Wednesday 2 April 2014

Rohingya hampir kehabisan makanan, air


Kanak-kanak pelarian Rohingya berehat di dalam khemah ketika satu proses bancian di sebuah kem pelarian pedalaman (IDPS) di kampung Theechaung di pinggir pinggir Sittwe, negeri Rakhine, barat Myanmar, semalam. - AFP
SITTWE 1 April - Ribuan penduduk termasuk etnik Rohingya di Rakhine, barat Myanmar dilaporkan hampir kehabisan bekalan makanan dan air bersih, lapor agensi Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) yang terpaksa meninggalkan wilayah itu selepas beberapa siri gelombang keganasan.
Kebanyakan pelarian Rohingya yang tinggal di kem-kem di Rakhine bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan yang kini dihentikan ekoran serangan penduduk Buddha ke atas pertubuhan bantuan itu, baru-baru ini.
"Kami amat bimbang dengan keganasan yang boleh menjejaskan operasi kemanusiaan," kata jurucakap OCHA, Pierre Peron.
Katanya, simpanan air bagi kira-kira 18,000 penduduk di dua khemah berasingan di Pauktaw amat kritikal.
Perkhidmatan kesihatan terutamanya rawatan kecemasan terjejas akibat keganasan baharu di Rakhine yang berpunca daripada proses bancian pertama selepas tiga dekad.
Agensi perubatan Doctors Without Borders (MSF) diusir keluar dari Rakhine bulan lalu, memberi kesan kepada kira-kira 800,000 etnik Rohingya yang berdepan dengan layanan buruk kerajaan yang dianggap sebagai pendatang asing.
Petugas agensi bantuan bimbang mereka akan dihalang daripada menawarkan bekalan asas dan penjagaan kesihatan kepada 170,000 pelarian di khemah-khemah dan perkampungan terpencil sekitar Rakhine. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140402/lu_04/Rohingya-hampir-kehabisan-makanan-air#ixzz2xgAL3iQt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment