Dalam satu pos di Facebook minggu lalu, seorang lelaki bernama Ye Lwin Myint mengancam untuk menembak mana-mana individu yang cuba menukar klausa kontroversi dalam Perlembagaan yang melarang pemimpin pembangkang itu daripada menjadi Presiden.
Meskipun Lwin Myint tidak secara khusus merujuk Suu Kyi, ikon demokrasi itu difahamkan turut mempunyai keinginan untuk menjawat jawatan penting tersebut.
Suu Kyi dilarang menjadi Presiden kerana satu klausa Perlembagaan yang menyatakan, anak serta pasangan individu yang mahu menjadi Presiden perlulah warganegara Myanmar.
Seorang anggota Parti Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) yang rapat dengan Suu Kyi dan tidak mahu dinamakan berkata, kawalan keselamatan tambahan mula dilakukan sejak dibuat ancaman lelaki itu.
Seorang anggota polis kanan di Naypyidaw turut mengesahkan peningkatan kawalan keselamatan, tanpa mahu mendedahkan namanya.
“Kawalan keselamatan polis telah ditingkatkan untuk Suu Kyi,’’ katanya.
Ancaman itu dibuat ketika Myanmar berada di tempoh peralihan kerajaan selepas parti NLD memenangi pilihan raya umum November tahun lalu. – AFP