Friday 26 September 2014

Myanmar bebaskan 109 tentera kanak-kanak


Gambar fail menunjukkan pelatih tentera berdiri memberi perhatian pada satu latihan tentera di pangkalan tentera di Pathein, Irawaddy, Myanmar. - AGENSI
YANGON 25 Sept. - Tentera Myanmar 'membebaskan' seramai 109 kanak-kanak daripada senarai pasukan tentera hari ini, dalam satu penamatan perkhidmatan tunggal terbesar tentera kanak-kanak di negara ini.
Namun, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kanak-kanak Myanmar daripada keluarga miskin masih lagi secara salah direkrut untuk berperang sama ada oleh tentera kerajaan mahupun pemberontak.
Pihak tentera memerintah negara ini selama 49 tahun dan dikecam di peringkat antarabangsa kerana pencabulan hak asasi manusia termasuk menggunakan tentera kanak-kanak.
Ketua Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) di Myanmar, Bertrand Bainvel berkata, tentera Myanmar mahu meningkatkan mutu profesionalisme mereka dan kehadiran tentera kanak-kanak mungkin menghalang kerjasama tentera dengan negara-negara yang boleh menyediakan bantuan kepada Myanmar.
Menurut PBB, pentadbiran separuh awam yang mengambil alih kerajaan pada 2011 bekerjasama dengan badan itu untuk memastikan kanak-kanak dikeluarkan daripada senarai tentera dan telah membebaskan seramai 472 tentera kanak-kanak daripada senarai itu sejak Jun 2012.
"Terdapat komitmen oleh tentera bagi memastikan amalan ini dihapuskan daripada pasukan itu,'' kata Bainvel.
Tambahnya, pengambilan tentera kanak-kanak berterusan pada kadar yang rendah dan kebanyakan belia yang direkrut itu datang daripada keluarga miskin.
Kebanyakan proses pengambilan dilakukan di dua wilayah terbesar Myanmar iaitu Yangon dan Mandalay dan usaha itu biasanya dibantu oleh broker awam yang memalsukan dokumen mereka, sekali gus menyukarkan tentera untuk menentukan berapa banyak tentera kanak-kanak yang berdaftar. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140926/lu_04/Myanmar-bebaskan-109-tentera-kanak-kanak#ixzz3ENB9OJWP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment