Saturday, 13 February 2016

Keselamatan Suu Kyi dikawal 
ketat susulan ancaman bunuh

13 Februari 2016 12:03 AM
Myanmar's National League for Democracy leader Aung San Suu Kyi

Aung San Suu Kyi
YANGON 12 Feb. – Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi diberikan kawalan keselamatan ketat selepas menerima satu ancaman bunuh di Facebook yang merujuk kepada cita-cita wanita itu untuk menjadi Presiden negara ini.
Dalam satu pos di Facebook minggu lalu, seorang lelaki bernama Ye Lwin Myint mengancam untuk menembak mana-mana individu yang cuba menukar klausa kontroversi dalam Perlembagaan yang melarang pemimpin pembangkang itu daripada menjadi Presiden.
Meskipun Lwin Myint tidak secara khusus merujuk Suu Kyi, ikon demokrasi itu difahamkan turut mempunyai keinginan untuk menjawat jawatan penting tersebut.
Suu Kyi dilarang menjadi Presiden kerana satu klausa Perlembagaan yang menyatakan, anak serta pasangan individu yang mahu menjadi Presiden perlulah warganegara Myanmar.
Seorang anggota Parti Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) yang rapat dengan Suu Kyi dan tidak mahu dinamakan berkata, kawalan keselamatan tambahan mula dilakukan sejak dibuat ancaman lelaki itu.
Seorang anggota polis kanan di Naypyidaw turut mengesahkan peningkatan kawalan keselamatan, tanpa mahu mendedahkan namanya.
“Kawalan keselamatan polis telah ditingkatkan untuk Suu Kyi,’’ katanya.
Ancaman itu dibuat ketika Myanmar berada di tempoh peralihan kerajaan selepas parti NLD memenangi pilihan raya umum November tahun lalu. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/keselamatan-suu-kyi-dikawal-8232-ketat-susulan-ancaman-bunuh-1.189699#sthash.hGeWFSY2.dpuf

Wednesday, 10 February 2016

4 dikhuatiri maut pesawat tentera Myanmar terhempas

DUNIA RABU, 10 FEBRUARI 2016 @ 3:45 PM



ANGGOTA bomba melihat bangkai pesawat ringan tentera udara terhempas yang di kawasan pertanian dekat lapangan terbang, hari ini. - Foto AFP


 NAYPYIDAW: Sekurang-kurangnya empat tentera Myanmar dikhuatiri terbunuh selepas sebuah pesawat ringan tentera udara terhempas sejurus berlepas di sini, hari ini, menurut sumber rasmi.

Pesawat penumpang jenis Beechcraft yang membawa lima anak kapal dan dipercayai sedang melakukan rondaan rutin, terhempas di kawasan pertanian dekat lapangan terbang.

 Menurut AFP, orang ramai mula membanjiri lokasi ketika pihak berkuasa dikerah memadam kebakaran dan memeriksa bangkai pesawat itu.

Seorang pegawai kanan polis yang tidak mahu dikenali berkata, empat orang terbunuh dan mungkin seorang lagi terselamat.

Menurut pegawai lapangan terbang, pesawat itu terbakar sebaik meninggalkan landasan. Pihak tertinggi tentera Myanmar gagal dihubungi untuk mengulas lanjut.

Myanmar mempunyai sektor penerbangan yang sibuk, berbanding infrastruktur jalan raya dan kereta api yang mundur.

 Walaupun berita kemalangan udara membabitkan tentera jarang disiarkan, beberapa insiden membabitkan pesawat komersial sering dilaporkan kebelakangan ini.

 Julai lalu, pesawat dua enjin Air Bagan ATR 72 yang membawa 49 penumpang tergelincir di landasan selepas mendarat dalam hujan lebat di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123011

Proses damai selatan Thailand tunjuk kemajuan

9 FEBRUARI 2016

bendera thailand

 BANGKOK - THAILAND . Proses membawa kedamaian di wilayah bergolak selatan Thailand menunjukkan kemajuan dengan kedua-dua pihak bertelagah, kerajaan Bangkok dan kumpulan pembebasan Pattani semakin hampir untuk memulakan rundingan damai secara rasmi.
Perkara itu didedahkan oleh sumber dalaman Mara Patani, yang menjadi payung kepada kumpulan-kumpulan pembebasan di Pattani yang terlibat dalam perbincangan tinjauan dan proses membina keyakinan dengan kerajaan Thai ketika ini.
"Kemajuan dalam proses (perbincangan tinjauan dan proses membina keyakinan) memang ada dan kita jangkakan akan diadakan perjumpaan secara rasmi dalam masa terdekat," menurut sumber itu kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, pasukan teknikal kedua-dua pihak telah bertemu pada akhir bulan lepas untuk membincangkan perkara tentang Terma-Terma Rujukan sebelum memulakan rundingan damai secara rasmi.
Sumber itu tidak mendedahkan lokasi pertemuan antara kedua-dua pasukan teknikal itu, namun ia dipercayai diadakan di Kuala Lumpur berikutan kedudukan Malaysia sebagai fasilitator dalam rundingan tidak rasmi itu.
Pergolakan di wilayah selatan Thai sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mengorbankan ribuan nyawa termasuk dalam kalangan orang awam.
Menurut sumber terbabit lagi, perbincangan terbaru di antara pasukan teknikal Mara Patani dan kerajaan Thai baru-baru ini mengenai Terma-Terma Rujukan telah mencapai banyak kemajuan menggalakkan.
"Persetujuan 80-90 peratus sudah tercapai (tentang Terma-Terma Rujukan), tinggal lagi sokongan muktamad daripada jawatankuasa pemandu kedua-dua belah pihak," katanya.
Sumber itu yang enggan mendedahkan identitinya berikutan maklumat yang disalurkan adalah sensitif berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media Thailand tentang kemajuan pertemuan tidak rasmi antara kedua pihak itu.
Sementara itu, anggota penting pasukan rundingan Thailand dalam rundingan tidak rasmi itu, Lt Jen Nakrob Bunbuathong berkata kedua-dua pihak masih tawar menawar mengenai dua isu utama berkaitan terma-terma rujukan namun beliau enggan mengulas.
"Kami akan menandatangani terma-terma rujukan selepas bersetuju mengenai kedua-dua isu itu. Selepas itu, rundingan di antara kedua-dua pihak akan menjadi rasmi," katanya kepada Bernama hari ini sambil menambah mereka dijangka bertemu Mara Patani pada Mei.
Nakrob berkata, isu-isu utama mengenai terma rujukan yang masih belum dipersetujui pihak Thailand masih dipertimbangkan jawatankuasa pemandu dan akan dikemukakan kepada Malaysia yang bertindak sebagai fasilitator sebaik Bangkok mencapai satu keputusan.
Media di negara ini mendakwa pasukan perunding kerajaan Thai dan Mara Patani akan bertemu tidak lama lagi untuk menandatangani persetujuan tentang Terma-Terma Rujukan bagi membolehkan rundingan damai secara rasmi diadakan.
Ia berkata, perincian tentang Terma Rujukan itu telah pun dipersetujui kedua-dua pihak.
"Walaupun kedua-dua pihak (Thai dan Mara Patani) belum memulakan proses damai secara rasmi dan terus menyatakan keadaan ketika ini sebagai 'perjumpaan tidak rasmi', namun ia sedang menuju ke arah itu (rundingan rasmi)," menurut media Thailand.
Mengenai kandungan Terma Rujukan itu, sumber terbabit enggan mendedahkannya kerana ia masih belum muktamad tetapi mengesahkan tiga cadangan awal yang dikemukakan oleh Mara Patani ada terkandung dan telah dibincangkan.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut tentang tiga cadangan awal oleh Mara Patani itu. - Bernam
a

Monday, 8 February 2016

Media kaitkan Suu Kyi bakal jadi Presiden Myanmar

ISNIN, 8 FEBRUARI 2016 @ 12:25 PM


PARTI diketuai Suu Kyi, Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) menang besar dalam pilihan raya umum negara itu 8 November lalu. - Foto AFP


NAYPYITAW (Myanmar): Dua saluran televisyen prokerajaan, melaporkan ada 'tanda positif' hasil rundingan antara ketua tentera Myanmar dengan Aung San Suu Kyi bagi mengeluarkan klausa dalam perlembagaan yang menghalang ikon demokrasi itu menjadi presiden. Parti diketuai Suu Kyi, Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) menang besar dalam pilihan raya umum negara itu 8 November lalu. Namun, Suu Kyi dihalang daripada menjadi presiden kerana Artikel 59 (f) Perlembagaan menyebut sesiapa saja menjadi pasangan kepada rakyat asing tidak boleh memegang kuasa tertinggi pentadbiran negara. Mendiang suami Suu Kyi adalah seorang warga British, begitu juga dua anak mereka. Dalam penyiaran yang berasingan semalam, Sky Net dan Myanmar National Television berkata, terdapat 'keputusan positif' dalam rundingan itu untuk menggantung Artikel 59 (f) Perlembagaan Myanmar. Suu Kyi sedang berunding dengan ketua tentera, Jeneral Min Aung Hlaing supaya klausa berkenaan digantung sekiranya beliau mendapat majoriti dua pertiga undi di Parlimen. Pihak tentera menguasai 25 peratus kerusi dipertandingkan di Parlimen yang mana NLD sukar untuk melucutkan terus klausa berkenaan secara sendiri. "Saya fikir semuanya akan beres," kata Kyaw Htwe, anggota Jawatankuasa Pusat NLD, memberitahu The Associated Press. "Rundingan itu akan menjadi positif kepada ketua kami, Aung San Suu Kyi untuk menjadi Presiden," said Kyaw Htwe, yang juga seorang Ahli Parlimen. Namun bagi penganalisis politik, Yan Myo Thein, ia adalah terlalu awal berhubung perkara itu. "Ia masih terlalu awal untuk mengesahkan bahawa Suu Kyi akan menjadi salah seorang calon presiden. "Walaupun ada pindaan Perlembagaan nanti, ia akan memakan. Kita tidak boleh memberi komen hanya berdasarkan pengumuman pendek di televisyen," katanya. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/122387

Tuesday, 2 February 2016

Parti Suu Kyi duduki Parlimen


SUU KYI


NAYPYIDAW – Myanmar memasuki era baharu politik semalam selepas wakil rakyat prodemokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi menduduki kerusi mereka di Parlimen sekali gus membawa harapan kepada rakyat yang ditindas oleh tentera selama beberapa dekad.
Memakai seragam jingga, wakil-wakil rakyat daripada Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) tiba di ibu kota Myanmar di sini untuk berkhidmat susulan kemenangan besar parti itu dalam pilihan raya November lalu.
Suu Kyi yang digelar ikon demokrasi Myanmar memasuki Parlimen tanpa membuat sebarang kenyataan.
Beliau duduk di kerusi bersendirian pada sesi pembukaan Parlimen yang turut menyaksikan majlis angkat sumpah wakil rakyat dan pelantikan sekutu rapat­nya, Win Myint sebagai Speaker dewan rendah Parlimen.
“Hari ini menjadi kebanggaan dalam sejarah politik dan peralihan demokrasi di Myanmar,” kata Win Myint dalam ucapan pembukaannya.
Kerajaan baharu itu memikul tugas berat membina semula ekonomi Myanmar yang teruk terjejas semasa pemerin­tahan junta tentera. Myanmar kini merupakan antara negara paling miskin di Asia Tenggara.
Tugas membina semula negara itu menjadi cabaran getir buat NLD ekoran ramai wakil rakyatnya merupakan muka baharu dalam arena politik dan tidak berpengalaman mentadbir.
Mereka perlu segera menyesuaikan diri di Parlimen Myanmar yang mana 25 pe­ratus kerusi diduduki oleh pihak tentera.
Suu Kyi, 70, pula disekat daripada menjadi Presiden Myanmar oleh perlembagaan yang diwujudkan tentera kerana berkahwin dan mempunyai anak bersama warga asing.
Beliau sebelum ini berikrar akan mengatasi halangan itu dengan memerintah menerusi Presiden yang bertindak sebagai proksinya, namun, masih belum menamakan calon tersebut.
Sementara itu, Presiden Thein Sein akan mengekalkan jawatannya sehingga penghujung Mac depan sebelum seorang Presiden baharu dipilih melalui undian di kedua-dua dewan rendah dan dewan tinggi Parlimen. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3yxkR4PCH 
Hakcipta terpelihara 

Era demokrasi Myanmar

Gambar bertarikh 28 Januari lalu merakamkan ketibaan Ahli-Ahli

Parti NLD mula tugas ganti kerajaan junta Gambar bertarikh 28 Januari lalu merakamkan ketibaan Ahli-Ahli Parlimen dari Parti NLD ke bangunan Parlimen dalam satu kunjungan sebelum memulakan tugas secara rasmi di Naypyidaw, Myanmar. AFP

 YANGON 1 Feb. - Dunia politik Myanmar melangkah ke era baharu hari ini apabila ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi mengetuai barisan anggota Parlimen memulakan tugas menggalas harapan rakyat untuk menggantikan pemerintahan kerajaan junta.
Dengan memakai uniform berwarna jingga, anggota Parlimen dari Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang dipimpin Suu Kyi tiba di Naypyidaw pada hari pertama bertugas selepas meraih kemenangan besar dalam pilihan raya pada November lalu.
Beliau duduk bersendirian dalam Dewan Parlimen pada sesi pembukaan yang menyaksikan upacara mengangkat sumpah dilaksanakan dan pelantikan sekutu rapatnya, Win Myint sebagai Speaker Dewan Rakyat.
“Hari ini merupakan hari bersejarah bagi dunia politik Myanmar dan peralihan demokrasi,” kata Win Myint dalam ucapannya.
Kerajaan baharu Myanmar menggalas tugas sukar untuk membina semula ekonomi negara yang disenarai sebagai satu daripada negara termiskin di Asia Tenggara selepas diperintah kerajaan junta selama berpuluh-puluh tahun.
Kebanyakan anggota Parlimen dari Parti NLD masih mentah dalam dunia politik dan tidak berpengalaman dalam urusan perniagaan kerajaan selain perlu pantas membuat keputusan dalam soal perundangan memandangkan pihak tentera mempunyai 25 peratus kerusi dalam Parlimen.
Suu Kyi, 70, dilarang untuk menjadi Presiden berdasarkan undang-undang yang digubal oleh tentera kerana beliau berkahwin dengan rakyat asing.
Bagaimanapun, pemimpin wa­nita itu berikrar untuk mengetepikan cabaran tersebut de­ngan memerintah menggunakan proksi Presiden walaupun beliau masih belum mendedahkan pi­lihannya untuk menggalas jawatan tertinggi negara ini.
Wakil rakyat dari Dewan Rak­yat dan Dewan Parlimen serta pihak tentera akan menamakan tiga calon bagi menggantikan Presiden, Thein Sein yang akan menamatkan tugas pada hujung bulan Mac.
Presiden baharu akan dipilih berdasarkan undian kedua-dua dewan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/era-demokrasi-myanmar-1.185794#sthash.zPqQUuyn.dpuf