Friday 26 September 2014

Beri suapan RM100, warga Myanmar dipenjara 10 hari


26 September 2014


MELAKA - Seorang buruh binaan warga Myanmar hari ini dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM100 kepada pegawai Imigresen, minggu lepas.

Hakim Amran Jantan turut memerintahkan M.D Arif, 18, dipenjara enam bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa memberi suapan itu kepada Pegawai Imigresen Tinggi Kassullah Ramli daripada Jabatan Imigresen Negeri Melaka sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Arif didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan cadangan pembinaan dan perumahan Taman Desa Impian, Durian Tunggal, Alor Gajah pada 12.50 pagi, 16 September  lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammed Heikal Ismail dan tertuduh tidak diwakili peguam.    

Terdahulu pertuduhan dibacakan dalam bahasa Rohingya oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman diringankan kerana baru tiba di Malaysia dua bulan lalu selepas melarikan diri daripada pertempuran yang berlakudi  kampungnya di Myanmar, menyebabkan tiga daripada sembilan adik-beradiknya terkorban. - Bernama

No comments:

Post a Comment