Sunday 2 March 2014

MSF terkejut diarah henti operasi


Nasib ribuan kanak-kanak Rohingya Islam semakin tidak menentu selepas Myanmar mengarahkan Agensi perubatan Doctors Without Borders (MSF) menghentikan operasi di negeri itu, kelmarin. - AGENSI
YANGON 1 Mac - Agensi perubatan Doctors Without Borders (MSF) melahirkan rasa terkejut mereka berikutan arahan kerajaan Myanmar yang mahu pihaknya menghentikan operasinya di negeri Rakhine, barat Myanmar semalam.
Kata pertubuhan itu, mereka amat bimbang dengan nasib puluhan ribu rakyat Myanmar yang kini di bawah kendalian mereka khasnya pesakit AIDS, malaria dan batuk kering.
"Sejak 2004, MSF telah merawat hampir 1.2 juta pesakit malaria di negeri Rakhine sahaja,'' kata agensi itu yang merupakan penyedia penjagaan kesihatan terbesar di Rakhine seperti mana lapor Burma Times.
Jurucakap bagi Presiden Myanmar sebelum ini mendakwa MSF bertindak berat sebelah dengan memihak kepada minoriti Rohingya Islam di negeri Rakhine.
Menurut MSF, tiada pertubuhan perubatan lain di Myanmar yang beroperasi pada kadar sama seperti mereka dan tindakan agensi itu sentiasa 'berpandukan etika-etika perubatan dan prinsip-prinsip kesamarataan dan tidak menyebelahi mana-mana pihak'.
Dalam pada itu, wartawan BBC di Yangon, Jonah Fisher berkata, MSF merupakan satu daripada beberapa agensi yang menyediakan rawatan kepada etnik Rohingya yang sukar mendapatkan rawatan daripada klinik-klinik dan hospital.
Kerajaan mendakwa, MSF lebih mengutamakan layanan ke atas komuniti Rohingya berbanding penduduk Buddha.
Menurut Fisher, kerajaan mungkin hilang sabar dengan kenyataan MSF bulan lalu bahawa mereka telah merawat penduduk selepas satu dakwaan pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam oleh penduduk Buddha di kawasan sempadan dengan Bangladesh.
Tindakan itu dibuat beberapa hari selepas satu lagi kumpulan hak asasi manusia, Fortify Rights mendakwa mempunyai bukti bukti bertulis tentang amalan berat sebelah kerajaan ke atas etnik Rohingya.
Etnik Rohingya sering dianaktirikan kerajaan dengan mereka dianggap sebagai rakyat Bangladesh selain berdepan penindasan kerajaan Myanmar.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140302/lu_04/MSF-terkejut-diarah-henti-operasi#ixzz2ukhJ4xsb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment