Sunday 29 May 2016

Cadangan Suu Kyi ditolak

Cadangan Suu Kyi ditolak
28 MEI 2016

YANGON - MYANMAR . Beberapa pihak di Myanmar membantah cadangan Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi untuk tidak menggunakan perkataan ‘Rohingya’ atau ‘Bengali’ bagi merujuk penduduk minoriti Islam tersebut.
Suu Kyi mendakwa, penggunaan perkataan tersebut tidak akan dapat menyelesaikan masalah diskriminasi yang membelenggu etnik Rohingya.
"Sebab utama mengapa kita tidak sepatutnya menggunakan istilah emotif itu kerana ia menyukarkan usaha mencari penyelesaian masalah secara aman," katanya tanpa memberikan nama alternatif untuk kumpulan tersebut.    
Bagaimanapun, penduduk Rohingya bimbang terhadap kesan termasuk kehilangan hak kerakyatan jika istilah tersebut tidak lagi digunakan.
"Sekiranya perkataan Rohingya tidak boleh digunakan, apakah istilah yang akan digantikan untuk merujuk kepada identiti, kebudayaan dan tradisi masyarakat tersebut?.
“Penggunaan istilah itu sangat penting kepada etnik ini. Jadi, hormati hak asas mereka,” kata aktivis hak asasi Rohingya, Wai Wai Nu.
Sebelum ini, kumpulan nasionalis di negara itu menegaskan, mereka akan menentang cadangan Suu Kyi tersebut dan meneruskan menggunakan istilah Bengali untuk merujuk kepada etnik Rohingya. - CNA

Friday 20 May 2016

Myanmar tahan 60 penunjuk perasaan


NAYPIDAW 19 Mei - Polis Myanmar semalam menahan kira-kira 60 orang penunjuk perasaan yang terdiri daripada golongan aktivis dan pekerja kilang selepas mereka cuba menyuraikan satu perarakan golongan buruh untuk masuk ke ibu negara ini.
Kira-kira 200 anggota polis dikerah bagi mengawal tunjuk perasaan itu ketika mereka cuba memasuki pinggir Naypidaw dengan harapan mereka dapat berjumpa dengan wakil kerajaan sekali gus menguji kebebasan di bawah kerajaan awam baharu Myanmar.
“Kami menahan kira-kira 60 orang penduduk perasaan dan kami cuba melakukannya tanpa mencederakan sesiapapun,” kata ketua polis wilayah Naypidaw, Ko Ko Aung.
Penunjuk perasaan di Naypidaw mula berarak sejak tiga minggu lalu dari utara wilayah Sagaing apabila kira-kira 100 pekerja dipecat daripada sebuah kilang balak. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/myanmar-tahan-60-penunjuk-perasaan-1.331805#sthash.IqJeFT4O.dpuf

AS tarik sekatan ke atas Myanmar


WASHINGTON 18 Mei - Amerika Syarikat (AS) menarik semula beberapa sekatan ke atas 10 syarikat dan bank milik kerajaan Myanmar selepas negara Asia Tenggara itu beralih kepada pemerintahan demokrasi pada bulan lalu.
Jabatan Perbendaharaan Negara AS dalam kenyataannya berkata, walaupun sekatan ke atas syarikat kerajaan dan bank terbabit ditarik balik, tetapi sekatan ke atas perdagangan dan pelaburan yang ada kaitan dengan pihak tentera negara itu masih dikekalkan.
Jelas jabatan itu, beberapa peraturan turut dipinda untuk menyokong transaksi kewangan dan perdagangan Myanmar dengan tujuan menarik pelaburan dari AS serta membantu pertumbuhan ekonomi Myanmar di bawah kerajaan baharu yang dipimpin orang awam.
Kerajaan baharu Myanmar mengambil-alih tampuk pemerintahan pada April lalu selepas parti pimpinan ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi memenangi pilihan raya negara itu, sekali gus menamatkan pentadbiran kerajaan junta.
Pemangku Setiausaha Unit Perisikan Keganasan dan Kewangan AS, Adam Szubin berkata, keputusan AS untuk menarik balik sekatan tersebut merupakan tanda sokongan Washington terhadap kejayaan peralihan politik dan perkembangan ekonomi di Myanmar.
“Keputusan ini juga akan membantu memudahkan urusan perdagangan dan perniagaan yang tidak disenarai hitam, sekali gus membantu rakyat dan kerajaan Myanmar untuk mencapai masa depan yang lebih cerah,” kata beliau.
Kerajaan AS mula menarik semula larangan ekonomi terhadap sektor pelaburan dan perdagangan Myanmar secara berperingkat-peringkat sejak 2012 apabila negara itu melakukan pembaharuan politik dan ekonomi, tetapi sekatan tetap dikenakan ke atas berpuluh-puluh syarikat dan individu yang menentang pembaharuan tersebut atau melanggar hak asasi manusia atau berdagang dengan Korea Utara.
Larangan perniagaan dan perdagangan senjata masih dikekalkan ke atas syarikat-syarikat yang dimiliki tentera Myanmar, memandangkan pihak junta masih mempunyai kepentingan dalam politik dan ekonomi Myanmar. – AP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/as-tarik-sekatan-ke-atas-myanmar-1.331792#sthash.ZiVcXdrt.dpuf

Thursday 19 May 2016

Suu Kyi: Sekatan AS tidak beri kesan


19 MEI 2016

Suu Kyi


Suu Kyi
NAYPYIDAW - MYANMAR . Peluasan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Myanmar tidak akan sedikit pun menjejaskan negara, menurut Penasihat dan Menteri Luar, Aung San Suu Kyi, semalam.

"Sekatan dikenakan atas sebab tertentu dan sebab itu akan ditarik balik pada bila-bila masa. Sekatan ini bukan masalah besar dan tidak akan menyakitkan kami dalam apa jua cara. Kami mempunyai kekuatan dan cara untuk mengatasi sebarang halangan yang dikenakan buat masa ini," katanya.

Kelmarin, AS mengumumkan untuk melanjutkan sekatan setahun lagi ke atas Yangon, namun ia dimudahkan dengan mengeluarkan beberapa perusahaan milik negara dari senarai hitam.

Salah satu sebab AS melanjutkan sekatan adalah kerana pelanggaran berterusan negara itu terhadap hak asasi manusia dan bagaimana mereka melayan serta menindas etnik minoriti seperti Rohingya. - Channel News Asia

Monday 16 May 2016

Dihukum penjara, sebat jika periksa telefon suami

Dihukum penjara, sebat jika periksa telefon suami
15 MEI 2016

RIYADH - ARAB SAUDI. Wanita Arab Saudi berdepan risiko penjara dan disebat jika disabitkan bersalah memeriksa telefon suami tanpa pengetahuan dan kebenaran.

Ia tidak tertakluk dalam undang-undang Syariah negara itu, sebaliknya dilihat sebagai melanggar urusan peribadi, lapor Agensi.

Menurut peguam Mohammed Al-Temyat, yang memperkenalkan diri sebagai anggota Program Keselamatan Keluarga kerajaan Arab Saudi, wanita boleh dihadapkan ke mahkamah jika saman difailkan terhadap mereka.

Jawatankuasa itu ditubuhkan pada 2005 untuk memperbaiki akses kepada perkhidmatan sosial.

Tiada hukuman diperuntukkan untuk kesalahan itu kerana ia tidak tertakluk dalam undang-undang Islam, sebaliknya hukuman boleh dikenakan menurut budi bicara hakim, bermakna mereka boleh dipenjarakan.

"Saya mahu menjelaskan subjek ini membabitkan suami dan isteri dan ia adalah kesalahan ta'zir. Jadi, ada kemungkinan pesalah disebat, denda, penjara, menandatangani perjanjian atau tiada hukuman langsung.

"Ia kesalahan ta'zir yang tidak diiktiraf secara rasmi, jadi hukuman bergantung kepada masalah yang wujud. Jika tiada masalah, tiada hukuman dijatuhkan," katanya kepada akhbar Makkah.

Saturday 14 May 2016

Sami Buddha mati ditetak di Bangladesh

SABTU, 14 MEI 2016 @ 2:25 PM

DHAKA: Seorang sami Buddha warga emas mati ditetak di Bangladesh, kejadian pembunuhan terbaharu yang menyasarkan kumpulan penganut agama minoriti dan aktivis sekular di negara majoriti penduduk Islam itu.

Masih belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab namun pembunuhan di daerah terpencil Bandarban itu seolah-olah menyerupai modus operandi beberapa pembunuhan sebelum ini yang disyaki dilakukan militan Islam.

"Penduduk kampung menemui mayat sami Maung Shue U Chak dalam keadaan berlumuran darah dalam sebuah kuil Buddha, pagi ini.

Mangsa ditetak mati," kata Timbalan Ketua Polis Bandarbhan, Jashim Uddin. Uddin berkata, sami yang dianggarkan berusia 75 tahun mungkin diserang empat individu di kuil Buddha di Baishari, kira-kira 350 kilometer di tenggara Dhaka. - AFP   DISYORKAN

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/153511

Thursday 12 May 2016

Myanmar tindas Rohingya


PBB gesa etnik Islam itu dilindungi

 Adama Dieng

Adama Dieng
ADDIS ABABA 11 Mei - Seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh kerajaan Myanmar membenarkan diskriminasi terhadap penduduk Islam Rohingya.
Adama Dieng yang juga penasihat khas kepada Setiausaha Agung PBB berkata, diskriminasi tersebut boleh menjurus kepada pembunuhan beramai-ramai jika tidak dibendung.
“Justeru, menjadi harapan kami untuk melihat pentadbiran baharu di Myanmar memandang serius isu diskriminasi terhadap penduduk Rohingya, setelah hak dan identiti mereka dinafikan oleh pihak kerajaan.
“Kami khuatir jika perkara (diskriminasi) ini tidak dihentikan, ia boleh membawa kepada tragedi pembunuhan beramai-ramai,” katanya ketika menghadiri satu mesyuarat khas berkaitan peranan pemimpin agama di Afrika dalam menentang keganasan dan ekstremisme.
Rohingya merupakan etnik minoriti Islam di Myanmar, yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Bagaimanapun, kerajaan negara itu tidak mengiktiraf mereka sebagai etnik asal Myanmar sehingga kini.
Sebaliknya, Myanmar menganggap Rohingya sebagai pendatang haram Benggali dari Bangladesh yang cuba mendapatkan kerakyatan dan hak sebagai penduduk asal di situ.
Dieng turut menggesa Kaunselor Myanmar yang baharu dilantik, ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi supaya menggunakan pengaruhnya untuk melaksanakan tujuan tersebut.
“Suu Kyi telah meminta Duta Amerika Syarikat (AS) yang baharu di Myanmar supaya tidak lagi menggunakan nama Rohingya. Ini bermakna, diskriminasi terhadap penduduk minoriti itu dilihat masih berterusan,” kata Dieng.
Walaupun perjuangan Suu Kyi pernah diiktiraf atas pelbagai usaha yang dilakukannya, namun wanita itu kini terpaksa menerima kritikan demi kritikan disebabkan kegagalannya menangani isu membabitkan penduduk Rohingya yang kini berjumlah lebih satu juta orang. – Agensi
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/myanmar-tindas-rohingya-1.325020#sthash.Evpx02P2.dpuf

Thursday 5 May 2016

50 khemah pelarian Rohingya musnah

Yangon: Satu kebakaran memusnahkan kira-kira 50 khemah yang menempatkan pelarian etnik Rohingya di negeri Rakhine, Myanmar, semalam.
Menurut saksi, sejumlah penduduk cedera dalam kejadian itu. Bagaimanapun, punca kejadian masih tidak diketahui.
Khemah itu menempatkan 125,000 penduduk Rohingya yang kehilangan tempat tinggal selepas mereka menjadi sasaran keganasan pelampau Buddha di negara itu pada 2012.
Biasanya, enam keluarga menduduki sebuah khemah yang musnah itu.
Myanmar tidak menganggap etnik Rohingya yang beragama Islam sebagai rakyat. Ribuan daripada mereka melarikan diri dari keganasan pelampau Buddha dan kemiskinan, biasanya dengan bot ke negara lain, khususnya Malaysia. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 10:08 AM


ORANG ramai berkumpul di luar penempatan pelarian Rohingya yang terbakar di utara Sittwe di Rakhine.

Wednesday 4 May 2016

Kem perlindungan 
etnik Rohingya terbakar

Penduduk Islam Rohingya hanya mampu memerhatikan tempat perlindungan

Penduduk Islam Rohingya hanya mampu memerhatikan tempat perlindungan mereka terbakar di Kem Baw Du Pha di Sittwe, Myanmar, semalam. Agensi
RAKHINE 3 Mei – Kira-kira 2,000 penduduk Islam Rohingya tinggal sehelai sepinggang selepas 50 buah tempat perlindungan yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kem Baw Du Pha berhampiran ibu negeri Sittwe, Rakhine, hari ini.
Menurut saksi, anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran dan memberi rawatan kepada mangsa yang cedera di kem ber­kenaan, namun punca kebakaran masih belum diketahui.
Portal Presstv.ir melaporkan, kira-kira 140,000 etnik Rohingya mendiami kem-kem perlindung­an selepas kampung masing-masing dibakar dalam sengketa agama pada 2012.
Penduduk Islam Rohingya berdepan dengan penderaan dan dipinggirkan oleh kerajaan Myanmar sejak berpuluh tahun lamanya.
Kebanyakan mereka dibunuh dan beribu-ribu lagi menjadi pelarian setelah diserang oleh puak pelampau Buddha sejak negara ini merdeka pada 1948.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB), penduduk Islam Rohingya adalah minoriti penduduk dunia yang paling teruk diseksa, malah pada Mac lalu PBB telah memberi amaran tentang keadaan buruk yang dilalui penduduk berkenaan di Myanmar.
Sementara itu, Pengarah Operasi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Koordinasi PBB, John Ging memberitahu, beliau terkejut dengan keadaan di kem perlindungan itu yang kebanyakannya hampir runtuh.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kem-perlindungan-8232-etnik-rohingya-terbakar-1.311539#sthash.KCkVUwBE.dpuf