Monday 14 December 2015

Suu Kyi tunjuk teladan


SUU KYI memasukkan sampah ke dalam sebuah guni di bandar Kawhmu, Yangon semalam. - AFP

KAWHMU – Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi keluar ke jalan-jalan raya di Myanmar semalam untuk mengutip sampah.
Suu Kyi sebelum ini membe­ritahu wakil-wakil rakyat daripada partinya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) bahawa mereka bertanggungjawab untuk memastikan kawasan ma­sing-masing berada dalam kea­daan bersih.
Parti NLD menang hampir 80 peratus kerusi yang dipertan­dingkan dalam pilihan raya umum Myanmar pada 8 November lalu.
Sampah menjadi masalah besar di Myanmar ekoran kurangnya kutipan secara berkala dan tapak pelupusan sampah. Isu itu digunakan oleh Suu Kyi sebagai cara untuk NLD berkhidmat kepada rakyat.
Pemimpin berumur 70 tahun itu mengetuai sepasukan ahli parti NLD dan sebilangan sukarelawan untuk mengutip sampah di kawasan pilihan ra­yanya di bandar Kawhmu, pinggir Yangon.
Suu Kyi yang memakai sarung tangan getah dan membawa beg sampah berwarna putih me­ngutip sampah yang berselerakan dan kotoran lain.
Beliau tidak bercakap kepada wartawan melainkan untuk memberitahu mereka supaya berhenti merakam gambar dan turut sama mengutip sampah.
“Mengutip sampah ialah perkara pertama yang kami lakukan untuk berkhidmat kepada rakyat,” kata seorang wa­kil rakyat NLD, Thet Thet.
“Kami memerlukan seorang pemimpin yang baik. Apabila beliau (Suu Kyi) bercakap, orang ramai bersedia untuk melaksanakan arahannya. Beliau turut sama membuat kerja, beliau tidak bercakap sahaja,” kata seorang penyokong Suu Kyi, Myo Aung.
Di Mandalay, utara Myanmar, NLD menganjurkan kempen kutipan sampah dengan disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk sami dan pegawai pentadbiran bandar berkenaan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3uGug5XDp 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment