Friday, 28 March 2014

Penduduk, sami buat rusuhan

FotoYangon: Penduduk dan sami Buddha semalam melakukan huru-hara semalam dengan melontar batu ke arah pejabat serta kediaman pekerja bantuan kemanusiaan antarabangsa di Rakhine menyebabkan mereka terpaksa diberi perlindungan polis sebelum dipindahkan.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang bermula di Sittwe, ibu negeri Rakhine, lewat kelmarin.

Keganasan semakin buruk semalam apabila lebih 1,000 orang penganut Buddha menyertai rusuhan itu.

Seorang pegawai yang enggan dinamakan berkata, sekurang-kurangnya satu bangunan dijarah dan tiga kereta dirosakkan.


Penduduk Buddha di Rakhine sudah lama tidak berpuas hati dengan pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak mereka melancarkan keganasan terhadap penduduk Islam pada pertengahan 2012.

Penduduk dan sami Buddha mendakwa sukarelawan itu memihak kepada masyarakat Muslim.

Ketegangan di Rakhine semakin teruk menjelang bancian kebangsaan pertama dalam 30 tahun apabila penduduk Buddha Rakhine menggesa supaya etnik Rohingya tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar.

Penduduk Buddha mengibarkan bendera agama mereka di depan setiap bangunan rumah dan pejabat di Sittwe untuk menguatkan desakan mereka .

Beberapa tunjuk perasaan diadakan sebelum ini, namun ini kali pertama organisasi sukarelawan antarabangsa menjadi sasaran.

Penduduk Sittwe Tun Tha berkata, perintah berkurung dilaksanakan dari jam 6 petang hingga 6 pagi yang diumumkan pihak berkuasa menggunakan pembesar suara ekoran keganasan itu.

Anggota polis dan tentera turut mengawal pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi bantuan antarabangsa.

Jurucakap kerajaan Win Myaing berkata, kira-kira 300 orang mengepung bangunan Malteser International lewat petang kelmarin berikutan laporan seorang wanita menurunkan bendera agama Buddha di depan pejabat berkenaan.

Katanya, polis melepaskan 40 hingga 50 tembakan amaran untuk meleraikan kumpulan itu.- AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28


Thursday, 27 March 2014

Arahan Rakhine sepanjang bancian PBB timbulkan persoalan


Gambar bertarikh 26 Februari lalu, menunjukkan dua wanita Rohingya Islam menyediakan makanan ketika seorang bayi nyenyak tidur di dalam buai beralaskan plastik di pinggir Sittwe, Rakhine, barat Myanmar. - AFP
YANGON 26 Mac - Kerajaan negeri Rakhine di Myanmar meminta pemimpin-pemimpin Islam di ibu negeri Sittwe supaya menggesa penduduk Rohingya Islam, tidak mengisi ruang ‘bangsa’ di dalam borang bancian dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika proses itu bermula, semalam.
Menurut pihak berkuasa, tindakan etnik Rohingya mendedahkan identiti mereka boleh mencetuskan tindak balas ganas dari penganut agama Buddha di wilayah bergolak tersebut.
Burma Times melaporkan, pihak berkuasa termasuk pemimpin polis, Kolonel Tun Oo mengadakan pertemuan dengan pemimpin komuniti Islam pagi semalam dengan memaklumkan kepada mereka bahawa permintaan itu dibuat bagi meredakan ketegangan di situ.
Penduduk Buddha di Rakhine sebelum ini mengadakan bantahan terhadap bancian yang diadakan di Sittwe minggu ini, proses bancian pertama sejak 30 tahun.
Mereka membantah proses bancian tajaan PBB itu kerana akan membenarkan penduduk Rohingya mendedahkan etnik mereka, suatu perkara yang tidak mendapat pengiktirafan kerajaan dan penduduk Buddha di Rakhine.
Kerajaan Myanmar merujuk etnik Rohingya sebagai ‘Benggali’, membayangkan mereka adalah pendatang tanpa izin dari Bangladesh.
Bercakap kepada akhbar The Irrawaddy semalam, Tun Oo berkata, oleh kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk membuat kenyataan rasmi berhubung prosedur bancian, pihak berkuasa tempatan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Islam sebagai cara memujuk penduduk Islam mematuhi permintaan tersebut.
“Kerajaan kami malah Menteri Imigresen, Khin Yi tidak boleh secara rasmi menyatakan (permintaan) supaya tidak meletakkan nama ‘Rohingya’ pada bancian itu yang merupakan proses mengikut standard antarabangsa," kata beliau.
Beberapa pemimpin Rohingya Islam termasuk aktivis, Aung Win melahirkan kekecewaan berhubung permintaan pihak berkuasa itu yang mengingkari jaminan yang diberikan Khin Yi bahawa Rohingya patut dibenarkan mendedahkan identiti mereka.
Permintaan pihak berkuasa Rakhine itu turut menimbulkan persoalan mengapa etnik Rohingya Islam tidak dibenarkan berbuat demikian.
Dalam perkembangan berasingan, ahli-ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) semalam menggesa Myanmar supaya menghentikan diskriminasi ke atas etnik minoriti Rohingya dengan menekankan hak asasi manusia amat penting untuk negara itu mencapai pembaharuan demokrasi.
Gesaan itu dibuat Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Kongres yang meluluskan resolusi meminta Myanmar ‘menghentikan semua bentuk penindasan’ ke atas etnik Rohingya yang masih belum mendapat pengiktirafan kerakyatan oleh negara tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140327/lu_01/Arahan-Rakhine-sepanjang-bancian-PBB-timbulkan-persoalan#ixzz2x74ByNgP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, 26 March 2014

Barack Obama digesa bantu Rohingya


WASHINGTON 25 Mac - Bekas ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Tom Andrews yang melawat kem pela­rian etnik Rohingya di barat Myanmar menggesa Presiden AS, Barack Obama menggunakan pengaruhnya di negara itu untuk melindungi anggota etnik tersebut.
Andrews yang merupa­kan presiden kumpulan ak­­tivis, End Genocide da­lam laporannya semalam memberi amaran, anggota etnik tersebut mengalami kekurang­an bekalan perubatan dan sentiasa hidup dalam ketakutan.
"Tanda-tanda bahaya dapat dilihat dengan jelas. Jumlah yang terkorban adalah tinggi.
"Mereka diserang bukan kerana apa yang telah mereka lakukan. Se­rangan dilakukan kerana etnik dan agama mereka," katanya yang melawat kem tersebut selama sebulan.
Beliau berkata, tanda-tanda amaran berlakunya pembunuhan kaum dan keganasan besar-besaran sudah dapat dilihat di sana.
Sejak pertengahan 2012, hampir 280 orang terutama etnik Rohingya Islam maut dalam pertempuran kaum di negeri Rakhine, kejadian yang membayangi perubahan Myanmar ke arah demokrasi selepas lima dekad diperintah oleh kerajaan junta.
Hampir 140,000 anggota Rohingya Islam terpaksa tinggal di kem-kem sesak dan berpuluh ribu melarikan diri ke negara lain menaiki bot.
Andrews berkata, jumlah pelarian yang melarikan diri me­lalui laut meningkat dua kali ganda tahun ini walaupun perjalanan tersebut amat berbahaya dan sukar mendapat perlindungan di tempat lain.
Myanmar menganggap kira-kira 1.3 juta etnik Rohingya Islam sebagai pendatang yang berpindah ke negara itu secara haram dari Bangladesh walaupun kebanyakannya sudah tinggal di sana sejak beberapa generasi. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140326/lu_02/Barack-Obama-digesa-bantu-Rohingya#ixzz2x1EfpVWT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, 13 March 2014

Myanmar cuba sembunyi pembunuhan di Rakhine


YANGON 12 Mac - Kerajaan Myan­mar, sekali lagi cuba menyembunyikan isu pembunuhan entik Islam Rohingya di Rakhine apabila laporan akhir siasatan berhubung insiden di negeri itu, yang disiarkan semalam tidak menunjukkan insiden keganasan berlaku seperti yang dilaporkan,
Laporan setebal 20 muka surat dalam bahasa Inggeris itu turut menyatakan rasa tidak puas hati kerajaan Myanmar terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan agensi perubatan Belanda, Doctors Without Borders (MSF) yang mendakwa keganasan berlaku di kampung Duu Chee Yar Tan.
Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Khas yang ditubuhkan oleh kerajaan Myanmar untuk menyiasat dakwaan insiden keganasan agama di negeri Rakhine, Kyaw Yin Hlaing berkata, mereka tidak menemui bukti menunjukkan berlaku pembunuhan ke atas penduduk awam beragama Islam di negeri itu.
Jelasnya, konflik mungkin tercetus antara penduduk tempatan dengan pasukan keselamatan ekoran kehilangan anggota polis berpangkat sarjan, Aung Kyaw Thein yang dianggap terbunuh.
Malah, katanya, suruhanjaya yang dianggotai 20 orang itu, melihat banyak rumah yang rosak semasa lawatan ke kampung terbabit, namun mereka tidak menemui bukti menunjukkan pihak keselamatan bertanggungjawab atas kerosakan tersebut.
“Kami juga menerima laporan tentang berlaku banyak kematian, tetapi bukti tentang kematian itu tidak ditemui termasuk tidak menemui mayat kesemua mangsa yang didakwa terbunuh itu," katanya.
Akhir Januari lalu, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Navi Pillays berkata, beliau menerima laporan tentang tindakan polis dan sami Buddha di Myanmar membunuh kira-kira 40 penduduk Islam Rohingya di Rakhine.
Pembunuhan itu dilakukan dalam satu serbuan ke atas kampung Du Chee Yar Tan yang dihuni majoriti etnik Rohingya bagi mencari Kyaw Thein yang dilapor hilang di kampung tersebut.
Kira-kira 100 polis menggunakan peluru hidup terlibat dalam operasi tersebut dan melakukan pelanggaran hak asasi manusia apabila membunuh penduduk lelaki di kampung itu dengan kejam, merogol wanita Rohingya, merompak dan memusnahkan harta penduduk di situ.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140313/lu_07/Myanmar-cuba-sembunyi-pembunuhan-di-Rakhine#ixzz2vmjsDT9D
© Utusan Melayu (M) Bhd 

5 warga Myanmar dituduh culik, kurung, peras


Lima warga Myanmar yang menghadapi tuduhan culik, kurung dan peras dibawa ke Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/ZUHARMAN MOHAMAD NOR
KOTA BHARU 12 Mac - Lima lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan menculik, mengurung dan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki dikenali mereka, bulan lalu.
Bagaimanapun, hanya tertuduh pertama, Muhamad Osman Muhamad, 23, dan tertuduh ketiga, Mohamad Rashid Abd. Basir, 28, memahami pertuduhan dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Pertuduhan bagaimanapun tidak dibacakan terhadap tiga lagi tertuduh iaitu, Nor Salam Mohd. Huson, 28, Nur Bashor Dudu Miya, 23, dan Abdul Nasar Dodo Miya, 37, kerana tidak memahami bahasa Melayu.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menculik Zahid Hussin Idris, 30, dengan tujuan hendak mengurung mangsa di Kampung Bendang Selinsing, Pasir Puteh pada pukul 12.30 tengah hari, 23 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Mengikut pertuduhan kedua, mereka didakwa mengurung mangsa dan memeras hartanya antara pukul 9 malam hari yang sama dan 9.30 malam, 27 Februari di Kampung Sedar, Tumpat.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 347 kanun tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.
Bagi pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa melakukan pemerasan yang menyebabkan mangsa berada dalam ketakutan dan mendorongnya menyerahkan wang berjumlah RM9,800.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 386 kanun tersebut yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari dan tiada jaminan dicadangkan dengan alasan kesemuanya bukan warganegara Malaysia.
Mahkamah menetapkan 30 Mac depan bagi sebutan semula kes terhadap kedua-dua tertuduh dengan khidmat jurubahasa Myanmar untuk membacakan pertuduhan kepada tiga lagi tertuduh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140313/ma_01/5-warga-Myanmar-dituduh-culik-kurung-peras#ixzz2vmjY6jDa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, 10 March 2014

Bancian di Myanmar mungkin cetus ketegangan


SEJUMLAH etnik Rohingya berkumpul di sebuah kem di pinggir Suttwe, Rakhine pada 26 Februari lalu.


SITTWE, Myanmar - Satu bancian penduduk pada hujung bulan ini dibimbangi bakal mencetuskan lebih banyak ketegangan di negara ini walaupun ramai etnik Rohingya yang bertahun-tahun ditindas berharap masalah identiti mereka dapat diselesaikan.
Beribu-ribu etnik Rohingya kini mendiami kem-kem pelarian di barat negara ini selepas beberapa siri keganasan anti-Islam yang menyebabkan beratus-ratus penduduk tersebut terbunuh.
Bancian penduduk tersebut yang pertama di Myanmar sejak 30 tahun lalu bermula pada hujung bulan ini dengan dibantu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Proses berkenaan diharap dapat memberi data terbaharu kepada negara itu yang kini masih bergantung kepada bancian penduduk yang terakhir dilakukan pada tahun 1983.
Bagaimanapun, para pemerhati memberi amaran bahawa kontroversi berhubung definisi rasmi etnik dan sikap etnik Rohingya tidak percaya pada kerajaan boleh merosakkan usaha damai di negara ini.
Persoalan berhubung identiti Rohingya itu sangat sensitif di negeri Rakhine.
Dendam lama melibatkan komuniti beragama Buddha dan Islam itu sampai ke kemuncaknya dua tahun lalu.
Dalam siri keganasan tersebut, berpuluh-puluh orang mati dan menyebabkan 140,000 etnik Rohingya terpaksa menjadi pelarian. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0310&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2vYXMiJII 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, 8 March 2014

Tentera didakwa seludup pelarian



BEBERAPA pelarian Rohingya duduk di atas sebuah van polis selepas ditahan di selatan Thailand. - AP


BANGKOK - Sebuah pertubuhan hak asasi antarabangsa semalam menggesa pihak berkuasa Thailand menyiasat penglibatan tentera lautnya menyeludup pelarian Rohingya dari Myanmar dan bukan mendakwa wartawan-wartawan kerana melaporkan perbuatan tersebut.
Tentera Laut Thailand mengemukakan dakwaan fitnah terhadap laman web bahasa Inggeris, Phuketwan akhir tahun lalu kerana menyiarkan laporan bahawa pihak tentera terlibat dalam sindiket penyeludupan etnik Rohingya dari Myanmar.
Dua wartawan dari media tersebut akan dipanggil oleh pihak pendakwa raya Isnin depan dengan mereka mungkin didakwa kerana menerbitkan maklumat palsu dan memfitnah tentera.
Mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda 100,000 baht jika didapati bersalah.
Pertubuhan tersebut, Human Rights Watch menyatakan, pihak tentera laut perlu menghentikan usaha untuk menutup mulut kedua-dua wartawan itu.
"Tentera sebaliknya perlu membenarkan pihak berkuasa awam melakukan siasatan menyeluruh dan telus berhubung dakwaan penyeludupan dan layanan buruk terhadap orang hanyut Rohingya," kata Human Rights Watch dalam satu kenyataan.
Sejak beberapa tahun lalu, Phuketwan memainkan peranan utama dalam melaporkan penderitaan etnik minoriti Islam Rohingya yang melarikan diri daripada dibunuh, diseksa dan kemiskinan di Myanmar. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2vJx8Ssua 
Hakcipta terpelihara 

Friday, 7 March 2014

Bangladesh desak Myanmar bawa pulang Rohingya


NAY PYI TAW, Myanmar 6 Mac - Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina mendesak kerajaan Myanmar mengambil langkah penyelesaian bagi membawa pulang beribu-ribu pelarian Rohingya yang memasuki Bangladesh secara haram.
Agensi berita Burma Times melaporkan Hasina dalam pertemuan dengan Presiden Myanmar, Thein Sein pada Isnin lalu di Istana Presiden Myanmar ketika menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Teluk Bengal untuk Kerjasama Sektor Teknikal dan Ekonomi (Bimstec) kali ketiga di sini berkata, isu pelarian Rohingya seharusnya diselesaikan melalui rundingan damai antara kedua-dua negara jiran itu bagi mengekalkan kestabilan dan keamanan serantau.
Menurut laporan rasmi, terdapat kira-kira 30,000 pelarian berdaftar etnik Rohingya, manakala kira-kira 500,000 pelarian tidak berdaftar tinggal di Bangladesh akibat keganasan dan penindasan kaum yang dihadapi penduduk Islam di Myanmar.
Sein bagaimanapun tidak memberi sebarang jawapan balas berhubung kenyataan Hasina itu.
Dalam pertemuan selama sejam itu, Hasina turut mengulangi pendirian bahawa kerajaannya tidak akan bertolak ansur berhubung keganasan.
"Bangladesh tidak akan dipergunakan untuk sebarang aktiviti pengganas bagi menentang negara ini atau negara jiran lain," katanya.
Pada masa sama, Sein berkata, Bangladesh mampu menjadi rakan kongsi bersama India, Thailand dan Myanmar untuk projek pembangunan jalan raya yang menghubungkan keempat-empat negara terbabit.
Dalam reaksinya berhubung perkara itu, Hasina memandang positif projek tersebut yang beliau yakini mampu menggalakkan pertumbuhan aktiviti perdagangan di negara-negara di rantau ini.
Pemimpin Bangladesh itu turut mendedahkan masalah kemiskinan merupakan musuh utama rantau ini dan memberi penekanan terhadap keperluan hubungan rapat sesama negara-negara anggota bagi memastikan pembangunan rakyat di rantau ini.
"Melalui hubungan rapat serantau, ekonomi negara-negara anggota dapat diperkukuhkan lagi menerusi peningkatan aktiviti perdagangan dan perniagaan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140307/lu_02/Bangladesh-desak-Myanmar-bawa-pulang-Rohingya#ixzz2vE4cJGlS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, 3 March 2014

MSF dibenar beroperasi di dua negeri

MSF dibenar beroperasi di dua negeri
Penutupan klinik MSF didakwa memberi kesan kepada 30,000 pesakit Aids dan lebih 3,000 penghidap batuk kering. 
3 Mac 2014  YANGON - MYANMAR. Myanmar, kelmarin membenarkan Doctors Without Borders (MSF) beroperasi semula di negeri Kashin dan Shan selepas kerajaan mengarahkan perkhidmatan mereka dihentikan, Khamis lalu.

Susulan daripada itu, MSF sekali lagi menegaskan bahawa perkhidmatan mereka adalah berdasarkan keperluan perubatan dan tidak berlandaskan faktor agama atau etnik seperti  didakwa beberapa pihak.

"Bagaimanapun, kami sangat mengambil berat mengenai nasib puluhan ribu penduduk Islam di Rakhine yang terpaksa berhadapan krisis kemanusiaan," katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas jurucakap kerajaan mendakwa agensi tersebut hanya memberi keutamaan kepada etnik Rohingya.

Sebelum ini, laporan dipetik dari Reuters, Myanmar telah beberapa kali menolak laporan MSF yang mendedahkan penindasan terhadap penduduk Islam.

Sunday, 2 March 2014

MSF terkejut diarah henti operasi


Nasib ribuan kanak-kanak Rohingya Islam semakin tidak menentu selepas Myanmar mengarahkan Agensi perubatan Doctors Without Borders (MSF) menghentikan operasi di negeri itu, kelmarin. - AGENSI
YANGON 1 Mac - Agensi perubatan Doctors Without Borders (MSF) melahirkan rasa terkejut mereka berikutan arahan kerajaan Myanmar yang mahu pihaknya menghentikan operasinya di negeri Rakhine, barat Myanmar semalam.
Kata pertubuhan itu, mereka amat bimbang dengan nasib puluhan ribu rakyat Myanmar yang kini di bawah kendalian mereka khasnya pesakit AIDS, malaria dan batuk kering.
"Sejak 2004, MSF telah merawat hampir 1.2 juta pesakit malaria di negeri Rakhine sahaja,'' kata agensi itu yang merupakan penyedia penjagaan kesihatan terbesar di Rakhine seperti mana lapor Burma Times.
Jurucakap bagi Presiden Myanmar sebelum ini mendakwa MSF bertindak berat sebelah dengan memihak kepada minoriti Rohingya Islam di negeri Rakhine.
Menurut MSF, tiada pertubuhan perubatan lain di Myanmar yang beroperasi pada kadar sama seperti mereka dan tindakan agensi itu sentiasa 'berpandukan etika-etika perubatan dan prinsip-prinsip kesamarataan dan tidak menyebelahi mana-mana pihak'.
Dalam pada itu, wartawan BBC di Yangon, Jonah Fisher berkata, MSF merupakan satu daripada beberapa agensi yang menyediakan rawatan kepada etnik Rohingya yang sukar mendapatkan rawatan daripada klinik-klinik dan hospital.
Kerajaan mendakwa, MSF lebih mengutamakan layanan ke atas komuniti Rohingya berbanding penduduk Buddha.
Menurut Fisher, kerajaan mungkin hilang sabar dengan kenyataan MSF bulan lalu bahawa mereka telah merawat penduduk selepas satu dakwaan pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam oleh penduduk Buddha di kawasan sempadan dengan Bangladesh.
Tindakan itu dibuat beberapa hari selepas satu lagi kumpulan hak asasi manusia, Fortify Rights mendakwa mempunyai bukti bukti bertulis tentang amalan berat sebelah kerajaan ke atas etnik Rohingya.
Etnik Rohingya sering dianaktirikan kerajaan dengan mereka dianggap sebagai rakyat Bangladesh selain berdepan penindasan kerajaan Myanmar.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140302/lu_04/MSF-terkejut-diarah-henti-operasi#ixzz2ukhJ4xsb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, 1 March 2014

Badan perubatan diarah henti operasi di Rakhine


Gambar tidak bertarikh menunjukkan seorang doktor dari pertubuhan Doctors Without Borders, memeriksa seorang kanak-kanak yang mengalami cirit-birit di sebuah klinik tempatan di pinggir Pauk Taw, Rakhine, Myanmar. - AGENSI
YANGON 28 Feb. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Myanmar membenarkan agensi kemanusiaan ‘memiliki akses penuh’ di negeri Rakhine, selepas menerima laporan kerajaan mengarahkan kumpulan bantuan perubatan yang mengelarkan diri mereka sebagai Doctors Without Borders (MSF) menghentikan operasi.
Kumpulan yang pernah memenangi anugerah Nobel itu telah menyalurkan bantuan kebanyakannya kepada masyarakat Rohingya Islam, yang berhadapan dengan pembersihan etnik oleh kerajaan Myanmar.
"Kebebasan dan akses yang terbuka adalah penting bagi memastikan bantuan kemanusian dapat disalurkan dengan baik kepada penduduk di negeri Rakhine," kata seorang pegawai Kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap kerajaan Ye Htut memberitahu media, MSF sudah diarahkan supaya memberhentikan operasi mereka, dengan menuduh kumpulan tersebut melakukan dakwaan palsu terhadap kerajaan kerana melakukan kekejaman ke atas penduduk Rohingya Islam pada pertengahan Januari lalu.
PBB dan kumpulan hak asasi manusia melaporkan, sekurang-kurangnya 40 orang penduduk Rohingya dibunuh oleh pasukan keselamatan dan penganut Buddha di barat negeri itu.
Menurut MSF, pada 24 Januari lalu, mereka telah merawat 22 orang penduduk di kawasan berkenaan, dengan ada di antara mereka mengalami kecederaan akibat ditembak, ditikam dan ditumbuk.
Sementara itu, seorang diplomat yang enggan mendedahkan identiti dirinya memberitahu Reuters, MSF sedang berunding dengan pegawai di ibu negeri Naypyitaw, selepas pertubuhan itu diarah menghentikan operasi lewat semalam.
Kerajaan Myanmar sering kali menolak laporan yang didedahkan oleh MSF, PBB dan kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa perkampungan Rohingya di Maungdaw diserang dengan rumah mereka turut dirompak. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140301/lu_03/Badan-perubatan-diarah-henti-operasi-di-Rakhine#ixzz2uegihxYX
© Utusan Melayu (M) Bhd