Mereka bukan sahaja menghadapi perbalahan politik tetapi mereka juga ditindas daripada segi agama oleh puak pelampau Buddha di ne­geri Rakhine di barat Myanmar.
Nasib yang menimpa masyarakat Islam Rohingya hampir serupa se­perti yang dialami penduduk Islam Bosnia semasa perang di negeri Balkan apabila etnik Rohingya turut berdepan penghapusan etnik oleh puak radikal Buddha yang direstui pihak berkuasa Myanmar.
Selain terpaksa menjadi pelarian, etnik Rohingya turut menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.
Ini berikutan penemuan kem tahanan yang dibina sindiket pemer­dagangan manusia di Bukit Khao Kaew di selatan Thailand kira-kira tiga kilometer dari kubur pertama yang menemukan 26 mayat pela­rian Rohingya, sehingga menyebabkan pihak berkuasa Thailand mengambil tindakan tegas ke atas aktiviti pemerdagangan manusia melibatkan pelarian Rohingya dan Bangladesh.
Sejak itu, terbongkarlah pelbagai kisah menyayat hati yang dialami etnik Rohingya yang terpaksa menjadi pelarian.
Selama berpuluh-puluh tahun etnik Islam Rohingya menjadi mangsa kekejaman, penindasan dan keganasan di tanah air sendiri. Mereka dibunuh dan tidak diberikan hak kemanusiaan, malah golongan wanita mereka dipaksa menjadi hamba seks.
Ia berikutan pihak berkuasa Myanmar mendakwa etnik Rohingya adalah berketurunan Benggali dan tidak mempunyai hak kerakyatan seperti etnik lain.
Menurut Perlembagaan baharu Myanmar, hanya mereka yang berketurunan Benggali dan anak mereka yang tinggal di negara itu sebelum kemerdekaan Myanmar dari Britain pada 1948 sahaja dianggap warganegara. Justeru mereka yang menetap di Myanmar selepas kemerdekaan dianggap sebagai pen­datang asing dan meng­ancam keselamatan negara itu.
Sebenanya, tragedi kemanusiaan yang menimpa etnik Rohingya telah bermula sejak 1938 lagi, apabila sebanyak 30,000 etnik itu dibunuh pada 26 Julai 1938, dan peristiwa itu berulang empat tahun kemudian (1942), dan berlaku lagi pada 1968, 1992 dan 2012.
Sehingga kini dianggarkan 100,000 etnik Islam Rohingya te­lah terbunuh sejak 1942, sejuta lagi menjadi pelarian di seluruh dunia termasuk Malaysia, manakala dua juta lagi masih bertahan di tanah air sendiri dengan mengalami penderitaan dan tekanan dalam pelbagai sudut termasuk sekatan mengamalkan ajaran Islam.
Penindasan itu memberi impak yang sangat mendalam terutama kepada golongan kanak-kanak apabila kanak-kanak Rohingya dinafikan hak untuk bersekolah, menyebabkan ramai kanak-kanak Rohingya yang buta huruf.
Dari sudut penyeksaan pula, etnik Rohingya berdepan pelbagai seksaan dan diperlakukan secara kejam sejak 1942.
Kumpulan radikal Buddha turut merampas tanah, rumah, ternakan, merobohkan masjid serta memberi amaran supaya etnik Rohingya tidak membaiki masjid yang rosak dalam keganasan agama pada 2012.
Malah, ratusan masjid di negeri Rakhine dibakar dan diganti de­ngan kuil Buddha, sementara majlis perkahwinan dan pergerakan minoriti itu turut dihadkan dan mereka hanya boleh membuat perjalanan dengan keizinan pihak tentera.
Penduduk Rohingya juga di­kenakan cukai yang melebihi pendapatan mereka.
Penderitaan dan penyeksaan yang dialami itu mendorong etnik Islam Rohingya sanggup ‘berkampung’ selama ber­bulan-bulan di laut­an menjadi pelarian untuk menuju ke negara lain trmasuk Malaysia.
Mei lalu, lebih 120,000 kumpulan minoriti Islam ini sanggup bergadai nyawa menaiki bot-bot kecil semata-mata untuk menyelamatkan diri walaupun tidak tahu arah tujuan.
Sebelum ini dilaporkan lebih 1,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya bertindak terjun ke dalam laut selepas bot mereka tersekat di beting pasir dan kebanyakan mereka berenang ke Langkawi dan Aceh sehingga menimbulkan kekecohan dalam kalangan penduduk tempatan.
Dalam keadaan terhimpit itu, penduduk Rohingya yang menjadi pelarian turut menjadi mang­sa sindiket penyeludupan dengan mengenakan bayaran untuk membawa mereka keluar dari Myanmar.
Mengikut laporan UNHCR, ter­­dapat antara 200,000 hingga 500,000 warga Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, dan hanya 30,000 daripada mereka mempunyai dokumen dan tinggal di dua kem yang ttidak mempunyai kemudahan yang lengkap dan hidup dalam keadaan menyedihkan.