Thursday 29 May 2014

Myanmar cadang sekat pertukaran agama

YANGON 28 Mei - Kerajaan Myanmar sedang menimbangkan cadangan untuk menguatkuasakan sekatan ke atas pertukaran agama, berdasarkan draf rang undang-undang baharu yang didedahkan kepada media, semalam.
Sekatan untuk menukar agama merupakan sebahagian daripada draf undang-undang yang dicadangkan oleh Presiden Myanmar, Thein Sein hasil kempen pelaksanaan undang-undang tersebut yang dikelola oleh sami-sami Buddha.
Bagaimanapun, draf undang-undang yang dicadangkan oleh Kementerian Agama itu, yang menyaksikan seseorang yang mahu menukar agama perlu mendapatkan kebenaran daripada jawatan kuasa khas peringkat kerajaan tempatan, masih belum dibentangkan di Parlimen.
"Mana-mana pihak dilarang menukar agama dengan niat untuk menghina, menjatuhkan, memusnahkan atau menyalahgunakan mana-mana agama lain," lapor akhbar tempatan The Mirror.
Menurut The Mirror, draf tersebut turut memperuntukkan mana-mana individu yang didapati bersalah di bawah undang-undang itu boleh dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun.
Agama sering menjadi isu sensitif di negara ini yang majoriti penduduknya beragama Buddha, yang menyaksikan berlakunya keganasan ke atas penduduk Islam dengan lebih 250 orang terbunuh sejak dua tahun lalu.
Kerajaan juga dilaporkan akan mengenakan sekatan ke atas perkahwinan antara agama.
Kumpulan hak asasi menyifatkan sekatan tersebut menjejaskan kebebasan beragama dan hak kaum wanita.
"Walaupun undang-undang ini tidak memenuhi kemahuan kami, namun kami menerimanya kerana ia boleh dianggap sebagai pelindung kepada kami," kata sami Wirathu. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140529/lu_07/Myanmar-cadang-sekat-pertukaran-agama#ixzz333Lp2Exl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday 28 May 2014

Lelaki Myanmar maut jatuh bangunan

Lelaki terbabit yang maut dalam kejadian semalam.
Lelaki terbabit yang maut dalam kejadian semalam.
KOTA BHARU- Seorang lelaki warganegara Myanmar maut selepas nekad melarikan diri dari tingkat tiga bangunan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dengan menggunakan kain cadar hospital di sini pagi kelmarin.

Lelaki terbabit yang merupakan pendatang tanpa izin ditemui orang awam tertiarap di belakang bangunan hospital berkenaan kira-kira jam 7.05 pagi.

Sebelum kejadian, pada jam 4 pagi, mangsa Mohamed Hashim, 43, dipercayai cuba melarikan diri dengan menggunakan cadar yang diikat untuk turun melalui tingkat tiga tempat dia menerima rawatan di hospital itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa telah dimasukkan ke salah sebuah wad di hospital berkenaan sejak Mei lalu selepas disahkan menghidap penyakit Tibi serta positif HIV.

Menurut beliau, mangsa dipercayai cuba melarikan diri dengan menggunakan kain cadar yang diikat untuk turun ke bawah bangunan hospital, bagaimanapun cadar itu telah terputus.

“Akibatnya, lelaki berkenaan telah terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan pada bahagian muka serta kepala.

“Mangsa telah dijatuhkan hukuman atas kesalahan memasuki ke negara secara haram dan ditahan di Depoh Imigresen, bagaimanapun dia kemudian dimasukkan ke hospital atas faktor kesihatan,`` katanya di sini.

Beliau berkata, mangsa di bawah penahanan Jabatan Imigresen dan menunggu pengusiran.

Azham memberitahu, sebelum kejadian jururawat yang datang untuk memeriksa tekanan darah dan suhu badan mangsa mendapati dia berada di wadnya kira-kira jam 4 pagi namun bertindak melarikan diri selepas diperiksa tekanan darahnya.

Monday 26 May 2014

Lelaki Rohingya didenda RM10,000 rasuah polis

25 Mei 2014

KOTA BHARU - Seorang lelaki etnik Rohingya dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana cuba merasuah anggota polis dalam satu soal siasat berhubung kes pemerdagangan manusia.
   
Hakim Adli Abd Ghalib menjatuhkan hukuman itu selepas Mostafa Kamal, 28, mengaku bersalah.
   
Beliau juga mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.
   
Mostafa didakwa memberi suapan wang tunai RM300 kepada Sarjan Zahari Daud yang bertugas di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini pada 10.45 pagi 19 Mei lepas sebagai dorongan untuk tidak menyoal siasatnya berhubung laporan Tanah Merah 001898/2014.
   
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.
   
Kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya SPRM Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Wednesday 14 May 2014

ASEAN membisu terhadap isu Rohingya

NAYPYITAW 13 Mei - Pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa mengkritik tindakan negara-negara anggota ASEAN yang tidak membangkitkan isu kewarganegaraan etnik Islam Rohingya pada perhimpunan negara-negara anggota serantau itu pada minggu ini, walaupun konflik di negeri Rakhine itu semakin membimbangkan dan bakal memberi kesan buruk di rantau Asia Tenggara.
Pengarah Eksekutif Fortify Rights, sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang beribu pejabat di Thailand, Matthew Smith berkata, negara-negara anggota ASEAN tidak pernah mengambil pendirian tegas berhubung isu pelanggaran hak asasi manusia di rantau ini.
Jelasnya, situasi terbabit perlu berubah jika rantau ASEAN mahu berkembang dalam sektor ekonomi dan pengaruh politik.
“Pendirian negara-negara anggota ASEAN terhadap krisis pelarian boleh menjejaskan reputasi negara-negara terbabit di seluruh dunia membabitkan isu hak asasi manusia," katanya.
Timbalan Pengarah Kementerian Hal Ehwal Luar, U Aung Htoo dalam wawancara bersama akhbar The Myanmar Times berkata, isu tersebut tidak akan diketengahkan sama sekali termasuk semasa pertemuan Menteri-menteri luar ASEAN kerana ia bukan isu penting pada sidang tersebut.
Selain itu, jelasnya, perjanjian antara negara-negara anggota ASEAN juga tidak membenarkan campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah negara.
“Kami tidak membincangkan tentang Kerjasama Pertubuhan Islam (OIC) atau isu Rohingya.
“Malah masa juga tidak mencukupi untuk mengemukakan kesemua isu yang dihadapi oleh 10 negara anggota ASEAN," katanya.
Penganalisis menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN yang diadakan dua kali setahun itu sebagai peluang untuk negara-negara di rantau ini menggunakan pengaruh mereka bagi mencari jalan penyelesaian terhadap nasib etnik Rohingya yang tidak diberi status kewarganegaraan oleh Myanmar, selain mereka terpaksa hidup sebagai pelarian sejak dua tahun lalu.
Kerajaan pimpinan Presiden Thein Sein melabelkan etnik Rohingya sebagai pendatang asing dari negara jiran Bangladesh, walaupun etnik berkenaan telah tinggal di Myanmar sejak beberapa generasi.
Pengarah perunding politik Myanmar, Romain Caillaud berkata, negara Islam di Asia Tenggara seperti Malaysia, Brunei dan Indonesia berasa kurang senang dengan situasi meruncing di negeri Rakhine, terutamanya nasib etnik Islam Rohingya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140514/lu_03/ASEAN-membisu-terhadap-isu-Rohingya#ixzz31dSDkJk0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday 10 May 2014

Cubaan 101 pelarian Rohingya masuk ke negara ini gagal

Rosli Issak (duduk, kiri) dan Azizan Saman (berdiri) melihat keadaan PATI yang ditahan di Kompleks Unit Pencegahan Penyeludupan Kuala Perlis, Kangar, semalam.
KANGAR 9 Mei - Hajat untuk melarikan diri dari bumi sendiri iaitu Myanmar telah berjaya, namun cubaan 101 orang Rohingya itu untuk memasuki negara ini secara haram melalui jalan laut pula gagal apabila diberkas Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis di pantai Kurung Tegar, Kuala Perlis, di sini awal pagi ini.
Timbalan Komander (II) UPP negeri, Rosli Issak memberitahu, kese­mua pendatang tanpa izin (PATI) tersebut ditahan ketika bot yang mereka naiki berada pada kedudukan 100 meter dari pantai berkenaan kira-kira pukul 12.30 pagi.
Menurut beliau, ketika ditahan, pelarian Rohingya itu berada dalam keadaan berhimpit-himpit di dalam bot tersebut yang memulakan perjalanan dari Arakan, Myanmar ke Thailand sebelum memasuki perairan negara ini.
“Daripada jumlah 101 PATI tersebut, 60 adalah lelaki termasuk 33 kanak-kanak dan 41 adalah wanita termasuk 12 kanak-kanak. Kesemua mereka berumur antara setahun hingga melebihi 40 tahun," katanya dalam sidang media di Kompleks UPP Kuala Perlis, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Komander UPP Kuala Perlis, Inspektor Azizan Saman.
Rosli memberitahu, ketika ditahan, kesemua PATI berada dalam keadaan lemah kerana kesejukan dan kelaparan manakala ada di antara kanak-kanak lelaki yang tidak berpakaian.
Ujar beliau, PATI tersebut sanggup menempuh laluan sukar menerusi jalan laut yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari manakala jarak sekiranya mengikut laluan darat dari Arakan ke Kuala Perlis ialah sejauh 2,284 kilometer.
Katanya, salah seorang daripada PATI tersebut merupakan tekong bot berkenaan dan pihak UPP sedang mengesannya.
Kata Rosli, kesemua PATI tersebut diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140510/je_06/Cubaan-101-pelarian-Rohingya-masuk-ke-negara-ini-gagal#ixzz31G9iFSzx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday 7 May 2014

Pelarian Rohingya menderita di India

pelarian Rohingya
Sebahagian pelarian Rohingya menanti bekalan makanan dan perubatan di sebuah kem pelarian di India.
6 Mei 2014  NEW DELHI - INDIA. Pelarian Rohingya kini terpaksa berhadapan dengan krisis kemanusiaan di kem penempatan sementara mereka di pinggir ibu negara.

Menurut laporan terbaharu itu, ratusan etnik Rohingya tersebut sedang mengalami kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang semakin meruncing.

"Kami tidak lagi mendapat bantuan kemanusiaan daripada mana-mana pihak dan situasi tersebut menambahkan lagi penderitaan pelarian Rohingya.

"Jika keadaan ini berterusan, kami mungkin akan mati kebuluran," kata Sakuara Begum.

Menurut laporan Press TV,  ratusan penduduk Rohingya di Myanmar dilaporkan turut mengalami nasib sama berikutan bantuan kemanusiaan lambat tiba di Rakhine susulan daripada peningkatan insiden keganasan etnik di kawasan tersebut.

Monday 5 May 2014

PBB gesa Myanmar buka laluan

Dua bayi kembar Rohingya yang baru berusia 25 hari mengalami masalah kekurangan khasiat dan kesihatan didukung oleh ibu mereka Norbagoun yang merupakan sebahagian daripada beribu-ribu pelarian Rohingya yang ditempatkan di kem pelarian Dar Paing di Sittwe, Rakhine, Myanmar. - REUTERS
NEW YORK 2 Mei - Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Myanmar, Vijay Nambiar semalam berkata, kerajaan Myanmar perlu membuka laluan kepada etnik Rohingya, yang dianggap sebagai pendatang haram di negara itu, untuk mendapatkan kerakyatan sebagai penyelesaian kepada konflik agama dan etnik di negara itu.
Beliau berkata, keselamatan penduduk Rohingya akan terus terancam, jika tindakan tersebut tidak diambil, dan pada masa sama memberi kesan kepada reputasi Myanmar pada peringkat antarabangsa.
Nambiar berkata, status penduduk Islam di negeri Rakhine, Myanmar masih belum diselesaikan, walaupun banyak janji diberikan oleh kerajaan Myanmar untuk mengambil tindakan awal bagi menyediakan sijil kelahiran sementara, pendaftaran kelahiran dan membenarkan etnik Rohingya bergerak bebas.
“Keperluan paling penting untuk penduduk Islam di Rakhine adalah mengesahkan status kewarganegaraan mereka dan mendapatkan Kad Pendaftaran Nasional daripada kerajaan (Myanmar) dan kemudian memberi kerakyatan kepada mereka, bagi membolehkan penduduk Rohingya bergerak bebas di negara itu dan mendapat pasport untuk ke luar negara,'' katanya ketika berucap di Institut Kedamaian Antarabangsa, di sini.
Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha, menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan menafikan hak mereka di negara itu, walaupun kebanyakan mereka telah menetap di Myanmar sejak beberapa generasi lalu.
Penduduk Rohingya sejak beberapa tahun lalu menjadi sasaran serangan kumpulan samseng beragama Buddha yang menyaksikan lebih 280 orang dibunuh dan 140,000 orang lagi penduduk terpaksa melarikan diri.
Myanmar selesai menjalankan bancian penduduk tiga minggu lalu, namun penduduk Rohingya tidak dimasukkan dalam bancian tersebut kerana mereka tidak dibenarkan mendaftar diri sebagai penduduk daripada etnik tersebut.
Nambiar berkata, terdapat banyak elemen dalam masyarakat Islam di negeri Rakhine yang bersedia untuk bergerak ke arah penyelesaian itu.
“Saya rasa ia adalah cara yang baik ke arah melaksanakan objektif itu dengan segera dan kemudian menggunakan status itu untuk bergerak ke arah mewujudkan perlembagaan politik yang akan berlaku dalam mana-mana proses demokrasi," katanya. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140503/lu_05/PBB-gesa-Myanmar-buka-laluan#ixzz30qzmbqZb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday 3 May 2014

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140503/lu_05/PBB-gesa-Myanmar-buka-laluan#ixzz30bHGYcyb
© Utusan Melayu (M) Bhd