Majlis memeterai perjanjian an­tara pasukan perunding kerajaan, Jawatankuasa Kerja Perpaduan Keamanan (UPWC) dan Pasukan Penyelarasan Gencatan Senjata Seluruh Negara (NCCT) yang mewakili 16 kumpulan etnik bersenjata itu, disaksikan Presiden Myanmar, Thein Sein.
Thein Sein berkata, draf perjanjian antara NCCT dan UPWC akan membuka laluan kepada pelaksa­naan dialog politik.
“Saya gembira apabila dua pihak ini akhirnya bersetuju menandatangani draf perjanjian,” katanya.
Perjanjian gencatan senjata ter­sebut jika berjaya dilaksanakan, akan menandakan kejayaan besar dalam konflik berkenaan selain membolehkan rundingan politik diadakan antara kerajaan dan kumpulan etnik yang mahu wilayah autonomi diwujudkan.
Penasihat Kanan Pusat Perdamaian Myanmar, Hla Maung Shwe berkata, jika semuanya berjalan lancar, Perjanjian Gencatan Senjata Seluruh Negara itu akan ditandatangani oleh pemimpin utama kumpulan etnik di Naypyitaw pada Mei ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Ber­satu (PBB) menyifatkan draf perjanjian tersebut sebagai satu kejayaan dan bersejarah selain langkah pertama kepada rundingan politik.
“Perjanjian yang dicapai hari ini merupakan tanda kepercayaan dan keyakinan serta kerjasama yang boleh dicapai antara dua pihak bertelagah dan menjadi benih perubahan di Myanmar,’’ kata Penasihat Khas PBB berhubung Myanmar, Vijay Nambiar dalam satu kenyataan.
Majlis berkenaan merupakan pertemuan terkini daripada tujuh rundingan berhubung perjanjian tersebut sejak 2013.
Kerajaan menyasarkan perjanjian gencatan senjata dicapai sebelum pilihan raya umum diadakan pada November ini. – Reuters