Tuesday 29 December 2015

Puluhan pelombong ditimbus tanah runtuh

Yangon: Berpuluh-puluh pelombong dipercayai tertimbus dalam satu kejadian tanah runtuh di sebuah lombong jed di utara Myanmar kelmarin.
Kejadian tanah runtuh di Hpakant di negeri Kachin itu adalah yang kedua berlaku di wilayah sama dalam tempoh sebulan.
Seorang pekerja di lombong itu berkata, sisa tanah lombong runtuh dan menimbus kira-kira 50 orang pekerja di bawahnya.
“Kira-kira 50 pekerja yang ditimbus tanah berkenaan dan hanya empat hingga lima mayat dijumpai pagi ini (semalam),” katanya.
Jurucakap polis di Hpakant berkata, kejadian berlaku pada tengah hari kelmarin tetapi jumlah sebenar mangsa yang tertimbus tidak dapat disahkan.
“Kami juga masih belum menerima laporan dari pasukan penyelamat mengenai jumlah mangsa yang terkorban,” katanya.
Satu kejadian tanah runtuh di wilayah yang sama pada 22 November lalu menyebabkan seramai 114 pelombong maut.
Kejadian berlaku apabila bukit yang terbentuk dari sisa buangan tanah runtuh dan menimbus pondok pekerja yang sedang tidur.
Kawasan itu terkenal kerana mengeluarkan jed paling berkualiti di dunia. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:05 AM


PASUKAN penyelamat menggunakan jentera berat untuk menggali tanah runtuh yang menimbus puluhan pekerja lombong jed di utara Myanmar.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102730#sthash.tqsPtpCL.dpuf

Myanmar desak Thailand semak hukuman maut

Yangon: Ketua tentera Myanmar mendesak Thailand menyemak semula hukuman mati terhadap dua rakyatnya yang didapati bersalah membunuh pasangan warga Britain selepas perbicaraan itu mencetuskan bantahan.
Akhbar Global New Light of Myanmar semalam melaporkan, Jeneral Min Aung Hlaing meminta Thailand menyemak semula bukti yang mensabitkan kedua-dua pekerja hotel berkenaan.
“Aung Hlaing menghormati proses perundangan di Thailand dan pada masa yang sama menegaskan perlu mengelak situasi mereka yang tidak berdosa dihukum secara salah,” kata akhbar berkenaan.
Kenyataan itu secara jelas menunjukkan pemimpin Myanmar tidak gembira dengan keputusan mahkamah Thailand itu terutama simpati terhadap kedua-dua tertuduh di negara asal semakin memuncak.
Mahkamah di Thailand pada Khamis lalu mendapati Zaw Lin dan Win Zaw Tun bersalah membunuh David Miller, 24, dan membunuh serta merogol Hannah Witheridge, 23,.
Mayat pasangan kekasih itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kawasan pantai di Koh Tao pada September tahun lalu.
Pembunuhan kejam itu menjejaskan reputasi Thailand sebagai syurga pelancongan dunia.
Kes itu juga menimbulkan persoalan terhadap sistem kehakiman Thailand selepas peguam bela mendakwa polis gagal dalam siasatan mereka dan hanya menjadikan tertuduh sebagai kambing hitam.
Bagaimanapun, pendakwa raya dan polis menegaskan bahawa mereka mempunyai bukti kukuh termasuk DNA tertuduh yang ditemui pada mayat Witheridge. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:07 AM


KUMPULAN penunjuk perasaan diketuai sami Buddha mengadakan bantahan terhadap keputusan mahkamah Thailand di Yangon semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102962#sthash.6AHkMN5B.dpuf

Friday 18 December 2015

‘Sudah dua minggu Najiba hilang’

WARTAWAN SINAR HARIAN

Mohd Shakir ditemani isterinya menunjukkan salinan laporan polis dan gambar anaknya, Najiba yang hilang sejak dua minggu lalu.

 PASIR PUTEH - Pasangan warga Rohingya dari Myanmar resah apabila anak perempuan mereka yang hilang sejak dua minggu lalu belum dapat dijejaki.
Keadaan itu menyebabkan Mohd Shakir Abdul Kadir, 40, dan isterinya, Sahara Bibi Abu Kalam, 25, berusaha siang dan malam untuk mencari anaknya, Najiba, 12.
Mohd Shakir berkata, dia membuat salinan gambar anaknya serta meletakkan nombor telefon dan menampalnya di lokasi tertentu di sekitar daerah ini dengan harapan orang ramai yang mempunyai maklumat menghubunginya.
“Saya sudah bertanyakan saudara saya yang tinggal di Kota Bharu, saya bertanyakan kepada kawan-kawan di rumah kongsi tempat saya bekerja, tapi semua orang tidak tahu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Cempaka, Kampung Kelubi Jalan Kota Bharu di sini, semalam.
Menurutnya, pada 5 Disember lalu, Najiba meminta izin untuk keluar membeli makanan kira-kira jam 11 malam di kedai runcit yang terletak hanya kira-kira 60 meter dari rumahnya.
Katanya, selepas 10 minit Najiba tidak kelihatan, dia mengambil keputusan untuk keluar mencarinya.
“Saya tak tunggu lama, saya cari Najiba kerana biasanya dia keluar sekejap saja tetapi dia tidak ada di kawasan itu, saya bertanyakan kepada orang ramai tetapi orang tak tahu ke mana dia pergi.
“Saya dan isteri terus cari di kawasan sekitar tetapi tidak jumpa, saya tidak boleh menjangkakan ke mana dia pergi kerana setahu saya dia tidak mempunyai kawan di sini,” katanya yang membuat laporan polis pada keesokannya.
Mohd Shakir berkata, Najiba yang belum benar-benar fasih berbahasa Melayu, ketika keluar malam itu memakai seluar panjang hijau dan baju-T kuning.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Najiba boleh menghubunginya di talian 018-4737813.
Mohd Shakir bersama keluarga tinggal di daerah ini sejak tiga tahun lalu untuk bekerja sebagai buruh binaan di Bandar Baharu Pasir Puteh, dekat sini.
“Saya harap dapat jumpa Najiba secepat mungkin...fikiran saya terganggu, nak bekerja pun tak senang,” katanya.

Monday 14 December 2015

Suu Kyi tunjuk teladan


SUU KYI memasukkan sampah ke dalam sebuah guni di bandar Kawhmu, Yangon semalam. - AFP

KAWHMU – Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi keluar ke jalan-jalan raya di Myanmar semalam untuk mengutip sampah.
Suu Kyi sebelum ini membe­ritahu wakil-wakil rakyat daripada partinya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) bahawa mereka bertanggungjawab untuk memastikan kawasan ma­sing-masing berada dalam kea­daan bersih.
Parti NLD menang hampir 80 peratus kerusi yang dipertan­dingkan dalam pilihan raya umum Myanmar pada 8 November lalu.
Sampah menjadi masalah besar di Myanmar ekoran kurangnya kutipan secara berkala dan tapak pelupusan sampah. Isu itu digunakan oleh Suu Kyi sebagai cara untuk NLD berkhidmat kepada rakyat.
Pemimpin berumur 70 tahun itu mengetuai sepasukan ahli parti NLD dan sebilangan sukarelawan untuk mengutip sampah di kawasan pilihan ra­yanya di bandar Kawhmu, pinggir Yangon.
Suu Kyi yang memakai sarung tangan getah dan membawa beg sampah berwarna putih me­ngutip sampah yang berselerakan dan kotoran lain.
Beliau tidak bercakap kepada wartawan melainkan untuk memberitahu mereka supaya berhenti merakam gambar dan turut sama mengutip sampah.
“Mengutip sampah ialah perkara pertama yang kami lakukan untuk berkhidmat kepada rakyat,” kata seorang wa­kil rakyat NLD, Thet Thet.
“Kami memerlukan seorang pemimpin yang baik. Apabila beliau (Suu Kyi) bercakap, orang ramai bersedia untuk melaksanakan arahannya. Beliau turut sama membuat kerja, beliau tidak bercakap sahaja,” kata seorang penyokong Suu Kyi, Myo Aung.
Di Mandalay, utara Myanmar, NLD menganjurkan kempen kutipan sampah dengan disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk sami dan pegawai pentadbiran bandar berkenaan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3uGug5XDp 
Hakcipta terpelihara 

6 suspek warga Myanmar ditahan


Bunuh dua rakyat Bangladesh di hutan Genting Highlands

BENTONG 13 Dis. - Kegagalan keluarga mangsa membayar sepenuhnya wang tebusan sebanyak RM50,000 dipercayai menjadi punca pembunuhan kejam dua warga Bangladesh di kawasan hutan Genting Highlands di sini baru-baru ini.
MOHAMAD MANSOR MOHD. NOR
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohamad Mansor Mohd. Nor berkata, berdasarkan siasatan awal, keluarga mangsa sebenarnya telah berjaya mengumpul dan mengirimkan kira-kira RM27,000 kepada kumpulan suspek warga Myanmar itu.
“Memang mangsa berhutang tetapi apabila sudah dapat wang daripada keluarga mangsa, suspek terus minta lagi tebusan sebanyak RM50,000.
“Namun, keluarga mangsa hanya dapat mengumpulkan sebanyak RM27,000 dan ia menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan bertindak kejam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini semalam.
Menurut Mohd. Mansor, dalam kejadian pada 28 November lalu, kedua-dua mangsa yang berumur 29 dan 20 tahun telah ditangkap sebelum dibunuh.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dicampak ke dalam hutan tebal di Genting Highlands.
Katanya, pada 10 Disember lalu pihak polis menemukan mayat mangsa di dalam lubang yang ditutupi daun kayu kira-kira lima kilometer di dalam hutan.
“Hasil bedah siasat terdapat kesan tikaman pada rusuk kanan dan kiri mangsa pertama yang berumur 29 tahun manakala mayat mangsa kedua berumur 20 tahun telah reput pada bahagian kepala serta perut. Dia dipercayai mati akibat kegagalan pernafasan,” katanya.
Sementara itu, katanya, pada masa ini, polis menahan enam suspek warga Myanmar berumur 27 hingga 34 tahun termasuk lima orang di Kulim, Kedah dan seorang di Genting Highlands.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/6-suspek-warga-myanmar-ditahan-1.168853#sthash.si62RkEW.dpuf

Etnik Islam Rohingya terus ditindas


Gambar yang dirakamkan pada Oktober 2012 menunjukkan sebuah masjid yang digunakan oleh penduduk etnik Islam Rohingya dibakar oleh kumpulan radikal Buddha di bandar Sittwe, negeri Rakhine. - AGENSI
DUNIA sebelum ini menganggap isu penderitaan masyarakat Islam Rohingya sebagai ‘masalah kecil’, sedangkan etnik ini telah mengalami penderitaan hidup di tanah air sendiri sejak berdekad-dekad.
Mereka bukan sahaja menghadapi perbalahan politik tetapi mereka juga ditindas daripada segi agama oleh puak pelampau Buddha di ne­geri Rakhine di barat Myanmar.
Nasib yang menimpa masyarakat Islam Rohingya hampir serupa se­perti yang dialami penduduk Islam Bosnia semasa perang di negeri Balkan apabila etnik Rohingya turut berdepan penghapusan etnik oleh puak radikal Buddha yang direstui pihak berkuasa Myanmar.
Selain terpaksa menjadi pelarian, etnik Rohingya turut menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.
Ini berikutan penemuan kem tahanan yang dibina sindiket pemer­dagangan manusia di Bukit Khao Kaew di selatan Thailand kira-kira tiga kilometer dari kubur pertama yang menemukan 26 mayat pela­rian Rohingya, sehingga menyebabkan pihak berkuasa Thailand mengambil tindakan tegas ke atas aktiviti pemerdagangan manusia melibatkan pelarian Rohingya dan Bangladesh.
Sejak itu, terbongkarlah pelbagai kisah menyayat hati yang dialami etnik Rohingya yang terpaksa menjadi pelarian.
Selama berpuluh-puluh tahun etnik Islam Rohingya menjadi mangsa kekejaman, penindasan dan keganasan di tanah air sendiri. Mereka dibunuh dan tidak diberikan hak kemanusiaan, malah golongan wanita mereka dipaksa menjadi hamba seks.
Ia berikutan pihak berkuasa Myanmar mendakwa etnik Rohingya adalah berketurunan Benggali dan tidak mempunyai hak kerakyatan seperti etnik lain.
Menurut Perlembagaan baharu Myanmar, hanya mereka yang berketurunan Benggali dan anak mereka yang tinggal di negara itu sebelum kemerdekaan Myanmar dari Britain pada 1948 sahaja dianggap warganegara. Justeru mereka yang menetap di Myanmar selepas kemerdekaan dianggap sebagai pen­datang asing dan meng­ancam keselamatan negara itu.
Sebenanya, tragedi kemanusiaan yang menimpa etnik Rohingya telah bermula sejak 1938 lagi, apabila sebanyak 30,000 etnik itu dibunuh pada 26 Julai 1938, dan peristiwa itu berulang empat tahun kemudian (1942), dan berlaku lagi pada 1968, 1992 dan 2012.
Sehingga kini dianggarkan 100,000 etnik Islam Rohingya te­lah terbunuh sejak 1942, sejuta lagi menjadi pelarian di seluruh dunia termasuk Malaysia, manakala dua juta lagi masih bertahan di tanah air sendiri dengan mengalami penderitaan dan tekanan dalam pelbagai sudut termasuk sekatan mengamalkan ajaran Islam.
Penindasan itu memberi impak yang sangat mendalam terutama kepada golongan kanak-kanak apabila kanak-kanak Rohingya dinafikan hak untuk bersekolah, menyebabkan ramai kanak-kanak Rohingya yang buta huruf.
Dari sudut penyeksaan pula, etnik Rohingya berdepan pelbagai seksaan dan diperlakukan secara kejam sejak 1942.
Kumpulan radikal Buddha turut merampas tanah, rumah, ternakan, merobohkan masjid serta memberi amaran supaya etnik Rohingya tidak membaiki masjid yang rosak dalam keganasan agama pada 2012.
Malah, ratusan masjid di negeri Rakhine dibakar dan diganti de­ngan kuil Buddha, sementara majlis perkahwinan dan pergerakan minoriti itu turut dihadkan dan mereka hanya boleh membuat perjalanan dengan keizinan pihak tentera.
Penduduk Rohingya juga di­kenakan cukai yang melebihi pendapatan mereka.
Penderitaan dan penyeksaan yang dialami itu mendorong etnik Islam Rohingya sanggup ‘berkampung’ selama ber­bulan-bulan di laut­an menjadi pelarian untuk menuju ke negara lain trmasuk Malaysia.
Mei lalu, lebih 120,000 kumpulan minoriti Islam ini sanggup bergadai nyawa menaiki bot-bot kecil semata-mata untuk menyelamatkan diri walaupun tidak tahu arah tujuan.
Sebelum ini dilaporkan lebih 1,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya bertindak terjun ke dalam laut selepas bot mereka tersekat di beting pasir dan kebanyakan mereka berenang ke Langkawi dan Aceh sehingga menimbulkan kekecohan dalam kalangan penduduk tempatan.
Dalam keadaan terhimpit itu, penduduk Rohingya yang menjadi pelarian turut menjadi mang­sa sindiket penyeludupan dengan mengenakan bayaran untuk membawa mereka keluar dari Myanmar.
Mengikut laporan UNHCR, ter­­dapat antara 200,000 hingga 500,000 warga Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, dan hanya 30,000 daripada mereka mempunyai dokumen dan tinggal di dua kem yang ttidak mempunyai kemudahan yang lengkap dan hidup dalam keadaan menyedihkan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/etnik-islam-rohingya-terus-ditindas-1.168698#sthash.BVfpzTHk.dpuf

Suu Kyi gagal lindungi etnik Islam Rohingya


Tindakan Suu Kyi berdiam diri mengenai nasib etnik Islam Rohingya menerima kecaman daripada masyarakat dunia terutama negara Islam. Agensi
KEMENANGAN besar yang dicatat ikon hak asasi manusia Myanmar, Aung San Suu Kyi dan parti pimpinannya, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pada Pilihan Raya Umum bulan lepas dilihat akan membawa Myan­mar menjadi sebuah negara yang lebih demokrasi dan maju.
Kejayaan parti berkenaan juga membawa perubahan kepada pentadbiran di negara itu, beralih daripada sistem pemerintahan tentera yang menindas rakyat ke arah pemerintahan yang dipimpin oleh rakyat.
Justeru, pelbagai pihak tertanya-tanya adakah kemenangan Suu Kyi yang memperjuangkan hak asasi manusia dan perubahan sistem pemerintahan di Myanmar akan turut mengubah nasib etnik Islam Rohingya yang teruk ditindas dan tidak diberikan perhatian oleh kerajaan junta Myanmar menyebabkan sebahagian besar mereka terpaksa menjadi pelarian untuk menyelamatkan diri daripada kekejaman puak pelampau Buddha.
Namun, ramai melihat nasib Rohingya tidak akan berubah dibawah pentadbiran baharu tersebut berdasarkan tindakan Suu Kyi dan NLD sebelum ini ketika kempen pilihan raya tidak menyentuh langsung tentang nasib dan masa depan etnik Rohingya.
Ketika pemerintahan yang di­pimpin kerajaan junta, hak kewarganegaraan etnik Rohingya dibatalkan dan mereka dilabelkan sebagai pendatang dari Bangladesh.
Ekoran kehilangan kewarganegaraan, sebahagian besar penduduk Rohingya tidak layak me­ngundi pada pilihan raya umum lalu.
Sebelum itu penduduk Ro­hingya menjadi sasaran serangan penduduk negeri Rakhine yang beragama Buddha sehingga menarik perhatian antarabangsa pada 2012.
Akta Kewarganegaraan 1982 mengiktiraf 135 kumpulan etnik di negara itu sebagai rakyat Myanmar, namun etnik Rohingya diketepikan. Etnik yang diiktiraf sebagai paling ditindas itu kemudian hanya diberikan kad kewarganegaraan sementara, namun menjelang April tahun ini, kad berkenaan tidak lagi diperakui.
Sistem diskriminasi sama dite­ruskan apabila pilihan raya umum diadakan. Berdasarkan laporan 7.6 juta etnik Rohingya tidak dibenarkan mengundi dalam pilihan raya umum yang lalu.
Semasa berkempen untuk par­tinya, Suu Kyi hanya berdiam diri berhubung isu berkenaan ke­rana bimbang kehilangan sokongan daripada penduduk Myanmar yang majoritinya beragama Buddha.
Suu Kyi juga dilaporkan terpaksa menggugurkan beberapa calon da­ripada etnik Rohingya yang diletakkan bertanding dalam pilihan raya tersebut selepas kerajaan junta menetapkan syarat, etnik berkenaan tidak dibenarkan bertanding, walaupun calon-calon tersebut telah bersama beliau sejak 1999.
Seorang pegawai Suu Kyi sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa isu Rohingya bukan agenda utama kempen mereka.
Selain itu, jika NLD membentuk kerajaan dan mahu menjaga kebajikan Rohingya, mereka bakal menghadapi tentangan daripada parti-parti politik radikal Buddha yang disokong tentera iaitu Parti Pembangunan Kesatuan Persaudaraan (USDP) yang bergerak di peringkat nasional dan Parti Nasional Arakan (ANP) yang menjaga kepentingan penduduk Rakhine.
USDP dan ANP yang menerima sokongan kuat kerajaan junta dilaporkan memenangi beberapa kerusi Parlimen dan menguasai majoriti kerusi yang dipertandingkan di negeri Rakhine.
Keadaan itu pasti akan menyebabkan proses untuk mengembalikan hak etnik Rohingya bertambah sukar.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/suu-kyi-gagal-lindungi-etnik-islam-rohingya-1.168727#sthash.brdd2u0r.dpuf

Saturday 12 December 2015

Polis Thai mahu saman bekas penyiasat

12 DISEMBER 2015

 BANGKOK - THAILAND. Polis Thailand semalam berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang bekas penyiasat kes pemerdagangan manusia kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah membabitkan pegawai kanan negara itu.
Mejar Jeneral Polis, Paween Phongsirin tiba di Melbourne beberapa hari lalu dan memberitahu stesen penyiaran Broadcasting Corp Australia  pada Khamis bahawa beliau bimbang dibunuh kerana mendakwa pegawai berpengaruh dalam kerajaan, tentera dan polis yang terlibat dalam pemerdagangan manusia mahu beliau mati.
Ketua Polis Thailand, Jakthip Chaijinda berkata, beliau tidak tahu mengapa Paween melarikan diri tetapi berkata pasukan undang-undang telah memeriksa sama ada kenyataan dikeluarkan Paween itu adalah satu fitnah.
"Saya tidak tahu sebab mengapa dia terpaksa pergi dan bercakap tentang isu ini. Dia sepatutnya mendiamkan diri kerana kenyataannya boleh menjejaskan negara," kata Jakthip.
Paween meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah 8, bulan lalu kerana mendakwa arahan untuk memindahkannya ke selatan Thailand akan mendedahkan beliau kepada tindakan balas dendam oleh anggota sindiket yang masih bebas.
Beliau dipilih mengetuai siasatan kes itu selepas lebih 30 kubur imigran dijumpai di sebuah kem penyeludupan manusia di satu kawasan hutan di Songkhla pada 1 Mei lalu.
Bulan lalu, seramai 88 suspek termasuk seorang pegawai kanan tentera berpangkat jeneral dihadapkan ke mahkamah jenayah kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perdagangan manusia.
Panel tujuh hakim memperincikan dakwaan terhadap kumpulan berkenaan yang dituduh memperdagangkan manusia antara Januari 2011 hingga Mei 2015. - Reuter
s

Friday 11 December 2015

Takut kena bunuh

Bangkok: Seorang bekas pegawai polis Thailand yang mengetuai siasatan terhadap sindiket penyeludupan imigran Rohingya dari Myanmar kini meminta perlindungan politik di Australia.
Media di Australia semalam melaporkan, Paween Pongsirin mendakwa ada tokoh berpengaruh dalam kerajaan, tentera dan polis mahu dia dibunuh.
Paween tiba di Melbourne awal minggu ini dengan visa pelancong, tetapi memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia dan akhbar Guardian Australia bahawa dia merancang memohon suaka.
“Saya menyiasat kes penyeludupan manusia bagi membantu mangsa yang berdepan masalah.

“Saya tidak pernah memikirkan kepentingan diri sendiri, tetapi kini saya pula yang berdepan masalah.
“Saya percaya ada tempat yang selamat untuk saya. Satu tempat di dunia yang boleh membantu saya,” katanya.
Paween meletak jawatan pada 5 November lalu selepas dipindahkan ke selatan Thailand, wilayah beberapa tokoh berpengaruh ditangkap kerana terbabit dalam aktiviti penyeludupan imigran dari Myanmar dan Bangladesh.
Pasukan Paween mengeluarkan 153 waran tangkap dan menahan 91 suspek, tetapi pengaruh sebahagian suspek menyebabkan dia dalam bahaya.
Paween dipilih mengetuai siasatan kes itu selepas lebih 30 kubur imigran dijumpai di sebuah kem penyeludupan manusia di satu kawasan hutan di Songkhla pada 1 Mei lalu.
Antara suspek yang ditangkap termasuklah seorang pegawai kanan tentera, Mejar Jeneral Manas Kongpan dan beberapa ahli politik.
“Ada individu termasuk pegawai polis dan tentera terbabit dengan aktiviti ini, dan malangnya mereka mempunyai kuasa.
“Memindahkan saya ke selatan Thailand bermakna mereka mahu saya mati,” tambahnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 7:01 AM


PAWEEN ketika menjawab soalan wartawan dalam satu sidang akhbar mengenai kes penyeludupan manusia pada Mei lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/99377#sthash.XywusVHb.dpuf

Monday 7 December 2015

Suu Kyi bakal pimpin Myanmar

7 DISEMBER 2015

YANGON - MYANMAR. Bekas pemimpin junta tentera, Than Shwe menyatakan sokongannya terhadap Aung San Suu Kyi dan memberi gambaran bahawa ikon demokrasi itu bakal menjadi pemimpin masa depan Myanmar.
Than Shwe turut menyokong Suu Kyi menjadi presiden, meskipun Perlembagaan negara itu melarang beliau memegang jawatan tersebut.
Bekas pemimpin berusia 82 tahun itu telah menjalankan pemerintahan autoritarian sejak 1992 dan bersara sebagai ketua tentera pada 2011.
Beliau adalah ‘musuh ketat’ Suu Kyi.
“Semua orang perlu menerima hakikat bahawa Aung San Suu Kyi akan menjadi pemimpin masa depan Myanmar selepas memenangi pilihan raya.
“Saya akan menyokongnya dengan sepenuh tenaga,” katanya.
Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) diketuai Suu Kyi di ambang peralihan kuasa selepas memenangi lebih daripada 80 peratus kerusi pada pilihan raya Parlimen, November lalu.
Namun, Suu Kyi, 70, dihalang daripada menjadi pemerintah utama Myanmar berikutan Perlembagaan 2008 oleh junta tentera menghalang individu yang mempunyai pasangan atau anak warga asing daripada menjadi Presiden. – Reuter
s

Thursday 3 December 2015

29 warga Myanmar tempuh 
perjalanan 10 hari sebelum ditahan

03 Disember 2015 12:49 AM

PADANG BESAR 2 Dis. – Penat lelah 29 warga Myanmar termasuk dua wanita menempuh perjalanan selama 10 hari dari negara mereka menerusi jalan laut dan darat untuk masuk ke negara ini tidak berbaloi apabila mereka ditahan ketika cuba menceroboh di kawasan sempadan di ladang getah Chuping, di sini malam tadi.
Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 52 tahun itu juga terpaksa membayar RM5,000 seorang kepada ejen yang menjanjikan pekerjaan bergaji lumayan di tapak pembinaan atau restoran di Kuala Lumpur.
Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan pukul 9.30 malam itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini.
“Berdasarkan maklumat awal, mereka menaiki bot selama sehari dari Myanmar sehingga ke Ranong, Thailand sebelum dibawa ejen sehingga ke Hatyai seterusnya ke Danok, Thailand, dengan berjalan kaki dan menaiki bas, selama sembilan hari.
“Sebaik sahaja sampai di Danok, mereka diarah berjalan kaki dan menceroboh masuk ke sempadan Malaysia di Chuping menerusi pagar rosak sebelum ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Syed Basri, berdasarkan dua warna tali yang diikat pada pergelangan kaki pendatang asing terbabit, kesemua mereka akan diambil oleh dua tekong berlainan.
Bagaimanapun katanya, dalam operasi disertai 25 anggota risikan UPP itu, tiada tekong atau ejen ditangkap.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3), Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 kerana memasuki negara tanpa dokumen perjalanan yang sah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/29-warga-myanmar-tempuh-8232-perjalanan-10-hari-sebelum-ditahan-1.164932#sthash.xDZQxTYa.dpuf

Suu Kyi bertemu Presiden Myanmar


Thein Sein (kiri) bersalaman dengan Suu Kyi semasa pertemuan di Naypyidaw, Myanmar, semalam. REUTERS
NAYPYIDAW 2 Dis. – Pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi hari ini mengadakan pertemuan bersama Presiden negara ini bagi membincangkan hal ehwal pe­r­­­­­alihan kuasa, kali pertama setelah hampir sebulan parti pembangkang memenangi pilihan raya.
Perbincangan antara pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu bersama bekas ketua tentera, Jeneral, Thein Sein berlangsung hampir sejam.
“Mereka berbincang tentang peralihan kerajaan baharu secara aman. Perbincangan berlangsung dengan tenang dan terbuka.
“Kita tidak mempunyai tradisi peralihan kuasa secara aman bagi setiap kerajaan baharu sejak mencapai kemerdekaan pada 1948. Kami mahu mempertahankan tradisi seperti ini pada masa depan,” kata Menteri Penerangan Myanmar, Ye Htut.
Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) mengesahkan pertemuan tersebut dalam laman sosial Facebooknya, namun tiada maklumat terperinci didedahkan.
Selain itu, Suu Kyi turut me­ngadakan pertemuan dengan Pang­lima Besar Angkatan Tentera Myan­mar, Jeneral Min Aung Hlaing dalam satu lagi pertemuan petang ini.
Pemerhati memuji tindakan Myan­mar yang berjaya menjalankan sebuah pilihan raya yang aman, bebas, dan adil selepas hampir separuh abad berada dalam peme­rintahan autokrasi.
Pada pilihan raya 8 November lalu, NLD memenangi hampir 80 peratus kerusi yang dipertan­dingkan, sekali gus mengambil alih pemerintahan tentera sejak sekian lama. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/suu-kyi-bertemu-presiden-myanmar-1.164896#sthash.779DIsaD.dpuf

Tuesday 1 December 2015

Suu Kyi temui Presiden Myanmar, Thein Sein esok


AFP - SUU KYI (dua dari kiri) menemui beberapa wakil rakyat NLD di Yangon pada 28 November lalu.


YANGON – Ketua pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi akan menemui Presiden Myanmar, Thein Sein dan ketua tentera, Min Aung Hlaing esok, pertemuan pertama mereka sejak Suu Kyi memenangi pilihan raya bersejarah awal bulan ini, kata seorang pegawai kanan kerajaan.
Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi, 70, menang besar dalam pilihan raya umum Myanmar itu dan perlu menjalinkan hubu–ngan baik dengan tentera supaya kerajaannya dapat berjalan dengan lancar.
Beliau yang juga merupakan bekas tahanan politik, dilarang daripada menjadi Presiden Myanmar di bawah perlembagaan negara yang dicipta oleh pihak tentera.
Suu Kyi mengundang ketua angkatan tentera dan Presiden Myanmar itu selepas pilihan raya pada 8 November lalu bagi membincangkan perdamaian kebangsaan.
NLD akan menjadi parti dominan apabila Parlimen baharu Myanmar bersidang pada Februari depan.
“Suu Kyi akan menemui Presiden Thein Sein di kediaman rasminya pagi esok dan komander tentera di pejabatnya pada tengah hari.
“Pertemuan mereka diadakan secara tertutup,” kata pegawai kanan di Pejabat Presiden, Zaw Htay semalam. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3t1EgyxXp 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday 25 November 2015

Kewarganegaraan etnik Rohingya ditolak

Kewarganegaraan etnik Rohingya ditolak
Ribuan penduduk Rohingya yang tinggal di kem sementara Thel-Chaung di Rakhine memerlukan kewarganegaraan bagi mengesahkan status mereka. - Foto AFP
25 NOVEMBER 2015

YANGON - MYANMAR . Kerajaan yang disokong tentera Myanmar menolak permohonan untuk memberikan kewarganegaraan kepada etnik minoriti Rohingya di negara itu.
Jurucakap presiden dan Menteri Penerangan, Ye Htut berkata, permohonan kewarganegaraan masyarakat Islam itu tidak akan dilayan dan pihak pentadbiran tidak akan meluluskannya.
"Pendirian kerajaan adalah kita menolak sepenuhnya penggunaan istilah Rohingya," katanya menerusi satu kenyataan yang ditulis di media sosial Facebook.
Difahamkan, kenyataan itu dibuat berikutan Semakan Berkala Sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mengkaji keadaan hak asasi manusia di semua negara anggotanya.
Kerajaan Myanmar didakwa tidak mempedulikan lebih separuh daripada 281 cadangan kajian termasuk semua yang berkaitan dengan hak sivil dan politik etnik Rohingya di negara Asia Tenggara.
Pegawai negara terbabit turut mengkategorikan sebahagian besar daripada 1.3 juta penduduk Rohingya sebagai Benggali, dan menganggap mereka adalah pendatang haram dari negara jiran Bangladesh. - Press TV

Monday 16 November 2015

Myanmar negara paling pemurah


16 NOVEMBER 2015
derma

LONDON - BRITAIN. Negara Myanmar menduduki ‎kedudukan pertama  bagi negara paling murah hati di dunia.

Memetik laporan AFP, menerusi kajian yang dijalankan Yayasan Bantuan Kebajikan (CAF) yang berpusat di London mendedahkan bahawa sembilan daripada 10 orang dewasa negara itu menderma dan separuh lagi menghabiskan masa mereka bekerja secara sukarela untuk tujuan kebajikan.

"Sementara Malaysia menduduki tangga kesepuluh, manakala Burundi berada ditempat tercorot, diikuti oleh China, Yaman dan Lithuania," petik kenyataan CAF.

Dalam pada itu, CAF mendapati lebih ramai penduduk dunia menderma dengan sekitar 1.4 bilion atau 31.5 peratus penduduk dewasa menyumbangkan wang pada 2014, meningkat daripada 31.5 peratus pada 2013.

Thein Sein ikrar peralihan kuasa berlangsung aman

Yangon: Presiden Thein Sein semalam berkata, pilihan raya bersejarah yang menyaksikan kemenangan besar diraih parti pembangkang pimpinan Aung San Suu Kyi adalah hasil pembaharuan yang dilaksanakan kerajaannya.
Bekas jeneral itu yang meninggalkan pasukan tentera untuk menguasai kerajaan campuran awam Myanmar lima tahun lalu juga mengulangi ikrar untuk memastikan peralihan kuasa dilakukan secara aman dan lancar.
Berucap di mesyuarat parti politik di Yangon, kemunculan pertamanya di khalayak ramai sejak pilihan raya berkenaaan, Thein Sein berkata: “Keputusan pilihan raya itu adalah hasil proses pembaharuan dan seperti yang kami janjikan, kami berjaya mengadakannya secara adil.
“Jangan bimbang mengenai peralihan kuasa. Kami akan menyerahkannya kepada kerajaan baru.”
Hampir 90 parti politik, sebahagiannya tumpas dalam pilihan raya berkenaan, hadir pada mesyuarat berkenaan.
Parti Liga untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi memenangi 80 peratus kerusi dalam pilihan raya itu.
Thein Sein dan panglima tentera negara itu sebelum ini berkata, mereka akan berbincang dengan Suu Kyi dalam masa terdekat ini untuk berbincang mengenai peralihan kuasa.
Kerajaan baru Myanmar dijangka dibentuk Januari depan, tetapi Suu Kyi berdepan sekatan untuk mengambil alih jawatan presiden kerana perlembagaan negara itu menghalang mereka yang berkahwin dengan rakyat asing atau mempunyai anak warga negara lain memegang jawatan itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 7:13 AM


Thein
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93357#sthash.CqY3wtIQ.dpuf

Saturday 14 November 2015

Parti Suu Kyi boleh bentuk kerajaan

Yangon: Parti pembangkang pimpinan Aung San Suu Kyi memenangi majoriti parlimen Myanmar dalam pilihan raya hujung minggu lalu membolehkan ia melantik presiden dan membentuk kerajaan sekali gus menamatkan pemerintahan junta tentera.
Ia adalah kali pertama parti National League for Democracy (Liga Kebangsaan Demokrasi - NLD) pimpinan Suu Kyi sejak 1990 yang menyaksikan ia menguasai 80 peratus kerusi. Suu Kyi, 70, dibebaskan dari tahanan dalam rumah oleh tentera lima tahun lalu.
Pilihan raya itu dikendalikan Kesatuan Suruhanjaya Pilihan Raya. NLD perlu memenangi dua pertiga kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan dan ia sudah memenangi 348 kerusi ketika masih ada beberapa keputusan belum diumumkan.
Bagaimanapun, perlembagaan oleh junta tentera tidak membenarkan Suu Kyi menjadi presiden dan tentera tetap menguasai 25 peratus kerusi. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 5:28 PM


Ahli NLD bergambar di depan potret besar pengerusi parti itu, Aung San Suu Kyi, di depan ibu pejabat NLD di Yangon. NLD menguasai lebih dua pertiga kerusi parlimen Myanmar membolehkan ia melantik presiden dan membentuk kerajaan. - Foto EPA
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92864#sthash.faYKlFQO.dpuf

Friday 13 November 2015

Tentera janji alih kuasa lancar

Yangon: Tentera Myanmar semalam berikrar untuk memastikan peralihan kuasa dilakukan secara lancar ketika parti prodemokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi hampir mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya negara itu.
Myanmar dikuasai tentera selama hampir setengah abad menerusi pemerintahan secara langsung. Sejak 2011, ia ditadbir oleh kerajaan campuran yang dikuasai sekutunya.
Bagaimanapun, keseimbangan kuasa kini hampir beralih kepada Liga
Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi.
Parti itu menguasai hampir 80 peratus kerusi yang diumumkan sejak pilihan raya Ahad lalu, pencapaian besar dalam perjuangan demokrasinya.
Menjelang petang semalam, NLD hanya kekurangan 38 kerusi untuk meraih 329 kerusi di kedua-dua dewan.
Dalam kenyataan menerusi Facebook, ketua tentera Min Aung Hlaing mengucapkan tahniah kepada NLD dan Suu Kyi serta berjanji menghormati keputusan berkenaan dan bekerjasama dengan kerajaan baru. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 7:30 AM

AKTRES Kay Kay Moe Myint bergambar selfie di luar kediaman Suu Kyi di Yangon semalam selepas pemimpin pembangkang itu meraikan selebriti yang berkempen untuknya pada pilihan raya lalu.

Thursday 12 November 2015

Ketua tentera Myanmar ikrar kerjasama dengan kerajaan baharu

KHAMIS, 12 NOVEMBER 2015 @ 12:55 PM

 YANGON: Ketua tentera paling berkuasa di Myanmar bersetuju untuk bekerjasama dengan parti yang bakal membentuk kerajaan baharu pimpinan Aung San Suu Kyi selepas memperoleh majoriti pada pilihan raya umum negara itu. "Tatmadaw (angkatan tentera) akan melakukan kerjasama yang berbaik dengan kerajaan baharu kelak selepas pilihan raya tamat," kata Ming Aung Hlaing dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya selepas mengadakan perbincangan dengan pegawai tertinggi tentera hari ini. - AFP

Ming Aung Hlaing

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/96335

Suu Kyi panggil rundingan damai antara Presiden, ketua tentera



YANGON: Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi hari ini menggesa rundingan damai kebangsaan diadakan dengan Presiden Myanmar dan ketua tentera selepas parti diketuainya menang besar dalam pilihan raya umum, Ahad lalu.
Dengan kuasa yang ada selepas Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) menguasai hampir 90 peratus kerusi yang sudah diumumkan setakat ini, Suu Kyi mengambil inisiatif berkenaan.
"Rakyat sudah menyatakan kehendak mereka dalam pilihan raya ini," katanya dalam sepucuk surat yang dihantar kepada kepada Presiden Thein Sein, Ketua Komander Min Aung Hlaing serta Speaker Dewan, Shwe Mann, hari ini.
"Saya ingin menjemput anda untuk membincangkan perdamaian kebangsaan pada minggu depan mengikut waktu anda."
Surat berkenaan yang dikongsi oleh NLD, dihantar selepas pergerakan demokrasinya mengalahkan parti pemerintah.
Keseimbangan kuasa Myanmar, yang didominasi sekian lama oleh junta tentera dan sekutunya, dilihat bakal berakhir.
Bagaimanapun, kemenangan itu tetap mendatangkan resah kepada penyokong Suu Kyi mengenai bagaimana pihak tentera bertindak balas terhadap keputusan pilihan raya yang memeritkan itu. - AFP


IKON demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi. - Foto EPA