Sunday 20 November 2016

Nafi bunuh pelarian




AKTIVIS berarak dan melaungkan slogan membantah pembunuhan etnik Rohingya di Myanmar selepas solat Jumaat di Dhaka, Bangladesh, kelmarin. - AP


Reuters
Yangon: Kerajaan Myanmar kelmarin menafikan dakwaan bahawa tentera negara itu menembak mati penduduk Islam Rohingya yang cuba melarikan diri daripada konflik di negeri Rakhine yang kini meragut 86 nyawa dan menyebabkan lebih 30,000 lagi menjadi pelarian.

Ratusan penduduk Rohingya cuba menyelamatkan diri daripada keganasan di Rakhine dan penduduk memberitahu sebahagian mereka ditembak ketika cuba menyeberangi sebatang sungai yang bersempadan dengan Bangladesh.

Pasukan khas informasi mengenai Rakhine yang ditubuhkan Myanmar pada minggu ini menolak tuduhan terhadap tentera itu.

“Mengenai kejadian ini, selepas menghubungi tentera dan pasukan pengawal sempadan, kami dapati maklumat itu tidak benar,” kata Pejabat Kaunselor Negeri untuk Jawatan Kuasa Maklumat di laman Facebook.

Kata kenyataan itu, tentera dan pasukan pengawal sempadan tidak membuat sebarang operasi berhampiran kawasan sempadan.

“Tentera hanya terbabit dalam operasi pembersihan kawasan di bahagian tengah Rakhine,” jelasnya.

Askar dikerahkan ke utara Rakhine yang terletak berhampiran sempadan Bangladesh selepas berlakunya serangan terhadap tentera pada 9 Oktober lalu.

Tentera mengepung daerah berkenaan yang majoritinya penduduk Rohingya dan menghalang kemasukan pekerja bantuan kemanusiaan dan pemerhati bebas.

Seorang pegawai Bangladesh kelmarin memberitahu, pasukan pengawal sempadan negara itu menghalau balik 82 penduduk Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak yang cuba masuk ke negara itu.

Tindakan itu dilakukan tidak lama selepas dua bot yang membawa 86 pelarian Rohingya juga dihalang masuk ke Bangladesh.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) mendesak pintu sempadan dibuka.

“Adalah sangat penting pintu sempadan dibuka untuk penduduk yang melarikan diri daripada keganasan ketika ini,” kata jurucakap UNHCR, Adrian Edwards.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:10 AM

No comments:

Post a Comment