersebelahan sempadan Bangladesh serta Myanmar pada 20 Disember lalu. AGENSI

JAKARTA 25 Jan. – Pelarian masyarakat Muslim Rohingya di Indonesia menyatakan kebimbangan mereka apabila tidak menerima sebarang jawapan berhubung keputusan permohonan suaka politik daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS).



Menurut portal Jakarta Post, Jamal Hussein yang merupakan salah seorang daripada beratus-ratus pelarian yang kini ditempatkan di Medan, Sumatra Utara berkata, dia masih menunggu jawapan daripada AS walaupun setelah sebulan menghadiri temu duga dengan kerajaan AS.



“Kita berasa cemas kerana tiada pengumuman dibuat oleh AS dan saya khuatir peranca­ngan untuk menghantar kami ke sana akan gagal,” katanya kepada Jakarta Post.





Tambah Jamal, kesemua pela­rian bertambah cemas lagi berikutan pelantikan Presiden AS yang baharu, Donald Trump sebelum ini berikrar mahu mengamalkan dasar antipendatang.



“Kami tidak memahami politik tetapi tetap bimbang Trump akan mengenakan larangan untuk memasuki AS. Saya tidak sabar untuk tinggal dan hidup di AS,” ujar Jamal.



AS merupakan destinasi utama bagi pencari suaka politik terutamanya pelarian Rohingya yang ditempatkan di Indonesia.



Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) di Indonesia, Mitra Salima Suryono menegaskan bahawa tidak semua pelarian akan menerima penempatan semula sebagai penyelesaian.



“Permintaan suaka yang dikemukakan oleh beberapa pelarian telah ditolak oleh negara-negara berkaitan. Kami akan mencari jalan penyelesaian alternatif bagi permohonan yang ditolak, seperti mencari penempatan semula di negara-negara lain,” kata Mitra Salima.

'via Blog this'

Wednesday 11 January 2017

22,000 Rohingya lari ke Bangladesh dalam seminggu


 ISNIN, 9 JANUARI 2017 @ 9:02 PM 22,000 Rohingya lari ke Bangladesh dalam seminggu 22,000 ROHINGYA lari ke Bangladesh.- Foto AFP NAYPYIDAW: Sekurang-kurangnya 65,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, satu pertiga daripadanya sejak minggu lalu, selepas tentera Myanmar melancarkan tindakan keras di utara Rakhine, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini. Angka itu menandakan peningkatan mendadak jumlah yang melarikan diri daripada kempen tentera yang dikatakan kumpulan hak asasi dicemari penderaan terlalu teruk menyamai jenayah kemanusiaan. Angka itu didedahkan ketika wakil hak asasi PBB untuk Myanmar, Yanghee Lee, memulakan lawatan 12 hari bagi menyiasat keganasan di kawasan sempadan negara itu, membawanya ke kawasan dikawal tentera. "Sejak seminggu lalu, 22,000 ketibaan baharu dilaporkan menyeberangi sempadan dari Rakhine. "Sehingga 5 Januari lalu, anggaran 65,000 orang tinggal di kem berdaftar, penempatan sementara dan masyarakat tempatan di Cox's Bazaar di selatan Bangladesh," kata Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB dalam laporan mingguan. Perpindahan besar-besaran etnik Rohingya dari utara Rakhine bermula selepas tentera Myanmar melancarkan operasi pembersihan ketika memburu penyerang dalam serbuan ke atas pos polis sempadan tiga bulan lalu. -AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/232333

Tuesday 10 January 2017

Pelampau agama sekat sambutan Maulidur Rasul di Myanmar






Ads by Kiosked

ORANG Islam Myanmar meninggalkan dewan YMCA selepas kumpulan nasionalis Buddha menghalang sambutan Maulidur Rasul di Yangon kelmarin. - AFP

YANGON – Kumpulan nasionalis Buddha bertindak menghalang sambutan Maulidur Rasul kelmarin, kata beberapa saksi dan pe­nganjur ketika ketegangan agama memuncak berhubung kempen ketenteraan berdarah terhadap etnik Islam Rohingya di Negeri Rakhine.

Berpuluh-puluh orang yang diketuai beberapa sami Buddha berarak ke bangunan YMCA di Yangon untuk menutup majlis yang diadakan bagi meraikan kelahiran Nabi Muhammad.

“Kami mengadakan sambutan ini sepanjang hidup saya. Perbuatan mereka adalah serangan ke atas kebebasan beragama,” kata Setiausaha Pertubuhan Ulama Islam, Kyaw Nyein.

“Sami-sami ini cuba menghalang majlis berkenaan tanpa menyatakan apa kesalahan kami. Kenapa pihak berkuasa tidak bertindak?,” tambahnya.

Menurut beberapa saksi, sami-sami itu menceroboh sambutan tersebut dan menuntut supaya majlis itu dihentikan.

Pihak polis yang tiba tidak lama kemudian tidak bertindak untuk menghalang kumpulan tersebut.

Penganjur majlis itu, Tin Maung Win berkata, golongan nasionalis Buddha cuba menghasut kebencian terhadap kerajaan yang diterajui parti NLD pimpinan Aung San Suu Kyi.

Katanya, pelampau-pelampau agama menyokong parti USDP yang disokong tentera dan melihat kerajaan baharu sebagai terlalu berlembut dengan orang Islam. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4VMy6MmXn
Hakcipta terpelihara 

Wakil khas PBB tiba di Myanmar






Ads by Kiosked
GAMBAR yang dirakam pada 4 Januari lalu menunjukkan seorang anggota polis menendang penduduk Rohingya di Kampung Kotankauk, Negeri Rakhine. - AFP

YANGON – Utusan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yanghee Lee tiba di Myanmar untuk lawatan 12 hari ketika kebimbangan berhubung laporan kekejaman tentera ke atas penduduk minoriti Islam Rohingya terus meningkat.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB menyatakan dalam satu kenyataan bahawa Lee akan melawat Negeri Rakhine di barat laut Myanmar di mana tentera melancarkan operasi pembersihan, hab ko­mersial Yangon dan juga ibu kota Naypyidaw.

Selain itu, beliau akan menilai situasi di Negeri Kachin, utara Myanmar di mana tentera kerajaan memerangi gerila etnik Kachin yang menuntut pemerintahan autonomi.

“Peristiwa sepanjang beberapa bulan lalu menunjukkan bahawa masyarakat antarabangsa perlu terus berwaspada dalam memantau situasi hak asasi manusia di Myanmar,” katanya.

Sekumpulan penyerang membunuh sembilan anggota polis dalam serangan terancang ke atas beberapa pos kawalan berhampiran sempadan Myanmar dan Bangladesh pada 9 Oktober lalu.

Pihak berkuasa menuduh etnik Rohingya melakukan sera­ngan itu dan melancarkan operasi pembersihan di Rakhine.

Sejak itu, sekurang-kurang­nya 86 orang terbunuh, manakala PBB berkata, kira-kira 34,000 penduduk melarikan diri ke Bangladesh.

Penduduk dan pelarian Ro­hingya menuduh pihak tentera membunuh, merogol dan menahan orang awam sewenang-wenangnya serta membakar perkampungan Rohingya.

Kerajaan Myanmar yang di­pimpin pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi menafikan dakwaan itu dan bertegas bahawa tentera me­lakukan operasi keselamatan berlandaskan undang-undang.

Namun, keganasan berterusan di wilayah sempadan Myanmar itu menimbulkan kesangsian tentang komitmen Suu Kyi kepada hak asasi manusia dan keupayaan beliau mengawal tentera.

Kerajaan Myanmar juga dikecam kerana menyekat dan menghalang wartawan daripada membuat liputan di Rakhine. –Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4VMxKgW92
Hakcipta terpelihara

Tuesday 3 January 2017

Video polis Myanmar pukul etnik Rohingya viral


2 JANUARI 2017
Video polis Myanmar pukul etnik Rohingya viral

Video polis Myanmar pukul etnik Rohingya viral Sedutan rakaman menunjukkan anggota polis Myanmar menendang seorang penduduk etnik Rohingya.
RAKHINE - MYANMAR. Kerajaan Myanmar akan menyiasat sebuah video yang menunjukkan anggota polisnya membelasah penduduk etnik Rohingya.

Menurut laporan CNN, kejadian yang dirakam seorang anggota polis lain dipercayai berlaku di Rakhine, November lepas.

Kerajaan Myanmar mendakwa polis menjalankan 'operasi pembersihan' di bandar Maungdaw di Rakhine selepas dua anggota polis ditembak dan menyebabkan salah seorangnya maut.

Dalam video tersebut, sebuah kumpulan besar dipercayai penduduk tempatan etnik Rohingya dirakam duduk mencangkung.

Salah seorang anggota polis kemudian dirakam menendang penduduk di bahagian muka.

Kerajaan Myanmar berkata, tindakan akan diambil terhadap anggota polis yang mengambil tindakan melampaui batasan undang-undang.

Kerajaan Myanmar juga menafikan sebarang dakwaan terhadap 'pembersihan etnik' Rohingya dan penderaan lain yang didakwa berlaku di Rakhine.

Thursday 29 December 2016

Nelayan Bangladesh ditembak tentera Myanmar


29 DISEMBER 2016
Tembak


Tembak Gambar hiasan
COX BAZAR - BANGLADESH. Sekurang-kurangnya empat nelayan warga Bangladesh cedera apabila tentera Myanmar melepaskan tembakan ke atas bot mereka minggu ini lapor ibtimes.

Insiden tersebut disahkan oleh Komander Kontinjen Pengawal Sempadan di St Martin,Komander Mohammad Saiful Absar yang mendakwa kejadian itu berlaku pada Selasa lalu.

“Nelayan tersebut memancing di kawasan laut Bangladesh iaitu Teluk Bengal Cherrha Dwip sebelum ditembak oleh kapal tentera laut Myanmar,” katanya kepada Reuters.

Dalam kejadian tersebut, Absar mendakwa ia merupakan acara kemuncak ketegangan antara kedua-dua negara setelah kerajaan Myanmar kini menghadapi kritikan antarabangsa kerana tidak membantu masyarakat minoriti Islam Rohingya di daerah Rakhine.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 130 orang terbunuh di Rakhine sejak beberapa bulan lalu berikutan tindakan kasar tentera Myanmar hingga tercetusnya serangan etnik Rohingya di pondok polis berhampiran Bangladesh yang turut mengorbankan sembilan pegawai.

Selain itu, usaha-usaha anti pemberontakan yang dijalankan baru-baru ini oleh tentera Myanmar turut membawa kepada perang dingin di antara kedua-dua negara jiran ini setelah pegawai Bangladesh kecewa dengan kebanjiran etnik Rohingya yang melarikan diri ke negara mereka.

Walaupun pelarian Rohingya ke Bangladesh ini sudah bermula sejak tahun 70-an lagi namun keganasan berikutan pembersihan etnik pada Oktober lalu membuatkan lebih ramai orang cuba menyeberangi sempadan negara itu.

Etnik Rohingya merupakan kumpulan minoriti Islam di Myanmar yang mengamalkan ajaran sunni. Mereka juga tidak diberikan kewarganegaraan rasmi kerajaan Myanmar menjadi ia satu situasi pendudukan tanpa kerakyatan yang paling besar di sana.

Sunday 11 December 2016

Rakhine perlu bantuan

Rakhine perlu bantuan
11 DISEMBER 2016

Rakhine perlu bantuan

Rakhine perlu bantuan Aktivis Pakistan mengadakan protes terhadap penindasan Rohingya di Karachi. - Foto AFP
YANGON - MYANMAR. Beberapa negara Barat menggesa kerajaan Myanmar membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan untuk etnik minoriti Rohingya di negeri Rakhine.

Menurut diplomat dari negara termasuk Perancis, Belanda, Sepanyol dan Turki, penghantaran bantuan berkenaan dipercayai telah diluluskan pegawai tinggi kerajaan di ibu negara Naypyidaw.

Bagaimanapun, pegawai di Rakhine seolah-olah melarang atau sengaja melambatkan akses bantuan kepada penduduk yang terjejas dengan konflik semasa di negeri itu.

"Kami bimbang kelewatan itu dan menggesa semua pihak berkuasa Myanmar untuk mengatasi halangan yang setakat ini telah menghalang penghantaran penuh bantuan," menurut diplomat dalam satu kenyataan.

Kenyataan turut mendedahkan, puluhan ribu orang memerlukan bantuan kemanusiaan termasuk kanak-kanak telah mengalami kekurangan zat makanan teruk hampir dua bulan lalu. - Press TV

Wednesday 30 November 2016

Bangladesh halau etnik Rohingya pulang ke Myanmar






AGENSI - BEBERAPA parti politik dan pertubuhan Islam di Bangladesh melakukan protes menggesa kerajaan negara itu memberi perlindungan kepada pelarian Rohingya.

DHAKA – Beberapa buah bot yang dipenuhi pelarian Rohingya yang me­larikan diri daripada keganasan di Myanmar telah dipaksa berpatah balik oleh pengawal sempadan Bangladesh kelmarin.

Beribu-ribu etnik Rohingya dari negeri Rakhine, barat Myanmar telah membanjiri sempadan untuk memasuki Bangladesh minggu lalu, membawa bersama cerita menakutkan mengenai kejadian rogol, penyeksaan dan pembunuhan oleh pasukan keselamatan Myanmar.

Lapan bot yang cuba merentasi Sungai Naf yang memisahkan Rakhine dari selatan Bangladesh diarah pulang kelmarin selepas enam buah bot tidak dibenarkan memasuki sempadan negara itu pada Ahad, kata Ketua Pengawal Sempadan di bandar Teknaf, Kolonel Abuzar Al Zahid.

“Terdapat 12 hingga 13 orang etnik Rohingya di dalam setiap bot,” katanya.

Dhaka berkata, beribu-ribu lagi sedang berkumpul di sempadan dan mereka menolak rayuan antarabangsa yang mendesak supaya etnik Rohingya dibenarkan masuk. Sebaliknya, Dhaka menyeru Myanmar meningkatkan usaha menghentikan penduduk melarikan diri.

Dalam tempoh dua minggu lalu, pengawal sempadan Bangladesh telah menghalang lebih 1,000 penduduk Rohingua termasuk wanita dan kanak-kanak, kata seorang pegawai.

Pemimpin pembangkang utama Bangladesh, Khaleda Zia lewat Ahad lalu menyertai gesaan beberapa parti politik dan kumpulan pertubuhan Islam supaya memberi perlindungan kepada pelarian Rohingya.

Sekurang-kurangnya 30,000 etnik Rohingya telah menjadi pelarian di Rakhine dan ramai yang cuba memasuki Bangladesh sepanjang bulan lalu.

Samira Akhter memberitahu AFP melalui telefon, bahawa dia tiba di sebuah kem pelarian di Bangladesh pada Isnin lalu selepas melarikan diri dari kampungnya di Rakhine bersama tiga orang anak dan 49 penduduk yang lain.

“Pihak tentera membunuh suami dan membakar rumah kami,” kata Samira, 27, yang bersembunyi selama tiga ming­gu sebelum melarikan diri. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz4RSdm7Wdb
Hakcipta terpelihara 

Tuesday 29 November 2016

68 tahun masih bisu isu Rohingya


SITI NADIAH AHMAD ZAMLUS
29 NOVEMBER 2016
Sani Araby Al-Kahery

Sani Araby Al-Kahery
GEORGETOWN - Dunia masih bisu terhadap isu Rohingya walaupun ia sudah berlarutan lebih 68 tahun lamanya, demikian tegas Pengarah Strategik & Korporat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Sani Araby Al-Kahery.

Menurutnya, lebih memalukan apabila negara-negara Asean tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kerakusan yang dilakukan Myanmar terhadap etnik berkenaan.

"Hari ini kita menjadi saksi kepada sejarah yang mana ianya terpaksa dibayar dengan darah dan air mata, adakah kita hanya mahu diamkan perkara ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tak mampu sendirian selesai isu Rohingya]

"Jika dahulu bukti mengenai kekejaman terhadap Rohingya boleh dikatakan begitu susah untuk didapati, namun sekarang bukan setakat gambar, video pun kita boleh perolehi, tetapi hakikatnya dunia tetap membisu," katanya kepada Sinar Harian.

Sani yang juga Duta Kemanusiaan OIC Gaza mendakwa, penindasan terhadap etnik Rohingya sama seperti yang berlaku di Gaza.

"Kita tidak nafikan, mungkin Rohingya adalah Gaza kedua, sama seperti Gaza, etnik Rohingya turut terkepung di bumi sendiri.

"Ia berlaku bila mana Bangladesh tidak membenarkan etnik Rohingya memasuki kawasan mereka dan apabila ada yang terlepas masuk ke kawasan mereka, mereka kemudiannya dihantar pulang.

"Bila tiba di Myanmar mereka pula ditembak, ke mana lagi mereka hendak lari?, jika ke Thailand, Thailand pun turut tidak membenarkan pelarian Rohingya ke sana, jadi mereka memang sama seperti Gaza, terkepung dan menanti masa," katanya.

Malah Sani yang turut aktif dalam bidang kerja sukarelawan sedih dengan nasib yang menimpa  Rohingya.

Beliau kecewa apabila badan-badan yang lebih besar seperti Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan United Nation (UN) tidak mengambil langkah proaktif.

Sebaliknya lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang mengorak langkah ke depan.

"Tetapi sampai bila NGO sahaja hendak membangkitkan isu ini?, malah lebih sedih apabila ia dijadikan isu bermusim.

"Dari dulu hingga sekarang tidak ada penyelesaian, mungkin sekarang ia heboh, kemudiannya senyap sunyi dan kemudian beberapa bulan akan datang ia kembali menjadi perbualan di media sosial," katanya.

Mapim sehingga harini masih meneruskan misi mencari dan menyelamat pelarian Rohingya.

Sehingga kini terdapat tiga buah sekolah bagi membantu anak Rohingya mendapat pelajaran dengan baik.

Jelas Sani, Mapim mahu anak-anak yang menjadi mangsa kezaliman ini kembali bangkit.

"Kita tidak dapat memberikan mereka senjata namun kita boleh berikan mereka ilmu yang mana akan mengubah kehidupan bangsa mereka ke arah yang lebih baik.

"Begitu juga kami bekerjsama dengan NGO dari China yang mana akan memberikan kursus kepada etnik ini dalam bidanh ternakan ayam dan juga perladangan.

"Malah kami juga mencari pelarian ini sekiranya terdapat khabar angin bahawa mereka dalam pelarian melalui perairan pantai dan sebagainya," katanya.

Dosa Myanmar kepada etnik Rohingya





Oleh ZUBAIDAH IBRAHIM

ETNIK Rohingya bersesak menaik bot dan kapal bagi mencari perlindungan dan menyelamatkan diri.

TANGISAN etnik Rohingya tiada henti sejak empat dekad lalu apabila mereka terus ditindas dan diperlakukan tanpa perikemanusiaan oleh pihak pemerintah Myanmar, junta tentera dan kumpulan anti-Rohingya.

Kebisuan dunia terhadap isu ini membuatkan mereka terus dibunuh, dizalimi dan hidup penuh kesengsaraan tanpa pembelaan.

Ketua Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr. Bakri Mat, isu kekejaman terhadap etnik Rohingya merupakan jenayah kemanusiaan yang sangat serius.

“Masyarakat dan seluruh dunia perlu sensitif terhadap kezaliman ini kerana ia melibatkan isu kemanusiaan yang sangat dahsyat.

“Apatah lagi mereka merupakan saudara seagama kita dan kita perlu menunjukkan solidariti dengan menghulurkan pertolongan dalam apa jua cara. Kekejaman itu perlu dihentikan serta-merta,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Masyarakat dan negara ini khususnya tidak boleh berdiam diri dan menganggap ia sebagai perkara remeh. Walaupun terikat dengan dasar ASEAN iaitu tidak campur tangan berhubung isu dalaman negara anggotanya, ia bukanlah tiket untuk membiarkan kezaliman itu. Tindakan tegas perlu diambil terhadap Myanmar.

Buka mata

Malaysia perlu respon secara efektif terhadap kekejaman itu dengan menggunakan forum-forum antarabngsa serta meningkatkan tekanan politik dan diplomatik.

Ujar Bakri, tindakan sedemikian sangat penting untuk memberi kesan yang besar di peringkat global dan membuka mata dunia.

Pada masa sama, Myanmar kini sedang membuka pasaran kepada negara luar dan mengharapkan pelabur-pelabur dari luar. Pastinya, ia memberi kesan jika dunia menolak jenayah kemanusiaan itu.

Mengulas mengenai faktor penindasan itu, Bakri berkata, ia meliputi banyak aspek antaranya, agama dan sejarah lampau yang tidak berkesudahan.

Jelas beliau, penerima anugerah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi gagal bertindak dan mendiamkan diri terhadap isu penindasan dan pembunuhan etnik Rohingya yang berlaku di bawah pentadbirannya.

Sehubungan itu, penganugerahan tersebut wajar dipertikai dan ditarik balik kerana ia bukan hanya melibatkan isu etnik atau agama tetapi kemanusiaan sejagat.

Sementara itu, Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), Zawahir Che Abdullah berkata, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu saudara beragama Islam apatah lagi ia melibatkan masalah kemanusiaan.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2011 kami aktif memberikan bantuan kemanusiaan termasuklah kepada etnik Rohingya terutamanya yang berada di negara ini.

“Antara program yang dilakukan ialah melancarkan bantuan pada bulan Ramadan dan korban sempena Hari Raya Aidiladha serta membekalkan makanan setiap bulan kepada etnik Rohingya di penempatan pelarian,” katanya.

Ujar beliau, mereka amat memerlukan bantuan kewangan, makanan, pendidikan dan kesihatan memandangkan sumber pendapatan yang tidak menentu.

“Mereka sangat memerlukan bantuan kesihatan. Oleh itu, saya menyeru badan-badan sukarelawan untuk menyediakan bantuan kesihatan kepada etnik itu secara berkala bagi mencegah sebarang penyakit,” katanya.

Salah satu cara untuk membantu masyarakat Rohingya ialah melalui laporan meluas pihak media supaya semua orang tahu dan sedar akan keperitan hidup yang mereka lalui.

Beliau juga menyeru rakyat negara ini supaya bersatu membantu mereka yang ditindas dan tidak leka dengan kesenangan hidup sehingga membiarkan saudara Islam terus dizalimi.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4ROGCJ8st
Hakcipta terpelihara 

Dakwa Suu Kyi!


Kerana benarkan penghapusan bangsa Rohingya
29 November 2016 12:21 AM
  0  0 Google +0

Penduduk Bangladesh membantah kekejaman dilakukan tentera Myanmar terhadap penduduk Rohingya di Dhaka, baru-baru ini. AFP

RAKHINE 28 Nov. - Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi patut diheret ke muka pengadilan atas kesa­lahan menghalalkan penghapusan bangsa etnik Islam Rohingya di negeri Rakhine.
Pendakwaan terhadapnya per­lu dibuat sebagaimana kekejaman oleh pemimpin Khmer Rouge sewaktu rejim Pol Pot antara tahun 1975 sehingga 1979 dan ketua tentera Serb Bosnia, Ratko Mladic yang melancarkan perang pembersihan etnik Bosnia semasa perang 1992-1995.
Pengasas Pertubuhan Dictator Watch, Roland Watson yang dipetik oleh Arakan News Agency berkata, Suu Kyi perlu dipertanggungjawabkan kerana mengetuai pembunuhan Rohingya serta menanam sentimen dalam kala­ngan rakyat negara ini bahawa etnik Islam itu perlu dihapuskan.
Katanya, asas ideologi rejim Myanmar yang bersifat perkauman dan memperlihatkan penduduk Buddha diletak pada pe­ringkat paling tinggi masyarakat, membenarkan etnik minoriti lain diperlakukan sesuka hati dengan apa cara sekalipun.
“Bagi pembunuhan beramai-ramai, pihak berkuasa telah menghasut serta menggalakkan etnik Rohingya dihapuskan dan membuka jalan kepada serangan ke atas komuniti itu,” katanya.
Pada masa sama kata Watson, satu siasatan oleh pakar perundangan dari International State Crime Initiative di Universiti Queen Mary London merumuskan bahawa etnik Rohingya menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai dan Suu Kyi me­ningkatkan lagi penyeksaan me­reka.
Laporan siasatan itu menyatakan, Suu Kyi membisu tentang perkara itu sebaliknya menggunakan taktik penafian dan melarang sepenuhnya pemantauan antarabangsa, mengehadkan bantuan kemanusiaan selain menyenarai hitam dan mengusir aktivis hak asasi manusia dari Myanmar.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), John McKissick pula berkata, tindakan Suu Kyi yang berdiam diri me­nguatkan cengkaman kuku besi tentera dan pengikutnya yang bersifat perkauman.
Ketika Myanmar mendapat desakan negara ASEAN untuk bertanggungjawab atas kekejaman Rohingya, Suu Kyi dilapor menangguhkan kunjungan ke Indonesia yang sepatutnya dibuat Rabu hingga Ahad ini.
Pegawainya, Aye Aye Soe tidak menyebut alasan keselamatan sebagai punca lawatan kerja itu dibatalkan, namun memetik tentang kekacauan di Rakhine dan negeri Shan sebagai faktor utama.
“Kunjungan ke Indonesia akan ditangguh ke satu masa yang akan diumumkan kelak,” kata­nya. – AGENSI/AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/dakwa-suu-kyi-1.413589#sthash.4yfLVC3q.dpuf

Monday 28 November 2016

Etnik Rohingya perlu pembelaan


NORHANA FARIZA HARUN
28 NOVEMBER 2016
Etnik Rohingya perlu pembelaan

Etnik Rohingya perlu pembelaan Etnik Rohingya perlu pembelaan
SELEPAS pilihan raya pada November tahun lalu yang menyaksikan kemenangan Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), masyarakat antarabangsa memuji Myanmar untuk langkah ke arah pembaharuan demokratik.

Sejak parti pimpinan Aung San Suu Kyi itu mengambil alih kuasa pada April lalu, sekali gus mengakhiri pemerintahan tentera selama lebih 50 tahun, ramai pihak berharap ia menandakan permulaan era baharu keamanan dan demokrasi di negara berkenaan.

Bagaimanapun, hak dan kebebasan yang termaktub dalam demokrasi tidak begitu menyeluruh, terutamanya ia dilihat mengabaikan etnik minoriti Rohingya yang sering ditindas.

Sebagai salah satu daripada etnik paling tertindas di dunia, Rohingya dihalang daripada mendapat kewarganegaraan, keselamatan ekonomi dan perkhidmatan sosial.

Melalui diskriminasi sistematik ini, Rohingya terpaksa menjadi pelarian di negara sendiri. Konflik sektarian yang berterusan di Myanmar telah menolak peralihan demokrasi yang berkesan.

Meskipun organisasi antarabangsa seperti Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus mengkritik, NLD tetap mengabaikan permintaan rakyat Rohingya untuk diiktiraf.

Susulan itu, timbul pula isu pelarian kerana mereka mencari perlindungan di negara jiran. Lebih malang lagi, ia merosakkan hubungan antara Myanmar dengan negara lain seperti Bangladesh selepas negara itu menutup sempadannya untuk Rohingya.

Prejudis serantau terhadap minoriti penduduk Islam berkenaan juga telah mencetuskan pelbagai keganasan sejak lebih lima dekad lalu.

Keadaan keselamatan untuk lebih 1.3 juta penduduk Rohingya di Rakhine semakin tidak dapat dipertahankan.

Terbaru, ketegangan di Rakhine kembali meletus sejak 9 Oktober lalu selepas sembilan pegawai polis terbunuh dalam serangan terancang pemberontak di pos pemeriksaan di sepanjang sempadan dengan Bangladesh.

Sepanjang bulan lalu juga, situasi dihadapi penduduk Rohingya sekali lagi menjadi semakin meruncing. Sejak serangan terbabit, kerajaan Myanmar telah mengerahkan sejumlah besar anggota polis dan tentera di Rakhine.

Menurut laporan rasmi negara itu, 70 disyaki pemberontak dan 17 anggota pasukan keselamatan telah terbunuh sejak serangan bermula.

Selain itu, ia menyebabkan pembunuhan kira-kira 400 orang awam dengan lebih 2,000 rumah di beberapa kampung dibakar. Ratusan wanita dirogol oleh tentera dan polis sempadan. Sekumpulan wanita dan kanak-kanak juga dikurung dan dibakar hidup-hidup di Yay Khae Chaung Kwa Sone.

Malah, tentera turut didakwa bertindak kejam dengan menggunakan pelancar roket untuk menembak penduduk Rohingya selain ada yang dibunuh ketika cuba melarikan diri.

Menerusi imej satelit dikeluarkan kumpulan hak asasi manusia (HRW) awal minggu lalu, lebih 1,200 rumah dimusnahkan di perkampungan Rohingya sejak enam minggu lalu.

Masyarakat antarabangsa mendakwa tentera kerajaan bertindak kejam terhadap etnik Rohingya dengan menembak mati, merogol wanita, membakar rumah dan merampas harta benda mereka.

Pelbagai badan bukan kerajaan turut melaporkan bahawa lebih 30,000 etnik Rohingya kini menjadi pelarian di negara sendiri akibat keganasan berkenaan.

Myanmar lakukan pembersihan etnik

Kerajaan Myanmar didakwa sedang berusaha melakukan pembersihan etnik minoriti Rohingya dari wilayahnya.

Menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), John McKissick, tentera bersenjata membunuh golongan itu di negeri Rakhine dan memaksa yang lain melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.

Katanya, kerajaan turut menjalankan operasi menangani pemberontakan sejak serangan terancang 9 Oktober.

“Pasukan keselamatan bertindak kejam dengan membunuh lelaki, menembak mereka, menyembelih kanak-kanak, merogol wanita, membakar rumah dan memaksa mereka menyeberang sungai.

“Kini amat sukar untuk kerajaan Bangladesh membuka sempadan kerana secara tidak langsung ia akan menggalakkan lagi Myanmar meneruskan kekejaman dan memaksa Rohingya keluar sehingga tercapai matlamat utama pembersihan etnik itu,” katanya.

Menurutnya, usaha untuk menyelesaikan isu Rohingya perlu memberi tumpuan kepada punca di dalam negara itu sendiri.

Ribuan etnik Rohingya tiba di negara jiran Bangladesh selepas melarikan diri daripada keganasan di Rakhine.

Bagaimanapun, pengawal sempadan Bangladesh didakwa menolak mereka daripada memasuki negara itu meskipun PBB menggesa untuk menerima kemasukan mereka.

Rondaan sempadan turut dipertingkatkan selain memanggil duta Myanmar ke Dhaka bagi membuat aduan mengenai penghijrahankumpulan minoriti terbabit dan menggesa integriti sempadan.

“Meskipun pengawal kami berusaha menjaga sempadan bagi menghalang kemasukan, tetapi ribuan rakyat Myanmar termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua terus menyeberangi ke sempadan Bangladesh.

“Ribuan yang lain dilaporkan berkumpul di lintasan sempadan,” menurut Kementerian Luar Bangladesh dalam satu kenyataan.

Selasa lalu, Bangladesh telah menghantar 20 bot dipenuhi orang Rohingya kembali ke Myanmar.

Menurut PBB, seramai 30,000 telah menjadi pelarian sejak keganasan di Rakhine pada 9 Oktober lalu, dengan ratusan yang lain dibunuh dalam pertempuran antara tentera dengan pemberontak.

Selain kerajaan Bangladesh, tekanan daripada masyarakat tempatan untuk mengehadkan bilangan pendatang telah meningkatkan kawalan di sepanjang sempadan 237 kilometer untuk menghalang kemasukan besar-besaran.

Bagaimanapun, pemimpin Rohingya memberitahu, dianggarkan kira-kira 1,000 masih berjaya masuk ke Dhaka sepanjang minggu lalu.

Difahamkan, kebanyakan mereka bersembunyi di kem untuk 32,000 pelarian sah, yang telah tinggal di tenggara Bangladesh kerana takut dihantar pulang jika diketahui pihak berkuasa.

Akibat konflik juga, PBB memberi amaran lebih 3,000 kanak-kanak yang kekurangan zat makanan boleh meninggal dunia jika tidak dibantu.

Ia susulan daripada tindakan tentera menggantung bantuan makanan dan perubatan kepada lebih 150,000 orang di kawasan berkenaan sejak lebih 40 hari lalu.

Tahun lalu, ribuan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Rakhine terkandas di laut ketika cuba membuat perjalanan ke Indonesia, Malaysia dan Thailand.

China terima 3,000 pelarian China memberi perlindungan kepada lebih 3,000 etnik Rohingya yang melarikan diri dari konflik di Myanmar selain meletakkan pasukankeselamatan dalam keadaan berjaga- jaga susulan pertempuran antara kerajaan dan pemberontak.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang berkata, mereka yang cedera di kalangan 3,000 orang itu telah dibawa ke hospital untuk dirawat.

“Kami amat berharap kedua-dua pihak yang bertelagah dapat berhenti. China bersedia untuk terus memainkan peranan bagi membina proses damai, mengikut kehendak mereka,” katanya.

Beliau turut menggesa kedua-dua pihak hentikan tindakan ketenteraan serta-merta dan mengambil langlah efektif supaya keamanan sempadan kembali seperti sedia kala.

Suu Kyi 'benarkan' pembunuhan beramai-ramai

Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi didakwa tidak melindungi orang Islam Rohingya dan membenarkan pembunuhan beramai-ramai.

Operasi ketenteraan di Rakhine telah menyebabkan ribuan melarikan diri ke sempadan Bangladesh dan tentera kerajaan didakwa membunuh dan merogol golongan wanita.

Jurucakap daripada HRW, David Mathieson berkata, kegagalan Suu Kyi bersuara bagi menyokong Rohingya membingungkan masyarakat antarabangsa memandangkan beliau adalah ikon hak asasi manusia dan pejuang demokrasi.

“Sikapnya berdiam diri menjelaskan sikap tidak prihatin dan yang paling penting menunjukkan beliau tidak mempunyai kawalan ke atas tentera,” katanya.

Sementara itu, penyelidik di Queen Mary University, London, menyifatkan tindakan Suu Kyi berdiam diri turut mengukuhkan lagi penindasan terhadap minoriti Rohingya.

“Meskipun ini adalah ujian paling penting dalam sesebuah kepimpinan, namun hakikatnya pemimpin negara itu masih bersikap tidak acuh,” menurutnya.

Rohingya: Suara mereka yang dipinggirkan


Dunia terlalu lambat bertindak, kekejaman tentera Myanmar luar batasan

MOWARDI MAHMUD  |  28 November 2016 12:30 AM
PERNAH dikatakan bahawa dunia berada di penghujung usianya apabila manusia sendiri sudah tidak tahu kenapa dia dibunuh. Hakikat ini jelas dapat dilihat antaranya di Myanmar, nyawa manusia bagaikan tiada harga lagi.

Kekejaman yang melanda penduduk minoriti Islam Rohingya, tidak ubah seperti umat Islam Palestin di Gaza. Lebih malang lagi, rintihan mereka seolah-olah langsung tidak didengari di pentas antarabangsa.

Tiada siapa terutamanya negara-negara kuasa besar dunia yang tampil memperjuangkan hak penduduk minoriti Islam yang paling tertindas.

Ketiadaan pemerhati antarabangsa di Myanmar menjadikan nasib mereka terus terpinggir dan pada masa sama kesengsaraan bagaikan bertimpa-timpa dan pelbagai alasan yang diberikan kerajaan negara itu untuk menghalalkan tindakan buruk tentera mereka.

Hari-hari seterusnya bakal menjadi lebih buruk buat penduduk Islam Rohingya apabila pihak kerajaan Mynmar dikatakan merancang melatih dan membekalkan senjata kepada penduduk-penduduk bukan Islam sekali gus akan menyebabkan berlakunya pembunuhan beramai-ramai.

Tidak menghairankan jika langkah berkenaan dilakukan sebagai satu usaha pihak tentera sendiri supaya mereka dapat ‘cuci tangan’ daripada dipertanggungjawabkan terhadap sebarang pembunuhan yang dibuat atas nama mempertahankan diri.

Perkara ini seharusnya dihalang daripada berlaku kerana tidak dinafikan ia mampu mengundang satu malapetaka kemanusiaan.

Apatah lagi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini sendiri meramalkan keadaan semasa akan menjadi lebih buruk buat penduduk-penduduk Islam Rohingya.

Menurut Human Right Watch (HRW), lebih 1,200 buah rumah telah dibakar sejak enam minggu lalu ketika tentera Myanmar sedang me­lakukan operasi keselamatan.

Ketika ini, PBB melaporkan, lebih 30,000 penduduk Rohingya telah kehilangan tempat tinggal mereka manakala berpuluh-puluh lagi terbunuh selepas diserang tentera Myanmar ketika angka sebenar dijangka lebih besar lagi.

Kekejaman yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar sepatutnya dikenakan tindakan sewajarnya oleh dunia. Malangnya, kuasa Barat lebih mementingkan kepentingan diri mereka dalam negara ini yang baru membuka pintu ekonominya, sekali gus menyebabkan mereka bersikap menutup sebelah mata terhadap kezaliman yang berlaku. Begitu juga dengan Pertubuhan Persida­ngan Islam (OIC) dan juga negara-negara anggota ASEAN sendiri, terlalu berdiplomasi.

Cubaan kerajaan Myanmar untuk menutup kekejaman mereka seharusnya diberikan perhatian serius oleh dunia dan bukan membiarkan sahaja keadaan itu terus berlaku tanpa titik noktah. Ke mana perginya mereka yang selama ini mendabik dada memperjuangkan hak asasi manusia sejagat terutamanya pemenang Hadiah Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi?

Bagaimana Suu Kyi yang juga Kaunselor Myan­mmar boleh pula men­zahirkan kekecewaan terhadap laya­nan masyarakat antarabangsa yang disifatkannya sebagai tidak adil kepada kerajaan negara ini ketika bukti kekejaman terhadap etnik Rohingya telah tersebar di laman-laman sosial.

Tidak cukup dengan itu, situasi dahsyat dan menyayat hati yang dihadapi penduduk Islam, telahpun disahkan oleh etnik Rohingya yang berjaya menyeberangi sempadan ke negara jiran, Bangladesh.

Seperti mana kata Pengarah HRW Asia Brad Adams, kerajaan Myanmar seharusnya melihat kepada fakta dan bertindak membantu semua orang yang tinggal di negara itu tanpa mengira agama mahupun etnik mereka dan bukannya ‘melenting’ sambil bertindak balas dengan melemparkan dakwaan dan penafian yang dilakukan sejak berada di bawah junta tentera satu ketika dahulu.

Sekiranya kerajaan negara itu tidak mempunyai apa-apa yang mahu disembunyikan, pastinya ia tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima wartawan dan juga penyiasat hak asasi manusia.

Ternyata, pembohongan digunakan untuk menghalalkan cara. Tindakan tentera Myanmar melancarkan keganasan terhadap penduduk Islam Rohingya dengan membunuh wanita dan kanak-kanak dan membakar perkampungan kerana mereka menyokong pemberontak terlalu sukar untuk ditelan.

Biar apa pun alasan, ia tidak ubah sekadar melindungi perbuatan tentera melakukan pembunuhan yang disengajakan. Bukanlah lawan penduduk yang serba kekurangan berbanding penggunaan senjata seperti helikopter penyerang untuk meranapkan perkampungan penduduk Islam Rohingya.

Apa yang berlaku di Myanmar adalah ujian buat umat manusia di seluruh dunia. Tidakkah ada lagi sekelumit perasaan mereka terhadap sejuta penduduk Islam Ro­hingya di Rakhine yang sekian lama menanggung penderitaan akibat diskriminasi, penindasan dan keganasan tanpa diberikan hak kenegaraan meskipun tinggal di sana sejak turun temurun dan mereka masih dianggap pendatang haram yang menjadi mangsa serangan rakyat Myanmar beragama Buddha.

Bukahkah satu kekejaman, sekiranya lebih 100,000 penduduk Islam Rohingya masih tinggal di dalam kem-kem selepas dihalau keluar daripada rumah mereka selepas berlaku keganasan pada tahun 2012.

Sudah sampai masanya untuk dunia bertindak terutamanya negara anggota ASEAN dan bukan sekadar hanya melaungkan bantahan serta janji-janji manis untuk menghantar bantuan kemanusian. Sekiranya ujian ini, masyarakat antarabangsa gagal untuk mendepaninya, kita bakal menyaksikan satu lagi malapetaka kemanusiaan yang memalukan.

Selamatkan Rohingya


Tentera Myanmar akan terus bunuh jika PBB, OIC gagal bertindak

28 November 2016 12:31 AM
RAKHINE 27 Nov. - Tentera Myanmar akan terus membunuh etnik Rohingya selagi tiada pihak tampil menyelamatkan penduduk mino­riti Islam tersebut di negeri ini.

Perkara itu didedahkan seorang aktivis hak asasi manusia yang berjaya menghubungi seorang lelaki Ro­hingya yang kini berlindung di sebuah kawasan di Maungdaw selepas tentera Myanmar menyerbu Kampung Sin Thay Pyin dekat pekan Laung Don dan Kampung Pan Myaung di pekan Nga Sar Kyu, kelmarin.

Menurut mangsa yang terselamat dalam serangan itu, ketika kejadian, seorang anggota tentera mengeluarkan ugutan akan terus membunuh Rohingya selagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak menyelamatkan mereka.

Sekurang-kurangnya 19 orang penduduk kampung Rohingya terbunuh dalam serangan itu yang dilakukan kira-kira 500 anggota tentera, pasukan separa tentera dan polis pengawal sempadan Myanmar.

Kira-kira 50 orang lagi penduduk kampung ditahan pihak tentera ketika kaum wanita di kedua-dua kampung itu diperkosa anggota keselamatan.

Aktivis yang enggan dikenali itu berkata, penduduk yang terselamat melihat mayat beberapa dibawa keluar dari ke­dua-dua kampung berkenaan, malah ada juga mayat terapung di dalam longkang di sepanjang lokasi berkenaan.

“Serangan itu menggambar­kan pasukan keselamatan ti­dak bimbang dengan desakan masyarakat antarabangsa dengan meneruskan kekejaman secara membabi buta dan mengetepikan soal hak asasi manusia.

“Mereka terus membunuh penduduk ketika dunia melakukan bantahan untuk kami. Ini menunjukkan tiada pihak yang boleh menyelamatkan kami,” kata aktivis itu kepada Rohingya Blogger.

Dalam perkembangan berkait­an, seorang wanita yang dirogol tentera Myanmar mendakwa, kira-kira 100 orang perempuan turut menjadi mangsa penderaan seksual anggota keselamatan yang menyerbu Kampung Sin Thay Pyin dan Kampung Pan Myaung.

Katanya, dia melihat kira-kira 300 orang wanita dikumpulkan di sebuah padang di bawah terik matahari dan diarahkan supaya berbogel selama dua jam sete­ngah dan mengambil kesempatan terhadap mangsa tidak lama kemudian.

“Lebih 100 wanita dirogol manakala sekurang-kurangnya 40 lagi dibunuh. Agak sukar menyebut jumlah sebenar mangsa yang terbunuh kerana pasukan keselamatan memindahkan ma­­yat itu ke tempat lain,” kata mang­sa kepada RB News.

Setakat semalam, sebanyak tiga orang wanita yang dilarikan tentera sudah pulang ke kampung mereka ketika baki perem­puan dan anak-anak mereka dipercayai masih berada di padang itu tanpa sebarang perlindungan.

Sementara itu, penduduk Rohingya mendakwa menemukan dua kubur besar di Cashew Garden yang terletak di Kampung Sabai Gone dengan menemukan beberapa mayat dan mereka percaya lebih banyak mayat akan ditemukan selepas kerja menggali selesai.

Sunday 27 November 2016

'Kami dirogol bergilir-gilir'



HABIBA (kiri) dan adiknya, Samira menceritakan kekejaman tentera Myanmar ke atas keluarga mereka. - AFP



AFP
Teknaf (Bangladesh: Cerita mengenai dirogol beramai-ramai yang dialami Habiba dan adiknya hampir sama dengan pengalaman yang diceritakan oleh ribuan pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh untuk mengelak kekejaman tentera Myanmar.

“Mereka mengikat kami di katil dan merogol kami secara bergilir-gilir,” kata Habiba yang kini berlindung dengan sebuah keluarga pelarian Rohingya, beberapa kilometer dari sempadan Bangladesh-Myanmar.

“Kami hampir kebulur di sini. Tetapi, tidak ada orang yang akan datang untuk membunuh atau menyeksa kami,” kata abangnya, Hasil Ullah.

Habiba dan adiknya, Samira, 18, berkata, mereka dirogol tentera Myanmar di kediaman mereka di Kampung Udang. Askar Myanmar itu kemudian membakar rumah berkenaan.

“Mereka membakar kebanyakan rumah, membunuh beberapa orang, termasuk bapa kami dan merogol gadis muda,” kata Habiba yang bersetuju menggunakan nama sebenarnya dalam wawancara itu.

“Seorang askar memberitahu kami supaya meninggalkan kampung atau mereka akan membunuh kami jika menemui kami sekali lagi. Mereka kemudian membakar keluarga saya,” katanya.

Dakwaan meluas mengenai kekejaman tentera Myanmar meningkatkan kebimbangan mengenai rancangan penghapusan etnik Rohignya oleh kerajaan negara itu di Rakhine.

Kekejaman itu memaksa ribuan penduduk Islam Rohingya melarikan diri.

Hashim dan adiknya melarikan diri selepas membawa wang simpanan keluarga berjumlah kira-kira RM1,700 dan berjalan menuju Sungai Naf yang memisahkan selatan Bangladesh dengan negeri Rakhine.

Mereka bersembunyi di kawasan bukit bersama ratusan keluarga Rohingya lain sebelum menemui seorang pemilik bot yang bersedia membawa mereka menyeberang sungai itu.

“Dia mengambil semua wang kami dan meninggalkan kami di sebuah pulau berhampiran sempadan,” kata Hashim.

Sementara itu, ribuan umat Islam di beberapa negara semalam mengadakan tunjuk perasaan mengecam kekejaman tentera Myanmar.

Sambil melaungkan slogan ‘Henti pembunuhan Muslim Rohingya, ribuan penduduk Bangladesh berarak di Dhaka. Tunjuk perasaan juga diadakan di Bangkok, Jakarta dan Kuala Lumpur.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:10 AM

Rancang bom kedutaan Myanmar




POLIS menunjukkan barangan yang dirampas, termasuk bahan untuk membuat bom, dari rumah suspek di Jawa Barat. - Reuters


Agensi
Jakarta: Polis Indonesia menahan seorang suspek militan dan merampas sejumlah besar bahan membuat bom yang dirancang digunakan untuk menyerang bangunan kerajaan dan kedutaan Myanmar di Jakarta bulan depan.

Media tempatan melaporkan, jumlah bahan letupan yang dirampas itu boleh menyebabkan letupan dua kali ganda lebih besar daripada bom yang digunakan dalam serangan di sebuah kelab malam di Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa.

Jurucakap polis, Boy Rafli Amar memberitahu wartawan di satu sidang akhbar semalam, suspek, Rio Priatna Wibawa, 23, yang dipercayai anggota kumpulan militan Indonesia yang menyokong Daish ditangkap di rumahnya di Majalengka, Jawa Barat, awal minggu ini.

Turut dirampas ialah bendera hitam, peluru, beberapa senjata, termasuk senapang dan parang.

“Kami kini berusaha untuk menyiasat bagaimana dia merancang serangan, sama ada dia bersendirian dan cara dia memperoleh wang membeli bahan letupan itu,” kata Boy.

Rio, graduan sains pertanian di sebuah universiti tempatan dan masih menganggur belajar sendiri untuk membuat bom serta merancang menghantar bahan letupan itu ke beberapa kawasan di seluruh Indonesia.

Indonesia menyaksikan beberapa serangan yang ada hubungan dengan Daish tahun ini, yang terbesar pada Januari lalu di Jakarta yang menyebabkan lapan orang, termasuk empat penyerang terbunuh.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 9:48 AM

Saturday 26 November 2016

Dulu memerintah kini tidak bernegara


MUHAMAD MAT YAKIM
26 NOVEMBER 2016
Dulu memerintah kini tidak bernegara


Dulu memerintah kini tidak bernegara
ADA rakan beritahu mereka tidak sanggup hendak buka dan tengok foto kekejaman rakyat Buddha Myanmar terhadap etnik Rohingya yang dilaporkan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Rohingya bukan sahaja dihalau dari tanah air mereka sendiri malah dibunuh. Lebih dahsyat,  mereka dibunuh dengan cara yang tidak ada dalam kamus kemanusiaan – dibakar hidup-hidup!

Tidak kira lelaki, wanita, warga emas atau kanak-kanak, kesemuanya jadi sasaran keganasan yang tanpa batasan.

Amat jelas bahawa apa yang dilakukan itu bermotif penghapusan etnik.

Saya tidak mahu mengaitkannya dengan agama kerana ajaran Buddha diketahui mendidik penganutnya untuk sentiasa menjunjung tinggi nilai kemanusiaan malahan juga kepada makhluk tuhan yang lain.

Apa yang jelas dalam konteks di Myanmar, khususnya di wilayah Rakhine ialah motif perkauman dan politik.

Lebih malang lagi apabila pemerintah Myanmar bukan sahaja tidak membela malah bersekongkol dengan kekejaman itu. Tentera turut sama dengan ekstremis melakukan pembantaian terhadap penduduk Rohingya.

Ratu Demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi selaku penerima anugerah Nobel Keamaan pada 1991, juga sekadar membisu apabila diajukan persoalan mengenai tindakan tidak berperikemanusiaan kaumnya.

Alasan mereka termasuk Suu Kyi ialah orang Rohingya bukan penduduk asal negara itu, sebaliknya imigran yang berhijrah masuk selepas 1823, dan mereka dianggap tidak ada kaitan dari aspek sejarah dengan Myanmar atau Burma.

Benarkah begitu?



Raja Islam

Sebenarnya tidak.

Rohingya yang merupakan kaum berdarah campuran Arab, Turki, Parsi  (Iran), Moghul (India), Moor (dari Semenanjung Iberia), Pathan dan Mon (ada juga mengatakan bahawa asal keturunan mereka daripada darah campuran tentera penjajah Mongol dengan suku tempatan) pada suatu ketika adalah pemerintah wilayah Arakan (sebahagian daripada Myanmar sekarang) selama ratusan tahun. Asal nama Rohingya dikatakan adalah daripada 'Mrohaung' yang merujuk kepada Kerajaan Tua Arakan yang kemudian diubah kepada Rohang. Daripada Rohang atau Rakhine itulah lahirnya nama Rohingya atau Rakhine-ya.

Malang nasib etnik Rohingya, meskipun pernah memerintah wilayah itu, mereka kini bukan sahaja kehilangan kuasa, malah hak untuk hidup sebagai rakyat biasa juga dinafikan oleh kaum majoriti.

Rupa orang Rohingya, juga pegangan Islam mereka dijadikan alasan oleh warga majoriti Myanmar untuk mendakwa kaum itu sebagai imigran Benggali dari negara jiran, Bangladesh.

Berdasarkan sejarah, Islam telah datang ke Arakan sejak abad pertama Hijrah dibawa kumpulan pedagang tabiin diketuai Waqqash bin Malik.

Kemudian datang pula gelombang kedua pada 172 Hijrah/  788 Masihi ketika era Khalifah Harun al-Rasyid. Kumpulan pedagang Islam itu berlabuh di Pelabuhan Akyab (kini Sittwe) yang juga ibu kota Arakan.

Sejak itu, Islam terus berkembang di wilayah berkenaan.

Dalam aspek politik, pada 1406, pemerintah Arakan, Raja Narameikhla atau Min Saw Mon lari mendapatkan perlindungan daripada Sultan Bengal (Bangladesh sekarang), Nasiruddin Shah apabila kerajaannya diserang oleh Raja Burma.

Selepas 24 tahun hidup dalam buangan, Narameikhla kembali ke Arakan diiringi 20,000 anggota tentera dihantar Sultan Bengal (pada masa itu Sultan Jalaluddin Khan) diketuai Wali Khan.

Narameikhla berjaya mendapatkan semula pemerintahan.  Ketika itu, baginda sudahpun memeluk Islam dan memakai gelaran Sultan Sulaiman.

Kembalinya Narameikhla ke Arakan menandakan berdirinya kerajaan Islam yang pertama di wilayah itu yang kemudian dikenali sebagai Dinasti Mrauk-U.

Setahun kemudian, Wali Khan melakukan kudeta menggulingkan Narameikhla.

Sekali lagi Narameikhla lari ke Bengal. Atas hubungan rapat antara dua kerajaan, Nadir Shah, Sultan Bengal pada 1433 telah menghantar 30,000 anggota tentera diketuai Sindhi Khan ke Arakan.

Narameikhla berjaya kembali ke singgahsana. Sejak itu, Arakan bernaung di bawah kerajaan Bengal dan membayar ufti setiap tahun.

Meskipun demikian, itu bukanlah bermakna Arakan jajahan Kesultanan Bengal.



Bohong

Sepanjang tempoh pemerintahan dinasti Mrauk-U yang diasaskan oleh Narameikhla selama 354 tahun, wilayah jajahannya boleh dikatakan agak luas, menganjur hingga Chittagong, bandar raya pelabuhan terbesar di Bangladesh sekarang.

Ini menunjukkan Arakan walaupun statusnya bukanlah sebuah kerajaan yang besar, hayat dinasti pemerintahannya yang menjangkau ratusan tahun, juga keluasan wilayahnya sama sekali tidak wajar untuk dipadam begitu sahaja dalam rekod sejarah.

Dinasti Mrauk-U yang lahir pada 18 April 1429 kekal hingga 2 Januari 1785. Ia kemudian ditewaskan oleh Dinasti Konbaung yang bukan Islam. Selama tempoh 356 tahun, kerajaan Islam Arakan diperintah oleh 243 raja dengan yang terakhir bernama Thamada. Thamada cuba melarikan diri apabila Arakan diserang oleh angkatan Raja Bodawypaya dari Dinasti Konbaung tetapi ditangkap.

Selepas penaklukan oleh Dinasti Konbaung, berlalu beberapa siri pemberontakan oleh pejuang Arakan tetapi berjaya dipatahkan.

Burma menjajah Arakan selama 41 tahun, kemudian masuk pula British bermula 1825 hingga 1947, selama 122 tahun. Kemasukan British ke Burma juga ada kaitan dengan orang Arakan atau Rohingya. Kegagalan pemberontakan orang Arakan terhadap Kerajaan Burma menyebabkan mereka semakin teruk ditindas.

Ini mendorong mereka lari ke wilayah jajahan British di India. Perkara itu menyebabkan tercetus konflik antara British dengan pihak Burma.

Tidak cukup dengan menghantar tentera ke sempadan, British kemudian menempatkan seorang residen di Rangoon atas alasan mahu meredakan krisis orang Arakan dengan pemerintah Burma. Sebagai imbalan, British juga menyerahkan pelarian Arakan yang lari ke India kepada pihak Burma. Ini semata-mata helah dan percaturan British untuk masuk ke Burma.

Pada 1948, Arakan kembali berada dalam jajahan Burma hingga sekarang.

Burma atau Myanmar - nama negara itu hari ini – merdeka pada 4 Jun 1948. Penjajah Burma, juga British berusaha untuk memadamkan sejarah etnik Rakhine yang beragama Islam sebagai kaum yang pernah menguasai wilayah Arakan.

Ini dilakukan dengan pelbagai cara termasuk propaganda yang tidak masuk akal, antaranya bahawa Arakan pernah dijajah oleh kerajaan Bengal, raja-raja Arakan tidak memeluk Islam, hanya memakai nama Islam dan mengamalkan adat budaya Islam, konon mereka kekal beragama Buddha sepanjang tempoh itu.

Selain itu, dikatakan juga wujud etnik Rakhine yang bukan Islam lalu diberi nama etnik Rohingya bagi yang beragama Islam untuk dikatakan mereka itu adalah imigran Benggali dari Bangladesh yang tidak layak mendapat status kerakyatan Myanmar.

Paling tidak masuk akal, Rohingya yang rata-ratanya hidup tertindas 24 jam dan hanya berkain pelikat, didakwa kumpulan pengganas yang mengancam penduduk Buddha Myanmar. Atas sebab itulah mereka diperangi!



Naturalisasi

Sebelum Myanmar/ Burma mencapai kemerdekaan, diadakan Persidangan Paniong pada 1947. Ketika persidangan itu, diputuskan bahawa Arakan diletak terus di bawah pemerintahan Kerajaan Pusat Rangoon (Yangon), dan tidak diberi hak untuk mentadbir sendiri.

Pada 1982 juga, digubal Akta Kewarganegaraan yang menolak mentah-mentah hak etnik Rohingya untuk mendapat taraf kerakyatan.

Ada segelintir yang diberi taraf naturalisasi, atau dijadikan warganegara atas sebab-sebab yang tertentu namun mereka tetap tidak dibenarkan untuk menyertai politik dan juga beberapa sektor lain yang strategik.

Secara umumnya, etnik Rohingya adalah kaum yang sedang diancam penghapusan, ditindas 24 jam setiap hari tanpa waktu senggang, dihalau dari tanah tumpah darah mereka sendiri tanpa arah tuju kerana dunia juga menyisihkan mereka.

Jika dahulu, raja mereka dalam sejarah, Narameikhla lari ke Bengal setiap kali diancam, kini pada zaman moden, Bengal yang sudah bertukar nama kepada Bangladesh, bukan lagi tempat yang selamat bagi mereka.

Ada laporan bahawa setiap kali etnik Rohingya cuba menyeberang Sungai Teknaf di sempadan dua negara itu, mereka dihalau balik ke wilayah Myanmar oleh tentera Bangladesh ke arah di mana tentera Myanmar pula menanti untuk membelasah malah mencabut nyawa mereka.

Begitulah peritnya hidup berdarah Rohingya!

Yang bukan Islam mahu membunuh mereka, yang seagama tidak membantu malah membisu seribu bahasa. Tiada yang membela melainkan satu-satunya iaitu kerajaan Turki di bawah pimpinan Presiden Reccep Taiyip Erdogan yang telah menggagaskan konsep Biz Bir Ummetiz (Kita Satu Umat). Di bawah Biz Bir Ummetiz, Turki meletakkan Arakan sebagai salah satu wilayah yang mendapat perhatian dan pembelaan kerajaannya selain Gaza, Syria dan Somalia.

Di bawah polisi ini, setiap menteri Turki selain bertanggungjawab terhadap urusan dalam negara, juga dipertanggungjawabkan dengan kerja-kerja pembelaan saudara seagama di wilayah-wilayah yang berkenaan, mengikut portfolio mereka.

Pada 2012, isteri Erdoga, Emine dan Perdana Menteri Turki ketika itu, Ahmet Davutoglu telah ke Rakhine untuk bertemu dan meninjau keadaan penduduk Rohingya. Kerajaan Turki juga pernah menghantar kapal untuk menyelamatkan 'orang hanyut' Rohingya yang terdampar di laut setelah diusir dari negara mereka.

Ibarat kata pepatah, cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit tetapi amat malanglah apabila jiran terdekat, Bangladesh sebaliknya bertingkah laku sama seperti Mesir memencilkan  warga Palestin dari Gaza.

OIC juga hanya sekali sekala melaungkan retorik, sekadar retorik tanpa sebarang tindakan yang nyata untuk membela Rohingya.

Malaysia?

Terlalu banyak urusan dalam negara yang perlu diselesaikan pemimpin kita. Selain itu, pastinya rakyat sendiri yang sentiasa didahulukan mereka!

Myanmar Laksana Kempen Panghapusan Etnik - UNHCR


Diterbitkan: Jumaat, 25 November 2016 12:18 PM

Perkampungan Rohingya di Rakhine musnah akibat dibakar tentera Myanmar. - AFP

YANGON: Pihak berkuasa Myanmar dipercayai melancarkan kempen penghapusan etnik Islam Rohingya di negara itu ketika pihak tentera terus memusnahkan kawasan yang didakwa sebagai lokasi militan Islam, lapor agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), John McKissick berkata, tentera Myanmar telah membunuh golongan lelaki dengan menembak mereka selain membunuh kanak-kanak dan merogol golongan wanita.
Selain itu katanya, pihak keselamatan turut membakar rumah etnik Rohingya dan memaksa mereka menyeberangi sungai untuk memasuki sempadan Bangladesh.
"Situasi itu menyebabkan kerajaan Bangladesh berbelah bahagi untuk membuka kawasan sempadan kerana keputusan tersebut hanya menggalakkan lagi kerajaan Myanmar untuk melakukan pengusiran sehingga matlamat mereka menghapuskan etnik Rohingya tercapai," katanya kepada BBC.
Menurut laporan Amnesty International, kerajaan Bangladesh mula menghalau semula kumpulan pelarian etnik Rohingya ke Myanmar walaupun tindakan itu menyalahi undang-undang antarabangsa.
UNHCR dan Amnesty International menuduh kerajaan Myanmar bertindak membalas dendam dengan kejam terhadap etnik Rohingya ketika tentera negara itu melancarkan operasi antikeganasan di kawasan bergolak tersebut.
Kawasan di utara negeri Arakan atau dikenali sebagai Rakhine, ditutup untuk operasi tentera sejak 9 Oktober lalu susulan kematian sembilan pengawal sempadan akibat serangan militan yang didakwa didalangi etnik Rohingya.

Friday 25 November 2016

Malaysia minta kerajaan Myanmar segera tangani keganasan di Rakhine


25 November 2016 5:55 PM

Rakyat Rohingya di Malaysia berarak secara aman ke kedutaan Mynmar di ibu negara

 Rakyat Rohingya di Malaysia berarak secara aman ke kedutaan Mynmar di ibu negara
Sebahagian umat Islam bersama ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Rohingya di Malaysia berarak secara aman ke kedutaan Mynmar di ibu negara hari ini sebagai menyatakan protes kekejaman yang dilakukan terhadap etnik Rohingya. - GAMBAR/UTUSAN ONLINE/ZAINI HUSIN
PUTRAJAYA 25 Nov. - Malaysia menyeru kerajaan Myanmar supaya mengambil tindakan perlu bagi menangani penghapusan etnik yang didakwa berlaku di Rakhine, sebuah negeri di utara negara itu.

Kementerian Luar Malaysia berkata, ia akan memanggil duta besar Myanmar di Malaysia untuk menghadap bagi menyampaikan kegusaran Kerajaan Malaysia tentang isu itu.

Katanya, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pula akan mengadakan perjumpaan dengan Kaunselor Negara dan Menteri Luar Myanmar, Daw Aung San Suu Kyi dalam tempoh secepat mungkin.

"Malaysia menyeru semua pihak yang terlibat dalam keganasan terbaru supaya mengelak daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan," kata kementerian itu dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Malaysia mengutuk keganasan dahsyat yang berlaku di Rakhine sejak beberapa bulan lepas dan mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah serta menyebabkan banyak penduduk terpaksa melarikan diri dari kampung halaman masing-masing.- BERNAMA

Myanmar mahu hapus etnik minoriti Islam Rohingya - PBB

JUMAAT, 25 NOVEMBER 2016 @ 12:42 AM
RUMAH etnik rohingya dibakar di wilayah Arakan, Myanmar.   


NAYPYIDAW: Myanmar mahu melakukan pembersihan etnik minoriti Islam Rohingya daripada wilayah mereka, kata pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini. Jurucakap agensi pelarian PBB, John McKissick, berkata pasukan tentera bersenjata membunuh penduduk Rohingya di negeri Rakhine, yang menyebabkan mereka lari ke negara jiran, Bangladesh. Kerajaan Myanmar dilaporkan sedang menjalankan operasi menangani pemberontakan sejak serangan terhadap pengawal sempadan pada Oktober lalu. Namun, jurucakap kerajaan menafikan laporan kekejaman itu. Sebaliknya, penduduk Rohingya didakwa membakar rumah mereka di negeri Rakhine. Pihak media tidak dapat meninjau kawasan itu untuk memastikan apa yang berlaku kerana wartawan dan pekerja bantuan dihalang memasuki kawasan berkenaan. Majoriti penduduk Myanmar menganggap kira-kira sejuta etnik Rohingya di Rakhine sebagai pendatang haram dari Bangladesh. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/216551

Rohingya ketakutan

Myanmar terus halalkan pembunuhan etnik minoriti Islam
25 November 2016 12:20 AM


Mohammad Ayaz dan anaknya, Mohammad Osman kini berlindung di kem pelarian di Ukhiya, daerah Coxs Bazar, Bangladesh. Isterinya yang sarat mengandung ditembak mati tentera Myanmar di Rakhine. AFP
NAYPYiDAW 24 Nov. - Kerajaan Myanmar terus menghalalkan pembunuhan besar-besaran et­nik Rohingya Islam di negeri Rakhine dengan tidak meng­endahkan gesaan du­nia yang mendesak supaya kekejaman ter­hadap penduduk minoriti tersebut dihentikan.
Perkara itu terbukti apabila kerajaan Myanmar terus membisu dan enggan menjelaskan keadaan sebenar situasi di Rak­hine yang terus huru-hara selain tidak membenarkan kemasukan media ke negeri berkenaan.
Utusan Malaysia difahamkan, semua Kedutaan Myanmar di negara-negara ASEAN juga sudah ditutup hari ini dan esok kerana terpaksa tunduk kepada gesaan membela nasib Rohingya.
Bagaimanapun, Kaunselor Myan­mar, Aung San Suu Kyi te­rus menzahirkan kekecewaan ter­hadap layanan masyarakat antarabangsa yang disifatkan se­bagai tidak adil kepada kerajaan negara ini walaupun bukti kekejaman terhadap etnik Rohingya telah tersebar di laman-laman sosial.
Situasi dahsyat dan menyayat hati yang dihadapi penduduk Islam itu disahkan oleh etnik Ro­hingya yang berjaya menyebera­ngi sempadan ke Bangladesh yang mendedahkan kezaliman tentera Myanmar termasuk membunuh wanita yang sarat hamil dan memukul kanak-kanak.
Penduduk bernama Moham­mad Ayaz mendedahkan bagai­mana tentera Myanmar menyerang kampung, merogol be­ramai-ramai wanita Rohingya, membakar lebih 300 buah rumah dan membunuhnya iste­rinya yang sarat mengandung.
“Mereka menembak mati isteri saya, Jannatun Naim dalam keadaan dia sarat mengandung tujuh bulan. Saya bersama anak sulung saya yang berusia dua tahun dan cedera akibat dipukul dengan senapang terpaksa berlindung di terusan sawah.
“Saya terpaksa menjual kasut dan jam tangan untuk ke kem pelarian di Bangladesh bersama-sama 200 penduduk yang lain,” katanya kepada AFP.
Petani bernama Deen Mohammad, 50, yang berjaya melepasi kawalan keselamatan tentera Bangladesh pula berkata, dia tiba di Teknaf empat hari lalu bersama isteri, dua anak dan tiga saudaranya.
“Tentera Myamnar menahan dua anak lelaki saya yang berumur sembilan dan 12 tahun. Saya tidak tahu nasib yang menimpa mereka,” katanya.
Jelasnya, ketika melakukan serbuan di kampungnya, tentera Myanmar turut mengurung gadis dan wanita di dalam rumah dan merogol mereka secara beramai-ramai.
Seorang lagi penduduk, Jannat Ara berkata, dia melarikan diri ke Bangladesh dengan jiran-jiran selepas bapanya ditahan dan adik perempuannya yang berusia 17 tahun hilang dipercayai dirogol dan dibunuh tentera Myanmar.
“Kami mendapat tahu adik saya diseksa sehingga mati. Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada ibu saya,” katanya yang sampai di Bangladesh kelmarin. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rohingya-ketakutan-1.411986#sthash.znC6VDSY.dpuf

Thursday 24 November 2016

Warga Jakarta berhimpun di Kedutaan Myanmar isu Rohingya

KHAMIS, 24 NOVEMBER 2016 @ 7:59 PM



ANTARA rakyat Indonesia yang membuat bantahan di luar Kedutaan Myanmar di Jakarta, hari ini. - Foto AP

JAKARTA: Ratusan rakyat Indonesia, yang berang dengan kekejaman terhadap penduduk Islam Rohingya di Myanmar, membuat bantahan hari ini di luar Kedutaan Myanmar di ibu kota Indonesia itu. Jurucakap polis ibu kota ini, Awi Setiyono, berkata sekurang-kurangnya 200 orang menyertai bantahan itu. Mereka berarak dalam tiga kumpulan ke kedutaan, yang dikawal berpuluh anggota polis serta melancarkan bantahan aman namun bingit. Penunjuk perasaan memegang sepanduk besar bertulis, "Hentikan pembunuhan orang Islam di Myanmar" dan melaungkan "Selamatkan Rohingya." Indonesia, negara paling ramai penduduk Islam di dunia, adalah penyokong kuat Rohingya, etnik minoriti Islam dalam kalangan majoriti penduduk Buddha Myanmar. Satu bantahan anti-Myanmar turut dirancang esok oleh kumpulan belia Islam di Malaysia malah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut menggesa negaranya menarik diri daripada perlawanan bola sepak Asia Tenggara yang disertai Myanmar. Kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai rakyatnya, walaupun mereka hidup di negara itu selama beberapa generasi. Penindasan ke atas Rohingya memuncak sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan mereka berdepan keganasan dihasut penganut tegar Buddha dan diskriminasi institusi. Imej satelit definisi tinggi dianalisis pertubuhan hak asasi Human Rights Watch (HRW) menunjukkan kemusnahan 1,250 kediaman di lima perkampungan Rohingya di Rakhine, di mana tentera menjalankan operasi anti-keganasan. Ko Ko Linn, seorang aktivis daripada Pertubuhan Nasional Arakan Rohingya berkata, lebih 100 orang terbunuh dan lebih 1,000 rumah dimusnahkan dalam tindakan keras itu. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/216425

Bangladesh akan usir Rohingya




NOOR Sahara, (tengah) kanak-kanak Rohingya yang kehilangan ibunya, memasuki sempadan Bangladesh bersama jirannya. Gambar dirakam berhampiran sebuah kem pelarian di Teknaf di daerah Cox’s Bazaar, selatan Bangladesh. - Reuters


AP
Teknaf: Polis Bangladesh semalam menahan puluhan pendatang Rohingya, sebahagiannya kanak-kanak dan berkata, mereka akan diusir walaupun berdepan dengan kekejaman tentera di Myanmar.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, 30,000 etnik Rohingya, penduduk minoriti Islam yang tidak diiktiraf sebagai warga negara oleh Myanmar, terpaksa melarikan diri dari kekejaman.

Lebih 2,000 daripada mereka dipercayai menyeberang sempadan Bangladesh sejak beberapa hari lalu.

Polis di Cox’s Bazar, bandar sempadan Bangladesh berkata, mereka menahan 70 Rohingya, termasuk wanita dan kanak-kanak dan akan mengusir mereka pulang ke Rakhine.

“Kami menangkap mereka selepas mereka memasuki negara ini secara haram. Mereka akan dihantar balik ke Myanmar,” kata ketua polis tempatan, Syamol Kumar Nath.

Kawalan keselamatan amat ketat di kedua-dua belah sempadan.

Seorang wanita, Aleya Khatun, 38, yang cedera selepas terkena serpihan periuk api berkata, dia memasuki Bangladesh malam tadi bersama sembilan keluarga lain.

Menurutnya, jirannya, Johra, terbunuh akibat letupan periuk api itu.

“Saya membawa tiga anak Johra kerana tidak ada orang yang menjaga mereka,” kata Khatun menerusi telefon.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 1,200 lagi keluarga Rohingya bersembunyi di kawasan hutan berhampiran sempadan, menanti masa untuk memasuki Bangladesh.

Tentera Myanmar mendakwa membunuh lebih 70 lelaki Rohingya di Rakhine dan menahan lebih 400 yang lain sejak melancarkan kekejaman kira-kira enam minggu lalu atas alasan memerangi keganasan.

Bagaimanapun, aktivis berkata, jumlah itu jauh lebih tinggi.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 8:21 AM

Wednesday 23 November 2016

50 wanita diperkosa askar Myanmar




SEORANG lelaki menutup mayat seorang pelarian Rohingya yang terbunuh dalam kemalangan kereta ketika melarikan diri ke Bangladesh di Cox's Bazar, kelmarin. - Reuters



Maungdaw (Rakhine): Sekurang-kurangnya 50 wanita di dua kampung di sini dirogol tentera Myanmar kelmarin sementara 25 penduduk lelaki ditahan.

Kejadian berlaku selepas sekumpulan 200 tentera Myanmar memasuki Kampung Kyar Gaung Taung pagi Ahad lalu. Mereka menggunakan pembesar suara, memanggil penduduk keluar, kononnya untuk menemui mereka. Penduduk lelaki yang bimbang ditangkap melarikan diri.

Mereka yang tidak melarikan diri diarah berkumpul di kawasan sawah, bersama penduduk wanita.

Di situ, tentera berkenaan mengganggu dan ada yang merogol wanita terbabit, sementara penduduk lelaki dan kanak-kanak didera.

“Kira-kira 50 wanita diperkosa oleh tentera itu. Dua puluh lima penduduk lelaki ditahan. Mereka masih ditahan dan tentera belum lagi meninggalkan kampung berkenaan,” kata seorang penduduk, semalam.

Seorang penduduk, Amir Hussein pula melaporkan, seekor kerbaunya dicuri tentera Myanmar sebelum mereka membakar rumahnya.

“Mereka menyembelih kerbau saya dan memakannya,” kata Amir.

Pada masa sama, sekumpulan 300 tentera mengepung kampung Myaw Taung sebelum merogol penduduk wanita dan mendera lelaki tua. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 9:18 AM

Ratusan lari ke Bangladesh



PELARIAN Rohingya menunggu untuk memasuki Kem Pelarian Kutupalang di Cox’s Bazar, Bangladesh. - Reuters

Agensi
Dhaka: Beratus-ratus etnik Rohingya tiba di Bangladesh selepas melarikan diri dari keganasan di Rakhine, Myanmar, membawa bersama mereka cerita mengenai kekejaman tentera negara itu yang membunuh penduduk dan membakar kampung.

Dalam pada itu, Bangladesh berkata, ia menghalang ratusan lagi masyarakat berkenaan walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu Dhaka membuka sempadannya selepas 30,000 etnik itu kehilangan tempat tinggal akibat keganasan tentera Myanmar dan pengganas Buddha di Rakhine.

Tentera Bangladesh meningkatkan rondaan di sepanjang 237 kilometer sempadannya dengan Myanmar.

Bagaimanapun, pemimpin komuniti Rohingya berkata, kira-kira 1,000 orang berjaya memasuki negara itu.

Kebanyakannya yang berlindung di kem yang disediakan untuk 32,000 pelarian Rohingya berdaftar yang sudah sedia ada di timur Bangladesh, bimbang mereka akan diusir jika ditemui pihak berkuasa.

Mohammad Amin, 17, berkata, dia dan 15 yang lain melarikan diri dari kampung mereka di Rakhine lima hari lalu dan tiba di Bangladesh dengan berenang merentasi Sungai Naf yang memisahkan kedua-dua negara.

“Tentera Myanmar membunuh bapa dan abang saya. Saya bersembunyi di sebuah bukit kemudian berjalan sebelum berenang merentasi sungai dan berlindung di sebuah masjid di Bangladesh,” katanya menerusi telefon.

“Di kampung saya dan kawasan berhampiran, saya hanya melihat rumah dibakar. Saya tidak tahu apa yang berlaku pada ibu dan adik perempuan saya,” katanya.

Zohra Khatun, 25, tiba di Bangladesh bersama tujuh anaknya selepas kampung mereka musnah dibakar tentera Myanmar. Mereka kini dibantu seorang saudara yang berada di kem pelarian di Bangladesh.

“Kami menanti dua hari sebelum berpeluang menyeberang sungai untuk tiba di sini,” kata Khatun menerusi telefon.

Seorang lagi pemimpin masyarakat berkata, 500 orang berlindung di dua kem pelarian Rohingya lain di kawasan itu.

Selain membunuh Rohingya dan membakar rumah mereka di Rakhine, tentera Myanmar juga dilapor memperkosa wanita etnik itu selepas mereka melancarkan operasi, kononnya untuk memburu pengganas di negeri itu September lalu.

“Kami mendengar pelbagai cerita menggerunkan daripada mereka. Sebahagian mereka terpaksa merasuah pegawai untuk memasuki sempadan Bangladesh,” kata seorang petugas hak asasi manusia yang melawat kem pelarian di Bangladesh.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 9:20 AM

Sunday 20 November 2016

Nafi bunuh pelarian




AKTIVIS berarak dan melaungkan slogan membantah pembunuhan etnik Rohingya di Myanmar selepas solat Jumaat di Dhaka, Bangladesh, kelmarin. - AP


Reuters
Yangon: Kerajaan Myanmar kelmarin menafikan dakwaan bahawa tentera negara itu menembak mati penduduk Islam Rohingya yang cuba melarikan diri daripada konflik di negeri Rakhine yang kini meragut 86 nyawa dan menyebabkan lebih 30,000 lagi menjadi pelarian.

Ratusan penduduk Rohingya cuba menyelamatkan diri daripada keganasan di Rakhine dan penduduk memberitahu sebahagian mereka ditembak ketika cuba menyeberangi sebatang sungai yang bersempadan dengan Bangladesh.

Pasukan khas informasi mengenai Rakhine yang ditubuhkan Myanmar pada minggu ini menolak tuduhan terhadap tentera itu.

“Mengenai kejadian ini, selepas menghubungi tentera dan pasukan pengawal sempadan, kami dapati maklumat itu tidak benar,” kata Pejabat Kaunselor Negeri untuk Jawatan Kuasa Maklumat di laman Facebook.

Kata kenyataan itu, tentera dan pasukan pengawal sempadan tidak membuat sebarang operasi berhampiran kawasan sempadan.

“Tentera hanya terbabit dalam operasi pembersihan kawasan di bahagian tengah Rakhine,” jelasnya.

Askar dikerahkan ke utara Rakhine yang terletak berhampiran sempadan Bangladesh selepas berlakunya serangan terhadap tentera pada 9 Oktober lalu.

Tentera mengepung daerah berkenaan yang majoritinya penduduk Rohingya dan menghalang kemasukan pekerja bantuan kemanusiaan dan pemerhati bebas.

Seorang pegawai Bangladesh kelmarin memberitahu, pasukan pengawal sempadan negara itu menghalau balik 82 penduduk Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak yang cuba masuk ke negara itu.

Tindakan itu dilakukan tidak lama selepas dua bot yang membawa 86 pelarian Rohingya juga dihalang masuk ke Bangladesh.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) mendesak pintu sempadan dibuka.

“Adalah sangat penting pintu sempadan dibuka untuk penduduk yang melarikan diri daripada keganasan ketika ini,” kata jurucakap UNHCR, Adrian Edwards.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:10 AM

Monday 14 November 2016

Kampung Islam Rohingya dibakar






AGENSI - GAMBAR bertarikh pada 14 Oktober lalu menunjukkan sejumlah rumah terbakar di sebuah perkampungan Islam di negeri Rakhine.

YANGON – Beratus-ratus bangunan di perkampungan etnik Islam Rohingya di barat Myanmar telah dibakar, demikian menurut imej satelit yang disiarkan semalam ketika pertempuran baharu meletus di rantau bergolak itu.

Pihak tentera menutup kawasan Rakhine Utara yang didiami etnik Rohingya dan bersempadan dengan Bangladesh selepas sembilan anggota polis maut dalam serangan mengejut ke atas beberapa pos sempadan bulan lalu.

Tentera Myanmar didakwa membunuh berpuluh-puluh orang, menangkap ramai yang lain semasa memburu kumpulan penyerang itu. Pemerintah Myanmar berkata, siri serangan itu dilakukan oleh pejuang radikal Rohingya yang mempunyai hubungan dengan militan luar negara.

Menurut pihak tentera, pertempuran baharu meletus kelmarin dengan dua askar dan enam penyerang terbunuh. Tentera Myanmar juga mengerahkan beberapa helikopter tempur untuk mematahkan satu serangan hendap.

Imej satelit baharu yang disiarkan oleh kumpulan pemantau hak asasi manusia antarabangsa, Human Right Watch (HRW) menunjukkan bukti perbuatan membakar kediaman dalam serangan ke atas kampung-kampung yang didiami etnik Rohingya.

Berdasarkan analisis HRW, lebih 400 bangunan dibakar di tiga perkampungan Rohingya di mana pertempuran berlaku.

HRW berkata, kebakaran aktif dan kesan rentung menunjukkan kebanyakan bangunan musnah akibat pembakaran sengaja. Imej baharu itu dirakam pada 10 November lalu.

Pengarah HRW Asia, Brad Adams berkata, gambar-gambar itu memaparkan kemusnahan yang lebih meluas berbanding sangkaan sebelum ini.

“Pihak berkuasa Myanmar perlu menubuhkan siasatan dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai langkah pertama dalam memastikan bahawa mangsa-mangsa mendapat keadilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kewujudan semula keganasan di negeri Rakhine menyebabkan krisis antara etnik Rohingya dan penduduk beragama Buddha kian meruncing. Krisis tersebut menjadi cabaran getir buat pentadbiran baharu Myanmar yang diterajui aktivis demokrasi, Aung San Suu Kyi.

Rakhine dibelenggu ketegangan agama sejak letusan keganasan antara populasi Buddha dan etnik Rohingya pada 2012 yang meragut lebih 200 nyawa.

Krisis itu dan laporan pencabulan hak asasi manusia secara berleluasa oleh pasukan keselamatan mendorong masyarakat antarabangsa meningkatkan terkanan terhadap kerajaan awam Myanmar di samping menimbulkan kesangsian tentang keupayaannya mengawal tentera. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4Pz0B50Ea
Hakcipta terpelihara

Pertempuran sengit di Rakhine




GAMBAR yang diedarkan tentera Myanmar semalam menunjukkan lubang besar akibat letupan periuk api di atas jambatan di kampung Maung Nama Taung di Maungdaw, Rakhine. - AFP


Agensi
Yangon: Kerajaan Myanmar semalam melaporkan pertempuran sengit meletus di Rakhine, negeri di barat negara itu, tempat tentera melancarkan keganasan terhadap penduduk Islam.

Pertempuran itu yang dilaporkan dalam kenyataan Kementerian Penerangan berlaku ketika kumpulan hak asasi manusia menuduh tentera Myanmar mencabuli etnik Rohingya.

Kenyataan itu mendakwa tentera kerajaan diserang hendap pagi kelmarin oleh sekumpulan 60 lelaki bersenjatakan pistol, pisau dan tombak.

Menurutnya, seorang tentera dan sekurang-kurangnya enam penyerang terbunuh.

Ia juga menyatakan, seorang pegawai tentera turut mati dalam pertempuran lain dengan kira-kira 500 lelaki bersenjata yang berakhir dengan dua helikopter tentera udara menyertai pertempuran itu.

Penyerang itu tidak dikenal pasti tetapi tentera yang bersekutu dengan penduduk Buddha Rakhine memerangi etnik Rohingya sejak keganasan kaum meletus pada 2012.

Kenyataan Kementerian Penerangan itu juga mendakwa penyerang membakar sebuah kampung ketika mereka berundur.

Namun, kumpulan hak asasi manusia berkata, bukti menunjukkan tentera Myanmar dan pelampau Buddha yang membakar kediaman penduduk Islam.

Gambar baru satelit yang diperoleh Humans Right Watch (HRW) menunjukkan bukti serangan besar-besaran terhadap perkampungan Rohingya.

Analisis yang dilakukan mereka menunjukkan 400 bangunan dibakar di tiga kampung Rohingya, tempat tentera melakukan keganasan.

Brad Adams, pengarah HRW Asia berkata, gambar baru itu menunjukkan kemusnahan besar-besaran yang lebih teruk daripada disangka.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 7:38 AM

Thursday 3 November 2016

Myanmar terus terima tekanan



AFP - GAMBAR yang dirakam pada 14 Oktober lalu menunjukkan sebuah rumah penduduk Islam yang dibakar di Kampung Warpait dalam negeri Rakhine.


SITTWE – Anggota Parlimen daripada Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) semalam meminta Myanmar supaya menyiasat laporan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku di negeri Rakhine.
Anggota-Anggota Parlimen ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (APHR) mendesak kerajaan Myanmar melakukan siasatan menyeluruh dan telus tentang laporan bahawa pasukan keselamatan bertindak ganas terhadap orang awam di Rakhine. Negeri Rakhine dihuni oleh majoriti penduduk beragama Islam.
Dalam gesaannya, APHR juga meminta tentera Myanmar membenarkan pekerja bantuan dan wartawan memasuki lokasi terjejas untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan dan mem­buat liputan.
“Laporan dari negeri Rakhine adalah mencemaskan dan perlukan siasatan yang boleh dipercayai.
“Semua pihak berkuasa mesti bertindak segera bagi menghalang keganasan sete­rusnya dan melindungi hak penduduk awam,” kata Pengerusi APHR, Charles Santiago yang merupakan Ahli Parlimen Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4OtM8gi9k 
Hakcipta terpelihara