Monday 29 September 2014

Pelan baharu tindas etnik Rohingya

Kira-kira 1.1 juta penduduk perlu menerima syarat pengelasan semula etnik yang dicadangkan kerajaan Myanmar. Foto: AFP29 September 2014YANGON - MYANMAR. Ribuan penduduk Islam Rohingya bakal berdepan tindakan tegas jika mereka enggan mendaftar sebagai kaum Bengali di bawah pengelasan semula etnik yang terkandung dalam pelan baharu kerajaan Myanmar.Menurut jurucakap kerajaan, mereka kononnya akan turut menawarkan perlindungan hak dan undang-undang kepada etnik Rohingya yang bersetuju dengan syarat tersebut.

Myanmar rancang tahan etnik Rohingya


GAMBAR fail bertarikh 13 September lalu merakamkan seorang kanak-kanak pelarian Rohingya bermain di rumah mereka yang diperbuat daripada kotak di kem penempatan sementara di New Delhi. - AGENSI
YANGON 28 Sept. - Lebih sejuta etnik Rohingya berdepan ancaman akan dikenakan tahanan se­umur hidup, selepas mereka hanya dibenarkan membuat satu pilihan status etnik dan mendaftar sebagai bangsa Benggali, atau ditahan di bawah perancangan terbaharu kerajaan Myanmar.
Di bawah rancangan itu, pihak berkuasa di negeri Rakhine, akan membina kem sementara untuk menempatkan penduduk Islam Rohingya yang enggan mendaftar sebagai pendatang asing dari negara jiran, Bangladesh.
Mana-mana etnik tersebut yang tidak mempunyai dokumen lengkap atau enggan mendaftar sebagai bangsa Benggali, juga akan dihantar ke kem tahanan terbabit.
Sumber kerajaan Myanmar melaporkan, jika masyarakat minoriti itu menerima syarat baharu yang ditetapkan itu, mereka akan diberikan kerakyatan dan perlindungan serta hak mengikut undang-undang.
Bagaimanapun, seorang anggota jawatankuasa pemantau pengesahan kerakyatan di Rakhine, Tha Pwint berkata, pelan tersebut tidak akan menyelesaikan isu ketega­ngan antara penganut Buddha dan Islam di negeri itu.
Malah, katanya, keganasan kaum juga tidak akan dapat dihalang daripada berulang jika kerajaan melaksanakan pelan terbabit.
"Jika mereka (etnik Rohingya) diberikan kerakyatan dan penempatan, mereka tidak mungkin dapat hidup aman di Rakhine," katanya.
Hampir kesemua 1.1 juta etnik Rohingya tinggal secara terasing dan ditindas di barat Rakhine selepas keganasan kaum dan agama tercetus di negeri itu pada 2012 yang menyaksikan lebih 140,000 masyarakat minoriti tersebut menjadi pelarian atau terpaksa dipindahkan.
Timbalan Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia di Asia, Phil Robertson berkata, jika etnik Rohingya menukar status mereka sebagai Benggali se­perti yang ditetapkan kerajaan Myanmar, mereka juga berdepan risiko dihantar ke Bangladesh sebagai pendatang asing tanpa izin.
- REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140929/lu_11/Myanmar-rancang-tahan-etnik-Rohingya#ixzz3EeGQqar1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday 28 September 2014

Myanmar rancang laksana pengelasan etnik Rohingya


YANGON 28 Sept. - Kerajaan Myanmar didakwa merancang untuk memberi hak kewarganegaraan kepada kira-kira 1.1 juta penduduk Islam Rohingya di negara ini dengan syarat mereka menerima ketetapan penggelasan etnik atau bakal ditahan.
Menurut sumber, rancangan berkenaan turut menyatakan pihak berkuasa Rakhine diarah untuk menyediakan kem-kem penempatan sementara bagi mengenal pasti penduduk Rohingya yang enggan `mendaftar sebagai kaum Bengali dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap’.
"Rancangan tersebut merupakan salah satu cara yang digunakan bagi mewujudkan keamanan serta menamatkan konflik yang sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya," jelas sumber. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140928/lu_01/Myanmar-rancang-laksana-pengelasan-etnik-Rohingya#ixzz3EYYEVWnT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday 26 September 2014

Junta tentera Myanmar bebaskan 109 budak


Yangon: Junta tentera Myanmar membebaskan 109 tentera kanak-kanak semalam dalam pelepasan tugas tunggal terbesar pernah dilakukan setakat ini.

Bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata kanak-kanak terbabit - yang datang dari keluarga miskin - masih direkrut secara haram.

Ketua Unicef di Myanmar, Bertrand Bainvel berkata kerajaan negara itu mahu meningkatkan profesionalisme pasukan tenteranya.

“Kehadiran tentera kanak-kanak akan menghalang kerjasama mereka dengan negara lain yang boleh memberi bantuan,” katanya.

Sejak bertahun-tahun lalu Myanmar disenarai sebagai antara negara yang merekrut kanak-kanak sebagai anggota keselamatan.

Ia bukan saja dilakukan pihak kerajaan, malah kumpulan pemberontak.


Sejak kerajaan separa awam mentadbir kerajaan pada 2011, Myanmar mula bekerjasama dengan PBB untuk mengeluarkan kanak-kanak daripada tentera.

Seramai 472 orang kanak-kanak dibebaskan daripada pasukan itu sejak Jun 2012, termasuk 109 semalam.


Kata Bainvel, tentera menunjukkan komitmen untuk menjayakan pelan itu.

Katanya, sesetengah keluarga miskin masih mengharap anak mereka berkhidmat dalam tentera kerana ia menyediakan pendapatan untuk mereka.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Beri suapan RM100, warga Myanmar dipenjara 10 hari


26 September 2014


MELAKA - Seorang buruh binaan warga Myanmar hari ini dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM100 kepada pegawai Imigresen, minggu lepas.

Hakim Amran Jantan turut memerintahkan M.D Arif, 18, dipenjara enam bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa memberi suapan itu kepada Pegawai Imigresen Tinggi Kassullah Ramli daripada Jabatan Imigresen Negeri Melaka sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Arif didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan cadangan pembinaan dan perumahan Taman Desa Impian, Durian Tunggal, Alor Gajah pada 12.50 pagi, 16 September  lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammed Heikal Ismail dan tertuduh tidak diwakili peguam.    

Terdahulu pertuduhan dibacakan dalam bahasa Rohingya oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman diringankan kerana baru tiba di Malaysia dua bulan lalu selepas melarikan diri daripada pertempuran yang berlakudi  kampungnya di Myanmar, menyebabkan tiga daripada sembilan adik-beradiknya terkorban. - Bernama

Myanmar bebaskan 109 tentera kanak-kanak


Gambar fail menunjukkan pelatih tentera berdiri memberi perhatian pada satu latihan tentera di pangkalan tentera di Pathein, Irawaddy, Myanmar. - AGENSI
YANGON 25 Sept. - Tentera Myanmar 'membebaskan' seramai 109 kanak-kanak daripada senarai pasukan tentera hari ini, dalam satu penamatan perkhidmatan tunggal terbesar tentera kanak-kanak di negara ini.
Namun, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kanak-kanak Myanmar daripada keluarga miskin masih lagi secara salah direkrut untuk berperang sama ada oleh tentera kerajaan mahupun pemberontak.
Pihak tentera memerintah negara ini selama 49 tahun dan dikecam di peringkat antarabangsa kerana pencabulan hak asasi manusia termasuk menggunakan tentera kanak-kanak.
Ketua Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) di Myanmar, Bertrand Bainvel berkata, tentera Myanmar mahu meningkatkan mutu profesionalisme mereka dan kehadiran tentera kanak-kanak mungkin menghalang kerjasama tentera dengan negara-negara yang boleh menyediakan bantuan kepada Myanmar.
Menurut PBB, pentadbiran separuh awam yang mengambil alih kerajaan pada 2011 bekerjasama dengan badan itu untuk memastikan kanak-kanak dikeluarkan daripada senarai tentera dan telah membebaskan seramai 472 tentera kanak-kanak daripada senarai itu sejak Jun 2012.
"Terdapat komitmen oleh tentera bagi memastikan amalan ini dihapuskan daripada pasukan itu,'' kata Bainvel.
Tambahnya, pengambilan tentera kanak-kanak berterusan pada kadar yang rendah dan kebanyakan belia yang direkrut itu datang daripada keluarga miskin.
Kebanyakan proses pengambilan dilakukan di dua wilayah terbesar Myanmar iaitu Yangon dan Mandalay dan usaha itu biasanya dibantu oleh broker awam yang memalsukan dokumen mereka, sekali gus menyukarkan tentera untuk menentukan berapa banyak tentera kanak-kanak yang berdaftar. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140926/lu_04/Myanmar-bebaskan-109-tentera-kanak-kanak#ixzz3ENB9OJWP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday 14 September 2014

Remaja lelaki Myanmar maut ditikam di dada


KUANTAN 13 Sept. - Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar ditemui mati dengan kesan tikaman di bahagian dada di sebuah rumah kongsi di Perumahan Bukit Setongkol Baharu di sini, awal pagi ini.
Mangsa, Kobirahamed Nozirahamed, 17, dan merupakan pekerja binaan di sini ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah oleh rakan serumahnya, seorang warga Indonesia kira-kira pukul 3.20 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Aziz Ahmad berkata, rakan mangsa kemudian terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.
"Berikutan itu, sepasukan anggota polis termasuk dari Unik Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Unit Patologi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bergegas ke lokasi kejadian.
"Hasil pemeriksaan mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan terlentang dengan kesan tikaman menggunakan objek tajam pada bahagian dada sebelah kanan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140914/je_04/Remaja-lelaki-Myanmar-maut-ditikam-di-dada#ixzz3DG6OXOa0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PBB gesa kembalikan kerakyatan Rohingya


PBB berpendapat tindakan mengembalikan hak kerakyatan kepada kira-kira 800,000 orang penduduk etnik Islam Rohingya di negeri Arakan merupakan 'isu utama' yang perlu diselesaikan. - REUTERS
NAYPYIDAW 13 Sept. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpendapat tindakan mengembalikan hak kerakyatan kepada kira-kira 800,000 orang penduduk etnik Islam Rohingya di negeri Arakan merupakan'isu utama' yang perlu diselesaikan.
Laman web Burma Times melaporkan Penolong Setiausaha Agung PBB, Haoliang XU turut memberi amaran kerajaan Myanmar perlu menyelesaikan masalah kewarganegaraan, bantuan kemanusiaan serta pembangunan dan tidak hanya memberi tumpuan kepada penukaran istilah Rohingya kepada Bengali.
"Pada pendapat saya, apakah jalan yang terbaik bagi memastikan penduduk di dalam dan luar kem perlindungan mendapat hak kewarganegaraan.
"Perkara inilah yang akan menyelesaikan banyak masalah di negara ini. Selepas itu, semua pihak boleh berfikir tentang pembangunan, pembangunan untuk menikmati hidup yang lebih baik. Bagi kami ini adalah isu utama," kata Haoliang,
Beliau membuat rumusan itu selepas melakukan lawatan selama seminggu di Myanmar, yang berakhir semalam.
Dalam lawatan berkenaan. beliau turut menemui pegawai-pegawai kanan kerajaan Myanmar di Naypyidaw dan menghabiskan masa selama dua hari di Arakan untuk bertemu pegawai kerajaan dan pemimpin tempatan.
Penduduk Islam Rohingya dinafikan kerakyatan mereka oleh Undang-Undang Warganegara Myanmar 1982, walaupun mereka mendakwa sudah tinggal di negara ini sejak beberapa generasi lalu.
Sekurang-kurangnya 140,000 penduduk Rohingya tidak mempunya tempat tinggal di Arakan, dengan kebanyakan mereka tidak mempunyai kebebasan untuk bergerak.
"Perkataan Rohingya digunakan di dalam pelbagai dokumen PBB, Resolusi Perhimpunan Agung PBB turut menggunakan istilah ini.
"Kami mahu memberi tumpuan kepada jalan penyelesaian. Tentang bagaimana penduduk (Rohingya) mendapat hak yang sewajarnya," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140914/lu_04/PBB-gesa-kembalikan-kerakyatan-Rohingya#ixzz3DG3FpIUG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Myanmar haramkan rakyat wanitanya bekerja di Singapura


YANGON 14 Sept. - Myanmar mengharamkan rakyat wanitanya daripada bekerja sebagai pembantu rumah di Singapura berikutan kebimbangan terhadap masalah penderaan dan eksploitasi, menurut satu badan pekerjaan semalam.
Larangan buat sementara waktu itu dikuatkuasakan sehingga Myanmar mencapai persetujuan dengan Singapura berhubung tentang pelbagai isu termasuk hak asasi pekerja dan gaji.
Timbalan Pengerusi Gabungan Agensi Pekerjaan Luar Negara Myanmar, Soe Myint Aung berkata, pihaknya menerima laporan tentang kes penderaan dan penjagaan teruk ke atas pembantu rumah Myanmar di negara tersebut.
"Ini menyebabkan kami mahu perlindungan secukupnya kepada pekerja warga Myanmar," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140914/lu_08/Myanmar-haramkan-rakyat-wanitanya-bekerja-di-Singapura#ixzz3DG28NpO0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday 13 September 2014

Myanmar didakwa seksa tahanan


POLIS Myanmar didakwa terbabit dalam penyeksaan ke atas tahanan. - AGENSI
YANGON 12 Sept. - Sebuah kumpulan penasihat undang-undang mendakwa, pasukan polis Myanmar masih menggunakan kaedah penyeksaan ke atas tahanan di negara ini semasa melakukan soal siasat ke atas tahanan.
Pusat Sumber Undang-Undang Asia (ALRC), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memegang status perunding umum dengan PBB bertindak menyerahkan 12 notis kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung salah laku itu pada Isnin lalu.
Setiap notis itu dilaporkan mengandungi laporan penyalahgunaan endemik di beberapa buah negara di Asia dan diserahkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang bersidang minggu ini.
Menurut ALRC, mereka mempunyai dokumen baharu tentang penyeksaan polis di Myanmar dan mekanisme penguasaan undang-undang di negara ini tidak mencukupi bagi menyelesaikan masalah dalam kaedah segera.
Menurut potal Burma Times, perlindungan dan sokongan kepada tahanan juga terlalu lemah.
"Amalan penyeksaan polis di Myanmar kekal tidak berubah meskipun usaha individu yang tidak terbilang banyaknya di seluruh dunia,'' kata kenyataan itu yang menghuraikan dokumen enam kes sejak Januari 2013.
ALRC dalam kenyataannya berkata, terdapat 'lebih enam kejadian' dan amalan penyeksaan itu oleh agensi penguatkuasaan undang-undang di Myanmar telah menjadi prosedur operasi standard menerusi proses soal siasat.
Satu daripada kes yang diperincikan membabitkan seorang pemandu beca yang ditangkap pada Julai 2014 kerana mencuri minyak dengan lelaki itu dilaporkan diseksa semasa dalam tahanan dalam usaha polis mendapatkan pengakuan.
Selepas dibebaskan, lelaki itu dimasukkan ke hospital dan mati akibat kecederaan yang dialaminya pada 7 Julai lalu, malah keluarga lelaki itu diancam pihak berkuasa supaya tidak menyanggah akuan pihak berkuasa itu.
``Polis tahu bahawa mangsa-mangsa penderaan adalah tidak bersalah dengan polis mungkin berlagak sebagai pelindung kepada pesalah,'' katanya.
Bagaimanapun, polis Myanmar menafikan sebarang kekerasan semasa siasatan dijalankan walaupun ada yang mengaku perkara berkenaan berlaku. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140913/lu_06/Myanmar-didakwa-seksa-tahanan#ixzz3D8ymXCV2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday 7 September 2014

Myanmar rancang bangun Rakhine


Lakaran zon ekonomi khas, Kyauk Phyu di negeri Rakhine di barat Myanmar. - AGENSI
YANGON 6 Sept. - Kerajaan Myanmar mempelawa syarikat asing dan tempatan untuk membida projek pembangunan zon ekonomi khas, Kyauk Phyu di negeri bergolak Rakhine di barat Myanmar, yang menyaksikan keganasan agama antara etnik Islam Rohingya dan penduduk Buddha pada 2012.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Zon Kyauk Phyu, Maung Maung Thein berkata, sebuah pelabuhan yang mempunyai kedalaman sehingga 16 meter yang mempunyai kapasiti pengendalian kontena sebanyak 8,000 unit bersamaan 20 kali akan turut dibangunkan di kawasan itu.
"Tender akan dibuka pada 15 September ini dan kami akan membuat pemilihan (pemenang tender) pada penghujung Disember ini, '' kata Maung Thein.
Katanya, pembinaan zon industri seluas 1,500 hektar itu di pulau Yanbyae akan bermula pada awal 2015.
Projek itu dijangka melibatkan kos permulaan lebih AS$200 juta (RM960 juta) dengan infrastruktur logistik awal adalah sebuah pelabuhan dengan infrastruktur jalan raya dibangunkan pada fasa berikutnya.
"Kami membina zon ekonomi khas ini bertujuan mewujudkan banyak peluang pekerjaan di sini, '' katanya.
Industri-industri sasaran pada peringkat awal adalah tekstil, bahan-bahan pembinaan, pemprosesan makanan dan perkilangan.
Myanmar dilihat cuba membangunkan ekonomi dan infrastrukturnya selepas beberapa dekad terpinggir dan menerima sekatan antarabangsa.
Rakhine sebagai sebuah negeri miskin pula menyaksikan konflik antara penduduk Buddha dan Islam pada 2012 mengakibatkan lebih 160 orang terbunuh dan beribu-ribu penduduk yang lain kehilangan tempat tinggal. - DPA


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

Saturday 6 September 2014

Wakil OIC lawat Myanmar


SYED Hamid (tiga dari kiri) berbincang dengan seorang penduduk Rakhine semasa melawat Sittwe, baru-baru ini. - AGENSI
RAKHINE 5 Sept. - Satu delegasi khas daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah melakukan lawatan ke bandar Sittwe, ibu negeri Rakhine yang terjebak dalam keganasan agama sebelum ini.
Delegasi itu yang diketuai wakil khas pertubuhan itu ke Myanmar, yang merupakan bekas Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Syed Hamid Albar turut mengadakan pertemuan dengan masyarakat setempat di Pusat Penyelaras Kecemasan (ECC) di situ, lapor Burma Times.
Seorang warga emas yang menghadiri mesyuarat itu yang enggan dikenali berkata, kehadiran delegasi OIC itu merupakan satu gangguan kepada Proses Pengesahan Kewarganegaraan Myanmar untuk etnik Rohingya beragama Islam yang menolak nama etnik Bengali diberikan oleh kerajaan kepada mereka dan bertegas etnik itu mahu dikenali sebagai Rohingya.
Katanya, masyarakat Rakhine menolak cadangan delegasi OIC yang mahu menubuhkan hospital dan pusat pembelajaran untuk etnik Rakhine dan masyarakat Rohingya.
Apabila delegasi itu berjumpa dengan masyarakat Rohingya di Aungmingala, penduduk yang lebih tua daripada komuniti Rohingya memberitahu mereka bahawa kerajaan perlu mengutamakan penjagaan kesihatan yang amat penting bagi etnik tersebut.
Selepas persidangan itu, delegasi tersebut melawat kem pelarian SaYungsuu Rakhine dan kem pelarian Thakkaypyin Rohingya. - AGENSI


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

Friday 5 September 2014

Al-Qaeda perluas rangkaian ke India, Myanmar

Washington: Ketua al-Qaeda Ayman al-Zawahiri melancarkan cawangan baru kumpulan itu semalam dalam usaha menyuntik nafas baru dan memperluaskan perjuangannya di benua kecil India.

Dalam video ditemui kumpulan pemantau pengganas SITE di forum jihad online, Ayman berkata, tenaga baru al-Qaeda itu akan ‘menghapuskan sempadan palsu’ yang memisahkan penduduk Islam di rantau berkenaan.


Al-Qaeda aktif di Afghanistan dan Pakistan yang turut dipercayai menjadi tempat persembunyian pemimpinnya yang masih hidup.
Namun Ayman berkata cawangan barunya itu, ‘Qaedat al-Jihad’ akan membawa perjuangan itu ke India, Myanmar dan Bangladesh.
“Entiti ini bukanlah baru diasaskan hari ini, sebaliknya hasil usaha selama lebih dua tahun untuk menghimpunkan mujahidin di benua kecil India itu ke dalam satu kumpulan.
“Penubuhannya bertujuan menyebarkan ajaran imam kita, Sheikh Osama Laden,” katanya.

Sehubungan itu, Ayman mendesak umat Islam bersatu dan melancarkan jihad terhadap musuhnya seterusnya mewujudkan pemerintahan khalifah.

Katanya, kumpulan itu mengiktiraf kepemimpinan pemimpin Taliban Afghanistan Mullah Muhammad Omar manakala pentadbiran sehariannya dijalankan militan Pakistan,Asim Umar.

Al-Qaeda yang diasaskan Osama bin Laden sudah sekian lama mendakwa mengetuai perjuangan untuk mewujudkan pemerintahan khalifah di negara-negara Islam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Jerman sedia bantu Myanmar


BERLIN 4 Sept. - Canselor Jerman, Angela Merkel bersedia memberi sokongan ekonomi kepada Myanmar jika negara Asia Tenggara itu mengadakan pilihan raya secara adil pada tahun depan dan melindungi hak etnik minoriti.
Merkel berkata, Jerman juga bersedia meningkatkan pelaburan dan menyalurkan bantuan pembangunan kepada Myanmar tetapi Berlin akan memantau rapi isu hak asasi manusia di Myanmar yang sebelum ini dipengaruhi kuasa tentera dan dipulaukan masyarakat antarabangsa.
"Myanmar merupakan negara yang mempunyai pelbagai etnik dan sedang membangun daripada segi ekonomi, tetapi keamanan perlu stabil terutamanya membabitkan hak asasi dan tolak ansur terhadap etnik minoriti.
"Saya berharap pilihan raya umum Myanmar yang dijadual diadakan pada tahun depan akan berjalan dengan adil, bebas dan telus," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140905/lu_08/Jerman-sedia-bantu-Myanmar#ixzz3CNq6H1Eu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday 4 September 2014

Kanak-kanak pelarian menderita di Thailand - HRW


Dua kanak-kanak yang sebahagian daripada pencari suaka politik duduk di dalam sebuah trak ketika pegawai imigresen Thailand mengiringi mereka ke sebuah mahkamah di Songkhla di selatan Thailand pada 15 Mac lalu. - AFP
BANGKOK 3 Sept. - Ribuan kanak-kanak pelarian yang kini ditempatkan di pusat tahanan yang kotor di Thailand dilaporkan sedang mengalami trauma yang serius, menurut satu laporan terbaharu yang dikeluarkan kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW).
Majalah Time melaporkan dokumen setebal 67 muka surat yang bertajuk 'Two Years With No Moon: Immigration Detention of Children in Thailand' diterbitkan semalam dengan menuduh Thailand melanggar hak asasi kanak-kanak, merosakkan kesihatan dan membahayakan perkembangan mereka.
"Kanak-kanak pendatang tanpa izin yang ditahan di Thailand sedang menderita dalam keadaan yang sangat kotor dan pusat tahanan mereka sesak tanpa mendapat makanan, pendidikan dan ruang untuk bersenam yang cukup.
"Tahanan dalam lokap bukannya tempat bagi kanak-kanak berkenaan,'' kata penulis laporan itu, Alice Farmer yang juga penyelidik hak asasi kanak-kanak kumpulan itu yang berpangkalan di New York City.
Menurut laporan itu, oleh kerana berlaku kekurangan mekanisme undang-undang dan kaedah lain yang membolehkan mereka dibebaskan, kebanyakan kanak-kanak itu ditahan bagi tempoh yang tidak pasti sehingga mencecah tempoh bertahun-tahun.
Pakar kanak-kanak berkata, terdapat sekurang-kurangnya 375,000 kanak-kanak terbabit di Thailand, jumlah terbesar berbanding Myanmar yang menyaksikan ribuan penduduk melarikan diri dari negara yang terlibat ekoran konflik etnik dan agama membabitkan etnik minoriti Rohingya.
Agak malang bagi mereka, Thailand tidak mengiktiraf Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai prosedur perlindungan mengakibatkan mereka yang ditahan mungkin diletakkan di pusat tahanan imigresen yang keadaannya sangat teruk.
Penyelidik HRW berkata, mereka mendapati kanak-kanak disumbatkan di dalam penjara yang sesak sehingga memaksa mereka tidur dalam keadaan duduk, malah ada di antara mereka ditempatkan dengan orang dewasa yang tidak dikenali sekali gus memungkinkan mereka didera secara seksual dan fizikal.
"Saya menemubual kanak-kanak yang takut terhadap tahanan lain yang mereka temui di lokap itu,'' kata Farmer kepada portal TIME dan menambah, keadaan di penjara itu melanggar standard minimum yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pusat tahanan.
Thailand sementara itu dalam maklum balas bertulis setebal tujuh muka surat kepada HRW menafikan mereka gagal menangani isu pelarian kanak-kanak dengan menegaskan penahanan sejumlah kecil kanak-kanak itu bukannya berpunca daripada dasar kerajaan.
"Sebaliknya ia berpunca daripada keutamaan ibu bapa kanak-kanak itu untuk bersama keluarga dan masalah logistik. Kerajaan Thailand akan mencuba sebaik mungkin untuk menempatkan dan memenuhi keperluan keluarga terbabit dan mengambil kira pertimbangan faktor kemanusiaan dan asas hak asasi manusia,'' kata kerajaan Thailand.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140904/lu_03/Kanak-kanak-pelarian-menderita-di-Thailand---HRW#ixzz3CHxcJsc4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday 2 September 2014

Bancian Myanmar tidak telus - UNFPA


YANGON 1 Sept. - Proses bancian pertama Myanmar yang dilaksanakan dalam tempoh 30 tahun, gagal melibatkan beberapa komuniti minoriti seperti etnik Rohingya Islam di Rakhine serta penduduk di negeri Kachin dan Karen.
Menurut laporan laman berita Channel News Asia, Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) yang menyelaras proses itu, mengakui bancian tersebut gagal mengumpul maklumat penduduk di lokasi-lokasi sensitif terbabit.
Wakil UNFPA Myanmar, Janet Jackson berkata, pihaknya tidak dapat mengumpul maklumat tepat etnik Rohingya terutamanya selepas penduduk di negeri Rakhine itu tidak dibenarkan memperkenalkan diri sebagai Rohingya, sebaliknya Benggali.
"Mengikut data bancian terkini Penduduk dan Imigrasi Myanmar, sebanyak 1.33 juta penduduk di negara ini berketurunan Benggali dan 1.05 juta daripadanya ialah penduduk di Rakhine.
"Bancian ini gagal disempurnakan, namun itu tidak akan membantutkan usaha penyaluran bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Berdasarkan bancian yang dijalankan sejak Mac hingga April lalu itu, Myanmar kini memiliki kira-kira 51.4 juta penduduk dengan 26 juta daripadanya wanita.
Dalam perkembangan lain, Myanmar dilaporkan menerima etnik Rohingya beragama Islam yang kini tinggal di kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh sebagai rakyatnya dan dijangka membawa mereka pulang dalam tempoh dua bulan lagi.
Bagaimanapun, nasib anggota etnik Rohingya yang lain termasuk mereka yang tinggal di Rakhine masih belum diketahui.
Akhbar Burma Times melaporkan, penghantaran pulang etnik Rohingya tersebut dicapai ketika pertemuan antara Setiausaha Luar Bangladesh, Md. Shahidul Haque dan Timbalan Menteri Hah Ehwal Luar Myanmar, Thant Kyaw semalam.
Menurut pihak berkuasa Bangladesh, kira-kira 32,000 etnik Rohingya tinggal di dua kem pelarian di Cox's Bazar.
Ketika pertemuan tersebut, Dhaka meminta Myanmar mengemukakan jadual penghantaran balik etnik Rohingya berkenaan.
Keputusan itu merupakan perkembangan terbaik dalam menangani krisis kemanusiaan paling teruk sejak beberapa dekad lalu ketika Myanmar sebelum ini enggan menerima semula etnik Rohingya yang melarikan diri ke sempadan Bangladesh dari Rakhine bagi mengelak konflik etnik di negara ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140902/lu_06/Bancian-Myanmar-tidak-telus---UNFPA#ixzz3C6LE02bb
© Utusan Melayu (M) Bhd