KOKANG - MYANMAR - Kerajaan Myanmar semalam mengisytiharkan darurat di wilayah bergolak, Kokang berikutan pertempuran sengit antara pemberontak etnik minoriti dan tentera.
 
Presiden Myanmar, Thein Sein telah menyerahkan kuasa pentadbiran kepada tentera dan wilayah berkenaan diletakkan di bawah undang-undang tentera selama tiga bulan.
 
Memetik laporan BBC, pemberontakan ini dicetuskan sejak kepulangan ketua pemberontak, Phone Kya Shin selepas lima tahun hidup dalam buangan di China.
 
Berpuluh-puluh ribu penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka ekoran pertempuran tersebut.
 
Pertempuran antara pejuang tentera dan pemberontak yang dikenali sebagai Myanmar National Democratic Alliance Army (MNDAA) telah tercetus sejak 9 Februari lalu.
 
Lebih daripada 50 askar kerajaan dan 26 pemberontak telah terbunuh sejak pertempuran itu.