Saturday 13 September 2014

Myanmar didakwa seksa tahanan


POLIS Myanmar didakwa terbabit dalam penyeksaan ke atas tahanan. - AGENSI
YANGON 12 Sept. - Sebuah kumpulan penasihat undang-undang mendakwa, pasukan polis Myanmar masih menggunakan kaedah penyeksaan ke atas tahanan di negara ini semasa melakukan soal siasat ke atas tahanan.
Pusat Sumber Undang-Undang Asia (ALRC), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memegang status perunding umum dengan PBB bertindak menyerahkan 12 notis kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung salah laku itu pada Isnin lalu.
Setiap notis itu dilaporkan mengandungi laporan penyalahgunaan endemik di beberapa buah negara di Asia dan diserahkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang bersidang minggu ini.
Menurut ALRC, mereka mempunyai dokumen baharu tentang penyeksaan polis di Myanmar dan mekanisme penguasaan undang-undang di negara ini tidak mencukupi bagi menyelesaikan masalah dalam kaedah segera.
Menurut potal Burma Times, perlindungan dan sokongan kepada tahanan juga terlalu lemah.
"Amalan penyeksaan polis di Myanmar kekal tidak berubah meskipun usaha individu yang tidak terbilang banyaknya di seluruh dunia,'' kata kenyataan itu yang menghuraikan dokumen enam kes sejak Januari 2013.
ALRC dalam kenyataannya berkata, terdapat 'lebih enam kejadian' dan amalan penyeksaan itu oleh agensi penguatkuasaan undang-undang di Myanmar telah menjadi prosedur operasi standard menerusi proses soal siasat.
Satu daripada kes yang diperincikan membabitkan seorang pemandu beca yang ditangkap pada Julai 2014 kerana mencuri minyak dengan lelaki itu dilaporkan diseksa semasa dalam tahanan dalam usaha polis mendapatkan pengakuan.
Selepas dibebaskan, lelaki itu dimasukkan ke hospital dan mati akibat kecederaan yang dialaminya pada 7 Julai lalu, malah keluarga lelaki itu diancam pihak berkuasa supaya tidak menyanggah akuan pihak berkuasa itu.
``Polis tahu bahawa mangsa-mangsa penderaan adalah tidak bersalah dengan polis mungkin berlagak sebagai pelindung kepada pesalah,'' katanya.
Bagaimanapun, polis Myanmar menafikan sebarang kekerasan semasa siasatan dijalankan walaupun ada yang mengaku perkara berkenaan berlaku. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140913/lu_06/Myanmar-didakwa-seksa-tahanan#ixzz3D8ymXCV2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment