Sunday 27 November 2016

Rancang bom kedutaan Myanmar




POLIS menunjukkan barangan yang dirampas, termasuk bahan untuk membuat bom, dari rumah suspek di Jawa Barat. - Reuters


Agensi
Jakarta: Polis Indonesia menahan seorang suspek militan dan merampas sejumlah besar bahan membuat bom yang dirancang digunakan untuk menyerang bangunan kerajaan dan kedutaan Myanmar di Jakarta bulan depan.

Media tempatan melaporkan, jumlah bahan letupan yang dirampas itu boleh menyebabkan letupan dua kali ganda lebih besar daripada bom yang digunakan dalam serangan di sebuah kelab malam di Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa.

Jurucakap polis, Boy Rafli Amar memberitahu wartawan di satu sidang akhbar semalam, suspek, Rio Priatna Wibawa, 23, yang dipercayai anggota kumpulan militan Indonesia yang menyokong Daish ditangkap di rumahnya di Majalengka, Jawa Barat, awal minggu ini.

Turut dirampas ialah bendera hitam, peluru, beberapa senjata, termasuk senapang dan parang.

“Kami kini berusaha untuk menyiasat bagaimana dia merancang serangan, sama ada dia bersendirian dan cara dia memperoleh wang membeli bahan letupan itu,” kata Boy.

Rio, graduan sains pertanian di sebuah universiti tempatan dan masih menganggur belajar sendiri untuk membuat bom serta merancang menghantar bahan letupan itu ke beberapa kawasan di seluruh Indonesia.

Indonesia menyaksikan beberapa serangan yang ada hubungan dengan Daish tahun ini, yang terbesar pada Januari lalu di Jakarta yang menyebabkan lapan orang, termasuk empat penyerang terbunuh.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 9:48 AM

No comments:

Post a Comment