Monday 28 November 2016

Selamatkan Rohingya


Tentera Myanmar akan terus bunuh jika PBB, OIC gagal bertindak

28 November 2016 12:31 AM
RAKHINE 27 Nov. - Tentera Myanmar akan terus membunuh etnik Rohingya selagi tiada pihak tampil menyelamatkan penduduk mino­riti Islam tersebut di negeri ini.

Perkara itu didedahkan seorang aktivis hak asasi manusia yang berjaya menghubungi seorang lelaki Ro­hingya yang kini berlindung di sebuah kawasan di Maungdaw selepas tentera Myanmar menyerbu Kampung Sin Thay Pyin dekat pekan Laung Don dan Kampung Pan Myaung di pekan Nga Sar Kyu, kelmarin.

Menurut mangsa yang terselamat dalam serangan itu, ketika kejadian, seorang anggota tentera mengeluarkan ugutan akan terus membunuh Rohingya selagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak menyelamatkan mereka.

Sekurang-kurangnya 19 orang penduduk kampung Rohingya terbunuh dalam serangan itu yang dilakukan kira-kira 500 anggota tentera, pasukan separa tentera dan polis pengawal sempadan Myanmar.

Kira-kira 50 orang lagi penduduk kampung ditahan pihak tentera ketika kaum wanita di kedua-dua kampung itu diperkosa anggota keselamatan.

Aktivis yang enggan dikenali itu berkata, penduduk yang terselamat melihat mayat beberapa dibawa keluar dari ke­dua-dua kampung berkenaan, malah ada juga mayat terapung di dalam longkang di sepanjang lokasi berkenaan.

“Serangan itu menggambar­kan pasukan keselamatan ti­dak bimbang dengan desakan masyarakat antarabangsa dengan meneruskan kekejaman secara membabi buta dan mengetepikan soal hak asasi manusia.

“Mereka terus membunuh penduduk ketika dunia melakukan bantahan untuk kami. Ini menunjukkan tiada pihak yang boleh menyelamatkan kami,” kata aktivis itu kepada Rohingya Blogger.

Dalam perkembangan berkait­an, seorang wanita yang dirogol tentera Myanmar mendakwa, kira-kira 100 orang perempuan turut menjadi mangsa penderaan seksual anggota keselamatan yang menyerbu Kampung Sin Thay Pyin dan Kampung Pan Myaung.

Katanya, dia melihat kira-kira 300 orang wanita dikumpulkan di sebuah padang di bawah terik matahari dan diarahkan supaya berbogel selama dua jam sete­ngah dan mengambil kesempatan terhadap mangsa tidak lama kemudian.

“Lebih 100 wanita dirogol manakala sekurang-kurangnya 40 lagi dibunuh. Agak sukar menyebut jumlah sebenar mangsa yang terbunuh kerana pasukan keselamatan memindahkan ma­­yat itu ke tempat lain,” kata mang­sa kepada RB News.

Setakat semalam, sebanyak tiga orang wanita yang dilarikan tentera sudah pulang ke kampung mereka ketika baki perem­puan dan anak-anak mereka dipercayai masih berada di padang itu tanpa sebarang perlindungan.

Sementara itu, penduduk Rohingya mendakwa menemukan dua kubur besar di Cashew Garden yang terletak di Kampung Sabai Gone dengan menemukan beberapa mayat dan mereka percaya lebih banyak mayat akan ditemukan selepas kerja menggali selesai.

No comments:

Post a Comment