Jabatan Perbendaharaan Negara AS dalam kenyataannya berkata, walaupun sekatan ke atas syarikat kerajaan dan bank terbabit ditarik balik, tetapi sekatan ke atas perdagangan dan pelaburan yang ada kaitan dengan pihak tentera negara itu masih dikekalkan.
Jelas jabatan itu, beberapa peraturan turut dipinda untuk menyokong transaksi kewangan dan perdagangan Myanmar dengan tujuan menarik pelaburan dari AS serta membantu pertumbuhan ekonomi Myanmar di bawah kerajaan baharu yang dipimpin orang awam.
Kerajaan baharu Myanmar mengambil-alih tampuk pemerintahan pada April lalu selepas parti pimpinan ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi memenangi pilihan raya negara itu, sekali gus menamatkan pentadbiran kerajaan junta.
Pemangku Setiausaha Unit Perisikan Keganasan dan Kewangan AS, Adam Szubin berkata, keputusan AS untuk menarik balik sekatan tersebut merupakan tanda sokongan Washington terhadap kejayaan peralihan politik dan perkembangan ekonomi di Myanmar.
“Keputusan ini juga akan membantu memudahkan urusan perdagangan dan perniagaan yang tidak disenarai hitam, sekali gus membantu rakyat dan kerajaan Myanmar untuk mencapai masa depan yang lebih cerah,” kata beliau.
Kerajaan AS mula menarik semula larangan ekonomi terhadap sektor pelaburan dan perdagangan Myanmar secara berperingkat-peringkat sejak 2012 apabila negara itu melakukan pembaharuan politik dan ekonomi, tetapi sekatan tetap dikenakan ke atas berpuluh-puluh syarikat dan individu yang menentang pembaharuan tersebut atau melanggar hak asasi manusia atau berdagang dengan Korea Utara.
Larangan perniagaan dan perdagangan senjata masih dikekalkan ke atas syarikat-syarikat yang dimiliki tentera Myanmar, memandangkan pihak junta masih mempunyai kepentingan dalam politik dan ekonomi Myanmar. – AP