Monday 29 September 2014

Myanmar rancang tahan etnik Rohingya


GAMBAR fail bertarikh 13 September lalu merakamkan seorang kanak-kanak pelarian Rohingya bermain di rumah mereka yang diperbuat daripada kotak di kem penempatan sementara di New Delhi. - AGENSI
YANGON 28 Sept. - Lebih sejuta etnik Rohingya berdepan ancaman akan dikenakan tahanan se­umur hidup, selepas mereka hanya dibenarkan membuat satu pilihan status etnik dan mendaftar sebagai bangsa Benggali, atau ditahan di bawah perancangan terbaharu kerajaan Myanmar.
Di bawah rancangan itu, pihak berkuasa di negeri Rakhine, akan membina kem sementara untuk menempatkan penduduk Islam Rohingya yang enggan mendaftar sebagai pendatang asing dari negara jiran, Bangladesh.
Mana-mana etnik tersebut yang tidak mempunyai dokumen lengkap atau enggan mendaftar sebagai bangsa Benggali, juga akan dihantar ke kem tahanan terbabit.
Sumber kerajaan Myanmar melaporkan, jika masyarakat minoriti itu menerima syarat baharu yang ditetapkan itu, mereka akan diberikan kerakyatan dan perlindungan serta hak mengikut undang-undang.
Bagaimanapun, seorang anggota jawatankuasa pemantau pengesahan kerakyatan di Rakhine, Tha Pwint berkata, pelan tersebut tidak akan menyelesaikan isu ketega­ngan antara penganut Buddha dan Islam di negeri itu.
Malah, katanya, keganasan kaum juga tidak akan dapat dihalang daripada berulang jika kerajaan melaksanakan pelan terbabit.
"Jika mereka (etnik Rohingya) diberikan kerakyatan dan penempatan, mereka tidak mungkin dapat hidup aman di Rakhine," katanya.
Hampir kesemua 1.1 juta etnik Rohingya tinggal secara terasing dan ditindas di barat Rakhine selepas keganasan kaum dan agama tercetus di negeri itu pada 2012 yang menyaksikan lebih 140,000 masyarakat minoriti tersebut menjadi pelarian atau terpaksa dipindahkan.
Timbalan Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia di Asia, Phil Robertson berkata, jika etnik Rohingya menukar status mereka sebagai Benggali se­perti yang ditetapkan kerajaan Myanmar, mereka juga berdepan risiko dihantar ke Bangladesh sebagai pendatang asing tanpa izin.
- REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140929/lu_11/Myanmar-rancang-tahan-etnik-Rohingya#ixzz3EeGQqar1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment