Saturday, 28 February 2015

Rohingya menangis siapalah tahu

BEBERAPA penduduk melakukan perbualan video dengan seluruh anggota keluarga di Bangladesh.

Thae Chaung, Myanmar: Kewujudan kemudahan Internet di bawah pondok beratap daif itu hampir saja tidak disedari kerana dibayangi wajah penghuninya yang amat beremosi.
Khemah itu berdindingkan buluh dan beratap jerami.
Di dalamnya terletak beberapa komputer riba berhabuk yang menjadi alat perhubungan masyarakat Rohingya dengan saudara-mara mereka di negara luar.
Sesetengahnya sudah berada di Malaysia atau Thailand selepas menempuh perjalanan mengancam nyawa di lautan.
Selain dizalimi di negara sendiri, mereka juga tidak pernah mendapat pembelaan daripada kerajaan sendiri.
Komuniti Rohingya itu memang sangat malang. Selain tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar, mereka dianggap pendatang haram.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:35 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33702#sthash.M0wdRbXj.dpuf

Monday, 23 February 2015

Lebih 130 terkorban di wilayah Kokang


NAY PYI TAW - MYANMAR. Pihak tentera Myanmar berkata, lebih 130 orang terkorban di wilayah bergolak Kokang, berikutan pertempuran antara pemberontak etnik minoriti dan tentera sejak 9 Februari lalu.
Lebih 130 terkorban di wilayah Kokang
"Seramai 61 askar dan polis terbunuh dan sekitar 72 anggota militan maut. Lebih 100 askar turut cedera sejak pertempuran meletus.

"Pemberontak memberikan tentangan sengit, tapi kami tidak akan berundur," kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Leftenan Jeneral Mya Htun Oo, semalam dalam laporan Channel News Asia.

Difahamkan, kumpulan pemisah dikenali sebagai Perikatan Tentera Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) dari kawasan berkenaan menuntut sebuah kawasan otonomi yang merdeka daripada pihak kerajaan.

Pada masa sama, kerajaan junta tentera Myanmar melaporkan kebanyakan dari anggota kumpulan pemisah itu berasal dari bekas tentera China yang berpaling tadah.
Beijing dengan tegas menafikan sebarang kaitan dengan kumpulan pemisah itu.

Sejak tercetusnya pergeseran di daerah yang majoriti penduduknya berasal dari China itu, lebih 10,000 orang sudah pun meninggalkan kawasan sempadan yang bergolak itu ke negara jiran China, bagi mendapatkan perlindungan sementara.

Sunday, 22 February 2015

Myanmar perlu bantuan Beijing


21 Februari 2015


YANGON - MYANMAR. Beijing perlu bekerjasama dengan Myanmar untuk menghalang serangan pemberontak yang dilancarkan dari wilayah China, kata seorang pegawai Myanmar selepas pertempuran antara tentera kerajaan dengan Perikatan Tentera Demokratik Kebangsaan (MNDAA) memasuki hari ke-10.

Pertempuran sejak 9 Februari lalu itu tercetus di wilayah Kokang di timur laut Myanmar yang bersempadanan dengan China. Menurut media tempatan, sekurang-kurangnya 50 tentera kerajaan terkorban dan 27 pemberontak maut dalam pertempuran tersebut.

Situasi itu memaksa lebih 30,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka dan mencari perlindungan di kawasan lain di dalam negara termasuk ke sempadan China.

Pada Selasa, Menteri Luar kedua-dua negara melakukan pertemuan bagi membincangkan krisis berkenaan.

"Amat penting untuk kedua negara menjalin kerjasama. Beijing perlu tahu serangan pengganas ke atas Myanmar tidak boleh dilakukan dari wilayah China," kata pegawai dari Pejabat Presiden. - Reuters

Friday, 20 February 2015

Sukarelawan gesa gencatan senjata


Sukarelawan gesa gencatan senjata
LASHIO - MYANMAR. Pekerja bantuan menggesa tentera kerajaan dan pemberontak Myanmar melakukan gencatan senjata bagi membolehkan penduduk yang terperangkap dalam pertempuran di wilayah Kokang dapat dipindahkan ke kawasan selamat.



Gesaan itu dibuat selepas dua lagi penduduk terkorban dalam pertempuran yang tercetus sejak 9 Februari lalu antara tentera kerajaan dengan Perikatan Tentera Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA).



Sejak pertempuran meletus, kira-kira 30,000 penduduk melarikan diri ke kawasan lain di dalam negara termasuk ke sempadan China.



Difahamkan, pasukan bantuan tempatan turut menggantung sementara misi menyelamat di sekitar bandar Laukkai selepas kawasan itu dilanda keganasan, sejak minggu lalu.



Langkah itu diambil selepas konvoi bantuan diketuai Palang Merah Myanmar diserang menyebabkan dua sukarelawan cedera.



"Kami tidak tahu jumlah sebenar penduduk yang masih terperangkap di Laukkai. Tetapi pada Rabu, kami berjaya memindahkan 30 orang.



"Jadi, kami amat berharap pihak bertelagah dapat melakukan gencatan senjata," kata seorang anggota Palang Merah Myanmar ke AFP.



Kelmarin, Presiden Thein Sein mengisytiharkan darurat di wilayah Kokang, sekali gus melaksanakan undang-undang tentera selama tiga bulan.



Media tempatan melaporkan, sejak pertempuran meletus awal bulan ini, kira-kira 47 tentera Myanmar terkorban manakala 26 anggota MNDAA maut. - Channel News Asia

Thursday, 19 February 2015

Mahu batal kad pengenalan sementara

Mahu batal kad pengenalan sementara

THAE CHAUNG - MYANMAR. Keputusan kerajaan Myanmar untuk membatalkan kad pengenalan sementara bagi penduduk minoriti mencetuskan kemarahan kira-kira 1.1 juta masyarakat Islam Rohingya.

Keputusan dibuat beberapa hari selepas Parlimen meluluskan undang-undang yang mengesahkan hak mengundi kepada golongan minoriti dalam pilihan raya akan datang.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan bahawa kad pengenalan sementara yang dikenali sebagai kad putih akan dibatalkan pada 31 Mei depan.

Seorang penduduk Mohammad Ayub, 28, berkata, dia hanya akan menyerahkan kad putih jika diberi hak kewarganegaraan sama seperti yang dinikmati semua etnik minoriti lain. - Reuters

Wilayah Kokang Myanmar diisytihar darurat

Wilayah Kokang Myanmar diisytihar darurat

KOKANG - MYANMAR - Kerajaan Myanmar semalam mengisytiharkan darurat di wilayah bergolak, Kokang berikutan pertempuran sengit antara pemberontak etnik minoriti dan tentera.
 
Presiden Myanmar, Thein Sein telah menyerahkan kuasa pentadbiran kepada tentera dan wilayah berkenaan diletakkan di bawah undang-undang tentera selama tiga bulan.
 
Memetik laporan BBC, pemberontakan ini dicetuskan sejak kepulangan ketua pemberontak, Phone Kya Shin selepas lima tahun hidup dalam buangan di China.
 
Berpuluh-puluh ribu penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka ekoran pertempuran tersebut.
 
Pertempuran antara pejuang tentera dan pemberontak yang dikenali sebagai Myanmar National Democratic Alliance Army (MNDAA) telah tercetus sejak 9 Februari lalu.
 
Lebih daripada 50 askar kerajaan dan 26 pemberontak telah terbunuh sejak pertempuran itu.

Myanmar isytihar darurat


Myanmar isytihar darurat

KUNLONG - MYANMAR. Presiden Myanmar Thein Sein semalam mengisytiharkan darurat di wilayah Kokang, sekali gus melaksanakan undang-undang tentera selama tiga bulan.

Pertempuran yang tercetus sejak 9 Februari lalu antara tentera kerajaan dengan Perikatan Tentera Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) telah meragut sekurang-kurangnya 47 nyawa tentera dan 26 anggota MNDAA.

Menurut laporan agensi berita Global New Light of Myanmar, ribuan penduduk melarikan diri ke kawasan lain di dalam negara termasuk ke sempadan China.

"Situasi serius sedang berlaku dan nyawa penduduk kini dalam bahaya. Oleh itu, perintah darurat diisytiharkan bermula hari ini (Selasa),"menurut Kementerian Penerangan dalam satu kenyataan.
Dalam satu pengumuman berasingan, kementerian  sama turut mengumumkan yang ketua turus angkatan tentera negara itu kini berkuasa sepenuhnya untuk memastikan kestabilan dan undang-undang di kawasan terjejas.

Sementara itu, media China memaklumkan, lebih 30,000 penduduk Myanmar melintasi sempadan negara sejak minggu lalu. - Reuters

Wednesday, 18 February 2015

Lari ke China

MANGSA pertempuran tiba di kem pelarian di sebuah biara di Lashio 
Beijing: Ribuan orang terpaksa melarikan diri dari Myanmar ke Yunnan di barat daya China berikutan pertempuran antara tentera Myanmar dengan pemberontak, lapor kerajaan China.
Pertempuran dan jumlah kematian yang semakin meningkat menyukarkan usaha Myanmar untuk mencapai gencatan senjata di seluruh negara bagi mengakhiri pemberontakan yang melanda negara itu sejurus selepas mendapat kemerdekaan pada 1948.
Pertempuran di Shan antara tentera dan kumpulan yang dikenali sebagai Perikatan Tentera Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) membimbangkan China terutama kemasukan penduduk yang melarikan diri ke sempadan.
Kerajaan Yunnan berkata dalam kenyataan di laman sesawang berita rasmi wilayah bahawa rekod menunjukkan lebih ramai penduduk di sempadan memasuki China sejak 9 Februari lalu.
Ini kali pertama kerajaan China mengeluarkan jumlah pelarian yang harus mereka tangani.
Sehubungan itu, jurucakap Kementerian Luar China Hua Chunying semalam sekali lagi menggesa supaya pihak berkuasa Myanmar mengadakan senjata dengan pemberontak terdiri daripada etnik Cina di negara itu. - Reuters
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31600#sthash.2SBG2pgb.dpuf

Tuesday, 17 February 2015

Puluhan pemberontak terbunuh

Mangsa zon perang dibawa menaiki lori ke biara yang menjadi kem pelarian sementara di Lashio. 
Yangon: Pertempuran yang semakin teruk antara tentera Myanmar dan pejuang etnik Kokang mengakibatkan puluhan pemberontak terbunuh sepanjang hujung minggu lalu termasuk lapan yang mati dalam tahanan.
Tentera kerajaan turut merampas 100 senjata dan peluru dalam pertempuran dengan pemberontak di sekitar Laukkai, bandar utama di wilayah Shan yang juga daerah penduduk etnik Kokang.
Akhbar Global New Light of Myanmar melaporkan hampir 2,000 orang melarikan diri ke bahagian pusat Myanmar dan tidak kurang juga melintasi sempadan memasuki China untuk melarikan diri daripada pertempuran.
“Semua pemberontak Kokang yang ditangkap mati akibat kecederaan dialami manakala 18 lain terbunuh ketika bertempur,” lapor akhbar itu.
Minggu lalu, tentera Myanmar berkata puluhan askarnya terbunuh dalam pertempuran yang sudah berlangsung sejak beberapa minggu itu.
Pergolakan tercetus di Kokang pada 9 Februari lalu menamatkan keamanan selama hampir enam tahun. Ia juga pukul hebat terhadap pemerintahan negara itu yang berusaha menamatkan konflik antara pelbagai kumpulan minoriti etnik Myanmar.
Tidak banyak yang diketahui mengenai butiran pertempuran di kawasan pedalaman dan bergunung itu.
Tentera Myanmar mengambil pendekatan berbeza kali ini apabila berterus terang mengenai jumlah kematian anggotanya dalam pertempuran berkenaan.
Media tempatan turut menyiarkan gambar ketua tentera Myanmar melawat anggota yang cedera.
Bagaimanapun, pemerhati menganggap ia sebagai usaha membangkitkan simpati terhadap tentera kerajaan seterusnya mewajarkan tindakan keras diambil terhadap pemberontak.
Pemberontak Kokang turut disertai anggota Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA) dan Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA). - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31355#sthash.p9JRTi1x.dpuf

Monday, 16 February 2015

Tentera Myanmar temui 13 mayat pemberontak


Yangon: Tentera kerajaan yang bertempur dengan pemberontak etnik berhampiran sempadan China menemui mayat 13 pemberontak dan menahan lapan yang lain.
Pertempuran yang meletus sejak beberapa hari lalu adalah antara yang paling sengit berlaku sepanjang tempoh dua tahun dan mengancam menjejaskan usaha kerajaan untuk menandatangani gencatan senjata dengan pelbagai kumpulan etnik yang berjuang untuk membentuk kerajaan sendiri sejak puluhah tahun lalu.
Akhbar Myanmar Ahlin semalam melaporkan, pasukan tentera menemui 13 mayat dan menangkap lapan pemberontak yang cedera serta merampas 98 senjata.
Sementara itu, 47 askar tentera kerajaan terbunuh manakala lebih 70 lagi cedera dalam peringkat awal pertempuran yang turut membabitkan serangan udara dilancarkan kerajaan terhadap kedudukan pemberontak.
Pemberontak Kokang ialah sebahagian daripada Parti Komunis Myanmar sehingga satu gencatan senjata ditandatangani pada 1989 dengan kerajaan junta yang diketuai tentera ketika itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:09 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31155#sthash.AzUb36Jt.dpuf

Pertempuran etnik Myanmar dan tentera kerajaan

Penduduk Myanmar di Laukkai berkongsi makanan sesama mereka sejurus
Penduduk Myanmar di Laukkai berkongsi makanan sesama mereka sejurus mereka tiba di perhentian bas di Mandalay, kelmarin selepas melarikan diri ekoran meletus pertempuran antara pemberontak etnik dan tentera kerajaan di negeri Shan, Myanmar. – REUTERS
YANGON 15 Feb. – Berpuluh-puluh pemberontak etnik di negara ini terbunuh dalam pertempuran dengan askar Myanmar, manakala lapan lagi ditangkap selepas tercetus pertempuran baharu di utara ­Myanmar berhampiran sempadan China.
Media tempatan melaporkan sejak beberapa hari lalu, askar Myanmar telah melancarkan serangan udara dan darat ke atas kedudukan pemberontak etnik sebagai tin­dakan balas terhadap serangan pemberontak pada minggu lepas ke atas ibu pejabat utama tentera di wilayah Kokang.
Serangan ke atas bandar utama Laukkai itu menyebabkan berpuluh-puluh askar terbunuh dalam beberapa pertempuran sengit antara tentera kerajaan dan pemberontak etnik.
Akhbar New Light of Myan­mar melaporkan, semalam tentera kerajaan bertempur dengan ‘kumpulan pemberontak’ di Kokang yang menyusup masuk ke Laukkai, lapor akhbar itu.
Selepas pertempuran itu berakhir, tentera bejaya merampas hampir 100 senjata kecil dan menemui 13 mayat anggota pemberontak, dan lapan pemberontak yang cedera parah turut ditahan.
Pihak berkuasa berkata, pertempuran di wilayah Kokang di negeri Shan pada 9 Februari lepas telah mengancam keamanan serta mengugat ha­rapan kerajaan untuk melaksanakan gencatan senjata di seluruh negara, sekali gus mencatat sejarah menamatkan konflik de­ngan kumpulan-kumpulan etnik di negara ini.
Jumlah mereka yang me­larikan diri dari wilayah Kokang tidak dapat dikenal pasti, de­ngan etnik Cina me­larikan diri ke sempadan China manakala yang lain menuju ke bandar Lashio, negeri Shan di utara.
“Kira-kira 300-400 pelarian Myanmar yang terlibat dalam pertempuran itu dijangka sampai di Lashio pada Ahad lepan untuk bersama-sama 500 lagi pelarian yang telah sampai pada Jumaat lalu,” kata Kementerian Informasi kepada agensi berita AFP.
Pemberontak Kokang diban­tu oleh Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA) dan pasuken bersenjata daripada Tentera Pembebasan Kachin yang bekerjasama memerangi tentera kerajaan di kawasan-kawasan lain di negeri Shan dan negeri berdekatan Kachin.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pertempuran-etnik-myanmar-dan-tentera-kerajaan-1.59968#sthash.AB6BHkFZ.dpuf

Saturday, 14 February 2015

Hampir 50 tentera Myanmar maut


14 Februari 2015

NAYPYIDAW - MYANMAR . Kira-kira 50 tentera Myanmar maut manakala puluhan yang lain cedera dalam pertempuran baharu dengan kumpulan pemberontak di wilayah Kokang dekat negeri Shan, menurut media, semalam.

"Setakat ini, pertempuran selama empat hari itu menyebabkan 47 tentera kerajaan terbunuh, 73 cedera dan lima kenderaan musnah," menurut laporan Global New Light of Myanmar.

Difahamkan, pertempuran berhampiran sempadan China itu tercetus selepas pemberontak mengebom ibu pejabat tentera di kawasan Kongyan kelmarin, sebelum pihak berkuasa kerajaan membalas dengan lima serangan udara.

Insiden itu sekali gus dilihat boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk mewujudkan keamanan di bahagian utara negara dan melaksanakan gencatan senjata di seluruh wilayah terbabit. - Press TV

Friday, 13 February 2015

IC sementara 
Rohingya tamat Mac ini

Seorang lelaki memegang kain rentang ketika menyertai tunjuk perasaan
PENDUDUK minoriti Myanmar mengadakan tunjuk perasaan di Yangon, kelmarin menuntut supaya larangan ke atas pemegang kad pengenalan sementara yang dikenali Kad Putih untuk menyertai pungutan suara di Myanmar dibatalkan. – REUTERS
NAYPYIDAW 12 Feb. - Kerajaan Myanmar akan menamatkan tempoh penggunaan kad pengenalan sementara untuk penduduk yang tidak memiliki kerakyatan penuh termasuk etnik Islam Rohingya dalam masa terdekat, sekali gus menghilangkan kelayakan mereka untuk mengundi.
Menurut kenyataan pejabat Presiden Thein Sein, semalam, penduduk Rohingya bersama beribu-ribu penduduk lain terutama etnik minoriti di kawasan sempadan yang diberi kad pengenalan sementara itu sebagai sebahagian proses untuk memohon kewarganegaraan, akan menyaksikan kad pe­ngenalan mereka akan ditamatkan pada akhir Mac ini.
“Mereka yang memegang kad pengenalan sementara perlu mengembalikan dokumen ber­kenaan selepas tamat tempoh,” kata kenyataan itu, satu langkah berkesan yang diambil bagi menarik balik hak mereka untuk me­ngundi pada pungutan suara berhubung rang undang-undang yang diluluskan Presiden, kelmarin.
Berpuluh-puluh penduduk mengadakan tunjuk perasaan di bandar Yangon, semalam menggesa kerajaan tidak membenarkan penduduk tanpa kerakyatan penuh turut mengundi pada pungutan suara yang dicadangkan.
Isu itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan dalam kalangan penganut Buddha di negeri bergolak Rakhine apabila kira-kira sete­ngah juta dijangka memiliki kad putih.
“Jika mereka diberikan hak untuk mengundi, jangan hormat bendera Myanmar lagi,” kata seorang penganut Buddha, Nyi Nyi Maung, yang menyertai tunjuk perasaan tersebut di Yangon,
Sementara itu, Pengarah Pejabat Presiden, Zaw Htay dalam satu ke­nyataan di laman sosial Facebook berkata, kad putih akan menjadi ‘haram’ yang menunjukkan bahawa hak mengundi itu secara automatik akan terbatal.
Pada 2012, keganasan tercetus antara penganut Buddha dan penduduk Islam di Rakhine me­ngorbankan lebih 200 orang dan 140,000 lagi terperangkap di kem pelarian.
Pemimpin pembangkang, San Suu Kyi dijangka memenangi pi­lihan raya yang akan diadakan pada Oktober atau November ini jika mereka diberi kebebasan dan ke­adilan, dengan Parlimen akan memilih Presiden baharu.
Pemenang Nobel itu mengadakan kempen untuk mengubah Perlembagaan yang mengetepikan satu perempat daripada kerusi Parlimen kepada tentera.          
Pada 2010, pemegang kad putih dibenarkan untuk mengundi, langkah yang dilihat sebagai memberi manfaat kepada pihak tentera. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ic-sementara-8232-rohingya-tamat-mac-ini-1.58934#sthash.9LGhDPUn.dpuf

Tuesday, 3 February 2015

Nasionalis Myanmar rancang hapus 
etnik Rohingya


Gambar bertarikh 29 Disember lalu merakamkan seorang nelayan Rohingya
Gambar bertarikh 29 Disember lalu merakamkan seorang nelayan Rohingya mati dibunuh akibat diserang sekumpulan samseng dipercayai kumpulan pelampau Buddha di pekan Rathedaung. – AGENSI
YANGON 2 Feb. – Kumpulan belia berfahaman nasionalis di negeri Rakhine berikrar untuk melancarkan kempen penghapusan etnik minoriti Rohingya yang beragama Islam, sekali gus meningkatkan ketegangan kaum dan agama di Myanmar.
Portal berita Burma Times melaporkan kumpulan belia Buddha itu mengadakan perhimpunan di Akyab pada Jumaat lalu dan merancang untuk menyerang etnik itu sehingga tiada lagi penduduk Islam di Rakhine.
Jelas laporan tu, kumpulan itu juga dipercayai membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjayakan kempen penghapusan etnik itu.
“Mereka dipercayai menubuhkan sekumpulan samseng untuk menyerang nelayan Rohingya dan merompak harta mereka.
“Mereka juga berbincang mahu mewujudkan kawasan (negeri) tanpa penganut Islam,” tambah laporan itu.
Kumpulan nasionalis Buddha Myanmar turut menyalahkan pihak antarabangsa kerana bersikap berat sebelah dengan membantu penduduk Islam dan mereka mahu menyelesaikan perkara tersebut dengan cara sendiri.
Mereka mendakwa penduduk Buddha dilayan secara tidak adil dan dipersalahkan atas keganasan agama yang berlaku di negeri ini.
Rabu lalu, beberapa serangan dilaporkan berlaku ke atas nelayan Rohingya yang dipercayai didalangi samseng di Rakhine.
Ancaman itu menyebabkan etnik Rohingya sukar meneruskan hidup, selepas mereka ditempatkan di zon-zon khas oleh pihak berkuasa Myanmar yang membataskan pergerakan mereka.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/nasionalis-myanmar-rancang-hapus-8232-etnik-rohingya-1.55359#sthash.YT9CteXo.dpuf

Sunday, 1 February 2015

Myanmar namakan Rohingya pengganas


Seorang anggota polis berkawal pada satu perhimpunan dihadiri
Seorang anggota polis berkawal pada satu perhimpunan dihadiri lebih 200 orang di Buthidaung Town Bazar dekat Myanmar. – AGENSI
YANGON 31 Jan. - Polis Myanmar menyatakan etnik Rohingya tidak lagi dianggap sebagai satu etnik tetapi sebagai sebuah kumpulan pengganas dalam satu majlis yang diadakan di negara ini.
Portal berita Burma Times melaporkan, pasukan keselamatan tersebut membuat pengumuman tersebut kepada kira-kira 200 orang di Buthidaung Town Bazar, Arakan.
Pertemuan itu berlangsung antara pukul 11 pagi hingga 1.30 petang waktu tempatan (9.30 pagi hingga 12 tengah hari waktu Malaysia).
“Rohingya bukanlah nama sebuah kumpulan orang tetapi adalah sebuah kumpulan pengganas,” kata seorang pegawai kanan polis yang merujuk kepada Pertubuhan Persaudaraan Rohingya yang diharamkan.
Beliau berkata, mana-mana individu yang bertegas untuk dikenal pasti sebagai Rohingya akan dilabelkan sebagai pengganas dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka.
Tahun lalu, kebanyakan penduduk Rohingya ditahan dan beberapa lagi dikenakan hukuman penjara ketika mereka bertegas dikenali sebagai etnik Rohingya berbanding Bengali.
Seorang lagi anggota polis berkata, mana-mana individu yang mahu tinggal di negara itu perlu mematuhi undang-undang negara tersebut.
“Sesiapa yang ingin tinggal di Myanmar perlu mematuhi undang-undang negara ini,” katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak beberapa minggu lalu, menggesa kerajaan Myanmar memastikan hak sama rata kepada etnik berkenaan dan pengiktirafan terma Rohingya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/myanmar-namakan-rohingya-pengganas-1.54745#sthash.W8C5fnp4.dpuf