Portal berita Burma Times melaporkan kumpulan belia Buddha itu mengadakan perhimpunan di Akyab pada Jumaat lalu dan merancang untuk menyerang etnik itu sehingga tiada lagi penduduk Islam di Rakhine.
Jelas laporan tu, kumpulan itu juga dipercayai membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjayakan kempen penghapusan etnik itu.
“Mereka dipercayai menubuhkan sekumpulan samseng untuk menyerang nelayan Rohingya dan merompak harta mereka.
“Mereka juga berbincang mahu mewujudkan kawasan (negeri) tanpa penganut Islam,” tambah laporan itu.
Kumpulan nasionalis Buddha Myanmar turut menyalahkan pihak antarabangsa kerana bersikap berat sebelah dengan membantu penduduk Islam dan mereka mahu menyelesaikan perkara tersebut dengan cara sendiri.
Mereka mendakwa penduduk Buddha dilayan secara tidak adil dan dipersalahkan atas keganasan agama yang berlaku di negeri ini.
Rabu lalu, beberapa serangan dilaporkan berlaku ke atas nelayan Rohingya yang dipercayai didalangi samseng di Rakhine.
Ancaman itu menyebabkan etnik Rohingya sukar meneruskan hidup, selepas mereka ditempatkan di zon-zon khas oleh pihak berkuasa Myanmar yang membataskan pergerakan mereka.