Thursday 13 March 2014

Myanmar cuba sembunyi pembunuhan di Rakhine


YANGON 12 Mac - Kerajaan Myan­mar, sekali lagi cuba menyembunyikan isu pembunuhan entik Islam Rohingya di Rakhine apabila laporan akhir siasatan berhubung insiden di negeri itu, yang disiarkan semalam tidak menunjukkan insiden keganasan berlaku seperti yang dilaporkan,
Laporan setebal 20 muka surat dalam bahasa Inggeris itu turut menyatakan rasa tidak puas hati kerajaan Myanmar terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan agensi perubatan Belanda, Doctors Without Borders (MSF) yang mendakwa keganasan berlaku di kampung Duu Chee Yar Tan.
Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Khas yang ditubuhkan oleh kerajaan Myanmar untuk menyiasat dakwaan insiden keganasan agama di negeri Rakhine, Kyaw Yin Hlaing berkata, mereka tidak menemui bukti menunjukkan berlaku pembunuhan ke atas penduduk awam beragama Islam di negeri itu.
Jelasnya, konflik mungkin tercetus antara penduduk tempatan dengan pasukan keselamatan ekoran kehilangan anggota polis berpangkat sarjan, Aung Kyaw Thein yang dianggap terbunuh.
Malah, katanya, suruhanjaya yang dianggotai 20 orang itu, melihat banyak rumah yang rosak semasa lawatan ke kampung terbabit, namun mereka tidak menemui bukti menunjukkan pihak keselamatan bertanggungjawab atas kerosakan tersebut.
“Kami juga menerima laporan tentang berlaku banyak kematian, tetapi bukti tentang kematian itu tidak ditemui termasuk tidak menemui mayat kesemua mangsa yang didakwa terbunuh itu," katanya.
Akhir Januari lalu, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Navi Pillays berkata, beliau menerima laporan tentang tindakan polis dan sami Buddha di Myanmar membunuh kira-kira 40 penduduk Islam Rohingya di Rakhine.
Pembunuhan itu dilakukan dalam satu serbuan ke atas kampung Du Chee Yar Tan yang dihuni majoriti etnik Rohingya bagi mencari Kyaw Thein yang dilapor hilang di kampung tersebut.
Kira-kira 100 polis menggunakan peluru hidup terlibat dalam operasi tersebut dan melakukan pelanggaran hak asasi manusia apabila membunuh penduduk lelaki di kampung itu dengan kejam, merogol wanita Rohingya, merompak dan memusnahkan harta penduduk di situ.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140313/lu_07/Myanmar-cuba-sembunyi-pembunuhan-di-Rakhine#ixzz2vmjsDT9D
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment