Kes pertama melibatkan seorang lelaki Myanmar dikenali sebagai Ased, 24, yang dipukul sehingga mati dengan besi paip oleh dua rakan senegaranya di sebuah ladang dekat Tanah Tinggi Lojing, dekat sini semalam dipercayai selepas mangsa mabuk dan membuat kacau di asrama pekerja.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 8 pagi berhampiran asrama pekerja dalam keadaan bogel dengan kesan luka di dahi, belakang kepala dan mulut selain lebam di bahagian belakang badan serta calar di bahu serta kaki kanan.
Difahamkan, mangsa dan dua suspek yang sebaya dengannya sering berselisih pendapat sehingga menyebabkan dia telah dipindahkan ke asrama pekerja lain di kawasan berdekatan. Ketiga-tiga mereka bekerja di sebuah ladang sayur.
Sementara kes kedua berlaku apabila seorang penyelia ladang kelapa sawit cedera parah di leher selepas ditetak seorang lelaki warga Myanmar yang mabuk di sebuah rumah kongsi di Pos Hau, Gua Musang dekat sini semalam.
Mangsa Francis Anthony Seribu, 29, yang berasal dari Sibu, Sarawak menerima kira-kira 20 jahitan pada leher akibat tetakan tersebut.
Ketua Polis daerah, Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata, susulan kejadian pertama, polis telah menahan empat rakan mangsa termasuk suspek utama.
Menurutnya, kes tersebut dalam siasatan dan mayat mang­sa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Bagi kes kedua, kita sedang memburu suspek termasuk dua rakannya yang turut menghilangkan diri. Semasa kejadian kedua-dua mereka dipercayai mabuk sehingga berlaku pergaduhan yang menyebabkan suspek menetak mangsa,” kata­nya di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perem­puan Zainab II.