Wednesday 14 May 2014

ASEAN membisu terhadap isu Rohingya


NAYPYITAW 13 Mei - Pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa mengkritik tindakan negara-negara anggota ASEAN yang tidak membangkitkan isu kewarganegaraan etnik Islam Rohingya pada perhimpunan negara-negara anggota serantau itu pada minggu ini, walaupun konflik di negeri Rakhine itu semakin membimbangkan dan bakal memberi kesan buruk di rantau Asia Tenggara.
Pengarah Eksekutif Fortify Rights, sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang beribu pejabat di Thailand, Matthew Smith berkata, negara-negara anggota ASEAN tidak pernah mengambil pendirian tegas berhubung isu pelanggaran hak asasi manusia di rantau ini.
Jelasnya, situasi terbabit perlu berubah jika rantau ASEAN mahu berkembang dalam sektor ekonomi dan pengaruh politik.
“Pendirian negara-negara anggota ASEAN terhadap krisis pelarian boleh menjejaskan reputasi negara-negara terbabit di seluruh dunia membabitkan isu hak asasi manusia," katanya.
Timbalan Pengarah Kementerian Hal Ehwal Luar, U Aung Htoo dalam wawancara bersama akhbar The Myanmar Times berkata, isu tersebut tidak akan diketengahkan sama sekali termasuk semasa pertemuan Menteri-menteri luar ASEAN kerana ia bukan isu penting pada sidang tersebut.
Selain itu, jelasnya, perjanjian antara negara-negara anggota ASEAN juga tidak membenarkan campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah negara.
“Kami tidak membincangkan tentang Kerjasama Pertubuhan Islam (OIC) atau isu Rohingya.
“Malah masa juga tidak mencukupi untuk mengemukakan kesemua isu yang dihadapi oleh 10 negara anggota ASEAN," katanya.
Penganalisis menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN yang diadakan dua kali setahun itu sebagai peluang untuk negara-negara di rantau ini menggunakan pengaruh mereka bagi mencari jalan penyelesaian terhadap nasib etnik Rohingya yang tidak diberi status kewarganegaraan oleh Myanmar, selain mereka terpaksa hidup sebagai pelarian sejak dua tahun lalu.
Kerajaan pimpinan Presiden Thein Sein melabelkan etnik Rohingya sebagai pendatang asing dari negara jiran Bangladesh, walaupun etnik berkenaan telah tinggal di Myanmar sejak beberapa generasi.
Pengarah perunding politik Myanmar, Romain Caillaud berkata, negara Islam di Asia Tenggara seperti Malaysia, Brunei dan Indonesia berasa kurang senang dengan situasi meruncing di negeri Rakhine, terutamanya nasib etnik Islam Rohingya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140514/lu_03/ASEAN-membisu-terhadap-isu-Rohingya#ixzz31dSDkJk0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment