Tuesday 2 September 2014

Bancian Myanmar tidak telus - UNFPA


YANGON 1 Sept. - Proses bancian pertama Myanmar yang dilaksanakan dalam tempoh 30 tahun, gagal melibatkan beberapa komuniti minoriti seperti etnik Rohingya Islam di Rakhine serta penduduk di negeri Kachin dan Karen.
Menurut laporan laman berita Channel News Asia, Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) yang menyelaras proses itu, mengakui bancian tersebut gagal mengumpul maklumat penduduk di lokasi-lokasi sensitif terbabit.
Wakil UNFPA Myanmar, Janet Jackson berkata, pihaknya tidak dapat mengumpul maklumat tepat etnik Rohingya terutamanya selepas penduduk di negeri Rakhine itu tidak dibenarkan memperkenalkan diri sebagai Rohingya, sebaliknya Benggali.
"Mengikut data bancian terkini Penduduk dan Imigrasi Myanmar, sebanyak 1.33 juta penduduk di negara ini berketurunan Benggali dan 1.05 juta daripadanya ialah penduduk di Rakhine.
"Bancian ini gagal disempurnakan, namun itu tidak akan membantutkan usaha penyaluran bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Berdasarkan bancian yang dijalankan sejak Mac hingga April lalu itu, Myanmar kini memiliki kira-kira 51.4 juta penduduk dengan 26 juta daripadanya wanita.
Dalam perkembangan lain, Myanmar dilaporkan menerima etnik Rohingya beragama Islam yang kini tinggal di kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh sebagai rakyatnya dan dijangka membawa mereka pulang dalam tempoh dua bulan lagi.
Bagaimanapun, nasib anggota etnik Rohingya yang lain termasuk mereka yang tinggal di Rakhine masih belum diketahui.
Akhbar Burma Times melaporkan, penghantaran pulang etnik Rohingya tersebut dicapai ketika pertemuan antara Setiausaha Luar Bangladesh, Md. Shahidul Haque dan Timbalan Menteri Hah Ehwal Luar Myanmar, Thant Kyaw semalam.
Menurut pihak berkuasa Bangladesh, kira-kira 32,000 etnik Rohingya tinggal di dua kem pelarian di Cox's Bazar.
Ketika pertemuan tersebut, Dhaka meminta Myanmar mengemukakan jadual penghantaran balik etnik Rohingya berkenaan.
Keputusan itu merupakan perkembangan terbaik dalam menangani krisis kemanusiaan paling teruk sejak beberapa dekad lalu ketika Myanmar sebelum ini enggan menerima semula etnik Rohingya yang melarikan diri ke sempadan Bangladesh dari Rakhine bagi mengelak konflik etnik di negara ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140902/lu_06/Bancian-Myanmar-tidak-telus---UNFPA#ixzz3C6LE02bb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment