Thursday, 24 November 2016

Bangladesh akan usir Rohingya




NOOR Sahara, (tengah) kanak-kanak Rohingya yang kehilangan ibunya, memasuki sempadan Bangladesh bersama jirannya. Gambar dirakam berhampiran sebuah kem pelarian di Teknaf di daerah Cox’s Bazaar, selatan Bangladesh. - Reuters


AP
Teknaf: Polis Bangladesh semalam menahan puluhan pendatang Rohingya, sebahagiannya kanak-kanak dan berkata, mereka akan diusir walaupun berdepan dengan kekejaman tentera di Myanmar.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, 30,000 etnik Rohingya, penduduk minoriti Islam yang tidak diiktiraf sebagai warga negara oleh Myanmar, terpaksa melarikan diri dari kekejaman.

Lebih 2,000 daripada mereka dipercayai menyeberang sempadan Bangladesh sejak beberapa hari lalu.

Polis di Cox’s Bazar, bandar sempadan Bangladesh berkata, mereka menahan 70 Rohingya, termasuk wanita dan kanak-kanak dan akan mengusir mereka pulang ke Rakhine.

“Kami menangkap mereka selepas mereka memasuki negara ini secara haram. Mereka akan dihantar balik ke Myanmar,” kata ketua polis tempatan, Syamol Kumar Nath.

Kawalan keselamatan amat ketat di kedua-dua belah sempadan.

Seorang wanita, Aleya Khatun, 38, yang cedera selepas terkena serpihan periuk api berkata, dia memasuki Bangladesh malam tadi bersama sembilan keluarga lain.

Menurutnya, jirannya, Johra, terbunuh akibat letupan periuk api itu.

“Saya membawa tiga anak Johra kerana tidak ada orang yang menjaga mereka,” kata Khatun menerusi telefon.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 1,200 lagi keluarga Rohingya bersembunyi di kawasan hutan berhampiran sempadan, menanti masa untuk memasuki Bangladesh.

Tentera Myanmar mendakwa membunuh lebih 70 lelaki Rohingya di Rakhine dan menahan lebih 400 yang lain sejak melancarkan kekejaman kira-kira enam minggu lalu atas alasan memerangi keganasan.

Bagaimanapun, aktivis berkata, jumlah itu jauh lebih tinggi.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 8:21 AM

No comments:

Post a Comment