Friday 28 June 2013

Usul larangan wanita Buddha kahwin lelaki Islam dapat sokongan sami


YANGON 28 Jun - Beratus-ratus sami Buddha semalam menyatakan sokongan terhadap usul undang-undang perkahwinan yang melarang wanita Myanmar berkahwin dengan lelaki beragama Islam.
Usul berkenaan yang dicadangkan oleh kumpulan ekstremis Wirathu, mendapat sokongan kira-kira 1,500 sami di seluruh negara yang berkumpulan di sini untuk berbahas tentang undang-undang kontroversi itu.
Berdasarkan usul undang-undang perkahwinan itu, seorang wanita Buddha yang mahu mengahwini seorang lelaki Muslim perlu mendapatkan persetujuan daripada keluarganya dan pihak berkuasa.
Selain itu, lelaki Islam berkenaan perlu menukar kepada agama Buddha. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130628/lu_02/Usul-larangan-wanita-Buddha-kahwin-lelaki-Islam-dapat-sokongan-sami#ixzz2XSdzfhWa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday 24 June 2013

MRA rancang bina rumah panjang di Myanmar


KUALA LUMPUR - Agensi Bantuan Malaysia (MRA) merancang membina 30 unit rumah panjang di Sittwe Arakan, Myanmar sebagai penempatan sementara mangsa ketegangan kaum yang kehilangan tempat perlindungan.
 
Pengerusi MRA Datuk Dr Abdul Razak Kechik berkata badan kemanusiaan itu memperoleh kebenaran pihak berkuasa tempatan bagi pembinaan rumah panjang bernilai kira-kira RM20,000 seunit yang mampu menempatkan 10 keluarga.
 
"Pada masa ini, mangsa yang kehilangan rumah dan harta benda, sedang menetap di dalam khemah yang daif di Sittwe. Dana untuk membina rumah ini amat diperlukan dan kita mengharapkan bantuan orang ramai," katanya ketika merasmikan Kempen Ramadan 1434 dengan slogan 'Dekat Di Mata Lekat Di Hati' di sini hari ini.
 
Selain bantuan tempat perlindungan, bantuan makanan kering bagi tempoh sebulan seperti beras, tepung, gula, garam dan minyak masak akan turut disalur kepada orang Islam yang ditindas di sana, katanya.
 
"MRA berharap rakyat Malaysia berganding bahu untuk membantu Muslim Rohingya yang sangat memerlukan bantuan perlindungan dan makanan dengan kadar segera," katanya.
 
Sumbangan boleh disalur kepada MRA melalui akaun Maybank bernombor 5640 9820 6365, dan untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman sesawang www.mra.my atau hubungi talian 03-2697 2007 atau 012-4668 033 atau alamat e-mel MRA admin@mra.my. - Bernama

Thursday 20 June 2013

Pembinaan kem Rohingya di selatan Thai dibantah


Sengketa agama di negeri Rakhine, Myanmar antara etnik Buddha dan Rohingya Islam, turut menjejaskan keselamatan golongan wanita serta kanak-kanak. - AGENSI
BANGKOK 19 Jun - Penduduk beberapa kampung di wilayah Nakorn Sri Thammarat, selatan Thailand membantah rancangan kerajaan untuk membina kem sementara untuk pelarian etnik Rohingya Islam dari Myanmar.
Agensi berita Xinhua yang memetik polis melaporkan, kira-kira 5,000 penduduk daerah Cha-uad di Nakorn Sri Thammarat menandatangani satu petisyen membantah rancangan kerajaan tersebut.
Menurut penduduk Cha-uad, rancangan pembinaan kem di dalam kawasan kompleks pihak berkuasa Pasukan Peronda Sempadan ke-427 itu akan menyaksikan beribu-ribu pelarian Rohingya Islam ditempatkan di situ.
Penduduk bimbang kem yang dibina berhampiran sekolah dan kampung di daerah itu boleh menyebabkan penularan wabak penyakit bawaan etnik Rohingya Islam selain menjejaskan keselamatan dan kehidupan mereka.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Pracha Prasopdee akan ke kawasan berkenaan Jumaat ini untuk bertemu penduduk bagi menyelesaikan masalah itu.
Pelarian Rohingya beragama Islam yang melarikan diri daripada konflik berdarah di Myanmar, mendarat di pantai selatan Thailand sebelum ini dalam keadaan letih dan kekurangan makanan selain mencari tempat berlindung.
Pihak berkuasa menyediakan makanan dan tempat perlindungan sementara sebelum mengarahkan mereka ke negara lain.
Ketika kebanyakan pelarian Rohingya Islam diberikan perlindungan oleh pihak berkuasa dan penduduk Thailand, terdapat beberapa kes melibatkan etnik tersebut dilaporkan antaranya mereka menjadi mangsa rompak, diserang dan dibunuh dipercayai oleh dalang penyeludupan manusia. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130620/lu_03/Pembinaan-kem-Rohingya-di-selatan-Thai-dibantah#ixzz2WhtHgxX6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday 15 June 2013

Myanmar benar konvoi PBB memasuki Kachin

KANAK-KANAK di negeri Kachin, Myanmar ini akan menerima faedah daripada penghantaran makanan dan barangan keperluan daripada konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


YANGON - Sebanyak 10 buah lori konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dibenarkan menghantar makanan dan barangan keperluan rumah untuk kali pertama dalam tempoh hampir setahun ke kawasan di luar kawalan pemerintah di utara Myanmar.
Pejabat Kemanusiaan PBB menyatakan semalam bahawa konvoi itu menghantar makanan, nutrien khas kanak-kanak, barangan keperluan rumah, kit kebersihan dan tablet pembersih air kepada sejumlah 5,100 daripada 100,000 orang yang menjadi pelarian ekoran pertempuran antara tentera Myanmar dengan pemberontak di negeri Kachin.
Rantau berkenaan bersempadan dengan China.
Jurucakap Hal Ehwal Kemanusiaan Pejabat PBB di Geneva, Jens Laerke berkata, ini adalah kali pertama pemerintah Myanmar membenarkan konvoi PBB memasuki negeri Kachin sejak Julai 2012.
Menurutnya, sejak Jun 2011 pertempuran antara pihak tentera dengan Pertubuhan Pembebasan Kachin telah memaksa sekitar 100,000 orang menjadi pelarian dengan 60,000 daripada mereka hidup tanpa bantuan pemerintah.
Myanmar berdepan pemberontakan sejak negara tersebut mencapai kemerdekaan pada 1948.
Beberapa etnik minoriti di Kachin mengangkat senjata kerana menuntut pemerintahan autonomi daripada pemerintah. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0615&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2WELqQa00 
Hakcipta terpelihara