Friday 28 March 2014

Penduduk, sami buat rusuhan

FotoYangon: Penduduk dan sami Buddha semalam melakukan huru-hara semalam dengan melontar batu ke arah pejabat serta kediaman pekerja bantuan kemanusiaan antarabangsa di Rakhine menyebabkan mereka terpaksa diberi perlindungan polis sebelum dipindahkan.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang bermula di Sittwe, ibu negeri Rakhine, lewat kelmarin.

Keganasan semakin buruk semalam apabila lebih 1,000 orang penganut Buddha menyertai rusuhan itu.

Seorang pegawai yang enggan dinamakan berkata, sekurang-kurangnya satu bangunan dijarah dan tiga kereta dirosakkan.


Penduduk Buddha di Rakhine sudah lama tidak berpuas hati dengan pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak mereka melancarkan keganasan terhadap penduduk Islam pada pertengahan 2012.

Penduduk dan sami Buddha mendakwa sukarelawan itu memihak kepada masyarakat Muslim.

Ketegangan di Rakhine semakin teruk menjelang bancian kebangsaan pertama dalam 30 tahun apabila penduduk Buddha Rakhine menggesa supaya etnik Rohingya tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar.

Penduduk Buddha mengibarkan bendera agama mereka di depan setiap bangunan rumah dan pejabat di Sittwe untuk menguatkan desakan mereka .

Beberapa tunjuk perasaan diadakan sebelum ini, namun ini kali pertama organisasi sukarelawan antarabangsa menjadi sasaran.

Penduduk Sittwe Tun Tha berkata, perintah berkurung dilaksanakan dari jam 6 petang hingga 6 pagi yang diumumkan pihak berkuasa menggunakan pembesar suara ekoran keganasan itu.

Anggota polis dan tentera turut mengawal pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi bantuan antarabangsa.

Jurucakap kerajaan Win Myaing berkata, kira-kira 300 orang mengepung bangunan Malteser International lewat petang kelmarin berikutan laporan seorang wanita menurunkan bendera agama Buddha di depan pejabat berkenaan.

Katanya, polis melepaskan 40 hingga 50 tembakan amaran untuk meleraikan kumpulan itu.- AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28


No comments:

Post a Comment