Tuesday 17 February 2015

Puluhan pemberontak terbunuh

Mangsa zon perang dibawa menaiki lori ke biara yang menjadi kem pelarian sementara di Lashio. 
Yangon: Pertempuran yang semakin teruk antara tentera Myanmar dan pejuang etnik Kokang mengakibatkan puluhan pemberontak terbunuh sepanjang hujung minggu lalu termasuk lapan yang mati dalam tahanan.
Tentera kerajaan turut merampas 100 senjata dan peluru dalam pertempuran dengan pemberontak di sekitar Laukkai, bandar utama di wilayah Shan yang juga daerah penduduk etnik Kokang.
Akhbar Global New Light of Myanmar melaporkan hampir 2,000 orang melarikan diri ke bahagian pusat Myanmar dan tidak kurang juga melintasi sempadan memasuki China untuk melarikan diri daripada pertempuran.
“Semua pemberontak Kokang yang ditangkap mati akibat kecederaan dialami manakala 18 lain terbunuh ketika bertempur,” lapor akhbar itu.
Minggu lalu, tentera Myanmar berkata puluhan askarnya terbunuh dalam pertempuran yang sudah berlangsung sejak beberapa minggu itu.
Pergolakan tercetus di Kokang pada 9 Februari lalu menamatkan keamanan selama hampir enam tahun. Ia juga pukul hebat terhadap pemerintahan negara itu yang berusaha menamatkan konflik antara pelbagai kumpulan minoriti etnik Myanmar.
Tidak banyak yang diketahui mengenai butiran pertempuran di kawasan pedalaman dan bergunung itu.
Tentera Myanmar mengambil pendekatan berbeza kali ini apabila berterus terang mengenai jumlah kematian anggotanya dalam pertempuran berkenaan.
Media tempatan turut menyiarkan gambar ketua tentera Myanmar melawat anggota yang cedera.
Bagaimanapun, pemerhati menganggap ia sebagai usaha membangkitkan simpati terhadap tentera kerajaan seterusnya mewajarkan tindakan keras diambil terhadap pemberontak.
Pemberontak Kokang turut disertai anggota Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA) dan Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA). - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31355#sthash.p9JRTi1x.dpuf

No comments:

Post a Comment