Kerajaan Myanmar bertindak merampas kad pengenalan sementara atau kad putih daripada penduduk Islam Rohingya di Kiladong, selatan Maungdaw sebelum tarikh yang ditetapkan. AGENSI
NAYPYIDAW 29 Mac – Kerajaan Myanmar baru-baru ini bertindak memungut kad pengenalan sementara atau kad putih daripada penduduk Islam etnik Rohingya di Kiladong, selatan Maungdaw sebelum tarikh yang ditetapkan, sekali gus mengundang tanda tanya tentang nasib yang bakal menimpa etnik minoriti itu.
Laman web Burma Times melaporkan, penduduk Islam Rohingya yang menyerahkan kad putih berkenaan tidak menerima sebarang bentuk bayaran atau dokumen sebagai alternatif jika berlaku sebarang perkara tidak diingini.
Tindakan tersebut nyata mengundang rasa takut dalam kalangan penduduk terbabit kerana bimbang kerajaan cuba menghapuskan bukti yang menyatakan mereka merupakan rakyat negara ini.
Seorang kakitangan kerajaan, Shaer Mohammed berkata, penduduk yang enggan menyerahkan kad putih tidak layak untuk menerima kad pengenalan penuh atau kad hijau, selain akan diusir dari negara ini.
Sumber berkata, operasi memungut kad putih itu diketuai Sultan yang juga merupakan wakil utama kerajaan di wilayah berkenaan.
Usaha pengumpulan kad putih dilaksanakan di Kiladong terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke tempat-tempat lain di wilayah Arakan kerana kawasan berkenaan merupakan ‘kawasan merah’ yang sering dilanda masalah.
Pihak berkuasa menyusun gerakan memungut kad putih di kawasan yang paling bergolak kerana bimbang etnik Rohingya enggan menyerahkan kad berkenaan jika mereka mengetahui agenda yang telah disusun.
Sumber berkata, penduduk Rohingya yang datang dari kawasan yang bermasalah sahaja tidak akan menerima sebarang bentuk bayaran atau dokumen selepas menyerahkan kad putih itu.