Wednesday 10 February 2016

Proses damai selatan Thailand tunjuk kemajuan

9 FEBRUARI 2016

bendera thailand

 BANGKOK - THAILAND . Proses membawa kedamaian di wilayah bergolak selatan Thailand menunjukkan kemajuan dengan kedua-dua pihak bertelagah, kerajaan Bangkok dan kumpulan pembebasan Pattani semakin hampir untuk memulakan rundingan damai secara rasmi.
Perkara itu didedahkan oleh sumber dalaman Mara Patani, yang menjadi payung kepada kumpulan-kumpulan pembebasan di Pattani yang terlibat dalam perbincangan tinjauan dan proses membina keyakinan dengan kerajaan Thai ketika ini.
"Kemajuan dalam proses (perbincangan tinjauan dan proses membina keyakinan) memang ada dan kita jangkakan akan diadakan perjumpaan secara rasmi dalam masa terdekat," menurut sumber itu kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, pasukan teknikal kedua-dua pihak telah bertemu pada akhir bulan lepas untuk membincangkan perkara tentang Terma-Terma Rujukan sebelum memulakan rundingan damai secara rasmi.
Sumber itu tidak mendedahkan lokasi pertemuan antara kedua-dua pasukan teknikal itu, namun ia dipercayai diadakan di Kuala Lumpur berikutan kedudukan Malaysia sebagai fasilitator dalam rundingan tidak rasmi itu.
Pergolakan di wilayah selatan Thai sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mengorbankan ribuan nyawa termasuk dalam kalangan orang awam.
Menurut sumber terbabit lagi, perbincangan terbaru di antara pasukan teknikal Mara Patani dan kerajaan Thai baru-baru ini mengenai Terma-Terma Rujukan telah mencapai banyak kemajuan menggalakkan.
"Persetujuan 80-90 peratus sudah tercapai (tentang Terma-Terma Rujukan), tinggal lagi sokongan muktamad daripada jawatankuasa pemandu kedua-dua belah pihak," katanya.
Sumber itu yang enggan mendedahkan identitinya berikutan maklumat yang disalurkan adalah sensitif berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media Thailand tentang kemajuan pertemuan tidak rasmi antara kedua pihak itu.
Sementara itu, anggota penting pasukan rundingan Thailand dalam rundingan tidak rasmi itu, Lt Jen Nakrob Bunbuathong berkata kedua-dua pihak masih tawar menawar mengenai dua isu utama berkaitan terma-terma rujukan namun beliau enggan mengulas.
"Kami akan menandatangani terma-terma rujukan selepas bersetuju mengenai kedua-dua isu itu. Selepas itu, rundingan di antara kedua-dua pihak akan menjadi rasmi," katanya kepada Bernama hari ini sambil menambah mereka dijangka bertemu Mara Patani pada Mei.
Nakrob berkata, isu-isu utama mengenai terma rujukan yang masih belum dipersetujui pihak Thailand masih dipertimbangkan jawatankuasa pemandu dan akan dikemukakan kepada Malaysia yang bertindak sebagai fasilitator sebaik Bangkok mencapai satu keputusan.
Media di negara ini mendakwa pasukan perunding kerajaan Thai dan Mara Patani akan bertemu tidak lama lagi untuk menandatangani persetujuan tentang Terma-Terma Rujukan bagi membolehkan rundingan damai secara rasmi diadakan.
Ia berkata, perincian tentang Terma Rujukan itu telah pun dipersetujui kedua-dua pihak.
"Walaupun kedua-dua pihak (Thai dan Mara Patani) belum memulakan proses damai secara rasmi dan terus menyatakan keadaan ketika ini sebagai 'perjumpaan tidak rasmi', namun ia sedang menuju ke arah itu (rundingan rasmi)," menurut media Thailand.
Mengenai kandungan Terma Rujukan itu, sumber terbabit enggan mendedahkannya kerana ia masih belum muktamad tetapi mengesahkan tiga cadangan awal yang dikemukakan oleh Mara Patani ada terkandung dan telah dibincangkan.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut tentang tiga cadangan awal oleh Mara Patani itu. - Bernam
a

No comments:

Post a Comment