Sunday 14 September 2014

PBB gesa kembalikan kerakyatan Rohingya


PBB berpendapat tindakan mengembalikan hak kerakyatan kepada kira-kira 800,000 orang penduduk etnik Islam Rohingya di negeri Arakan merupakan 'isu utama' yang perlu diselesaikan. - REUTERS
NAYPYIDAW 13 Sept. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpendapat tindakan mengembalikan hak kerakyatan kepada kira-kira 800,000 orang penduduk etnik Islam Rohingya di negeri Arakan merupakan'isu utama' yang perlu diselesaikan.
Laman web Burma Times melaporkan Penolong Setiausaha Agung PBB, Haoliang XU turut memberi amaran kerajaan Myanmar perlu menyelesaikan masalah kewarganegaraan, bantuan kemanusiaan serta pembangunan dan tidak hanya memberi tumpuan kepada penukaran istilah Rohingya kepada Bengali.
"Pada pendapat saya, apakah jalan yang terbaik bagi memastikan penduduk di dalam dan luar kem perlindungan mendapat hak kewarganegaraan.
"Perkara inilah yang akan menyelesaikan banyak masalah di negara ini. Selepas itu, semua pihak boleh berfikir tentang pembangunan, pembangunan untuk menikmati hidup yang lebih baik. Bagi kami ini adalah isu utama," kata Haoliang,
Beliau membuat rumusan itu selepas melakukan lawatan selama seminggu di Myanmar, yang berakhir semalam.
Dalam lawatan berkenaan. beliau turut menemui pegawai-pegawai kanan kerajaan Myanmar di Naypyidaw dan menghabiskan masa selama dua hari di Arakan untuk bertemu pegawai kerajaan dan pemimpin tempatan.
Penduduk Islam Rohingya dinafikan kerakyatan mereka oleh Undang-Undang Warganegara Myanmar 1982, walaupun mereka mendakwa sudah tinggal di negara ini sejak beberapa generasi lalu.
Sekurang-kurangnya 140,000 penduduk Rohingya tidak mempunya tempat tinggal di Arakan, dengan kebanyakan mereka tidak mempunyai kebebasan untuk bergerak.
"Perkataan Rohingya digunakan di dalam pelbagai dokumen PBB, Resolusi Perhimpunan Agung PBB turut menggunakan istilah ini.
"Kami mahu memberi tumpuan kepada jalan penyelesaian. Tentang bagaimana penduduk (Rohingya) mendapat hak yang sewajarnya," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140914/lu_04/PBB-gesa-kembalikan-kerakyatan-Rohingya#ixzz3DG3FpIUG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment