Wednesday 26 March 2014

Barack Obama digesa bantu Rohingya


WASHINGTON 25 Mac - Bekas ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Tom Andrews yang melawat kem pela­rian etnik Rohingya di barat Myanmar menggesa Presiden AS, Barack Obama menggunakan pengaruhnya di negara itu untuk melindungi anggota etnik tersebut.
Andrews yang merupa­kan presiden kumpulan ak­­tivis, End Genocide da­lam laporannya semalam memberi amaran, anggota etnik tersebut mengalami kekurang­an bekalan perubatan dan sentiasa hidup dalam ketakutan.
"Tanda-tanda bahaya dapat dilihat dengan jelas. Jumlah yang terkorban adalah tinggi.
"Mereka diserang bukan kerana apa yang telah mereka lakukan. Se­rangan dilakukan kerana etnik dan agama mereka," katanya yang melawat kem tersebut selama sebulan.
Beliau berkata, tanda-tanda amaran berlakunya pembunuhan kaum dan keganasan besar-besaran sudah dapat dilihat di sana.
Sejak pertengahan 2012, hampir 280 orang terutama etnik Rohingya Islam maut dalam pertempuran kaum di negeri Rakhine, kejadian yang membayangi perubahan Myanmar ke arah demokrasi selepas lima dekad diperintah oleh kerajaan junta.
Hampir 140,000 anggota Rohingya Islam terpaksa tinggal di kem-kem sesak dan berpuluh ribu melarikan diri ke negara lain menaiki bot.
Andrews berkata, jumlah pelarian yang melarikan diri me­lalui laut meningkat dua kali ganda tahun ini walaupun perjalanan tersebut amat berbahaya dan sukar mendapat perlindungan di tempat lain.
Myanmar menganggap kira-kira 1.3 juta etnik Rohingya Islam sebagai pendatang yang berpindah ke negara itu secara haram dari Bangladesh walaupun kebanyakannya sudah tinggal di sana sejak beberapa generasi. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140326/lu_02/Barack-Obama-digesa-bantu-Rohingya#ixzz2x1EfpVWT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment