Saturday 10 May 2014

Cubaan 101 pelarian Rohingya masuk ke negara ini gagal


Rosli Issak (duduk, kiri) dan Azizan Saman (berdiri) melihat keadaan PATI yang ditahan di Kompleks Unit Pencegahan Penyeludupan Kuala Perlis, Kangar, semalam.
KANGAR 9 Mei - Hajat untuk melarikan diri dari bumi sendiri iaitu Myanmar telah berjaya, namun cubaan 101 orang Rohingya itu untuk memasuki negara ini secara haram melalui jalan laut pula gagal apabila diberkas Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis di pantai Kurung Tegar, Kuala Perlis, di sini awal pagi ini.
Timbalan Komander (II) UPP negeri, Rosli Issak memberitahu, kese­mua pendatang tanpa izin (PATI) tersebut ditahan ketika bot yang mereka naiki berada pada kedudukan 100 meter dari pantai berkenaan kira-kira pukul 12.30 pagi.
Menurut beliau, ketika ditahan, pelarian Rohingya itu berada dalam keadaan berhimpit-himpit di dalam bot tersebut yang memulakan perjalanan dari Arakan, Myanmar ke Thailand sebelum memasuki perairan negara ini.
“Daripada jumlah 101 PATI tersebut, 60 adalah lelaki termasuk 33 kanak-kanak dan 41 adalah wanita termasuk 12 kanak-kanak. Kesemua mereka berumur antara setahun hingga melebihi 40 tahun," katanya dalam sidang media di Kompleks UPP Kuala Perlis, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Komander UPP Kuala Perlis, Inspektor Azizan Saman.
Rosli memberitahu, ketika ditahan, kesemua PATI berada dalam keadaan lemah kerana kesejukan dan kelaparan manakala ada di antara kanak-kanak lelaki yang tidak berpakaian.
Ujar beliau, PATI tersebut sanggup menempuh laluan sukar menerusi jalan laut yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari manakala jarak sekiranya mengikut laluan darat dari Arakan ke Kuala Perlis ialah sejauh 2,284 kilometer.
Katanya, salah seorang daripada PATI tersebut merupakan tekong bot berkenaan dan pihak UPP sedang mengesannya.
Kata Rosli, kesemua PATI tersebut diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140510/je_06/Cubaan-101-pelarian-Rohingya-masuk-ke-negara-ini-gagal#ixzz31G9iFSzx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment