KUALA LUMPUR 27 April - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran konflik etnik dan agama, terutamanya penindasan ke atas umat Islam di Myanmar boleh menyebabkan negara itu menuju ke 'arah keburukan'.
Obama, bagaimanapun memuji pembaharuan politik di negara bekas pentadbiran tentera itu, tetapi penindasan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu di Myanmar, meletakkan program pembaharuan demokrasi yang cuba dicapai oleh Myanmar berada dalam bahaya.
Jelasnya, jika rakyat mula melaksanakan pergerakan politik berasaskan etnik atau agama, konflik boleh tercetus, sekali gus membawa Myanmar ke arah keburukan.
"Myanmar tidak akan berjaya jika penduduk Islam ditindas dan proses demokrasi juga dalam bahaya kerana terdapat pelbagai kumpulan etnik dan agama di negara tersebut.
"Dalam krisis di Myanmar, nasib penduduk minoriti Islam tidak dibela dan hak mereka juga tidak dilindungi," katanya ketika merujuk nasib etnik Islam Rohingya di Rakhine yang menjadi mangsa kekejaman aktivis Buddha.
Myamnar dilanda konflik etnik dan agama sejak beberapa tahun lalu sehingga mengakibatkan kira-kira 250 orang terbunuh akibat persengketaan antara penduduk Islam dan Budha sejak 2012.
Pada November 2012, Obama mengadakan lawatan bersejarah ke Myanmar dan menawarkan sokongan kuat kepada kerajaan di bawah pimpinan Presiden Thein Sein yang mahu melaksanakan pembaharuan politik dan melaksanakan demokrasi di negara itu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140428/lu_02/Obama-beri-amaran-Myanmar-menuju-keburukan#ixzz3083A0BsX
© Utusan Melayu (M) Bhd