Tuesday 2 February 2016

Parti Suu Kyi duduki Parlimen


SUU KYI


NAYPYIDAW – Myanmar memasuki era baharu politik semalam selepas wakil rakyat prodemokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi menduduki kerusi mereka di Parlimen sekali gus membawa harapan kepada rakyat yang ditindas oleh tentera selama beberapa dekad.
Memakai seragam jingga, wakil-wakil rakyat daripada Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) tiba di ibu kota Myanmar di sini untuk berkhidmat susulan kemenangan besar parti itu dalam pilihan raya November lalu.
Suu Kyi yang digelar ikon demokrasi Myanmar memasuki Parlimen tanpa membuat sebarang kenyataan.
Beliau duduk di kerusi bersendirian pada sesi pembukaan Parlimen yang turut menyaksikan majlis angkat sumpah wakil rakyat dan pelantikan sekutu rapat­nya, Win Myint sebagai Speaker dewan rendah Parlimen.
“Hari ini menjadi kebanggaan dalam sejarah politik dan peralihan demokrasi di Myanmar,” kata Win Myint dalam ucapan pembukaannya.
Kerajaan baharu itu memikul tugas berat membina semula ekonomi Myanmar yang teruk terjejas semasa pemerin­tahan junta tentera. Myanmar kini merupakan antara negara paling miskin di Asia Tenggara.
Tugas membina semula negara itu menjadi cabaran getir buat NLD ekoran ramai wakil rakyatnya merupakan muka baharu dalam arena politik dan tidak berpengalaman mentadbir.
Mereka perlu segera menyesuaikan diri di Parlimen Myanmar yang mana 25 pe­ratus kerusi diduduki oleh pihak tentera.
Suu Kyi, 70, pula disekat daripada menjadi Presiden Myanmar oleh perlembagaan yang diwujudkan tentera kerana berkahwin dan mempunyai anak bersama warga asing.
Beliau sebelum ini berikrar akan mengatasi halangan itu dengan memerintah menerusi Presiden yang bertindak sebagai proksinya, namun, masih belum menamakan calon tersebut.
Sementara itu, Presiden Thein Sein akan mengekalkan jawatannya sehingga penghujung Mac depan sebelum seorang Presiden baharu dipilih melalui undian di kedua-dua dewan rendah dan dewan tinggi Parlimen. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3yxkR4PCH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment