Saturday 6 September 2014

Wakil OIC lawat Myanmar


SYED Hamid (tiga dari kiri) berbincang dengan seorang penduduk Rakhine semasa melawat Sittwe, baru-baru ini. - AGENSI
RAKHINE 5 Sept. - Satu delegasi khas daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah melakukan lawatan ke bandar Sittwe, ibu negeri Rakhine yang terjebak dalam keganasan agama sebelum ini.
Delegasi itu yang diketuai wakil khas pertubuhan itu ke Myanmar, yang merupakan bekas Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Syed Hamid Albar turut mengadakan pertemuan dengan masyarakat setempat di Pusat Penyelaras Kecemasan (ECC) di situ, lapor Burma Times.
Seorang warga emas yang menghadiri mesyuarat itu yang enggan dikenali berkata, kehadiran delegasi OIC itu merupakan satu gangguan kepada Proses Pengesahan Kewarganegaraan Myanmar untuk etnik Rohingya beragama Islam yang menolak nama etnik Bengali diberikan oleh kerajaan kepada mereka dan bertegas etnik itu mahu dikenali sebagai Rohingya.
Katanya, masyarakat Rakhine menolak cadangan delegasi OIC yang mahu menubuhkan hospital dan pusat pembelajaran untuk etnik Rakhine dan masyarakat Rohingya.
Apabila delegasi itu berjumpa dengan masyarakat Rohingya di Aungmingala, penduduk yang lebih tua daripada komuniti Rohingya memberitahu mereka bahawa kerajaan perlu mengutamakan penjagaan kesihatan yang amat penting bagi etnik tersebut.
Selepas persidangan itu, delegasi tersebut melawat kem pelarian SaYungsuu Rakhine dan kem pelarian Thakkaypyin Rohingya. - AGENSI


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

No comments:

Post a Comment