Friday 7 March 2014

Bangladesh desak Myanmar bawa pulang Rohingya


NAY PYI TAW, Myanmar 6 Mac - Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina mendesak kerajaan Myanmar mengambil langkah penyelesaian bagi membawa pulang beribu-ribu pelarian Rohingya yang memasuki Bangladesh secara haram.
Agensi berita Burma Times melaporkan Hasina dalam pertemuan dengan Presiden Myanmar, Thein Sein pada Isnin lalu di Istana Presiden Myanmar ketika menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Teluk Bengal untuk Kerjasama Sektor Teknikal dan Ekonomi (Bimstec) kali ketiga di sini berkata, isu pelarian Rohingya seharusnya diselesaikan melalui rundingan damai antara kedua-dua negara jiran itu bagi mengekalkan kestabilan dan keamanan serantau.
Menurut laporan rasmi, terdapat kira-kira 30,000 pelarian berdaftar etnik Rohingya, manakala kira-kira 500,000 pelarian tidak berdaftar tinggal di Bangladesh akibat keganasan dan penindasan kaum yang dihadapi penduduk Islam di Myanmar.
Sein bagaimanapun tidak memberi sebarang jawapan balas berhubung kenyataan Hasina itu.
Dalam pertemuan selama sejam itu, Hasina turut mengulangi pendirian bahawa kerajaannya tidak akan bertolak ansur berhubung keganasan.
"Bangladesh tidak akan dipergunakan untuk sebarang aktiviti pengganas bagi menentang negara ini atau negara jiran lain," katanya.
Pada masa sama, Sein berkata, Bangladesh mampu menjadi rakan kongsi bersama India, Thailand dan Myanmar untuk projek pembangunan jalan raya yang menghubungkan keempat-empat negara terbabit.
Dalam reaksinya berhubung perkara itu, Hasina memandang positif projek tersebut yang beliau yakini mampu menggalakkan pertumbuhan aktiviti perdagangan di negara-negara di rantau ini.
Pemimpin Bangladesh itu turut mendedahkan masalah kemiskinan merupakan musuh utama rantau ini dan memberi penekanan terhadap keperluan hubungan rapat sesama negara-negara anggota bagi memastikan pembangunan rakyat di rantau ini.
"Melalui hubungan rapat serantau, ekonomi negara-negara anggota dapat diperkukuhkan lagi menerusi peningkatan aktiviti perdagangan dan perniagaan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140307/lu_02/Bangladesh-desak-Myanmar-bawa-pulang-Rohingya#ixzz2vE4cJGlS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment